Kiblat di Lembah Klang tersasar, sah ke solat kita?

Ramai dah dengarkan? Pasal terdapat satu tinjauan daripada Berita Harian menunjukkan kiblat 40% penempatan muslim di Lembah Klang tidak tepat. Hal ini telah menimbulkan kerisauan terhadap sesetengah orang Muslim yang tinggal di kawasan tersebut.

Yela, bayangkan kita tiap-tiap hari solat, rupa-rupanya kiblat kita tersasar sedikit, dah timbulkan rasa risau adakah solat kita sah atau tak. Terdapat beberapa pendapat mengenai solat jika kiblat tersasar.

Pendapat atau jawapan daripada Mufti Wilayah Persekutuan

Mufti Wilayah Persekutuan menggunakan huraian daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji:

Dalam isu penentuan arah kiblat, orang yang berada atau tinggal berhampiran Kaabah, mereka wajib menghadap Kaabah dengan yakin. Akan tetapi, kalau orang yang jauh dari Kaabah, wajib menghadap Kaabah dengan berpandukan petunjuk-petunjuk yang kukuh, jika tak terdapat petunjuk yang pasti dan tepat.

Menurut rujukan al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/217), bagi orang yang jauh atau terhalang daripada melihat terus pada Kaabah, ia tidak memudaratkan solat jika posisi agak ke kanan dan ke kiri sedikit daripada ain Kaabah.

Pendapat daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis

Menurut Jabatan Mufti Perlis, seseorang itu perlu berusaha mencari arah kiblat yang tepat, iaitu 291 darjah ke 293 darjah dari utara bagi Malaysia. Namun, bagi seseorang yang nak solat, cukuplah dengan panduan arah kiblat yang dah ada di tempat itu. Selagi seseorang itu menghadap ke arah Masjidil Haram, maka sah solatnya.

Tak disyaratkan kita berada tepat menghadap ke Masjidil Haram, kerana penentuan arah kiblat sejak zaman dulu adalah berdasarkan sangkaan yang kuat dengan petunjuk-petunjuk yang ada.

Kedudukan penempatan atau masjid perlu berada tidak tersasar 45 darjah dari arah kiblat. Jabatan ini menyatakan:

Adapun bagi masjid-masjid pada zaman ini yang diwujudkan setelah adanya peralatan teknologi moden hendaklah berusaha mencari arah yang tepat dengan menggunakan kemudahan yang diiktiraf. Begitu juga masjid-masjid yang di bina dan didapati arah kiblatnya kurang tepat berdasarkan alatan moden masa kini, ia boleh kekal dengan binaan / keadaan asalnya selagi tidak melebihi 45 darjah dari arah yang tepat ke kiri atau ke kanan.

Apa yang dimaksudkan arah menghadap itu hendaklah tidak melebihi 45 darjah dari arah kiblat mengambil kira sudut setiap arah iaitu utara, selatan, timur dan barat yang mempunyai 90 darjah bagi setiap sudut. 45 darjah itu juga berdasarkan arah yang Nabi SAW sebutkan iaitu timur dan barat. Apabila melebihi 45 darjah dari arah yang tepat akan mengakibatkan seseorang akan terkeluar dari arah tersebut kerana arah keseluruhannya 90 darjah. Maka arah yang paling tengah dalam 90 darjah adalah 45 darjah ke kanan dan 45 darjah ke kiri.

Gunakan perkhidmatan Ahli Falak atau servis arah kiblat

Jika awak semua risau arah kiblat di rumah awak tersasar jauh, boleh saja gunakan perkhidmatan Unit Falak Jabatan dan Pejabat Mufti di negeri masing-masing. Awak boleh berhubung dengan jabatan mufti masing-masing melalui panggilan telefon dan kadang-kadang ada juga yang membuka permohonan.

Takpun, boleh saja gunakan servis arah kiblat rumah. Selalunya, ada syarikat yang membuat servis penentuan arah kiblat, rasanya di seluruh Malaysia ada saja. Harganya tak mahal pun, bawah RM100 saja. Ok la tu, gunakan sikit wang untuk menentukan arah kiblat yang tepat, daripada seumur hidup solat dengan kiblat yang kita tak tahu tersasar atau tak.

Rujukan: