Sejarah & Politik

Kenangan-kenangan tragik buruh Tanah Melayu untuk membina jalan keretapi Jepun

Kita dah banyak baca penulisan-penulisan pasal sumbangan tokoh politik dan tentera tanah air macam Platun 7 sepanjang Perang Dunia ke-2, di mana waktu tu adalah detik-detik yang sangat sukar bagi Tanah Melayu. Kalau ikutkan, kedatangan Jepun kat Tanah Melayu ni pun buat orang tempatan berbelah bagi, sebab ada yang anggap Jepun akan bagi lebih banyak kebaikan, kononnya Jepun sebagai penyelamat untuk menghalau Imperialis Barat.

Disebabkan tentera kerajaan waktu tu kalah, banyaklah senjata-senjata yang dorang tinggalkandan orang awam ambil kesempatan untuk kutip senjata-senjata tu semua. Ada yang guna untuk memburu binatang, ada juga untuk tujuan jahat macam merompak. Jadi masa mula-mula Jepun memerintah, dorang dapat tahu cerita huru-hara ni semua dan mengisytiharkan supaya barang-barang rompak dipulangkan, kalau tak…

‘Potong Kepara!’

Esoknya, penuhlah barang-barang curi kat tepi-tepi jalan.

Hari makin hari, barulah orang awam sedar, Jepun makin lama makin menekan dorang. Barang import pun dah tak masuk Tanah Melayu, lagi-lagi dengan dasar ‘Self Sufficient’ yang menyusahkan. Jepun ada juga hantar penyiasat masuk ke kampung-kampung kalau ada orang awam yang tanam padi, dan menghukum sesiapa yang sorokkan beras. Dikatakan waktu Jepun datang, stok beras yang ada di Tanah Melayu cukup untuk setahun, tapi ia telah dihantar ke Jepun. Waktu ni juga, orang awam paling takut dengan tali barut Jepun di kalangan dorang sendiri.

Gambar dari new.wargaming.com

Bila suasana makin tertekan, kerja pun susah nak cari. Cuma bekas pegawai dan kakitangan jabatan waktu kerajaan British dulu yang dipanggil balik oleh Jepun. British pula bila kalah isytihar ‘Bumi Hangus’ di mana semua kilang, lombong dan ladang dorang bakar.

Antara kilang getah yang dibakar. Gambar dari iwm.org.uk

Pada pertengahan tahun 1943, orang awam ada dengar yang Jepun nak cari orang dari Tanah Melayu untuk jadi buruh Jalan Keretapi Siam-Burma. Kat sinilah permulaan kisah-kisah tragik mereka yang jadi buruh binaan ni. Kali ni SOSCILI akan kongsikan cerita-cerita buruh Keretapi Maut Siam-Burma ni untuk dijadikan renungan.

(Nota: Sebahagian besar kisah tragik ni diambil dari buku Korban Keretapi Maut tulisan Hashim Yop. Beliau berpengalaman menjadi buruh Keretapi Maut di Negeri Thai waktu tu)

Jepun bagi makan nasi goreng udang, tapi ada yang cakap ia daging babi

Berita pasal pengambilan buruh keretapi ni mulanya khabar angin sahaja, tapi lama-kelamaan jadi kenyataan juga. Jepun mula arahkan penghulu-penghulu mukim di setiap daerah dekat Tanah Melayu ni untuk daftarkan nama supaya Jepun boleh hantar ke Siam. Jadi ada antara penghulu yang bagi nama-nama pemuda yang dorang rasa tak bagi faedah atau mendatangkan bahaya kat kampung. Tak terlepas juga penganggur yang ramai, kutu jalan dan kaki judi.

“Dianggarkan lebih 180,000 orang awam dari Asia Tenggara dan kira-kira 60,000 tawanan perang tentera Bersekutu dikerah membina landasan itu. Daripada jumlah itu, kira-kira 100,000 dikatakan orang India dari Tanah Melayu termasuk Singapura.” –Chandrasekaran, Pengerusi Kumpulan Cakna Landasan Keretapi Maut (DRIG), dipetik oleh Free Malaysia Today.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Akhirnya, semua pun kena berkumpul sebelum naik keretapi untuk berlepas ke Siam. Jepun susun semua buruh ni ikut pasukan. Satu pasukan 30 orang dan seorang mandur atau ‘koreto’ dilantik. Setiap satu pasukan hanya satu kaum sahaja, Melayu tak dicampurkan dengan Cina dan India, begitu juga dengan bangsa lain. Pihak Jepun siap bagi sehelai nota 10.00 cap pokok pisang warna hijau sebagai duit belanja kepada setiap pekerja.

Gambar dari banknoteworld.it

Bila keretapi sampai, rupanya-rupanya dorang bukan naik gerabak penumpang, tapi naik gerabak barang. Setiap satu pasukan dimuatkan dalam satu gerabak (boleh dimuatkan 50 orang) dan seorang tentera Jepun bersenjata rifle akan jaga berkawal dalam gerabak tu. Jadi memang sempit dan panas.

Keretapi mula berlepas dan ramailah buruh mula rasa sebak sebab kena tinggalkan kampung. Perjalanan tu menuju ke arah Utara. Keretapi yang berlepas dari Kuala Lipis ada berhenti di beberapa stesen. Ada sekali tu keretapi berhenti di Gemas. Kat situ, pengawal Jepun yang berjaga minta dua orang wakil setiap gerabak untuk pergi ambil makanan. Seorang bawa sebaldi nasi dan seorang lagi bawa sebaldi ikan kembung goreng.

Perhentian seterusnya pula di Kuala Lumpur. Seorang diarah pergi ambil makanan. Kat situ, setiap seorang dapat nasi yang sudah sedia berlauk dan berminyak. Selesai makan, mereka bersembang sesama sendiri pasal lauk tadi. Ada yang anggap tu nasi goreng dicampur udang. Rasanya halus-halus putih, lemak dan berminyak. Bila bincang-bincang, ada yang cakap tu daging babi sebab lagi banyak warna putih dari merah. Apa-apa pun keadaan gelap masa makan tadi memang tak dapat nak tentukan apa lauk tu.

Ada buruh yang dicucuk kat telinga, lengan dan punggung

Lepas melepasi sempadan Tanah Melayu, keretapi berhenti di beberapa stesen kat Siam pulak, contohnya stesen Hat Yai. Para buruh dibenarkan bersiar-siar dan memang banyak orang perempuan dan anak-anak gadis yang jual makanan. Jadi ada buruh yang beli makanan-makanan tu buat isi perut.

Ada juga buruh yang sembang-sembang dengan orang Siam sana, ada yang boleh cakap Melayu dan ada yang tak boleh. Kat situ banyaklah dorang dapat cerita-cerita pasal nasib buruh keretapi sebelum ni. Ada yang mati dan ada yang larikan diri. Kebanyakkan yang larikan diri akan minta perlindungan keluarga di Siam dan tambah pula ada yang berkahwin dengan orang Siam. Apa yang menggerunkan bila dorang dengar berita pasal buruh keretapi ni akan dicucuk kat telinga, lengan dan punggung.

Akhirnya dorang sampai ke stesen Bhamphong (Ban Pong) di Negeri Siam. Kat situ buruh diarah untuk beratur. Semua berbaris untuk masuk ke satu bangunan secara bergilir-gilir macam nak masuk lorong sempit. Semua tertanya-tanya, apalah yang akan jadi kat lorong tu.

Setiap buruh diarahkan mara ke depan dan mula-mula sekali disuntik adalah lengan. Bila jalan ke depan sikit, telinga pula kena suntik. Kat pintu keluar bangunan ada satu rentas tali dan setiap buruh yang lalu mesti bongkokkan badan ke depan. Seorang askar Jepun sebagai tukang suntik akan tunggu kat situ. Bila sahaja buruh membongkok, satu alat sebesar pen yang kat hujung dia runcing dimasukkan ke dalam lubang buntut. Alat itu diperbuat daripada kaca berisi ubat untuk tahan cirit-birit. Macam tu lah cara suntikan cacar dan taun stail Jepun.

Gambar dari musiccitymiracles.com

Daging mayat jadi rebutan burung-burung gagak

Sepanjang perjalanan ke Siam ramai juga yang sudah menemui ajal. Terutamanya orang-orang tua dan ada yang mati di dalam keretapi dan kena tinggal macam tu je. Ada juga yang sakit dan kena tinggal di Bhamphong (Ban Pong) yang tak pasti kena bawa ke hospital atau pun tidak.

Beberapa malam kat kem Bhamphong (Ban Pong), semua buruh diminta bertolak ke tempat seterusnya dengan berjalan kaki. Terkejut para buruh bila tengok banyak orang baring tepi jalan raya. Bila dekat, barulah sedar semuanya dah kaku jadi mayat terbiar. Mungkin sebelum-sebelum ni mayat ni sakit.

Rǒmusha atau para buruh dari Asia yang sakit. Gambar dari hellfire-pass.commemoration.gov.au

Beberapa jauh ke depan, rombongan tadi ada nampak macam sebuah kolam. Bunyi kat kawasan kolam tu memang riuh-rendah. Burung-burung gagak yang banyak terbang turun naik sambil menarik daging manusia yang terapung kat atas kolam tu. Ada kemungkinan mayat-mayat itu sebelum ni diheret dan dilemparkan oleh orang Siam kat kawasan berdekatan. Tujuannya nak elak bau busuk.

Asal siku bengkok mesti kena tampar

Apa yang sedihnya, buruh diminta pindah dari satu kem ke kem yang lain. Sampai satu masa dorang tak larat dan pindah sehelai sepinggang saja. Kalau kena hujan, baju yang dorang pakai hari-hari boleh reput. Salah satu kem tu namanya Kem Tamajo.

Kat kem Tamajo macam-macam jenis kerja ada. Ada kerja menggali tanah, memecah batu, menebang pokok dan menarik kayu balak guna tali dengan tenaga 20 sampai 30 orang. Koreta yang dilantik kena garang pada anak-anak buah, kalau tak dia sendiri kena lanyak dengan askar Jepun.

Antara kerja-kerja berat di sepanjang landasan. Gambar dari bbc.co.uk.

Pengawal-pengawal Jepun akan memerhati buruh buat kerja setiap masa. Siapa-siapa yang nampak lemah dan bengkok sikit siku waktu tarik balak, askar Jepun tadi akan datang dan tampar serta-merta. Suasana macam tu memang buat ramai buruh pengsan dan ada juga yang mati. Mana taknya, kerja dari enam pagi dan waktu rehat pun tengah hari. Setiap kumpulan dapat satu tin nasi dan satu tin lauk.

Gambar dari memesuper.com

Lubang tandas bercampur mayat

Lauk makan yang disediakan Jepun memang tak sesuai untuk kerja-kerja berat. Kalau lauk macam labu dan keledek mesti yang dah busuk tapi direbus je dicampur garam. Ada juga berempah tapi memang bau hapak. Belum lagi kacang hijau yang berulat.

Nasib baiklah ada peniaga-peniaga Siam yang datang jual barang-barang makan kat kawasan kem. Ada yang jual tin sardin, ayam, ikan dan ada yang jual pakaian. Tapi, ada harga barang yang dorang jual agak mahal yang tak berapa kena dengan gaji buruh. Jadi dorang beli mana yang mampu sahaja. Tapi, ada juga orang Siam yang bantu para buruh dari segi makanan dan perubatan.

Untuk buang air pula, memang tak boleh merata-rata, nanti Jepun tangkap dan belasah. Tapi ramai juga yang terpaksa buang air merata terutamanya yang uzur dan sakit teruk yang tak sempat ke tandas. Tambah pula dengan keadaan yang gelap-gelita.

Tandas kat mana ni weh…

Tandas Jepun kat kem ni agak pelik, ada lubang besar dengan panjang 30 hingga 40 kaki. Buluh disusun kat atas lubang supaya mudah bertenggong. Apa yang memalukan ia tak beratap dan tak berdinding. Kalau lubang tu penuh, gali lubang lain. Bagi buruh yang sakit memang agak susah nak buang air kat tandas besar tu. Dikatakan pernah beberapa orang jatuh kat dalam lubang najis tu dan tak dapat diselamatkan.

Semua buruh dipaksa tunduk kepada sebatang kayu

Selain dari orang Tanah Melayu, ada juga pekerja daripada tawanan perang. Mereka ni sampai lebih awal lagi berbanding pekerja buruh dari Tanah Melayu. Tawanan perang ni terdiri dari bangsa Inggeris dan Australia yang mungkin ditawan di Tanah Melayu, Singapura atau Burma. Askar tawanan dari bangsa Belanda pun ada termasuklah orang-orang Ambun. Orang Ambun ni berkulit hitam yang ditawan di Kepulauan Indonesia.

Beberapa bulan bekerja, jalan keretapi ni dah mula disambungkan dengan stesen-stesen kat negeri Siam macam Kemburi (Kanchanaburi). Dari Kanchanaburi, ia akan disambung ke Utara hingga sampai Moulmein, sebuah stesen di Burma. Sepanjang pembinaan tu, banyak manusia yang telah terkorban.

Landasannya sepanjang 415 km. Gambar dari hellfire-pass.commemoration.gov.au

Buruh-buruh terus berpindah dari satu kem ke satu kem yang baru. Di kem yang baru, kerja yang dilakukan tidak seazab di kem sebelumnya seperti Kem Tamajo. Tentera yang jaga pun terdiri dari Tentera Jepun Bintang Lima atau dipanggil sebagai Jepun Preman. Tentera jenis ni bukan untuk berperang tapi khas untuk menjaga kerja-kerja buruh. Tapi buruh still tak boleh larikan diri sebab dorang ada rifle.

Antara pengawal buruh yang kejam di keretapi maut dengan gelaran ‘The Mad Mongrel’. Gambar dari awm.gov.au

Ada satu hari ni, semua buruh dikumpul. Tentera Jepun minta semua sembahyang untuk ingat orang mati. Ketua Jepun Bintang Lima ni pun tunduk dalam 4 atau 5 saat kat sebatang kayu ni. Panjang dia lebih kurang 20 kaki bentuk empat segi tercacak kat atas tanah tinggi. Semua buruh pun tunduk ikut ketua tu. Lepas tu, dorang dibenarkan pulang ke bangsal atau pun bersiar-siar di kawasan stesen sebagai hari kelepasan.

Bom akan digugurkan kat tempat buruh bekerja

Tujuan sebenar Jepun nak sangat siapkan landasan keretapi dari Siam ke Burma ni adalah untuk mengangkut makanan, alatan perang dan askar, sebab dorang bercadang nak serang India yang berada bawah pemerintahan British masa tu.

Setelah landasan keretapi ini digunakan hampir setahun lebih, khabar angin mula tersebar bahawa Jepun dah mula tawan beberapa tempat dan bandar di India. Strategi Jepun sangat bijak. Mereka tak tawan Siam, tapi tawan India dulu. Nanti mesti Siam surrender sekali.

Tapi, Pihak Berikat tak mengalah dengan Jepun. Serangan udara kerap kali datang dekat kawasan landasan, dan mangsanya mestilah buruh-buruh yang bekerja. Sasaran serangan udara dari Pihak Berikat adalah untuk memusnahkan jambatan keretapi dan kepala keretapi beserta gerabak. Bila jambatan rosak, para buruh dikerah untuk bina semula.

Antara kisah sebenar yang difilemkan mengenai Jambatan di Sungai Kwai. Gambar dari amazon.com

Pihak Jepun juga tak mengalah. Para buruh diminta bina tempat perlindungan jika serangan udara datang. Selain tu, pondok-pondok berlorong juga dibina atas landasan untuk menutup kepala keretapi. Nanti dapatlah elak serangan-serangan Pihak Berikat. Dinding pondok itu ditanam rumput dan ditegakkan batang-batang buluh dan rumput. Bila siang, kepala keretapi akan Jepun sorok dalam pondok tu.

Gerabak keretapi tinggalan Jepun dalam hutan. Gambar dari hellfiretours.com

Ada juga tersebar berita bahawa Pihak Berikat akan taburkan risalah dari udara. Kononnya Pihak Berikat nak semua buruh lari jauh dari landasan sebab bom besar nak digugurkan. Bertambah takutlah para buruh. Tapi khabar angin tu tak menjadi kenyataan.

Perpisahan yang buat askar Jepun menangis

Kira-kira dua tahun buruh paksa bekerja untuk membina jalan keretapi maut ni. Dalam bulan Ogos 1945, ada berita dari orang Thai cakap yang Jepun dah dikalahkan Pihak Berikat. Tapi sikap askar Jepun yang ada di landasan tidak menunjukkan apa-apa tanda bahawa Jepun dah kalah. Sampailah suatu masa, para buruh dapat lihat keretapi dari Utara menuju ke Selatan. Keretapi tu semuanya bawa tentera-tentera berkulit putih. Itulah tanda Jepun sudah kalah dan memulangkan semula tawanan-tawanan perang.

Sampailah satu hari, para pegawai berkulit putih turun ke stesen para buruh dan mengumpulkan semua buruh. Masa tu, pegawai umumkan yang dorang semua boleh pulang ke Malaya. Berteriak gembira buruh-buruh yang masih hidup tu.

GIF dari giphy.com

Para buruh dibawa pulang ke Tanah Melayu secara berperingkat-peringkat. Sewaktu nak berpisah, masing-masing mengeluarkan air mata sebab tak tahu akan berjumpa lagi atau tidak di Tanah Melayu. Askar-askar Jepun pun ada yang menangis. Mungkin sebab teringat kebaikan dan kemesraan buruh-buruh yang akan pulang tu. Ada juga askar Jepun yang bekalkan pisang dan nenas kepada para buruh.

Antara tempat permulaan landasan keretapi maut di Thanbyuzayat. Gambar dari travelinfo.happyfootprints.com

Belajar erti kesabaran dan ketahanan perjuangan hidup dari datuk nenek kita

Kita sangat menghargai sukarelawan-sukarelawan yang terus berjuang menuntut hak waris mangsa landasan keretapi maut Siam-Burma. Walaupun masih ada lagi kegagalan mendapatkan pampasan dari pihak kerajaan walaupun sudah banyak permohonan dihantar. Perlu disebutkan di sini NGO yang patut diberikan sokongan tanpa henti:

  1. Kumpulan Cakna Landasan Keretapi Maut (DRIG)
  2. Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Keretapi Siam ke Burma 1942-1946

Cerita ketabahan generasi sebelum ni yang berhempas pulas menggadaikan nyawa untuk mencari rezeki walaupun tertipu dan terpaksa sepatutnya dijadikan pengajaran. Perlulah kita tanya pada generasi kita sekarang. Dalam keadaan aman ni, kenapa kita mencari rezeki dengan memilih jalan pecah amanah seperti rasuah dan penipuan?

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend