Kenapa Malaysia dipilih sebagai tempat pelarian berteduh

UPDATE 23 NOVEMBER 2017: Selepas diadili di Tribunal Jenayah Antarabangsa (ICTY) sejak tahun 2012, Ratko Mladic, komander tentera pasukan Serb Bosnia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica pada tahun 1995.

Pembunuhan lebih daripada 10,000 rakyat Bosnia dikatakan antara pembunuhan beramai-ramai terburuk selepas Perang Dunia Kedua. Selain pembunuhan, pencabulan hak asasi lain yang dilakukan adalah mencabul perempuan-perempuan Bosnia, menyeksa tahanan sampai membawa kepada kematian, tembakan rambang terhadap orang awam Bosnia, pengusiran rakyat Bosnia dari tanah mereka dan juga memusnahkan banyak masjid dan rumah di negara tersebut.

____________________________________________________________________________

UPDATE 20 JUN 2017: Hari Pelarian Sedunia disambut pada 20 Jun setiap tahun, iaitu sejak tahun 2001 lagi. Ianya bagi memperingati kesusahan yang dialami para pelarian diseluruh negara bagi meraikan ketabahan dan keberanian mereka.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian juga telah memulakan petisyen #WithRefugees dari pihak pelarian sebagai mesej perpaduan, tanggungjawab dan tindakan kepada kerajaan dan pemimpin di seluruh dunia.

Malah, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau juga turut menyambut dan memperingati pelarian Vietnam yang tiba di negaranya.

_________________________________________________________________________

Malaysia memang terkenal dengan sifat toleransi dan tolong-menolong. Ini dibuktikan apabila kita selalu jadi negara pertama yang bagi bantuan kepada negara-negara yang memerlukan, tak kira la sebab bencana alam ataupun bila negara mereka bergolak.

Contohnya masa berlakunya Tsunami di Banda Acheh, kita antara negara yang pertama memberi bantuan kepada mereka walaupun negara kita sendiri pun kena. Tak kurang juga bila kita turut menghantar bantuan kepada negara lain seperti mangsa taufan Filipina, keganasan etnik di Myanmar, misi kemanusiaan di Gaza dan lain-lain.

Selain daripada tu, kita dulu pernah tolong rakyat di negara-negara yang bergolak disebabkan peperangan yang melibatkan genocide, iaitu pembunuhan beramai-ramai. Ini terjadi bila kerajaan Malaysia setuju terima pelarian sebagai tempat perlindungan sementara. Kita pernah jadi tuan rumah untuk pelarian-pelarian negara lain yang perlukan penempatan contohnya macam…

1. Bosnia Herzegovina, negara Islam yang diserang tentera Serbia

Perpecahan Yugoslavia membentuk negara-negara lebih kecil. Gambar dari wikipedia

Bosnia Herzegovina ialah negara yang dulunya bergabung dengan negara Serbia, Montenegro, Croatia, Slovenia dan Macedonia, membentuk sebuah negara yang bernama Yugoslavia. Tapi bermula pada tahun 1990, negara-negara ni mula berpecah dimana setiap negara tadi cuba untuk bina negara-negara sendiri.

Bosnia juga tak ketinggalan untuk cuba bangunkan negara sendiri dimana hampir keseluruhan penduduknya merupakan orang Islam. Tapi perkara ni dibantah oleh Serbia sebab diorang nak Bosnia bergabung dengan negara mereka.

Sekumpulan Islam Bosnia yang terpaksa meninggalkan tempat mereka untuk mendapatkan perlindungan. Imej dari haaretz.com

Masa tahun 1991, Republik Yugoslavia dari Bosnia-Herzegovina (Bosnia) mempunyai penduduk seramai 4 juta, yang terdiri daripada tiga kumpulan etnik utama iaitu Bosniak (orang Islam Bosnia), Serbia, Croati dan Yugoslavia.

Pada tahun selepasnya tu pulak, kerajaan Bosnia isytiharkan yang negara mereka dah merdeka daripada Yugoslavia. Tapi, pengisytiharan tu tak disenangi oleh orang Bosnia yang berketurunan Serbia. Jadi, Tentera Serbia datang dan lancarkan kempen ketenteraan untuk rampas wilayah Bosnia tu, dan buat “pembersihan etnik”.

Mereka sasarkan serangan terutama sekali  pada penduduk Bosnia yang beragama Islam, dan juga orang Croatia.  Diketuai oleh Mladic yang berjawatan sebagai Leftenan Kolonel Jeneral mengepung bandar Sarajevo. Mereka mula membunuh, memperkosa, dan menghancurkan rumah-rumah orang Bosnia.

Selama beberapa tahun kota Sarajevo dikepung dan bertindak melumpuhkan ekonomi negara tersebut sampai ramai orang mati kelaparan. Sejak tahun 1992 sampai 1995, dianggarkan seramai lebih kurang 100,000 mangsa peperangan yang terlibat, dan 80% daripadanya ialah orang Islam Bosnia.

Pada bulan Julai 1995, tentera Serbia membunuh seramai 8,000 lelaki dan kanak-kanak lelaki Bosniak dari bandar Srebrenica dan itu adalah pembunuhan beramai-ramai yang terbesar di Eropah selepas Holocaust.

Pembunuhan rakyat Bosnia secara besar-besaran. Imej daripada Sinar Harian

Perdana Menteri Malaysia pada zaman tersebut, Tun Mahathir Mohamad pada mulanya teragak-agak nak bagi bantuan pada Bosnia sebab kita bukanlah negara besar. Tapi atas dasar perikemanusiaan, PM masa tu ambik inisiatif untuk tolong dari segi diplomasi, bantuan kewangan, kemanusiaan dan moral, penghantaran tentera Malaysia yang menganggotai pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pengambilan pelarian Bosnia ke negara kita.

Jasa Tun Mahathir Mohamad masih disebut sampai sekarang oleh negara tersebut. Dua tahun lepas, Tun Mahathir diberikan penghormatan untuk merasmikan sebuah masjid yang terletak di Sarajevo. Masjid tersebut diberi nama Masjid Ibrahim Bukvic, sempena nama duta pertama negara itu ke Malaysia.

Kenapa pula tak bagi nama Tun sendiri? Sebabnya…

Dr. Mahathir tak mahu apa pun sempena namanya sebelum kembali ke rahmatullah- Tan Sri Abdullah Ahmad dalam bukunya

2. Rakyat Syria tersepit antara pemberontak dan pemerintah

Mayat kanak-kanak Syria, Aylan Kurdi (3 tahun) yang terdampar di persisiran pantai semasa dalam perjalanan menjadi pelarian ke Greece. Imej dari introversion.co.uk

Peperangan memang tak boleh dipisahkan dari tamadun manusia. Hampir saban hari, ada je sengketa dan pergaduhan yang membawa kepada peperangan. Biasanya ia adalah kerana politik semata-mata iaitu nak jadi orang yang paling berkuasa. Contohnya di Syria, pemberontak dan pemerintah yang berperang dah menyebabkan penyeksaan terhadap rakyat yang tak bersalah.

Kisah peperangan di Syria ni mula membuka mata ramai pihak bila salah seorang anak kecil iaitu Aylan Kurdi, 3 tahun, ditemui terdampar di persisiran pantai Lautan Mediterranean,Turki dan menjadi tajuk utama global pada 2 September 2015.

Puncanya, bot kecil yang sepatutnya membawa mereka ke Pulau Kos, Greece telah karam dalam perjalanan dan mengorbankan 37 orang yang lain termasuk perempuan dan kanak-kanak.

Walaupun kes ni bukannya di Malaysia, kisah tersebut adalah satu pengajaran buat negara kita juga dimana ianya merupakan satu kisah tragik yang tak sepatutnya berlaku kepada anak-anak kecil yang tak bersalah.

Legasi Brutal Al-Assad. Imej dari cbcnews

Peperangan yang berlaku di Syria ni adalah sebab Bashar Al-Assad dah memerintah negara tersebut secara turun-temurun (dulu bapa dia presiden juga). Jadinya, bila jadi Arab Spring, yang berlaku dekat Tunisia, Mesir, dan Libya, Syria pun terikut sekali.

Tapi, keadaan tak jadi seperti yang diharapkan bila Syria ada hubungan rapat dengan Rusia dan Iran. Jadinya, berlaku peperangan diantara pemerintah dan rakyat. Nak tahu lebih lanjut boleh baca artikel yang kitorang pernah tulis dulu kat sini.

Kini jumlah pelarian Syria di seluruh dunia dah mencecah sebanyak 12 juta, dan Malaysia saja dah terima sebanyak 1,878 orang warga Syria berdasarkan data UNHCR Malaysia. Dalam banyak-banyak negara, Turki adalah negara terbesar yang menampung pelarian dari Syria yang dah mencecah 1.5 juta orang pada tahun ni.

