Kesuma Booty: Antara pengasas studio rakaman muzik Melayu pertama

Pada 29 Januari 2020, dunia seni negara kehilangan seorang lagi seniman bernama Kesuma Booty. Dia meninggal pada usianya 69 tahun. Dipercayai meninggal akibat komplikasi pelbagai penyakit di kediamannya. Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate.

Mungkin ada yang begitu sinonim dengan namanya dan mungkin ada yang pertama kali dengar namanya. Untuk mengenang jasa Kesuma Booty dalam dunia seni, mari kita pergi satu persatu apa yang pernah disumbangkannya.

Kesuma Booty dan adik-beradiknya tubuhkan studio rakaman Melayu pertama

Alfa Kesuma, anak Kesuma Booty ketika beraksi. Imej dari mStar

Memang dah banyak artis dan kumpulan rock yang mewarnai sejarah seni tanah air. Termasuklah yang sampai sekarang lagunya masih dimainkan seperti kumpulan Search, Wings, Datuk Zainal Abidin, Datuk Sheila Majid dan lain-lain.

Mungkin ramai tak tahu, nama-nama yang kami sebut kat atas ni sebenarnya pergi ke satu studio rakaman yang sama sewaktu melakukan rakaman album. Dan…studio itu dikenali sebagai The Booty Boys studio.

Ini paling penting – pengasas studio ini adalah Kesuma Booty dan adik-beradiknya yang juga pemuzik seperti Surya Booty dan Purnama Booty.

Adik-beradik Booty. Imej dari Popoknet

Menurut satu laporan, The Booty Boys Studio adalah studio rakaman Melayu pertama yang dibuka pada tahun 1982. Ini bermakna kebanyakan rakaman muzik dibuat di situ. Rakaman muzik sebelum tu hanya guna piring hitam hinggalah tahun 1980 pemain kaset diperkenalkan di Malaysia.

Tulang belakang penubuhan Badan Pengutip Royalti bagi pengkarya tempatan

Orang-orang kuat MACP. Imej dari MACP

Bagi kita orang yang tak berapa nak seni ni, dengar lagu hanyalah sekadar tempat melayan emosi atau menghilangkan stress serta bermacam-macam lagi sebab. Sebenarnya, lagu yang kita dengar berputar di radio atau zaman sekarang muat turun di spotify bukanlah percuma semata-mata. Semuanya ada bayaran royalti kepada pengkarya muzik.

Dan…di Malaysia, ada sebuah pertubuhan yang memperkuatkan tugas ini sebagai Badan Pengutip Royalti (CMO). Petubuhan muzik bukan keuntungan itu adalah Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) yang ditubuhkan pada tahun 1989. Setakat ni, sudah ada 2,500 penulis, komposer dan penerbit muzik yang menjadi ahli.

Selain tu, punyalah banyak pemilikan kerja muzik yang mereka uruskan iaitu sebanyak 50,000 buah karya tempatan. Ini juga menarik – selain Tun Mahathir yang pernah jadi PM selama 22 tahun, Pengerusi MACP iaitu Habsah Hassan juga hampir mencapai rekod tu. Ini apabila menjadi pengerusi sejak tahun 2000 hingga tahun 2018.

Habsah Hassan pernah tulis 1,000 lirik lagu. Imej dari mStar

Disebalik semua kisah kejayaan MACP ni, Kesuma Booty adalah antara karyawan yang menjadi tulang belakang utama kepada penubuhan MACP pada tahun pertamanya, 1989.

Ibu Kesuma, primadona filem Melayu serta pelakon Mahsuri yang ditulis Tunku Abdul Rahman

Kasma Booty si primadona filem Melayu. Imej dari Roots.sg

Selepas kita dah menghayati jasa-jasa yang pernah Kesuma Booty sumbangkan. Satu perkara lagi yang kita semua kena tahu bahawa asal-usulnya juga yang datang dari darah seorang seniman terawal negara.

Untuk yang minat sejarah dan filem, semestinya takkan tertinggal untuk menonton filem Mahsuri tahun 1959. Memang filem betul-betul klasik ni. Apa yang menakjubkan – skrip filem ini telah ditulis oleh Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman yang dibeli oleh Cathay Keris Film Production dengan harga RM10,000.

Kenapa tiba-tiba kami cerita pasal filem Mahsuri? Ini sebabnya kami nak korang fokus kepada pelakon watak Mahsuri tu sendiri iaitu Kasma Booty. Dan…Kesuma Booty adalah anak kepada Kasma Booty, seorang primadona filem Melayu suatu ketika dahulu. Macam mana boleh tahap primadona?

Semuanya bermula apabila Kasma Booty menyertai kumpulan teater bangsawan bernama Rayuan Asmara. Kumpulan Rayuan Asmara berhijrah dari Indonesia ke Tanah Melayu dengan memilih Pulau Pinang. Di situlah Kasma Booty mempersembahkan lakonannya dengan rupa paras yang jelita sekali. Mungkin ramai tak tahu, P. Ramlee yang ketika itu masih muda dan belum berlakon pernah menjadi penonton kepada lakonan Kasma Booty.

Antara filemnya yang meletup. Imej dari Wikipedia

Bermula dengan kerjaya lakonan di layar teater, kehebatannya sampai ke telinga produksi Shaw Brothers di Singapura. Selepas dijemput serta diuji bakat, dia terpilih untuk menjadi pelakon di sana seawal usia 14 tahun. Filem pertamanya pada tahun 1947, ‘Chempaka’ mendapat sambutan hangat yang memberi semangat kepada Shaw Brothers untuk terus mengambilnya sebagai pelakon.

Dia terus menjadi bintang filem-filem Melayu yang mendapat sambutan, hingga dia sendiri menerima gaji yang agak tinggi ketika itu sebanyak 1,000 dollar sebulan (tiada ringgit waktu tu). Berbekalkan bakat dan kecantikan kacukan (Belanda + Jawa), dia terus menempah nama dalam banyak filem. Termasuklah berlakon bersama P. Ramlee dalam beberapa filem seperti Bakti, Sejoli, Juwita dan Ragam P. Ramlee.

P. Ramlee dan Kasma dalam filem Damaq. Imej dari Wiki

Bakat dan aksinya dikagumi ramai termasuk seniman terkenal ketika itu serta menerima jolokan sebagai Elizabeth Taylor Malaya. Pada tahun 1992, dia meninggalkan dunia seni dan akhirnya meninggalkan dunia ini pada tahun 2007.

Penyumbang dunia seni ada tempatnya tersendiri dalam ketamadunan negara

Sumbangan dunia seni di negara ini tidak pernah berhenti. Kita boleh tengok bagaimana pengkarya dan pemuzik seperti Kesuma Booty dan adik-beradiknya menubuhkan studio rakaman Melayu pertama pada tahun 1982. Disebabkan studio ini, banyak bakat yang berjaya menempah nama dalam industri seni negara ini.

Perkara yang perlu kita semua ingat – seni dan budaya yang terbina adalah idenititi negara. Menurut Tun Mahathir, sesebuah negara bertamadun dibentuk oleh seni dan budaya yang berkembang mekar. Sumbangan hebat dan berinovasi membangkitkan lagi kualiti terbaik dalam diri manusia.

Sekalipun, Kesuma Booty telah meninggalkan kita semua. Pastinya jasa dan sumbangannya tetap terpahat dalam hati setiap rakyat Malaysia yang menyayangi seni.

 

 

 

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT