- 640Share sekarang!
- Email6
- Facebook634
- Share
*Artikel ini asalnya diterbitkan pada 28 April 2020.
KEMASKINI 2021: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli al-Bakri, memaklumkan yang terjemahan Sahih al-Bukhari pertama Kerajaan Malaysia yang lengkap akan diterbitkan tak lama je lagi.
____________
Baru-baru ni, kita dikhabarkan tentang projek terbaru yang dirangka oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menerbitkan terjemahan lengkap Bahasa Melayu bagi Kutub al-Sittah. Menterinya, Dr Zulkifli al-Bakri mendedahkan perkara itu setelah mengadakan pertemuan bersama Pensyarah Fekah dan Usul Fiqh, Dr Rozaimi Ramle, Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa, Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Pensyarah Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Dr Kamilin Jamilin.
Dalam masa sama, Dr Zulkifli turut menjemput semua ilmuan dalam bidang hadis sama ada dengan latar belakang pengajian tradisional ataupun moden untuk sama-sama menjayakan usaha ni. Dianggarkan, projek ni nanti akan memakan masa selama 5 ke 6 bulan.
Kutub al-Sittah secara ringkasnya adalah enam (6) kitab hadis yang menjadi rujukan utama umat Islam. Kitab-kitab hadis tu adalah – Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Nasai, Sunan Abu Daud, Jami’ al-Tirmizi dan Sunan Ibn Majah. Bersempena dengan bulan mulia Ramadan ni, apa kata kita berkenalan dengan kitab-kitab ni.
1. Sahih Bukhari – diangkat sebagai kitab paling sahih selepas al-Quran
Sahih Bukhari adalah kitab yang dikarang oleh ulama hadis tersohor – Imam Bukhari atau nama sebenarnya Muhammad bin Ismail al-Bukhari yang lahir pada tahun 194 Hijrah di Bukhara, Uzbekistan. Berdasarkan kajian, Sahih Bukhari adalah kitab yang menghimpunkan koleksi hadis sahih pertama yang pernah dihasilkan. Kitab ni kemudiannya menjadi model, rujukan dan contoh kepada ulama-ulama serata dunia dalam memahami hadis.
Menurut Dr Rozaimi Ramle, Sahih Bukhari diangkat sebagai kitab hadis paling sahih bukan kerana ia dikarang oleh Imam Bukhari, tetapi…
“Kitab Bukhari diangkat sebagai kitab yang paling sahih selepas daripada para ulama meneliti apa yang dilakukan oleh Imam Bukhari selepas beliau wafat. Maka, mereka bersetuju untuk mengatakan, semua hadis dalam Sahih Bukhari ini adalah sahih, kecuali hanya sedikit yang dipertikaikan oleh para ulama” – Dr Rozaimi, dipetik dari Media Tazkiyah.
Antara ciri-ciri yang membuatkan Sahih Bukhari sebagai kitab hadis paling sahih adalah:
- Bukhari lebih teliti dan berhati-hati di dalam memilih perawi hadisnya.
-
Bukhari meletakkan syarat yang sangat ketat berhubung sanad (pertalian antara beberapa orang rawi yang meriwayatkan sesuatu hadis).
-
Hadis-hadis Bukhari yang dikritik lebih kurang berbanding kitab hadis lain.
Berkenaan dengan bilangan hadis dalam Sahih Bukhari, ulama berbeza pandangan sebab ada di antaranya yang menghimpunkan atau memisahkan bilangan hadis-hadis:
- Imam Ibnu Solah dan Imam al-Nawawi: 7275 hadis
- Imam al-Hafiz Ibn Hajar dan Dr Abu Laith: 9082 hadis
2. Sahih Muslim – kitab kedua paling sahih selepas Sahih Bukhari
Sama seperti Sahih Bukhari, nama kitab ni diambil dari nama penyusunnya iaitu Abu Hussain Muslim bin al-Hajjaj bin Muslim al-Qusyairi atau lebih dikenali sebagai Imam Muslim yang lahir pada tahun 204 hijrah. Menurut Maulana Asri Yusoff, Imam Muslim bukanlah orang Arab, tapi mempunyai darah Arab dari nenek moyang yang datang dari Kabilah Qusyairi dan sebab itulah Imam Muslim juga dipanggil sebagai Al-Qusyairi.
