Kematian 9 orang pendaki di pergunungan Russia yang masih kekal misteri

Mungkin ada di antara kita yang jadikan aktiviti mendaki sebagai hobi. Walaupun aktiviti ni kadang-kadang nampak lasak, berbahaya dan penuh cabaran, tapi ia masih lagi menjadi pilihan terutamanya kepada pelajar-pelajar kolej atau universiti.

Tapi macam mana pula kalau aktiviti ni berubah menjadi tragedi? Itulah yang berlaku kepada sekumpulan pendaki di Rusia pada 57 tahun dulu. Tragedi ini terus menjadi misteri sehingga ke hari ini dan menimbulkan pelbagai teori. Oleh itu, kali ni SOSCILI akan menceritakan tragedi yang mengorbankan 9 nyawa ni. Segalanya bermula apabila…

Sekumpulan pendaki mahu menawan sebuah gunung

Pada Januari 1959, 10 orang pendaki ski dari Institut Politeknik Ural pergi ke Vuzhal untuk menawan Gunung Otorten. Ekspedisi ni dikenali sebagai ‘Dyatlov Pass’ bersempena dengan nama ketua kumpulan mereka Igor Dyatlov.

Kegembiraan sebelum tragedi. Imej dari daffadillies.co
Kegembiraan sebelum tragedi. Imej dari daffadillies.co

Jadi pada 27 Januari 1959, mereka mulakan pendakian, tapi pada keesokan harinya salah seorang dari mereka, Yuri Yefimovich Yudin tak dapat teruskan pendakian sebab masalah kesihatan. Dia kemudiannya tarik diri dan pendakian tetap diteruskan dengan 9 orang pendaki.

Mereka adalah:

  1. Igor Alekseievich Dyatlov (ketua kumpulan), 23 tahun
  2. Yuri Nikolaievich Doroshenko, 21 tahun
  3. Lyudmila Alexandrovna Dubinina , 21 tahun
  4. Yuri (Georgy) Alexeievich Krivonischenko, 24 tahun
  5. Alexander Sergeievich Kolevatov, 25 tahun
  6. Zinaida Alekseevna Kolmogorova, 22 tahun
  7. Rustem Vladimirovich Slobodin, 23 tahun
  8. Nicolai Vladimirovich Thibeaux-Brignolle, 24 tahun
  9. Semyon (Alexander) Alekseevich Zolotariov, 21 tahun
Dari kiri: Nicolai Thibeaux-Brignolle, Lyudmila Dubinina, Semyon Zolotariov & Zinaida Kolmogorova. Imej dari Daily Mail.

Dyatlov dikatakan dah janji yang dia akan hantar telegram bila mereka semua sampai Vizhai. Tapi satu perkara pelik dah berlaku bila telegram tak pernah sampai walaupun selepas 12 Februari tarikh di mana mereka dijangka akan kembali ke Vizhai.

Bila dah takde khabar berita, misi menyelamat pun bermula. Misi menyelamat ni pada mulanya hanya melibatkan guru dan pelajar dari Institut Politeknik Ural. Tapi lepas takde hasil, misi ditingkatkan dengan penglibatan tentera dan polis pada 20 Februari.

Akhirnya, pada 26 Februari 1959 mereka menemui khemah milik pendaki Dyatlov Pass. Apa yang mereka jumpa sangat menyedihkan.

Ada mayat yang dijumpai dalam keadaan yang sangat pelik

Ketika pihak penyelamat jumpa khemah tersebut, keadaan khemah tersebut terbiar dan sangatlah teruk di lereng Gunung Kholat Syakhl (bersebelahan dengan Gunung Otorten). Menurut penyiasat, khemah tu dikoyakkan dari dalam. Satu lagi, dalam khemah tu masih ada lagi barang dan kasut diorang.

Keadaan khemah yang ditemui. Imej dari Daily Mail.

Lepas aktiviti mencari diteruskan, pihak penyelamat temui 2 mayat pendaki di bawah pokok pine. Georgy Krivonischenko dan Yury Doroshenko ditemui dalam keadaan berkaki ayam dan hanya berpakaian dalam. Tiga lagi mayat (Dyatlov, Kolmogorova dan Slobodin) seterusnya ditemui dengan setiap dari mereka berada 300,400 dan 630 meter dari pokok pine di mana mayat pertama ditemui.

Posisi kedudukan mayat-mayat tu pulak dalam keadaan seolah-olah macam nak balik ke kawasan perkhemahan tapi gagal. Aktiviti mencari diteruskan selepas tu, hinggalah baki mangsa lain ditemukan 2 bulan kemudian.