3. Etnik Rohingya dari Myanmar jadi pelarian sebab dihalau oleh Sami Buddha

Etnik Rohingya yang dicabul hak asasinya. Imej dari merhrom.wordpress

Orang-orang Rohingya kalau nak diikutkan bukanlah pelarian ataupun pendatang tanpa izin di Myanmar. Malah, mereka dah tinggal kat negara tersebut sejak lebih kurang 500 tahun dulu, iaitu lebih kurang sama je tahun dimana buruh dari China dan India datang ke Tanah Melayu.

Yang tambah mengarutnya lagi, kerajaan Tentera Myanmar sebelum tu menggubal Akta Warganegara 1982. Dalam akta ni, sesiapa yang nak diiktiraf jadi warganegara mestilah dapat buktikan yang nenek-moyang diorang dah tinggal kat Burma sejak sebelum tahun 1823. Dah lama sangat tu, macam mana pulak nak buktikan?

Kalau nak tahu, pihak tentera dan kumpulan Gerakan 969 yang dipimpin oleh seorang sami bernama Ashin Wirathu la yang sebarkan kebencian terhadap Islam dan Rohingya, dan diorang juga kata yang etnik Rohingya ni pendatang haram daripada Bangladesh.

Sami Buddha yang bernama Ashin Wirathu ni juga lah yang pernah seru penganut Buddha disana dengan memboikot perniagaan orang Rohingya, dan juga melemparkan banyak kata-kata kebencian terhadap mereka melalui media sosial dan juga DVD. Korang baca artikel pasal Rohingya ni lebih lagi kat sini.

Presiden Myanmar, Aun San Suu Kyi juga menyokong perbuatan tersebut. Selain daripada ketua negara, dia juga pernah memenangi Anugerah Nobel dalam bidang hak asasi manusia pada tahun 1991. Aung San Suu Kyi juga dengan tak bersalahnya mengaku dan siap terang-terangan nak hapuskan bangsa Rohingya ni dari Myanmar.

Negara tersebut menafikan hak kewarganegaraan Rohingya, majoriti beragama Islam, walau sudah menetap di sini sejak turun-temurun. Golongan nasionalis beragama Buddha menentang kuat etnik ini dengan mendakwa mereka pendatang asing tanpa izin dari Bangladesh.

Sejujurnya, anugerah Nobelnya patut ditarik balik sebab dia tak betul-betul perjuangkan hak manusia bila dia dah menafikan hak Rohingya dan etnik lain. Kalau korang rasa benda yang sama, korang boleh sign petition kat sini.

Sebelum kita terima pelarian Rohingya ni ke negara kita, kita pernah cuba untuk menghantar bantuan berbentuk makanan menggunakan kapal Flotila, tapi tak diterima oleh kerajaan Myanmar. fIni kerana kita menghantar terus kepada negeri Rakhine, dan bukannya melalui kerajaan Myanmar dan membuatkan kerajaan Myanmar rasa ianya sebuah penghinaan. Tapi kalau kita hantar terus kepada kerajaan Myanmar, adakah bantuan makanan tu akan sampai kepada etnik Rohingya yang mereka nak hapuskan tu?

PBB sendiri pun mengaku yang etnik Rohingya di Myanmar adalah antara etnik paling teraniaya di dunia,  telah terbunuh dalam operasi ketenteraan, sementara ramai kaum wanita dirogol dan kampung-kampung dibakar.

Kalau nak tahu, Myanmar ada 135 kumpulan etnik, dan bukan etnik Rohingya je ditindas, tapi ada juga etnik minoriti yang lain seperti  Chins, Myanmar Muslim, Rakhines dan Arakanese yang dinafikan hak mereka di negara tersebut. Menurut rekod UNHCR Malaysia, sebanyak 137,261 pelarian Myanmar ada di Malaysia yang majoritinya memang Rohingya sebanyak 52,960 daripada angka tercatat.

Tak berakhir kat situ je, Perdana Menteri Bangladesh sendiri pun nampaknya lepas tangan dalam hal ni bila dia tak kisah pun pasal Rohingya, dan cakap yang etnik tu bukan tanggungjawab mereka. Alasan dia ialah Bangladesh sendiri dah lebih populasi dan dah takde tempat untuk pelarian.

