- 268Share sekarang!
- Email4
- Facebook264
- Share
Semasa dunia mengalami wabak COVID-19, ramai yang mengalami depresi kerana bebanan hutang dan hilang kerja. Ia juga telah menyebabkan ramai orang membuat keputusan untuk bunuh diri kerana bagi mereka, itu jalan paling senang untuk lari dari segala masalah. Berdasarkan statistik dari PDRM,sebanyak 266 kes bunuh diri dicatatkan sejak 18 Mac dan 30 Oktober lalu.
Bila cerita pasal bunuh diri ni, korang pernah tak dengar satu tragedi bunuh diri yang pernah melanda pada abad ke-20, di mana ramai orang akan membunuh diri selepas mendengar satu lagu Gloomy Sunday.
Lagu ditulis selepas bekas kekasih penulis lirik membunuh diri
Lagu Gloomy Sunday ditulis oleh dua orang pemuda dari Hungary, Rezso Seress (komposer) dan Laszlo Javor (penulis lirik) pada 1933. Kalau korang nak tahu, lagu ini sebenarnya mengisahkan seorang pemuda yang hilang kekasihnya kerana meninggal dunia.
Sebenarnya kisah lagu ini banyak versi dan mari kami huraikan satu per satu. Pertama, kekasih Laszlo dikatakan dah membunuh dirinya selepas lagu diterbitkan.
Kedua, ada juga yang mengatakan lagu ini tentang kisah putus cinta Reszo. Dia mahu berjumpa dengan kekasihnya tetapi kekasihnya telah membunuh diri dengan meminum racun dan meninggalkan sekeping kertas yang bertulis “Gloomy Sunday“.
Ketiga, lagu ini ditulis kerana Reszo gagal menjadi seorang penulis lagu semasa dia tinggal di Paris. Kekasihnya mendesak dia supaya mencari kerja tetap lalu meninggalkannya. Pada keesokan harinya, dia lepak di rumahnya sambil menulis lagu “Gloomy Sunday“. Pada awalnya, lagu ini tidak diterima tetapi ada penerbit yang bersetuju untuk menerimanya.
Lagu ini juga pernah diterjemahkan oleh Sam M. Lewis (penyanyi dari Amerika Syarikat) dan Desmond Carter (penulis lirik dari British) pada tahun 1936. Oh ye, cuba korang dengar lagu ini kerana terdapat banyak laporan mengatakan ramai orang bunuh diri selepas mendengar lagu ini.
Ada yang menembak dirinya sendiri semasa mendengar lagu Gloomy Sunday
Semasa lagu Gloomy Sunday dilancarkan pada tahun 1933, sebenarnya takde pun kes bunuh diri tetapi pada tahun 1936, terdapat banyak laporan yang mengatakan ramai orang telah bunuh diri semasa mendengar lagu ini.
Pada 30 Mac 1936, sebanyak 17 kes bunuh diri semasa mendengar lagu Gloomy Sunday dilaporkan dan dua orang daripadanya telah menembak diri sendiri semasa sebuah kumpulan menyanyikan lagu ini di sebuah majlis. Ada juga yang dilaporkan mati lemas di Sungai Danube sambil memegang nota lagu Gloomy Sunday.
Di Amerika Syarikat, seorang wanita telah membunuh diri dan meminta ahli keluarganya untuk memainkan lagu Gloomy Sunday semasa acara pengebumiannya. Seorang atuk yang berusia 82 tahun telah terjun dari tingkat 7 rumahnya selepas memainkan lagu Gloomy Sunday di piano.
Di Jerman pula, seorang penjaga kedai telah menggantung dirinya dan mangsa didapati bunuh diri kerana lagu Gloomy Sunday, apabila terdapat sekeping nota lagu itu di bawah tapak kakinya. Seorang atuk yang berusia 80 tahun telah terjun dari tingkat 7 rumahnya semasa lagu itu dimainkan.
Pada 25 Januari 1937, seorang pemuda yang bernama Jerry Flanders telah mengupah seorang penyanyi solo untuk menyanyikan lagu Gloomy Sunday dan dia telah ditangkap oleh pihak polis kerana dia cuba untuk minum bir beracun.
Selepas kes bunuh diri meningkat, banyak negara yang telah mengharamkan lagu Gloomy Sunday dimainkan atau dinyanyikan kerana susunan lirik dan alunan muziknya dipercayai akan menyebabkan seseorang itu mengalami depresi. Menurut pengurus radio tempatan di BBC, Steve Woodhall, lagu itu telah diharamkan pada 2002 dan mana-mana versi selain yang asal pun diharamkan.
Adakah lagu boleh menyebabkan orang bunuh diri?
Lagu Gloomy Sunday boleh dikategorikan sebagai lagu suicidogenic. Dari segi seni psikologikal, sesebuah karya atau seni boleh membuatkan orang bunuh diri kerana bukan sahaja lagu Gloomy Sunday, malah terdapat kes lain yang menyebabkan orang bunuh diri selepas mendengar atau melihat sebarang bentuk seni dan ia digelar “seni bunuh diri“.
Tidak dinafikan lagu dan manusia saling berkait rapat kerana ia akan mengawal emosi ketika kita mendengarnya. Contohnya, korang sangat marah dan tak tahu macam mana untuk luahkannya, maka korang pasang lagu metalcore kuat-kuat sampai jiran sebelah membuat aduan kepada pihak berkuasa.
Lagu-lagu yang bergenre sendu atau sedih akan membuatkan seseorang itu melayan perasaan sampai rasa diri mereka tidak berguna. Pada 2007, dua orang remaja telah membunuh dirinya selepas mendokumentasikan minat mereka dalam muzik emo dengan pemikiran yang negatif.
Kalau dari segi Islam, kita memang diajar untuk mengamalkan aspek kerohanian dan mengikut segala perintah Allah S.W.T tetapi kita juga dibenarkan untuk berhibur atau berseronok tetapi tidak melanggar batas-batas syariah. Contohnya, lagu-lagu yang boleh menyesatkan atau merosakkan diri kita. Firman Allah S.W.T:
“Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan.” – Surah Luqman, ayat ke 6.
Kalau korang hadapi kemurungan atau tekanan hidup, korang boleh mendapatkan sokongan khidmat talian di:
- Befrienders (03-76272929).
- Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) (03-8600 9800).
- Sneham Malaysia (1800 22 5757).
- 268Share sekarang!
- Email4
- Facebook264
- Share