- 936Share sekarang!
- Email17
- Facebook919
- Share
*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 21 Oktober 2020*
Pada pagi 16 Oktober 1980, keadaan di Balai Polis Batu Pahat pada mulanya normal saja – apabila para pegawai dan kakitangan menjalankan tugas seperti kebiasaannya. Tapi menjelang jam 9.30pagi, keadaan itu berubah sama sekali apabila secara tiba-tiba mereka didatangi oleh 15 orang lelaki yang turun dari sebuah teksi dan kereta Mazda. Keadaan mereka ini juga pelik, sebab kesemuanya berjubah putih, menutup muka dan bersenjatakan pedang samurai!
Sejurus masuk ke dalam balai…
Mereka melibas dan menetak sesiapa saja di dalam balai!
Itulah tindakan gila dan amukan sekumpulan lelaki tadi sambil melaungkan takbir seolah-olah sedang berjihad. Anggota polis, kakitangan dan orang awam yang berada di situ pada mulanya tergamam dan tidak sempat berbuat apa-apa telah dilibas dan ditetak secara membabi buta oleh para penyerang.
Kesannya, 23 orang telah mengalami cedera parah, termasuklah 15 orang anggota polis. Lebih mengerikan, serangan itu telah membuatkan ada anggota polis dan kakitangan balai yang putus jari dan tangan. Hal itulah yang menimpa Sarjan Azmi Yaacob yang kehilangan satu jari tangannya akibat ditetak.
Bercerita tentang peristiwa itu, Azmi berkata – ketika itu dia sedang duduk di kuanter pertanyaan, sebelum secara tiba-tiba – beberapa orang lelaki berjubah menghayunkan pedang ke arahnya. Dia pada mulanya cuba mengelak, tapi libasan itu telah mengenai dahi dan tangannya. Bila Azmi lari ke belakang balai, dia diserang lagi oleh beberapa lelaki yang dah menunggu di sana. Tanpa berlengah, Azmi pun melepaskan tembakan kepada penyerang.
“Selepas melepaskan tembakan, saya terus melarikan diri ke jalan besar di luar balai sebelum seorang pemandu memberhentikan kenderaan… setibanya di Hospital Batu Pahat baru saya tersedar saya sedang memegang salah satu jari saya yang putus akibat ditetak…” – Sarjan Azmi. Dipetik dari Berita Harian.
Seorang lagi mangsa, Rohana Jantan (telah meninggal dunia) yang bertugas sebagai pembantu tadbir pula, mengalami kecederaan yang lebih mengerikan apabila tangannya putus ditetak penyerang. Menurut Azmi, dia ada bertemu dengan Rohana di hospital dan dia masih ingat lagi Rohana ada berkata kepadanya…
“…kau jari saja putus Azmi, kau tengok tangan kanan Kak Ana ni… sambil beliau menunjukkan pergelangan tangannya yang terkulai putus dan berlumuran darah.” – Sarjan Azmi. Dipetik dari Berita Harian.
Serangan itu kemudiannya telah memaksa anggota polis melepas tembakan sehingga menyaksikan enam orang penyerang terbunuh dan selebihnya melarikan diri.
Baki penyerang bersembunyi di rumah penoreh getah
Dilaporkan, mereka kemudiannya menuju ke arah Pejabat Kadi dan Pejabat Majistret untuk melakukan serangan seterusnya. Mahkamah Batu Pahat yang ketika itu berkongsi bangunan dengan dua pejabat ini – sedang dalam perbicaraan, tapi secara tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi bising dan laungan takbir dari luar mahkamah. Polis mahkamah kemudiannya dengan cepat mengunci pintu mahkamah yang penuh sesak dengan peguam, OKT dan orang awam.
“Majistret dan kakitangan mahkamah yang lain bertempiaran lari ke rumah kuarters kerajaan yang berhampiran dengan bangunan mahkamah.” – Dipetik dari Pejabat Ketua Pendaftaran Mahkamah Persekutuan Malaysia.
Bagaimanapun, kumpulan lelaki tu tak sempat menyerang dan kemudiannya melarikan diri ke kampung berhampiran. Diceritakan dalam buku: Hari Itu Sudah Berlalu (karya Zainuddin Maidin) – para penyerang telah menumpang rumah seorang penoreh getah dengan salah seorang dari mereka memberi alasan nak merawat rakan-rakannya yang tercerdera. Tapi dalam masa sama, gerakan besar-besaran dah dijalankan untuk memburu mereka.
Bila polis sampai dan minta mereka menyerah diri – para penyerang turun dari rumah, melaungkan takbir dan menyerang anggota polis. Polis kemudian melepaskan tembakan yang membunuh dua orang, manakala enam ditangkap dan seorang lagi menyerah diri.
Siasatan polis kemudiannya mendapati…
Mereka diketuai oleh seorang pelarian Kampuchea yang mengaku sebagai Imam Mahdi
Orang itu adalah Mohamed Nasir Ismail, pelarian Kampuchea yang tinggal di Felda Kerayong, Pahang. Difahamkan, rasa tak puas hati itu bermula selepas Kadi Batu Pahat menyiasat dua anggota kumpulan itu yang didakwa membawa ajaran sesat. Siasatan juga mendapati mereka menjalankan aktiviti dan bersembunyi selama ini di Bukit Payung, Johor.
Polis hutan yang sampai ke kawasan persembunyian itu mendapati – kawasan itu dicacak dengan bendera putih yang ditulis Imam Mahdi dan Nabi Isa. Nasir turut mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi, dan pembantunya Lamim sebagai Nabi Isa.
Menurut Tan Sri Ghazali Shafie (Menteri Dalam Negeri masa tu), Nasir yang mengaku sebagai Imam Mahdi merasakan kemuncak kejayaannya adalah dengan menakluki balai polis yang menjadi simbol undang-undang.
Ajaran yang dibawa oleh Nasir ini juga didakwa mengatakan solat tak perlu mengadap kiblat sebab Allah ada di mana-mana, tak perlu Solat Jumaat sebab boleh solat di rumah je, tak perlu baca surah al-Fatihah masa solat subuh, solat tak perlukan imam dan kain putih menggantikan tanah untuk bertayamum.
“…mereka membina pondok yang digantung sesikat pisang pada dinding dan melakukan amalan seperti bertapa, beratip dan bertahlil dengan anggapan amalan berkenaan bertujuan menyediakan diri mereka bagi menghapuskan orang kafir.” – Dipetik dari Berita Harian.
Bagaimanapun, Nasir dan Lamim terkorban dalam peristiwa itu, akibat tembakan yang dilepaskan oleh pihak berkuasa.
Ilmu dan kesederhaan penghalang terjebak dengan gerakan ekstremis
Sejak sekian lama lagi, dunia telah berdepan dengan ancaman daripada pelbagai gerakan ekstremis yang berselindung di sebalik agama. Selain serangan di Batu Pahat, kita juga pernah berdepan dengan serangan Al-Maunah pada tahun 2000 dan beberapa lagi kumpulan yang menjadi ancaman kepada negara. Malah, pada tahun lepas, dilaporkan bahawa pihak PDRM telah berjaya mematahkan 25 rancangan serangan pengganas di negara ini sejak 2013.
Makanya, apa yang menjadi kunci utama untuk mengelakkan diri dari terjebak dengan dakyah ini adalah perlunya kepada ilmu agama yang sebenar dan sifat kesederhanaan dalam diri. Ini kerana, tak dapat dinafikan yang ekstremisme muncul akibat kejahilan segelintir masyarakat dan golongan yang mendakwa diri sebagai agamawan.
Oleh itu, setiap pandangan dan penafsiran agama perlulah dirujuk kepada mereka yang benar-benar faham tentang agama. Dan kita sebagai umat juga seharusnya menampilkan gaya Islam sebenar yang memupuk keamanan, bertolak ansur dan tidak bertindak semberono dalam mana-mana keadaan.
“Keutamaan perlu diberikan kepada memperbetulkan kesalahan dalam memahami agama Islam, baik di kalangan orang Islam sendiri mahupun bukan Islam. Seringkali salah faham orang bukan Islam terhadap Islam berlaku akibat pemikiran dan tindakan sebahagian orang Islam sendiri.” – Dr Khalif Muammar, Pengarah CASIS, UTM. Dipetik dari Berita Harian.
- 936Share sekarang!
- Email17
- Facebook919
- Share