- 1.4KShare sekarang!
- Email39
- Facebook1.4K
- Share
Pada minggu lalu, kita dikhabarkan tentang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh Tun Dr Mahathir. Nampaknya, ini adalah cubaan Dr Mahathir dan PH untuk menyingkirkan Muhyiddin dari jawatan Perdana Menteri.
Sebenarnya, kontroversi membabitkan Dr Mahathir ni terlalu banyak dan kita dah dihidangkan dengannya sejak sekian lama. Tapi, kalau korang nak tahu – suatu masa dulu ada seorang tokoh yang hampir jadi Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Hussein Onn. Kalau dia yang jadi, maknanya takde peluanglah Dr Mahathir nak jadi PM selama 22 tahun (kali pertama).
Orang tu adalah Tun Ghazali Shafie yang pernah berkhidmat dengan 4 orang Perdana Menteri iaitu dari Tunku Abdul Rahman sampailah Dr Mahathir.
Walaupun namanya Ghazali Shafie, tapi ramai yang memanggilnya sebagai King Ghaz. Kenapa dapat panggilan ni? Nanti kita akan tahu. Sebelum tu, jom kita kenali dulu sejarah awal insan hebat ini.
Terlibat dalam Suruhanjaya Cobbold dan rasa sedih sangat dengan penyingkiran Singapura dari Malaysia
King Ghaz dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang pada tahun 1922. Masa jadi Perang Dunia Kedua (WWII), Ghazali masih lagi belajar DI Raffles College, Singapura. Walaupun masih belajar, dia tetap aktif terlibat dalam pelbagai pertubuhan macam – Malayan Volunteers Force, Force 136 of Resistance Movement dan Askar Wataniah.
Lepas habis WWII, Ghazali dah dilantik jadi Penolong Pegawai Daerah Kuala Lipis. Tapi tak lama lepas tu, Ghazali melanjutkan pelajaran ke University College of Wales dalam bidang undang-undang. Bila dah tamat belajar, dia dilantik pula sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sebelum dilantik jadi Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.
“Antara tahun 1955 hingga 1957, beliau banyak ditugaskan di luar negara termasuklah di Pejabat Pesuruhjaya di London, pejabat Wakil Tetap Bangsa-bangsa Bersatu dan juga sebagai pesuruhjaya Persekutuan Tanah Melayu di India.” – Dipetik dari Arkib Negara.
Bila balik ke Tanah Melayu, Ghazali sekali lagi dilantik dalam banyak jawatan penting negara seperti – Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar dan Setiausaha Tetap Hal Ehwal Luar. Tapi antara kejayaanya yang paling besar adalah bila Ghazali dipilih jadi anggota Suruhanjaya Cobblold yang ditugaskan untuk memantau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak terhadap idea pembentukan Malaysia.
Suruhanjaya ni kemudiannya melaporkan yang majoriti rakyat Sabah dan Sarawak bersetuju dengan gagasan Malaysia. Maka terbentuklah Malaysia hasil dari gabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Tapi gabungan ni tak kekal lama, sebabnya pada tahun 1965 – Singapura disingkirkan dari Malaysia.
Diceritakan yang Ghazali terkejut sangat dengan berita ni sampaikan dia pergi ke Singapura sebab nak jumpa dengan Lee Kuan Yew. Ghazali menceritakan apabila melihatnya, Lee menangis dan beliau juga menangis.
“Kami berdua berada dalam keadaan amat dukacita kerana terpaksa hidup di negeri yang terpisah yang saya atau dia tidak bersedia. Lee pada mulanya marah dan sedih dan kami menghabiskan masa kira kira satu jam untuk saling memujuk antara satu sama lain‘.” – Diceritakan oleh Tan Sri Zainuddin Maidin, Tokoh Wartawan Negara. Dipetik dari blognya.
Lepas perpisahan tu, banyak pergeseran yang jadi antara Malaysia dengan Singapura. Bagaimanapun, hubungan antara Ghazali dan Lee Kuan Yew tetap baik, malah Ghazali sendiri yang nasihati Tun Hussein Onn supaya melawat Singapura dan berjumpa dengan Lee Kuan Yew lepas je Tun Hussein dilantik jadi Perdana Menteri menggantikan Tun Razak.
Menjadi Menteri Dalam Negeri dan menyelesaikan serangan pengganas JRA
Lepas jadinya peristiwa 13 Mei 1969, negara ditadbir oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak dan Ghazali menjadi anggota majlis tu. Setahun lepas tu, Ghazali dah dilantik sebagai Senator dan menjadi Menteri Tugas-Tugas Khas. Tahun-tahun seterusnya, Ghazali dilantik pula sebagai Menteri Penerangan dan Menteri Dalam Negeri pada tahun 1974.
Tapi tak lama lepas jadi Menteri Dalam Negeri, negara dikejutkan dengan serangan sekumpulan pengganas daripada Tentera Merah Jepun atau bahasa omputehnya Japanese Red Army (JRA) yang dah menawan bangunan American International Assurance (AIA) di Kuala Lumpur pada tahun 1975.
Bangunan AIA ni dikenali sebagai bangunan tertinggi di Kuala Lumpur masa tu dan menempatkan banyak kedutaan termasuklah Kanada, Amerika Syarikat, Jepun, Sweden dan Perancis. Tujuan diorang tawan kedutaan ni adalah untuk buatkan kerajaan Malaysia berunding dengan kerajaan Jepun, Sweden dan AS supaya dibebaskan anggota diorang yang ditahan di Jepun dan Sweden.
Diorang juga dah tahan 53 orang sebagai tebusan dan ugut bilangan tebusan ni akan bertambah kalau kerajaan Malaysia gagal buat rundingan. Apa yang menariknya, JRA ni sebenarnya anti-Amerika dan Israel, malah diorang juga ada buat latihan bersama-sama dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).
Bagi selesaikan masalah ni, Menteri Perhubungan, V. Manickavasagam dah ditugaskan untuk berunding dengan JRA. Tapi nampaknya rundingan tu gagal. Bila jadi macam tu, Tun Razak pun rasa hanya ada seorang yang boleh kawal keadaan ni dan orang tu adalah Ghazali.
“Ketika itu, Ghazali berada di Jakarta untuk tugasan rasmi. Dia bergegas pulang dan diarahkan oleh Tun Razak untuk ambil alih tugasan Manickavasagam. Keberanian dan kesungguhan Ghazali mengejutkan. Dia masuk ke bangunan AIA untuk berunding. Difahamkan tiga hari dia keluar masuk bangunan itu.” – Dipetik dari Sinar Harian.
Akhirnya persetujuan antara kerajaan Malaysia denga JRA dicapai. Kerajaan Jepun yang pada mulanya tak nak terima tuntutan JRA akhirnya akur dengan desakan Ghazali. Tapi JRA bagi syarat supaya diorang dihantar ke negara ketiga yang sedia beri jaminan untuk diorang tak akan ditahan. Ghazali akhirnya dapat persetujuan pemimpin Libya – Muammar Gaddafi untuk terima kumpulan ni.
Itulah keberanian dan ketokohan Ghazali yang tetap dikenang sehingga ke hari ini. Ghazali membuktikan yang dirinya seorang juru runding dan diplomat ulung.
Ghazali nyaris-nyaris dilantik jadi Timbalan Perdana Menteri
Walaupun terkenal sebagai seorang diplomat dan menteri yang mempunyai kepakaran luar biasa, Ghazali sendiri tak terlepas dari pergolakan dan persaingan politik. Sebabnya, lepas Tun Razak meninggal dunia, timbalannya – Tun Hussein mengambil alih jawatan Perdana Menteri.
Sebenarnya, Tun Hussein nak pilih menteri favorite-nya iaitu Ghazali sebagai timbalannya. Tapi masalah mula timbul bila Ghazali masa tu bukan Naib Presiden UMNO, jadinya dia dianggap tak cukup syarat untuk dilantik jadi Timbalan Perdana Menteri. Tindakan Tun Hussein tu jugak ditentang kuat oleh tiga Naib Presiden UMNO – Tengku Razaleigh, Tun Ghafar Baba dan Dr Mahathir.
“Ghazali Shafie nyaris-nyaris jadi Timbalan Perdana Menteri dan tidak Mahathir kalau tidak tentangan hebat daripada Ghafar, Tengku Razaleigh dan Mahathir dan ahli-ahli Majlis Tertinggi. Hussein hanya memilih Mahathir setelah tiga Naib Presiden berkata jawatan itu mesti diberi kepada salah satu daripada mereka, kalau tidak ketiga-tiga tidak dapat menyertai jemaah menterinya.” – Abdullah Ahmad, dipetik dari Utusan Malaysia.