Dikatakan, Imam Muslim dah menyaring 300,000 buah hadis sebelum memasukkannya dalam Sahih Muslim. Diriwayatkan dari Ahmad bin Salamah, yang berkata:
“Aku menulis bersama Muslim untuk menyusun kitab sahihnya itu selama 15 tahun. Kitab itu berisi 12,000 buah hadis.”
Walaupun begitu, Ibn Solah pula menyebut yang Sahih Muslim ada 4,000 buah hadis sahaja. Tapi setelah dikaji, jumlah 12,000 tu masih betul sebab ia termasuk hadis-hadis yang berulang-ulang penyebutannya.
3. Sunan Nasai – dianggap kitab ketiga paling kuat
Sunan Nasai adalah hasil himpunan hadis oleh Imam Nasai atau nama sebenarnya Abu Abdul Rahman Ahmad bin Syu’aib bin Aliy bin Sinan bin Bahr al-Khurasani yang dilahirkan pada tahun 215 hijrah. Ia dianggap sebagai kitab ketiga paling kuat dalam kalangan Kutub al-Sittah. Nama sebenar kitab ini ialah Al- Mujtaba Min al-Sunan al-Kubra atau Al-Sunan al-Sughra.
Corak susunan kitab ini juga dianggap kemas sebab mengikut urutan yang sesuai berdasarkan sudut Syariah Islam. Lebih menarik, setiap bab dalam sunan ini dibahagikan secara terperinci dan ia ternyata berbeza dari penyusun-penyusun lain. Malah, Imam al-Subki berpendapat yang Imam Nasai lebih banyak menghafaz hadis berbanding Imam Muslim.
Jumlah hadis dalam kitab ini adalah sebanyak 5,762 buah hadis mengikut susunan yang dibuat oleh Abd al-Fatah Abu Ghuddah.
4. Sunan Abu Daud – Kitab yang dipuji oleh Imam Ahmad sebagai kitab yang indah lagi baik
Berbeza dengan kitab-kitab yang lain, Sunan Abu Daud mengandungi pelbagai bentuk hadis iaitu hadis sahih, hadis hasan, hadis daif yang tak terlalu lemah dan hadis yang tak disepakati oleh para ulama untuk ditinggalkan. Bagaimanapun, hadis-hadis yang sangat lemah dijelaskan oleh Imam Abu Daud tentang kelemahannya.
Imam Abu Daud atau nama sebenarnya Sulaiman bin Imron bin Al Asy’ats bin Ishaq bin Basyir bin Syidad bin Amr dilahirkan di Kota Sajistan pada tahun 202 hijrah. Masa dah selesai menyusun kitabnya ni, beliau menunjukkannya kepada Imam Ahmad bin Hanbal, dan Imam Ahmad memujinya sebagai kitab yang indah dan baik. Manakala, Imam Abu Hamid al-Ghazali pula berkata:
“Sunan Abu Daud sudah cukup bagi para mujtahid untuk mengetahui hadis-hadis ahkam (hukum).”
Berkenaan dengan bilangan hadis dalam kitab ini, ada ulama yang kata sebanyak 4,800 buah hadis, manakala ada pula berpandangan sebanyak 5,274 buah hadis. Sama seperti kitab-kitab sebelumnya, jumlah ni berbeza kerana ada hadis-hadis tertentu yang berulang dianggap satu, manakala ada yang menganggapnya dua atau lebih.
5. Jami’ al-Tirmizi – Kitab yang disusun boleh anak murid Imam Bukhari
Kitab ini disusun oleh salah seorang anak murid Imam Bukhari iaitu Muhammad Bin Isa Bin Saurah Bin Musa As-Sulami At-Tirmidzi atau lebih dikenali sebagai Imam Tirmizi. Dilahirkan pada tahun 209 hijrah di Termez, Uzbekistan, Imam Tirmizi terkenal sebagai seorang ulama hadis dan mujtahid mutlak dalam hadis. Walaupun menghasilkan banyak karya, Jami’ al-Tirmizi menjadi kitabnya yang paling tersohor dan tetap dibaca serta dikaji sehingga ke hari ini.
