- 2.2KShare sekarang!
- Email119
- Facebook2.1K
- Share
UPDATE 10/12/2018: Untuk maklumat korang, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengatakan bahawa kerajaan akan laksanakan pengambilan semula ruang udara di Selatan Johor dari Singapura secara berperingkat bermula penghujung 2019 dan 2023. Katanya lagi, perkara ni dah diberitahu kepada pihak Singapura. Tapi, nampaknya, pihak Singapura ada memberi amaran agar Malaysia jangan cuba ganggu ruang udara negara tersebut.
Namun, Tun Mahathir mengatakan pertikaian ini akan diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang dan hak negara. Sebenarnya, isu ni bukan kali pertama yang jadi di antara dua negara yang saling berjiran ni. Sebab sebelum ni, ada juga isu lain seperti Perjanjian Air, ‘Jambatan Bengkok’ dan Woodlands.
1. Nak buat pulau kat Batuan Tengah. Patut atau tak?
Sebenarnya, SOSCILI dah pun tulis artikel penuh pasal macam mana kita boleh kalah dalam kes perebutan Batu Puteh dulu (klik sini kalau nak baca). Antara yang paling nampak adalah bila Singapura kemukakan surat dari Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 – yang kata kerajaan Johor tak tuntut hak milik Pulau Batu Puteh.
Disebabkan surat ni, ICJ dah nampak ia sebagai tanda Johor melepaskan kedaulatannya ke atas Batu Puteh. Maka secara halusnya, Johor dah hilang pulau tu sejak tahun 1953 lagi.
Walaupun kita kalah dalam tuntutan Batu Puteh, kita masih lagi menang Batuan Tengah yang bukan pulau. Dan Malaysia pun ada cadangan nak bina pulau kat Batuan Tengah.
Menurut pakar undang-undang laut, Dr Hazmi Rusli – ada baiknya kalau kita nak bina pulau kat Batuan Tengah. Sebabnya, ia akan kukuh kedaulatan Malaysia kat kawasan tersebut, yang dah jadi sebahagian daripada jalur utama aliran perkapalan sedunia.
Tapi dalam masa sama, Dr Hazmi juga berpendapat ada lagi masalah lain yang kita kena selesaikan dari nak bina pulau kat Batuan Tengah. Sebabnya, jarak kedudukan Batuan Tengah dan Batu Puteh cuma lebih kurang 1km je.
Dengan jarak yang macam tu, sesebuah negara boleh tuntut wilayah perairan seluas 12 batu nautika dan ia dah pasti – tuntutan wilayah di antara Malaysia dan Singapura boleh bertindih kat kawasan ini.
“Sekiranya tuntutan seperti ini berlaku, adalah baik sekiranya kedua-dua negara dapat mencari formula untuk membahagikan wilayah perairan ini secara equitable atau saksama, iaitu dengan melukis garis tengah yang membahagi di antara kedua-dua Batuan Tengah (Malaysia) dan Batu Puteh (Singapura).” – Dr Hazmi Rusli, Pakar Undang-Undang Laut. Katanya kepada SOSCILI.
Sebab itulah menurutnya, kita tak payah nak bina pulau kat Batuan Tengah, sebab batuan tu memang dah jadi milik kita. Hal ni berbeza dengan apa yang China buat kat Laut China Selatan, bila diorang cuba bina pulau kat situ. Sebabnya, dunia tak mengakui laut tu China punya, dan China buat pulau untuk bagitau kat dunia yang laut tu diorang punya.
“Sekarang ini kerajaan sendiri kata yang kita ada banyak hutang. Dan ia diulang-ulang setiap hari. Mengapa kita perlu labur wang yang banyak untuk perkara yang tak perlu (buat pulau di Batuan Tengah)?” – Dr Hazmi Rusli, katanya kepada Astro Awani.
2. Isu jual air dengan harga 3 sen untuk 1000 gelen air kepada Singapura
Ini juga adalah antara sebab kenapa kadang-kadang tu hubungan Malaysia dan Singapura tak berapa baik. Kalau ikut sejarah, perjanjian air pertama antara Tanah Melayu dengan Singapura adalah pada tahun 1927, iaitu antara Sultan Ibrahim (Johor) dan Pesuruhjaya Majlis Perbandaran Singapura.
Lepas merdeka, kita sekali lagi buat perjanjian air dengan Singapura iaitu pada tahun 1961 dan 1962. Perjanjian tahun 1961 tamat pada tahun 2011 (50 tahun) dan perjanjian tahun 1962 tamat pada tahun 2061 (99 tahun). Melalui kedua-dua perjanjian ni, Singapura akan bayar 3 sen untuk setiap 1000 gelen air yang diorang dapat dari Malaysia.
Disebabkan harga ni rendah sangat, Malaysia pun minta supaya kadar bayaran ni dinaikkan. Bermula dari sinilah Malaysia dan Singapura mula bertekak.
“Permintaan Malaysia itu telah dibantah oleh Singapura dan mendakwa Malaysia telah kehilangan hak untuk melakukan semakan semula harga air selepas tidak berbuat demikian pada tahun 1986 dan 1987.” – Dipetik dari jurnal Pertikaian Malaysia – Singapura Dalam Isu Air.
Sebenarnya, kalau ikut Perjanjian Air tahun 1961 dan 1962 ni, ia ada nyatakan yang semakan harga air boleh dijalankan selepas 25 tahun. Maknanya pada tahun 1986 dan 1987. Tapi ada percanggahan dalam mentafsirkan perkara ni.
- Kata Malaysia – semakan boleh dibuat pada bila-bila masa lepas 25 tahun, walaupun tak buat semakan tu pada tahun 1986 dan 1987.
- Kata Singapura – Malaysia dah hilang hak untuk buat semakan, sebab maksud 25 tahun tu cuma boleh dibuat pada tahun 1986 dan 1987.
Walaupun macam tu, Lee Kuan Yew lepas tu ada jumpa dengan Dr Mahathir (PM masa tu) untuk bincang pasal isu ni. Hasilnya, Singapura cadangkan supaya harga air dinaikkan pada 45 sen (per 1000 gelen) bermula pada tahun 2002 sampai 2061 dan 60 sen selepas tahun 2061.
“Pendirian Malaysia berubah apabila negara tersebut mencadangkan tiga bentuk harga baru pada 7 Oktober 2002 iaitu 60 sen antara 2002-2007, RM3.00 selepas 2007 dan perjanjian harga hendaklah disemak setiap lima tahun sekali…” – Dipetik dari jurnal Pertikaian Malaysia – Singapura Dalam Isu Air.
Bila dengar macam tu, Singapura pun tolak cadangan ni dan kata sekali lagi yang Malaysia dah hilang hak semakan harga pada tahun 1986 dan 1987. Disebabkan banyak pertikaian antara dua negara, akhirnya penyelesaian tak dapat dibuat.
“…faktor utama pertikaian air adalah disebabkan oleh keengganan Singapura menerima formula harga air yang dikehendaki oleh Malaysia dan penolakan Malaysia terhadap formula harga air yang dicadangkan oleh Singapura.” – Dipetik dari jurnal Pertikaian Malaysia – Singapura Dalam Isu Air.
Disebabkan pertikaian ni, nampaknya Malaysia akan terus menanggung rugi, apabila air yang dijual kepada Singapura berada pada taraf yang sangat rendah sampailah pada tahun 2061. Isu air ni nampak menjadi hangat balik apabila Tun Mahathir mengumumkan yang harga air semasa yang dijual tak masuk akal. Jadinya, rundingan akan dibuat semula antara kedua-dua negara.
“Air adalah antara isu dengan Singapura yang perlu kita selesaikan dan kita akan duduk serta berbincang dengan mereka, dengan cara orang beradab,” – Tun Mahathir, petikan dari Malaysia Kini.
3. Jambatan bengkok, nak buat atau tak buat?
Dalam banyak-banyak projek antara Malaysia – Singapura, rasanya jambatan bengkok antara projek yang paling popular sekali. Cadangan nak buat jambatan bengkok ni datang dari Dr Mahathir, tapi dah dibatalkan masa Pak Lah jadi Perdana Menteri.
“…Dr. Mahathir memberitahu saya, Abdullah (Pak Lah) telah memungkiri janji beberapa perjanjian mulut untuk meneruskan beberapa projek mega termasuk ‘Jambatan Bengkok’.” – Cerita Zainuddin Maidin, bekas Ketua Pengarang Utusan. Dipetik dari blognya.
Sebelum kita pergi lebih jauh, jambatan bengkok ni sebenarnya adalah cadangan untuk menggantikan tambak Johor yang dah siap dibina pada tahun 1923. Masa mula-mula tambak ni dibina dulu, ramai yang anggap ia sebagai satu keajaiban.
Walaupun macam tu, kesannya sangat besar bila tambak ni dah mematikan Selat Johor sebagai laluan pelayaran untuk Tanah Melayu (dan seterusnya Malaysia).
“Tambak Johor menutup sepenuhnya Selat Johor sebagai jalan maritim penghubung Timur dan Barat. Kapal-kapal yang belayar dari Pelabuhan Tanjung Pelepas di tenggara barat laut Johor terpaksa mengelilingi Pulau Singapura untuk ke Pelabuhan Pasir Gudang yang terletak di sebalik tambak…” – Dr Hazmi Rusli, Pakar Undang-Undang Laut. Dipetik dari Astro Awani.
Disebabkan benda inilah Dr Mahathir nak buat jambatan bengkok, supaya kapal boleh lalu kat bawah jambatan tu. Mesti ada yang tertanya-tanya, kenapa jambatan ni bengkok, tak boleh buat lurus je ke?
“…menjadi ‘bengkok’ kerana Singapura tidak mahu mengubah struktur penghubung di sempadan negaranya.” – Dipetik dari Astro Awani.
Tapi macam yang dikatakan tadi, Malaysia di bawah Pak Lah dah membatalkan projek ni. Alasannya, untuk elak implikasi undang-undang dengan Singapura nanti.
“Masalah akan timbul apabila kita hendak potong tambak, laluan paip air dan laluan kereta api (yang sedia ada) kelak untuk disambungkan dengan jambatan yang baru. Masalah itu tidak akan selesai.” – Tun Abdullah Badawi, Bekas Perdana Menteri. Dipetik dari Utusan Malaysia (13/04/2006).
Disebabkan pembatalan ni, kerajaan kena bayar pampasan RM247 juta kepada Gerbang Perdana, syarikat yang dapat kontrak buat jambatan ni.
Dalam masa sama, pembatalan jambatan bengkok ni masih lagi dilihat sebagai satu kerugian kepada Malaysia. Sebabnya, kalau jambatan bengkok ni berjaya kita buat, ia dah tentu membolehkan kapal-kapal belayar menerusinya dan Selat Johor akan dibuka semula lepas lebih 80 tahun ditutup dengan tambak Johor.
“Dengan pembukaan Selat Johor kepada aktiviti pelayaran antarabangsa, kapal-kapal yang melayari Selat Johor boleh mengamalkan hak lintas transit seperti mana yang termaktub di dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Undang-undang Laut apabila Selat Johor menjadi nadi penghubung utama laluan maritim Timur-Barat di rantau ini.” – Dr Hazmi Rusli, dipetik dari Astro Awani.
Tapi dengan keadaan hutang negara yang dikatakan terlalu banyak ni, maka menurut Dr Hazmi projek jambatan bengkok agak tak patut untuk diteruskan.
“Segala perbelanjaan harus telus, tidak tiris dan demi rakyat. (Dan) Kalau jambatan bengkok dilaksanakan, itu tandanya ekonomi negara tidaklah seteruk yang diperkatakan sebab projek ini adalah projek mega.” – Dr Hazmi Rusli, katanya kepada SOSCILI.
4. Pertukaran tanah antara Malaysia-Singapura, yang menimbulkan banyak persoalan
Selain dari pertikaian yang disebut tadi, ada lagi satu pertikaian yang jadi antara Malaysia – Singapura. Kali ni pasal isu tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kat Singapura pulak.
Sejarahnya mula macam ni, pada tahun 1918, ada satu perjanjian antara Kerajaan Negeri-negeri Selat dengan Kerajaan Melayu Bersekutu. Melalui perjanjian ni, Kerajaan Negeri-Negeri Selat yang berpangkalan kat Singapura dah bagi hak milik tanah landasan Keretapi Singapura kepada Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu melalui Federated Malay States Railway (seterusnya KTMB) untuk 999 tahun.
Dan bila Singapura berpisah dari Malaysia pada tahun 1965, KTMB masih lagi ada hak ke atas tanah kereta api kat negara tu. Hal ni bermakna, setiap tanah yang ada landasan kereta api kat Singapura berada di bawah kedaulatan Malaysia.
Tapi masalah mula timbul bila Malaysia – Singapura menandatangani Points of Agreement (POA) pada tahun 1990. Melalui POA tu, kerajaan Malaysia setuju nak bagi balik tanah milik KTMB dan aset-aset berkaitan kepada kerajaan Singapura. Malaysia juga perlu pindahkan stesen KTMB kat Tanjong Pagar secara berperingkat ke Bukit Timah dan kemudian ke Woodlands atau berpindah terus ke Woodlands.
Sebagai pertukaran, kerajaan Singapura bagi enam bidang tanah kat Marina South dan Ophir-Rochor kepada Malaysia. Tanah-tanah gantian ni pulak akan dimajukan oleh satu syarikat usaha sama antara Malaysia dan Singapura – M+S Private Limited yang dimiliki 60% oleh Khazanah Nasional Bhd (Malaysia) dan Temasek Holding (Singapura).
Tapi masalah muncul lagi bila M+S kena bayar caj pembangunan (development charge) kepada Singapura yang dianggarkan bernilai RM4.6 bilion. Hal ni dah buatkan, Malaysia bawa kes ni ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa (International Arbitration).
“Andainya anggaran ini tepat dan keputusan PCA (Permanent Court of Arbitration) memihak kepada Singapura, maka Khazanah terpaksa menyeluk poket untuk mengeluarkan S$1.2 bilion (RM2.76 bilion) dan jumlah ini akan mengalir dari Malaysia ke Singapura.” – Datuk Kadir Jasin, Tokoh Wartawan Negara. Dipetik dari blognya.
Tapi nampaknya, kita boleh tarik nafas lega, bila mahkamah buat keputusan yang M+S tak payah bayar caj pembangunan tu. Sebelum tu, konflik lain pun muncul bila wujud dua pos imigresen kat tempat berbeza untuk kedua-dua negara.
“Pos imigresen Malaysia di Tanjong Pagar dan pos imigresen Singapura terletak di Woodlands. Akhirnya pada 27 Mei 2010, Malaysia bersetuju untuk memindahkan stesen KTMB ke Woodlands pada 1 Julai 2011.” – Dr. Nuarrual Hilal Md Dahlan, dipetik dari blognya.
Walaupun Malaysia ada mengatakan yang kita dalam situasi menang-menang dalam kes Tanjong Pagar ni. Tapi bagi Datuk Kadir Jasin (Tokoh Wartawan Negara), ia taklah seperti mana yang dikatakan.
“Kalau dulu tanah KTMB dimiliki penuh dan mutlak Malaysia, kini tanah gantian kepada tanah KTMB itu dikongsi dengan Singapura melalui M+S Pte Ltd di mana Temasek memegang 40 peratus saham. Dalam bahasa yang mudah, Singapura dapat ‘percuma’ 40 peratus daripada aset gantian itu.” – Datuk Kadir Jasin, dipetik dari blognya.
Selain tu, ia juga menimbulkan persoalan dari ahli akademik seperti Dr. Nuarrual Hilal, yang bertanya – Kenapa Malaysia perlu bersetuju dengan pertukaran tanah KTMB tu, sedangkan pajakan pada asalnya untuk jangka masa 999 tahun?
Hubungan Malaysia – Singapura akan berwarna-warni kembali
Seperti mana yang kita tahu, Dr Mahathir mempunyai sejarah yang panjang dengan Singapura dan dah pasti hubungannya dengan bekas PM negara singa tu – Lee Kuan Yew. Walaupun selalu nampak macam tak berapa senang dengan Singapura, ia tak membuatkan Mahathir cari pasal terus dengan negara tu.
“Dr Mahathir seorang pemimpin yang pragmatik, maka dalam segala tindakannya, beliau pasti mementingkan untung rugi dalam banyak perkara termasuk soal pengurusan isu-isu dalam hubungan Malaysia – Singapura.” – Dipetik dari UM Students’ Repository.
Dalam masa sama, kita juga kena tahu yang Singapura adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia selepas China dengan jumlah dagangan bernilai RM190.6 bilion pada 2016.
Walaupun ada kalanya hubungan Malaysia – Singapura ada pasang surutnya, ia taklah membawa kepada perbalahan yang serius. Sebagai dua negara yang berjiran dan berkongsi sejarah yang sama, keutuhan antara dua negara tetap lagi menjadi isu utama.
Apa yang pasti, sejarah tetap menunjukkan sumbangan Dr Mahathir dalam membela maruah bangsa ketika berhadapan dengan Singapura.
“Dr. Mahathir membangunkan bangunan tertinggi di dunia untuk membina maruah dan keyakinan diri rakyatnya yang menyebabkan orang Singapura datang mendongak kepala di Malaysia dan beliau merintis perlumbaan F1 yang diikuti oleh Singapura.” – Tan Sri Zainuddin Maidin, Tokoh Wartawan Negara. Dipetik dari blognya.
- 2.2KShare sekarang!
- Email119
- Facebook2.1K
- Share