‘Perangsang seks’ ni penyebab kematian ramai orang 100 tahun yang lalu?

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 9 September 2020*

Menteri Kesihatan, Adham Baba teruk dikenakan netizen selepas dia dengan yakinnya mengatakan ramai yang terkorban semasa pandemik “Spanish Fly”.

https://www.youtube.com/watch?v=O_bBV6_murs

Sebenarnya Spanish Fly membawa maksud lain, iaitu sejenis cecair perangsang seks – korang yang belum kahwin jangan cuba-cuba pula ye! #donedakwah

Tak pasti kalau ada orang pernah mati sebab cecair ni. Kalau viagra tu ada la juga.

Berbalik pada ramai yang mati tu, korang mesti tahu yang pandemik yang dimaksudkan sebenarnya adalah Spanish Flu, dan tahukah korang yang Spanish Flu ni juga sampai ke Tanah Melayu dan menyebabkan wujudnya sebuah patung mat saleh di sebuah kuil di Perak?

Ia bermula dari sebuah pandemik yang menyerang Tanah Melayu, pada 1918

Lebih kurang 100 tahun yang lalu, sebuah pandemik teruk yang dinamakan Spanish Flu melanda dunia, lebih kurang sama teruknya dengan Covid-19 yang terjadi tahun ni. Malah pandemik tersebut juga telah menyebabkan puluhan juta nyawa terkorban. Kebanyakan mangsa biasanya mengalami selsema, sesak nafas dan demam yang teruk sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Imej dari The Star

Dan Tanah Melayu pada masa tu tak terkecuali daripada serangan pandemik tersebut, di mana pandemik ini menyerang seawal Oktober 1918. Salah satu sebab pandemik ni merebak dengan begitu cepat adalah kegagalan British yang terlalu mengambil mudah dengan serangan pandemik yang cuma disangkakan selsema atau cacar air pada masa tu. Malah, mereka juga dikatakan tak mengetatkan regulasi kawalan wabak atau menempatkan para doktor dan jururawat ke Negeri Selat.

Ini juga menyebabkan sebanyak 35,000 rakyat Tanah Melayu terkorban. Di mana antara negeri pertama terjejas pada masa tu adalah Pulau Pinang, disebabkan aktiviti entreport yang pesat, dan tempat laluan masuk warga asing ke Tanah Melayu pada masa tu. Ia kemudiannya merebak seluruh Tanah Melayu, termasuklah Perak, di mana antara mangsa pandemik tersebut adalah Sultan Abdul Jalil, Sultan Perak ke-29.

Dan sebelum ia pandemik ini menyerang seluruh dunia, ada sebuah patung di kuil yang bermula dari pembinaan sebuah istana…

Sebuah pembinaan istana di Perak yang terbengkalai

Tiga tahun sebelum pandemik tersebut menyerang, ada sebuah istana didirikan di Batu Gajah, di mana pembinaannya bermula seawal tahun 1915. Istana gah tersebut bakal menjadi istana tercantik di Batu Gajah, dengan seni binanya yang mempunyai gabungan eklektik seni bina Indo-Gothic, Greco-Roman dan Mughal-Moorish. Untuk tujuan itu juga, dikatakan sebanyak 70 tukang Tamilvanan dari Madras, India dibawa khas ke Batu Gajah.

Walaupun berstatus istana, tapi pemilik sebenarnya bukanlah dalam kalangan raja. Tetapi, milik seorang rakyat British yang bekerja di Tanah Melayu pada masa itu. Ia dibina pada tahun tersebut sebagai tanda cinta dan terima kasih lelaki tersebut kepada isterinya, hampir sama la macam kisah Taj Mahal yang dibina oleh Shah Jahan kepada isterinya, Mumtaz Mahal pada abad ke-17. Bagaimanapun, ada juga dakwaan lain yang mengatakan istana ni sebenarnya dibina bagi menaikkan status sosial pemiliknya, William Kellie Smith yang nak menunjukkan kekayaannya kepada semua orang.

William sebenarnya merupakan seorang peladang dari Scotland, yang datang bersama isterinya di Perak semasa penjajahan British di Tanah Melayu. Di sini pula, dia dilantik menjadi jurutera awam British, berkaitan dengan pembinaan jalan raya di Batu Gajah, berhampiran Ipoh.

Dia juga memperolehi beberapa projek kerajaan untuk membina jalan di Perak Selatan dan mendapat konsesi daripada kerajaan negeri untuk membersihkan hutan seluas 360 hektar di Perak. Kerjasama mereka dalam projek-projek ini menghasilkan keuntungan yang lumayan buat William dan rakan kongsinya.

Selain tu, William juga terlibat dalam penanaman pokok getah dan menceburkan diri dalam industri perlombongan bijih timah. Dengan berkat usaha, kekayaan dan kabel, dia kemudiannya menjadi pemilik Kinta Kellas Estate (yang kini milik Sime Darby) dan Syarikat Kinta Kellas Tin Dredging, dan membeli sebidang tanah seluas 960 ekar untuk kebun pokok getah dan ladang buatannya di Batu Gajah. Dan di salah satu tanahnya ni juga terbinanya istana yang dibina untuk keluarganya.

Disangka panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengahari. Pembangunan yang pada mulanya rancak perlahan-lahan terjejas…

Pandemik yang menyebabkan pekerja terjejas, menyebabkan sebuah kuil dibina

Dengan Perang Dunia Pertama sedang berlaku pada masa tersebut, ia mengakibatkan gangguan bekalan bahan dan tenaga kerja yang membuatkan kerja-kerja pembinaan semakin perlahan. Tak cukup dengan itu, wabak Spanish Flu ni juga mula melanda dunia, dan akhirnya sampai di Batu Gajah dan membunuh banyak tukang batu, tukang besi dan tukang kayu yang mahir dalam pembinaan istana tersebut. 

Pekerja-pekerja Hindu dari Madras yang bekerja dalam pembinaan istana tersebut mula takut dengan apa yang terjadi. Mereka kemudiannya mencadangkan kepada William supaya sebuah kuil dibina bagi menghormati dewa Mariamman, dan membolehkan mereka berdoa dan meminta ampun kepada Tuhan mereka bagi melindungi mereka, menolak bala dan menghentikan penyakit. William bersetuju, dan mengarahkan supaya kuil tersebut dibina tidak jauh dari istana tersebut.

Tak lama kemudian, wabak Spanish Flu kemudiannya beransur-ansur hilang. Dan sebagai ucapan terima kasih, para pekerja membina patung seorang lelaki kulit putih dengan pakaian kolonial yang mewakili Kellie Smith di bumbung kuil di samping patung-patung dewa Hindu yang lain. Dan patung tersebut masih wujud sehingga ke hari ini.

Patung mirip Sir William Kellie Smith dibina di kuil Hindu di sebelah istananya oleh pekerja India, Imej dari nurulhidayahtsani5a.blogspot.com

Bukan tu saja. Sebenarnya, terdapat sebuah terowong bawah tanah yang menghubungkan istana ke kuil dibina untuk keluarga William, yang didakwa untuk keluarga William mengunjungi kuil secara berkala. Malah, ada beberapa saksi yang mengatakan ada sebuah kereta hitam dijumpai di dalam terowong tersebut sekitar tahun 1960-an.

Misteri Kellie’s Castle, istana tinggal yang berusia lebih 100 tahun

Walaupun Spanish Flu berjaya ‘dihentikan’, tapi malangnya, ia tak berjaya disiapkan. Antara sebabnya adalah apabila keluarga tersebut dilanda pelbagai masalah kewangan yang juga telah menyebabkan William menjual sebahagian tanahnya. Selepas beberapa tahun, keadaan kembali pulih, dan William mula menyambung semula projek istana tersebut.

Pada tahun 1926, William bercadang untuk memasang lif, yang bakal menjadi lif pertama di Tanah Melayu pada masa itu. Untuk itu, dia ke Portugal selepas melawat isteri dan anak-anaknya yang belajar di Scotland. Malang sekali, William dijangkiti radang paru-paru apabila berada di Portugal, dan kemudiannya meninggal di sana. Ini menyebabkan pembinaan istana tersebut terbengkalai apabila isterinya tak nak kembali ke Tanah Melayu dan menjual kesemua asetnya di sini.

Bagi orang tempatan, ia adalah sebuah istana tinggal separa siap yang tak berjaya disiapkan disebabkan kematian pemiliknya, William Kellie Smith. Dan istana yang dibina lebih 100 tahun dahulu kemudiannya dijaga dengan rapi oleh kerajaan Perak, dan merupakan salah satu tarikan pelancong untuk ke Perak. Dan istana tersebut sekarang ni lebih dikenali dengan nama Kellie’s Castle, yang  merupakan pusat pelancongan sehingga ke hari ni.

Kellie’s Castle