Jami’ al-Tirmizi atau juga dikenali sebagai Sunan Tirmizi mengandungi hadis-hadis hukum dan susunan hadis-hadisnya pula berdasarkan tertib bab-bab fiqh. Kitab ini dibahagikan kepada empat bahagian iaitu:
- Bahagian pertama – memuatkan hadis sahih yang beliau bersetuju dengan Imam Bukhari dan Imam Muslim.
- Bahagian kedua – mematuhi piawaian dua orang tokoh hadis, Imam Abu Daud, dan Imam Nasai.
- Bahagian ketiga – himpunan hadis yang mempunyai percanggahan (beliau menerangkan kelemahan hadis).
- Bahagian keempat – hadis-hadis yang telah digunakan oleh pakar fiqh.
6. Sunan Ibn Majah – terdiri dari 32 kitab dan 1,500 bab
Sunan Ibn Majah adalah kitab susunan hadis terkenal yang telah diusahakan oleh Imam Ibn Majah atau nama sebenarnya Abu Abdullah Muhammad bin Yazid Ar-Rabi’ bin Majah Al-Qazwini Al-Hafidz. Dilahirkan pada tahun 207 hijrah di daerah Qazwin, Iraq, beliau selepas itu mengembara mencari ilmu di Baghdad, Basrah, Kufah, Mekah, Syam, Mesir dan sebagainya.
Beliau kemudiannya menyusun sunan ini menjadi beberapa kitab dan bab iaitu terdiri dari 32 kitab dan 1,500 bab. Manakala, jumlah hadisnya pula sebanyak 4,000 buah. Walaupun tersenarai antara 6 kitab hadis terpenting, tapi masih ada ulama yang tak meletakkan Sunan Ibn Majah dalam kelompok “Kitab Hadith Pokok” kerana darjatnya yang lebih rendah dari lima kitab hadis sebelumnya.
Bagaimanapun, masih ramai yang menerima Sunan Ibn Majah layak ditempatkan dikalangan kitab hadis utama dan hal tu berterusan diterima sehingga sekarang. Malah, Imam Ibnu Majah ada meriwayatkan beberapa buah hadis dengan sanad yang tinggi (sedikit sanadnya), sehingga di antara beliau dengan Rasulullah SAW hanya terdapat tiga perawi. Hadis sebegini dikenal dengan sebutan Sulasiyyat.
Ada lagi beberapa kitab hadis sebenarnya
Kalau korang nak tahu, kitab Imam Malik, al-Muwatta’ juga sebenarnya adalah kitab hadis. Boleh dikatakan yang kitab al-Muwatta’ adalah kitab hadis tertua yang sampai ke tangan umat Islam saat ini. Malah, Imam Syafie pernah berkata:
“Orang pertama yang mengarang kitab sahih adalah (Imam) Malik.”
Bagaimanapun keadaan tu berubah selepas Imam Bukhari menyusun Sahih Bukhari-nya. Hal ni kemudiannya diterangkan oleh Imam Ibn Hajar bahawa Imam Syafie mengeluarkan kenyataan itu semasa Sahih Bukhari belum lagi dikarang. Setelah Sahih Bukhari dihasilkan, Muwatta’ bukan lagi berada di tangga yang pertama.
Selain tu, ada juga kitab hadis yang dikenali sebagai Sunan al-Darimi atau Musnad al-Darimi yang disusun oleh Imam al-Darimi. Akan tetapi, kitab ini tak termasuk dalam kalangan Kutub Sittah kerana ada hadis di dalamnya yang terputus sanad dan hadis daif. Walaupun begitu, kitab ini tetap berada dalam kalangan kitab hadis penting yang terus menjadi rujukan dan kajian. Malah menurut Maulana Asri, kitab ini adalah pelengkap kepada sanad kitab al-Muwatta’, Imam Malik.
Apa yang pasti, dengan usaha Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terbaru ni, dapatlah kita membaca hadis-hadis Nabi Muhamaad SAW dalam bahasa yang kita faham. Diharapkan, ia akan merapatkan lagi kita dengan sunnah-sunnah Rasulullah SAW.
- 640Share sekarang!
- Email6
- Facebook634
- Share