- 3.1KShare sekarang!
- Email42
- Facebook3.0K
- Share
*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 27 Julai 2020.
Sebut saja pasal Pulau Pinang, kita mesti akan terbayangkan nasi kandar dan kesopanan pemandu jalan raya di sana. Sekarang ni, Pulau Pinang bukan je sebuah negeri yang maju di Malaysia, malah ia juga terkenal sebagai salah sebuah pusat pelancongan yang kaya dengan sejarah, budaya dan seninya yang tersendiri.
Kalau kita menelurusi perjalanan sejarah Pulau Pinang, pulau ni pada asalnya adalah milik Kesultanan Kedah yang pada mulanya hanya digunakan sebagai tempat persinggahan kapal-kapal kecil dari Sumatera dan Inggeris yang melalui Asia Tenggara. Antara pedagang Inggeris terawal yang menemui pulau ni adalah Kapten James Lancaster pada tahun 1591 yang masa tu mendakwa pulau ni masih lagi belum berpenghuni.
Tapi semuanya berubah pada tahun 1780-an apabila munculnya seorang peniaga dan bekas pegawai angkatan laut Inggeris, Francis Light yang namanya ada dalam buku sejarah kita. Ini kerana…
Berlakunya perjanjian antara Sultan Kedah dan Francis Light yang menyaksikan penyerahan Pulau Pinang
Pada kurun ke-18 Masihi, Kedah ketika tu berdepan dengan pelbagai masalah, khususnya apabila negeri tu diapit dengan pengaruh Burma dan Siam. Masalah bertambah lagi bila pemerintah Kedah masa tu, Sultan Muhammad Jiwa berdepan dengan ancaman kaum kerabatnya sendiri yang belot dengan mendapatkan bantuan Bugis kerana tak puas hati dengan tindakan baginda menyerahkan pentadbiran Kedah kepada Tunku Abdullah.
Jadinya, baginda masa tu mula tertarik dengan kekuatan Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) yang mungkin boleh bagi perlindungan kepada Kedah. Pada tahun 1771 – baginda menghantar utusan ke Aceh bagi mendapatkan bantuan SHTI. Hasilnya, utusan itu balik ke Kedah dengan membawa Francis Light dan termetrailah perjanjian antara Kedah dan Light pada April 1771.
Hasilnya, Sultan Muhammad menawarkan kawasan di sepanjang perairan Kuala Kedah hingga ke Pulau Pinang kepada SHTI. Manakala Light menawarkan bantuan 100 orang Sepoi (askar upahan SHTI) untuk menghalau musuh yang mengancam Kedah. Sultan juga bersetuju membenarkan Light berdagang dengan syarat 2/3 keuntungan dibahagikan sama rata.
Malangnya Light mungkir janji dengan kata – dia setuju bagi bantuan kalau harta rampasan dan Kuala Kedah diberikan kepadanya secara peribadi dan bukannya kepada SHTI.
Setelah baginda mangkat, Kedah diperintah pula oleh Sultan Abdullah Mukarram Shah yang turut berdepan dengan ancaman Siam. Makanya, Sultan Abdullah mengirimkan bunga mas kepada Siam sebagai tanda pengiktirafan negeri tu atas ketuanan Siam. Tapi masih ada juga yang berpandangan, ia hanyalah simbol persahabatan antara dua buah negara saja.
Dalam masa sama, Light masih berlegar-legar di Alam Melayu bagi mencari tapak sesuai untuk dijadikan pangkalan berdagangan. Pada tahun 1785, Light dikatakan telah gagal meyakinkan SHTI untuk menduduki Jung Ceylon (Ujung Salang di Pulau Phuket).
Jadinya, Pulau Pinang dijadikan sasaran seterusnya, kerana lokasinya yang strategik. Light pun menawarkan satu perjanjian kepada Sultan Abdullah, dengan alasan Kedah akan menerima bantuan ketenteraan bagi menjamin kemerdekaan negeri itu dari kuasa asing (ancaman Siam khususnya). Maka termetrailah Perjanjian Inggeris – Kedah 1786 yang menyaksikan Light menduduki Pulau Pinang.
Sebagai balasan, SHTI akan memberikan perlindungan ketenteraan kepada Kedah dan Sultan akan menerima bayaran sebanyak $30,000 dolar Sepanyol setiap tahun. Malangnya, perjanjian ni sekali lagi tak ditepati oleh Light, apatah lagi apabila pihak pentadbir British di India tak pernah memberikan persetujuan dengan bantuan ketenteraan tu.
“Murka akan keadaan ini, Sultan Kedah cuba untuk mendapatkan kembali Pulau Pinang pada 1790, tetapi sebelum baginda berbuat sedemikian, Light telah lebih awal melancarkan serangan awal ke atas Prai dan ini memaksa Sultan untuk berundur.” – Dr Hazmi Rusli, dipetik dari Malay Mail.
Akibatnya, baginda tak ada pilihan lain – selain secara tanpa rela menyerahkan Pulau Pinang kepada Inggeris pada tahun 1791. Baginda kemudiannya mendapat bayaran sebanyak $6,000 Dolar Sepanyol setahun, dan bukannya $30,000 Dolar Sepanyol seperti dalam Perjanjian Inggeris-Kedah 1786.
Malah, menurut Portal Rasmi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, sehingga kini Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih membayar honorarium tahunan sebanyak RM18,800 kepada Sultan Kedah.
