(This article is a translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)
(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)
Pada tahun 1940-an, Asia Tenggara bukanlah sebuah tempat yang aman macam sekarang ni. Korang semua pun confirm la pernah dengar pasal kekejaman tentera Jepun di Tanah Melayu pada Perang Dunia Kedua, kan? Malah, pelbagai penderitaan dilalui oleh orang-orang Melayu pada masa tu di bawah pemerintahan Kempeitai.
Tapi, adacerita yang lebih tragis daripada yang korang mungkin pernah dengar, dan ni adalah kisah seorang wanita yang terseksa di bawah pendudukan Jepun di dua negara.
Doris van der Stratten pertama kali terserempak dengan Jepun yang memasuki Thailand
Doris berasal dari Adelaide, dan dibesarkan dalam keluarga yang berpecah belah dan keadaan yang kacau-bilau. Perkahwinan pertamanya berakhir dengan perceraian, yang akhirnya mengakibatkannya terputus hubungan dengan kedua anak perempuannya.
Walau bagaimanapun pada pertengahan tahun 1930-an, dia berkahwin dengan lelaki lain, Phillip van der Stratten, seorang lelaki Malayan Eurasian yang juga seorang jurutera perlombongan. Dan apabila dia dilantik bekerja di sebuah syarikat perlombongan di Thailand, Doris mengambil peluang untuk mengikuti Philip ke lombong timah Pinyok yang terletak di bahagian selatan negara tu.
Walau bagaimanapun, semuanya berubah pada bulan Disember 1941, ketika Jepun mula menduduki Tanah Melayu, menyerang Burma dan sudah tentulah… Thailand. Di Pinyok, kesemua orang putih (Inggeris, Eropah dan Eurasia) di lombong bijih timah telah dikepung oleh tentera Jepun dan dibawa ke sebuah banglo kayu berdekatan dengan tapak perlombongan yang dipanggil Kampung Toh.
Beberapa hari kemudian, tentera Jepun mula menyerang mereka yang berada di dalam banglo. Mereka melemparkan dua bom tangan ke ruang tamu dan membakar rumah banglo, yang membunuh kebanyakan dari mereka.
Manakala sebilangan mereka yang berjaya melarikan diri pula berpecah di sekitar kawasan tu, di mana Doris adalah salah seorang daripada mereka. Menyangkakan yang suaminya dah mati, dia berlari sejauh mungkin, dan akhirnya berpakat dengan seorang mangsa lain yang masih hidup, iaitu Edward Peters, seorang Penolong Pengurus Lombong, jauh di tengah hutan.
Mereka berjalan di dalam hutan dan sampai ke Perak tanpa kasut
Selepas pembunuhan beramai-ramai Kampung Toh, Doris dan Edward berjalan beratus-ratus batu melalui hutan tanpa kasut sehinggalah mereka sampai ke Tanah Melayu. Di sana, mereka mendapat perlindungan masyarakat kecil Cina yang juga bersembunyi dari Jepun di dalam hutan Perak. Tapi nampaknya, tentera Jepun dah menawarkan ganjaran kepada pemberi maklumat. Dan malang buat mereka semua, keadaan menjadi lebih teruk dan mereka mengalami penyakit seperti beriberi, disentri dan demam.
Malah, mereka sangat penat dan lesu dengan apa yang dah mereka lalui. Jadi, ada antara mereka yang akhirnya menyerah dirikepada tentera Jepun. Doris dimasukkan ke dalam Penjara Taiping, dan mendapati mangsa lain yang berjaya melarikan diri dari pembunuhan Kampung Toh juga berada di sana. Sebelum tu, dia ditawarkan untuk dipindahkan ke Convent of the Sisters of Mercy yang berdekatan kerana dia adalah satu-satunya tahanan wanita.
Tapi, dia memilih untuk tinggal di situ supaya dia dapat menerima rawatan perubatan yang sewajarnya. Malah, dia juga mempunyai sistem sokongan yang merupakan kumpulan Katolik La Salle Brothers yang dipenjarakan pada masa yang sama.
Nasibnya bakal berubah apabila ada seorang komander Jepun yang sukakan Doris
Kehadiran Doris nampaknya menarik minat Kolonel Koda, seorang tentera kanan Jepun yang bertanggungjawab dalam operasi di Taiping. Dia mengaturkan agar Doris dipindahkan ke hospital Taiping selepas melihatnya di penjara. Ini adalah ketika dia dipisahkan dari tahanan lain, jadi apabila mereka akhirnya dipindahkan ke Penjara Pudu, dia tak lagi bersama dengan tahanan lain.
Walau bagaimanapun pada masa tu, Jepun ada syak wasangka yang tinggi terhadap orang asing di mana mereka adalah pengkhianat. Disebabkan ni juga, Kolonel Koda terpaksa mengatakan yang Doris berbangsa Itali. Kenapa Itali? Sebab masa tu, Itali adalah sekutu Jepun (kedua-duanya adalah kuasa Axis) semasa Perang Dunia Kedua.
Tapi nampaknya, Kolonel Koda tak dianggap tentera paling setia dalam Angkatan Tentera Jepun, sebab dia pernah didakwa menggelapkan wang dari catuan tahanan. Kempeitai sendiri sangat curiga kepadanya selepas menerima pelbagai laporan yang mengatakan dia seorang yang licik. Jadinya, Kempeitai kemudiannya mencari perempuan simpanannya untuk mendapatkan jawapan.
Dan kisah sedih Doris berakhir dengan tragis
Jadi, semasa Kempeitai membuat siasatan terhadap Kolonel Koda, mereka turut menangkap Doris kerana curiga kalau Doris ni bukanlah orang Itali. Dan bila mereka dapat tahu yang Doris adalah seorang warganegara Australia, Kempeitai membuat kesimpulan yang dia kemungkinan besarnya adalah ‘mata-mata British’.
Di dalam satu soal siasat tertutup, satu-satunya bukti yang ada adalah dari dokumen mahkamah bagi perbicaraan tersebut. Kesaksian yang diberikan oleh Sam Ah Ngaw, seorang jurubahasa yang hadir pada masa pembunuhan tu menyatakan yang Leftenan Shuzi Murakami secara fizikalnya telah memaksa Doris untuk memberikan jawapan. Pada permulaan siasatan, Murakami menuduh Doris cuba untuk mendapatkan maklumat ketenteraan dari Kolonel Koda. Tapi, dia menafikan sekeras-kerasnya sebab dia bukanlah seorang perisik.
Doris kemudiannya fed up, dan tak nak lagi menjawab lebih banyak pertanyaan Murakami. Disebabkan berang dengan Doris, Leftenan Murakami kemudiannya menarik Doris dari tempat duduknya, menampar, dan menendangnya. Doris yang berani dan tak tahan lagi dengan keadaan tersebut kemudiannya MENJERIT pada Murakami…
“Si kejam, kamu tak patut melakukan ini kepada saya!” – Doris van der Stratten, dipetik dari buku Andrew Barber, Kuala Lumpur at War 1939-1945
Murakami rasa tercabar bila Doris meninggikan suara kepadanya lalu menarik pakaian Doris, dan mencampakkannya ke luar jendela di mana kepala Doris yang terlebih dahulu jatuh, dan menamatkan riwayatnya.
Yang paling sedih, pada penghujung perbicaraan, hujah peguam bela Murakami menuduh di mana Doris membunuh diri untuk melindungi kekasihnya, Kolonel Koda, sebab dia yang ‘menyelamatkannnya’ semasa dia janda dan bersendirian tanpa sokongan. Malah, Koda juga memberikannya apa yang dia mahukan dalam hidup. Peguam bela membuat kenyataan lain berikutan hujah mereka dan mengatakan…
“Bunuh diri adalah rancangan Puan Stratten untuk menyelamatkan Kolonel Koda. Murakami mungkin bertanggungjawab secara moral untuk kematiannya tetapi bukan sebab asal dan oleh itu dia harus dibebaskan,” – peguam bela Murakami, dipetik dari buku Andrew Barber, Kuala Lumpur at War 1939-1945
Keesokan harinya, keputusan mahkamah keluar. Murakami ditemui TIDAK BERSALAH dan dibebaskan. Dia kemudiannya kembali ke Jepun selepas perbicaraan berakhir. Kejap, cerita tu tak berakhir setakat tu je tau.
Ingat tak macam mana pada mulanya Doris fikir suaminya mati? Ya, Phillip sebenarnya terselamat daripada pembunuhan Kampung Toh. Pelik juga sebab ia hanya diketahui semasa perbicaraan Murakami, selepas Doris dibunuh dan bukannya masa Doris jadi perempuan simpanan Kolonel Koda.
Sekurang-kurangnya kisah Doris diketahui lanjut. Ramai lagi kisah ‘comfort women’ yang terkubur begitu saja
Selepas perang, wanita-wanita ni terpaksa menyembunyikan penglibatan mereka dengan tentera Jepun. Kemudian semasa bekas ‘comfort women’ dari negara lain membuka kisah ni, malah ‘comfort women’ dari Tanah Melayu juga merasakan perkara yang sama, dan mahu kisah mereka didengari. Menurut Andrew Barber, MCA dilaporkan menerima banyak surat berikutan rayuan untuk kesaksian, tapi malangnya perkara tu didakwa mahu ditutup oleh pihak berkuasa.
Jadi, sejauh mana pengalaman buruk menjadi ‘comfort women’ yang dialami wanita Malaysia ni terus ‘didiamkan’ begitu saja? Sampai bila-bila pun kisah ni akan terkubur dan tak menerima sekurang-kurangnya keadilan untuk didengari seperti mangsa peperangan yang lain.
(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)