4. Orang Hanyut Vietnam di Pulau Bidong, Terengganu

Para pelarian Vietnam di Pulau Bidong. Imej dari penyusakti.wordpress

Pulau Bidong di Terengganu dulu pernah jadi pusat penempatan sementara untuk pelarian Vietnam pada tahun 1975 sampai 1991, menjadikan tempat tersebut sebagai pulau bersejarah di Malaysia. Tempat ni dijadikan kem pelarian yang dibina kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) pada tahun 1978.

Para pelarian ini digelar Orang Hanyut Vietnam (OHV) oleh kerajaan Malaysia pada masa tu. Mereka melarikan diri ke negara-negara yang berdekatan masa zaman kejatuhan Vietnam. Pada awalnya Vietnam terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu Vietnam Utara (ataupun dikenali juga sebagai Republik Demokratik Vietnam) dan Vietnam Selatan (Republik Vietnam).

Zaman pelarian Vietnam ni bermula dengan kejatuhan kerajaan demokratik Vietnam Selatan yang masa tu disokong oleh Amerika Syarikat. Masa tu, negara tersebut merupakan negara yang mengamalkan sistem komunis dalam pentadbiran.

Konflik mula timbul apabila kedua-dua bahagian Vietnam ini nak menguasai seluruh Vietnam dan akibatnya, peperangan pun tercetus di antara kedua-dua pihak sampaikan ia melibatkan banyak pihak lain. Kesannya, ramai penduduk menjadi mangsa korban peperangan.

Susulan tu la rakyat Vietnam yang rasa nyawa mereka terancam mula melarikan diri ke negara luar, termasuk melalui jalan laut untuk sampai ke negara lain termasuklah Malaysia.

Luahan hati seorang pelarian Vietnam semasa melawat balik Pulau Bidong yang pernah jadi tempat tinggalnya satu masa dulu. Klik untuk baca. Screengrab dari visit-terengganu.net

Pada Ogos 1978, melalui pewartaan PU(A) 227, kerajaan negeri Terengganu bersetuju mengisytiharkan Pulau Bidong sebagai pusat penempatan pelarian Vietnam. Kesannya, nelayan tak dibenarkan menggunakan perairan pulau ini pada jarak 182 dari pulau. Pulau Bidong pun diisytiharkan sebagai pulau larangan.

Ramai juga pelarian Vietnam yang ada kat pulau tu, iaitu kira-kira 60,000 orang pelarian direkodkan, dan merupakan angka yang agak tinggi. Bukan tu je, diorang siap buat tugu dekat pulau tu bagi memperingati tempat tu sebagai tempat pelarian mereka.

Korang boleh tengok dokumentari bertajuk Tomorrow You Will Leave yang dihasilkan oleh penerbit filem Austria, Nguyen Martin yang dulunya lahir di Pulau Bidong pada tahun 1980. Keluarganya pernah menetap di pulau tersebut sebelum berpindah ke Austria, dan kisah dokumentari tu sendiri lebih tertumpu pada harapan kedua-dua ibu bapa Martin.

Mereka cuba untuk menjejaki seorang askar Melayu di Kuala Terengganu bernama Ali, iaitu individu yang pernah menolong mereka ketika mula-mula mendarat di Pantai Merang, Setiu.

Sampai sekarang ni pun Pulau Bidong masih tak dibuka sebagai pulau peranginan. Ini kerana kerajaan nak jaga sejarah tempat tu sebagai pulau yang pernah menempatkan Orang Hanyut Vietnam.

5. Pelarian Kemboja yang lari dari pemerintahan rejim pimpinan Pol Pot

The Cambodian Genocide oleh Rejim Khmer Rouge. Imej dari pinterest

Di Kemboja pula, rejim komunis Khmer Rouge yang pernah menggulingkan kerajaan mereka Lol Nol pada 1975 dan terus berkuasa hingga tahun 1979. Kekejaman Pol Pot terhadap rakyat Kemboja juga merupakan antara sejarah yang dahsyat pernah dicatatkan.

Semasa pemerintahan Pol Pot dan rejim Khmer Rougenya, dianggarkan sebanyak 1.5 juta daripada lapan juta penduduk Kemboja mati disebabkan kebuluran, kepenatan terlampau sebab beban kerja berlebihan, dan juga disebabkan pelbagai penyakit.

Mereka yang terbunuh pun bukan orang kampung je, tapi mereka yang  berpendidikan tinggi dan berkelas pertengahan disebabkan Pol Pot bencikan mereka yang bijak. Buktinya, beratus-ratus ribu masyarakat kelas pertengahan dan berpendidikan diseksa dan dibunuh di pusat-pusat khas. Masa dia memerintah juga, duit jadi tak bernilai, dan semua orang dikerahkan untuk berkerja dalam bidang pertanian sebab senang nak kawal tindak-tanduk rakyat.

Tengkorak beberapa orang-orang yang terkorban dalam Genosid Kemboja.

Selain tu juga, Pol Pot menggunakan terma “Year Zero” atau “Tahun Kosong”, kononnya untuk “pembersihan” daripada pembunuhan orang intelektual dan kumpulan minoriti, kapitalism, budaya barat, kehidupan bandar, agama, dan pengaruh asing.

Pol Pot mendapat ideologi komunis ni masa dia belajar kat Perancis.Dia merupakan peminat setia “Mao” (China) komunisme serta Stalinisme (Soviet), Pol Pot dibayangkan penciptaan “baru” Kemboja berdasarkan model Mao-Komunis dan mahu memulihkan negara kepada masyarakat pertanian berdasarkan cita-cita Maoist.

Tujuan Khmer Rouge adalah untuk membentuk Kemboja yang baru menjadi primitif di mana semua rakyat akan mengambil bahagian dalam projek-projek kerja luar bandar, dan keluarkan semua inovasi Barat. Ia adalah satu usaha daripada Khmer Rouge membentuk masyarakat pertanian petani Kemboja  mengikut model pertanian Komunis China.

Klik untuk besarkan. Imej dari worldwithoutgenocide.com

Ramai pelarian Kemboja yang berjaya melarikan diri ke Malaysia dan ditempatkan di beberapa kem pelarian contohnya di Cherating, Pahang, di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, dan beberapa lagi tempat lain.

Walaupun dah lebih 40 tahun kejadian tersebut berlaku, tapi kisah ni bukannya sesuatu yang senang untuk dilupakan bagi yang pernah merasai. Kebanyakan pelarian Kemboja ni akhirnya memilih untuk terus menetap di Malaysia dengan berkahwin dengan orang tempatan.

Setiap negara ada peraturannya untuk terima pelarian

Kad UNHCR yang disediakan untuk pelarian di sesebuah negara. Imej dari The Malaysian Times

Kalau nak diikutkan, setiap negara ada kuota yang dah ditetapkan untuk menerima pelarian, dan Malaysia pun macam tu juga. Sejak tahun 2010 sampai 2016, Malaysia dah terima sebanyak 888, 200 orang pelarian je dari pelbagai negara yang memohon suaka berdaftar dengan UNHCR Malaysia.

Pelarian sangat terseksa sebab diorang terpaksa merentasi lautan untuk lari dan cuba untuk mendapatkan bantuan daripada negara lain. Penting untuk kita beri bantuan kemanusiaan sebab bukan mereka yang nak jadi macam tu, tapi sebab faktor negara yang tak stabil.

Sumbangan pelajaran juga penting untuk kanak-kanak pelarian ini demi mengubaah masa depannya. Sebagai contoh kita boleh tengok pelarian dari Bosnia, iaitu  Aida Hadzialic yang menjadi menteri termuda Sweden ketika baru je berumur 27 tahun masa pelantikannya pada tahun 2014 sebagai Menteri Pendidikan di Sweden. Walaupun pernah jadi pelarian satu ketika dulu, dia buktikan yang pelajaran boleh mengubah masa depan seseorang tu.

Jadi, bantuan lain yang NGO di Malaysia ketengahkan ialah dengan membina sekolah untuk anak-anak pelarian ni supaya mereka tak ketinggalan dari segi pembelajaran seperti penubuhkan Sekolah Rohingya Pelangi Kasih, Selayang untuk kanak-kanak pelarian Rohingya di Batu Caves. Manakala Sekolah KITA pula dibina untuk pelarian Syria di Jordan. Kalau nak sumbangkan bantuan untuk mereka, boleh lawat laman sesawang ni:

  1. Palestinian Cultural Organization sebagai sokongan dan bantuan kepada rakyat Palestin untuk membantu melindungi hak-hak negara mereka.
  2.  Sekolah Rohingya Pelangi Kasih Selayang iaitu sekolah untuk kanak-kanak Rohingya di Malaysia
  3. Sekolah KITA untuk pelarian Syria di Jordan, dan
  4. Tangisan Syria Di Bumi Jordan untuk Tabung Projek Ramadhan for Syria