Walaupun begitu, masih terdapat persoalan tentang bayaran honorarium ni, sebabnya menurut laporan Malay Mail pada 11 Februari 2017 – Kedah dikatakan hanya menerima bayaran sebanyak RM10,000 setiap tahun dan ia bukanlah datang dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang, sebaliknya dari Kerajaan Persekutuan.
Akan tetapi, timbul juga persoalan lain yang lebih penting, iaitu…
Ada pakar kata status penyerahan Pulau Pinang tu tak sah
Walaupun peristiwa penyerahan Pulau Pinang kepada Inggeris ni dah berlaku ratusan tahun lalu, ia masih lagi diperbincangkan. Khususnya tentang sama ada penyerahan itu sah atau tak? Menurut Dr Hazmi Rusli dan Dr Fareed Mohd Hassan – sejarah mencatatkan tentang wujudnya banyak empayar di seluruh dunia yang menjadikan negeri-negeri lain sebagai negeri lindungan atau vassal bagi meluaskan kuasa (tanpa penjajahan ketenteraan).
Atau dalam bahasa mudahnya, sesuatu kerajaan negeri tu menyerahkan hal ehwal urusan luar negerinya kepada negara pelindung. Amalan ni dah lama diamalkan, dan di Alam Melayu contohnya – Kerajaan Srivijaya pernah menjadikan negeri-negeri kecil di Sumatera dan Tanah Melayu sebagai negeri lindungannya.
Jadinya, kalau kita tengok kepada Konvensyen Montevideo Tentang Hak dan Tanggungjawab Negara 1933, yang digubal berdasarkan undang-undang adat antarabangsa. Ada dinyatakan yang hanya negara berdaulat je boleh buat perjanjian dengan negara berdaulat yang lain, dan tu tak termasuk negara vassal.
Oleh itu, wujud hujah yang mengatakan Sultan Kedah masa tu bukanlah pemerintah yang berdaulat, kerana Kedah ketika tu di bawah naungan Siam.
“Konsep ini selari dengan maxim undang-undang nemo dat quod non habet (tiada siapa berhak memberi apa yang dia tidak miliki).” – Dr Hazmi Rusli, dipetik dari Malay Mail.
Akan tetapi, masih ada yang mengatakan Sultan Kedah masa tu adalah Sultan yang berdaulat dan baginda berhak menyerahkan Pulau Pinang kepada Inggeris. Bagaimanapun, Dr Hazmi menambah – kita juga harus melihat Artikel 26 Konvensyen Vienna Tentang Undang-undang Triti yang digubal berasaskan undang-undang adat antarabangsa. Dalam konvensyen tu, ada dinyatakan yang:
‘Triti haruslah dikuatkuasakan dengan sesuci hati’.
Dan seperti mana yang kita tahu, Francis Light tak pernah memenuhi Perjanjian Inggeris – Kedah 1786. Sehinggalah Sultan Kedah terpaksa menyerahkan Pulau Pinang kepada Inggeris dalam perjanjian pada tahun 1791.
“Secara jelas, pihak British telah mengamalkan paksaan untuk mempergunakan Sultan Kedah bagi mendapatkan Pulau Pinang. Oleh itu, dalam situasi ini, perjanjian tersebut harus dianggap terbatal.” – Dr Hazmi Rusli, dipetik dari Malay Mail.
Macam mana Pulau Pinang boleh dikembalikan kepada Kedah?
Dari apa yang kita dapat ni, maka jelaslah ada dua situasi yang boleh diteliti.
- Sultan Kedah menyerahkan Pulau Pinang kepada Inggeris, sedangkan ketika itu Kedah di bawah naungan Siam. Maka secara undang-undangnya, Sultan Kedah tak ada hak untuk menyerahkan Pulau Pinang kepada Inggeris.
- Sultan Kedah adalah Sultan berdaulat dan ada hak untuk menyerahkan Pulau Pinang kepada Inggeris. Akan tetapi, penyerahan tu boleh terbatal kerana ia dilakukan tanpa kerelaan baginda.
Walau apa pun keadaannya, kita semua kena terima hakikat yang Pulau Pinang lepas tu jadi antara Negeri-Negeri Selat dan seterusnya diktiraf sebagai sebuah negeri di Tanah Melayu selepas merdeka pada 1957.
Oleh itu menurut Dr Hazmi, jika ada usaha untuk mengembalikan semula Pulau Pinang kepada Kedah – mungkin ia boleh dilakukan dengan cara seperti mana Selangor pernah menyerahkan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan dulu yang memerlukan perkenan daripada Sultan Selangor.
Tapi disebabkan Pulau Pinang tak ada Sultan, antara caranya adalah cadangan tu kena dipersetujui oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang sendiri. Lepas tu, ia kena dapatkan pula perkenan daripada Yang di-Pertua Negeri bagi membolehkan negeri itu diserapkan kembali dalam Kedah.
“Situasinya sekarang ini, masuk ke Kedah itu mungkin boleh berlaku. Tetapi, adakah DUN Pulau Pinang bersetuju untuk melakukannya?” – Dr Hazmi Rusli, katanya kepada SOSCILI.
Beliau menambah, persoalan lain juga timbul tentang kesediaan rakyat Kedah untuk menerima cadangan tu. Sebabnya, populasi masyarakat Cina yang tinggi di Pulau Pinang berkemungkinan besar akan memberikan kesan kepada demografi Kedah.
Jadinya, kalau ada orang Kedah yang tengah baca artikel ni. Korang setuju ke kalau Pulau Pinang dikembalikan semua kepada Kedah?
- 3.1KShare sekarang!
- Email42
- Facebook3.0K
- Share