Hubungan antara Dr Mahathir dan Ghazali juga dikatakan tak berapa baik lepas tu. Hal ni ditambah lagi bila tiga hari sebelum Dr Mahathir dilantik jadi Perdana Menteri, Ghazali (sebagai Menteri Dalam Negeri) dah bertindak menahan Setiausaha Politik Dr Mahathir – Siddiq Ghouse di dalam ISA kerana dituduh sebagai ejen KGB.
Dipindahkan ke Kementerian Luar dan akhirnya bersara dari politik
Seperti yang diceritakan di awal tadi, Ghazali ada hubungan baik dengan Lee Kuan Yew dan dialah yang nasihatkan Tun Hussein supaya berjumpa dengan Perdana Menteri Singapura tu. Hasil dari pertemuan tu, Lee Kuan Yew beritahu Tun Hussein bahawa adanya anasir komunis dalam media Malaysia.
Kerana dakwaan ni jugalah A. Samad Ismail (Tokoh Wartawan), Abdullah Ahmad (bekas Setiausaha Politik Tun Razak) dan Abdullah Majid (bekas Setiausaha Akhbar Tun Razak) ditahan dalam ISA. Tapi bila Dr Mahathir jadi Perdana Menteri, 21 tahanan ISA termasuk diorang ni dibebaskan. Ghazali pun dipindahkan ke Kementerian Luar dan kedudukannya diganti oleh Tun Musa Hitam yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Abdullah Ahmad atau Dollah Kok Lanas dalam reaksinya ada kata yang penahanannya dalam ISA tu sebagai konspirasi politik. Lepas dibebaskan dari ISA, Abdullah jadi antara orang yang kuat mengkritik Ghazali.
Akhirnya pada tahun 1984, Ghazali bersara dari Kabinet dan politik. Tapi Ghzali tetap aktif dalam sektor swasta dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa.
“…kalau orang UMNO tidak lagi mahu saya duduk dalam MT (Majlis Tertinggi UMNO), maka elok sahaja saya meletakkan jawatan menteri tanpa perlu saya digugurkan oleh Perdana Menteri.” – Tun Ghazali Shafie, dipetik dari Utusan Malaysia.
Gelaran King Ghaz muncul kerana sikapnya yang garang dan tegas
Dekat mula-mula tadi, kita dah diceritakan yang Ghazali juga dikenali sebagai King Ghaz. Sebenarnya, gelaran ni datang disebabkan sikapnya yang garang terutamanya kepada para wartawan.
“Pemberita- pemberita kanan menggambarkan Tan Sri (Ghazali) sebagai seorang tinggi egonya, menganggap beliau sahaja yang pandai, suka mengherdik wartawan yang mengajukan pertanyaan-pertanyaan yang beliau anggap bodoh.” – Chamil Wariya, wartawan veteran. Dipetik dari Utusan Malaysia.
Chamil sendiri pernah menceritakan pengalamannya bertemu dengan King Ghaz. Hal ni jadi masa dia bekerja dengan Utusan Malaysia dan ditugaskan untuk mengikuti rombongan media King Ghaz ke Grik, Perak. Bila tibanya sidang akhbar, seorang wartawan ada tanya satu soalan yang tak disenangi King Ghaz.
“Inilah masalahnya kalau kamu tak buat homework. Soalan itu saya dah jawab. Jangan tanya soalan-soalan bodoh macam ini.” – Kata King Ghaz.
Seorang lagi Tokoh Wartawan Negara – Datuk A. Kadir Jasin juga ada menceritakan macam mana dia ditengking oleh King Ghaz di depan ratusan orang besar di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang pada tahun 1981. Tapi disebabkan tu jugalah, Kadir mula mendalami hal-hal berkaitan dengan perang saraf dan dasar luar Malaysia.
Seorang lagi wartawan veteran – Mokhtar Petah ada menceritakan mengalamannya dengan King Ghaz. Masa tu, dia antara wartawan yang ke Malim Mawar, Perak untuk meliputi kejadian serangan penganas komunis di sana. Sebaik saja King Ghaz keluar dari balai polis, maka ramailah wartawan yang menyerbunya.
“Wartawan RTM, Puan Maizatul Akmam Yahaya telah menyuakan kepala perakam suara kepada King Ghaz. Alangkah terkejutnya kami, menteri itu telah menengking kami sekuat-kuat suaranya. Maizatul Akmam terkejut kerana ditengking menteri yang garang itu. Dia telah menangis seperti di hadapan kami.” – Mokhtar Petah, dipetik dari blognya.
Satu lagi kejadian yang Mokhtar ingat adalah bila jadinya banjir mengejut di bandar Ipoh. Disebabkan banjir tu, Ghazali pun datang ke Ipoh dengan gunakan helikopter Tentera Udara Malaysia. Ketibaan Ghazali tu disambut oleh Menteri Besar Perak dan beberapa pegawai tinggi lain.
“Setibanya Ghazali Shafie di dewan menunggu Lapangan Terbang Ipoh, dia telah memekik dengan kata-kata kesat kepada pegawai-pegawai kerajaan di hadapan kami.
‘…awak semua tak guna, tak boleh harap, …mengapa tak beritahu saya banjir semalam…?‘ Tanya Ghazali Shafie dengan memekik. Menteri Besar dan semua pegawai-pegawai diam. Mereka dalam keadaan seperti kena pukau.” – Mokhtar Petah, dipetik dari blognya.
Walaupun Ghazali terkenal sebagai seorang yang garang, tapi ramai yang mengakui kehebatan dan ketokohannya terutamanya dalam bidang diplomasi. Chamil Wariya ada mengatakan yang Ghazali adalah seorang gergasi politik dan otak terbaik dalam generasinya.
Terselamat dalam nahas pesawat di Janda Baik
Pada Januari 1982, negara dah dikejutkan dengan kejadian terhempasnya pesawat Cessna 206 di sebuah hutan di Janda Baik, Pahang. Peristiwa ni dikejutkan lagi bila pesawat tu sebenarnya dipandu oleh Ghazali sendiri. Tapi Ghazali bernasib baik sebab dia terselamat dalam nahas tu, tapi dua orang lain iaitu Ketua Jurulatih Kelab Penerbangan Diraja Selangor, Varghese Chacko dan pengawal peribadinya Charon Daan maut.
Dilaporkan sebaik saja pesawat tu nak terhempas, Ghazali serta merta buka pintu, tanggalkan tali pinggang dan melompat keluar dari pesawat. Lepas tu, Ghazali pun berjalan – sampai dia jumpa dengan sebatang sungai. Keesokan harinya, Ghazali tetap terus berjalan sampailah dia ditemui oleh orang-orang kampung.
Walaupun begitu, kejadian nahas tu tak menghalang Ghazali dari terus memandu kapal terbang. Sejak dapat lesen pada tahun 1971, Ghazali dah buat hampir 2,000 penerbangan dalam tempoh 10 tahun.
“Sudah tentu saya akan terus memandu kapal terbang. Saya akan terus terbang selagi saya berkelayakan untuk mendapatkan lesen.” – Ghazali Shafie, dipetik dari Kosmo.
King Ghaz, tetap akan dikenang sebagai seorang negarawan ulung
Personaliti dan kejayaannya sebagai seorang menteri Kabinet dan diplomat dah membuatkan Ghazali dikenang sebagai seorang yang luar biasa di zamannya. Sehingga ke hari ini, Ghazali tetap dikenang sebagai seorang yang bertanggungjawab menjadikan Kementerian Luar sebagai salah satu kementerian yang memberikan sumbangan besar kepada negara.
“Diplomat Malaysia di bawah kepimpinannya telah dibentuk sebagai seorang realis. Beliau juga sangat menekankan supaya diplomat dan lain-lain pegawai kerajaan perlu meluaskan pembacaan, sentiasa teliti, menumpukan perhatian serta petah berkata-kata.” – Datuk Deva Mohd Ridzam, bekas Duta Malaysia di banyak negara. Dipetik dari Utusan Malaysia.
Walaupun ada sebahagian tindakannya yang dikritik sepanjang menjadi menteri kabinet, tapi Ghazali tetap tegas dengan segala tindakannya dan mengatakan setiap dari tindakan itu adalah untuk kepentingan negara.
Pada tarikh 24 Januari 2010, Ghazali telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 88 tahun. Semoga segala usaha, pengorbanan dan sumbangan allahyarham tetap terus dikenang dan tak salah untuk kita menggelarkannya sebagai seorang Negarawan Ulung Negara.
- 1.4KShare sekarang!
- Email39
- Facebook1.4K
- Share