Keadaan mayat pertama yang ditemui. Imej dari dyatlov-pass.com

Pada 4 Mei 1969, 4 mayat ditemui dalam keadaan tertimbus dengan salji setebal 4 meter dan berada 75 meter dari pokok pine mangsa pertama ditemukan. Salah satu mayat yang ditemui mengalami keretakan otak. Tapi apa yang lebih buat orang terperanjat adalah mayat Dubinina yang takde lidah (ada dakwa dipotong) dan takde mata!

Apa yang jadi persoalan dalam kes ni adalah keadaan mayat yang pelik dan punca kematian yang sampai sekarang tak dapat dirungkaikan. Contohnya:

  1. Ada di antara pakaian mayat-mayat terakhir yang dijumpai diambil dari kawan-kawan diorang yang mati sebelum itu.
  2. Pemeriksaan forensik jumpa kesan radioaktif kat pakaian diorang.
  3. Keadaan mayat yang alami keretakan tengkorak dan tulang dianggap oleh doktor sebagai sama dengan kesan orang yang dilanggar kereta.
  4. Mereka jugak didapati mati selepas 6 hingga 8 jam selepas menikmati makanan terakhir.
Keadaan mayat Dubinina. Imej dari dyatlov-pass.com

Muncul banyak teori untuk cuba selesaikan kes

Kenapa diorang tak pakai pakaian yang lengkap? Kenapa Dubinina takde lidah? Kenapa diorang tinggalkan khemah? Diorang ni dibunuh ke? Itulah antara persoalan yang bermain di minda para penyiasat, ahli keluarga dan wartawan.

Menurut laporan, disebabkan keadaan cuaca yang teruk, mereka ni dah hilang arah dan dah melencong ke Gunung Kholat Syakhl. Apa yang lebih menarik, nama Gunung Kholat Syakhl jugak dikenali sebagai ‘Gunung Kematian’ dan nama Gunung Otorten pulak dikenali sebagai ‘Jangan Pergi Sana’ oleh puak asli Mansi. Jadi macam-macamlah teori timbul untuk sensasikan lagi kes ni. Antaranya adalah:

1. Diserang dan dibunuh oleh puak asli Mansi

“Kitorang dah warning dah dalam nama gunung tu… korang bebal sangat pe hal.” – Puak asli Mansi. Imej dari emaze.com

Walaupun begitu, doktor tolak dakwaan ni disebabkan kesan kecederaan pada mayat tak seperti disebabkan oleh manusia. Satu lagi, puak Mansi juga terkenal dengan sikap mereka yang baik dan peramah dan takde rekod yang mereka ni pernah serang orang.

2. Diserang binatang

Takde sebarang kesan dan bukti untuk sahihkan dakwaan ni. Selain tu, kalau betul ada binatang buas, kenapa diorang lari dari khemah yang boleh lindungi diorang. Lagi satu, kita kena ingat yang khemah tu dikoyakkan dari dalam, sedangkan diorang boleh sembunyi dalam khemah kalau ada binatang buas.

3. Runtuhan salji

Ada banyak bukti yang boleh sangkal dakwaan ini. Antaranya, kawasan tersebut tak tunjukkan tanda-tanda pernah jadi runtuhan salji. Mayat yang ditemui tertimbus dalam salji yang tak berapa tebal.

Selain tu, Dyatlov adalah seorang pemain ski yang berpengalaman dan Alexander Kolevatov pulak tengah belajar Master dalam bidang pengajaran ski dan pendakian gunung. Tak mungkin diorang ni akan pilih tempat yang ada risiko berlakunya runtuhan salji.

4. Ujian senjata rahsia Soviet

Berdasarkan kesan radioaktif yang dijumpai kat pakaian mangsa, mungkin teori ni boleh diambil kira. Teorinya adalah pada malam 2 Februari 1959, telah dijalankan satu ujian tentera yang sangat dekat dengan tempat diorang berkhemah.

Disebabkan diorang terkejut dengan ujian senjata tersebut, diorang pun larikan diri dari khemah. Tapi lepas tu, diorang buat keputusan untuk balik ke kawasan perkhemahan. Disebabkan suhu yang sangat sejuk, mereka semuanya mati. Tapi masih ada lagi perkara yang boleh nafikan teori ni. Ni kerana, kenapa hanya 3 orang je yang ada kesan radioaktif kat baju diorang? Jadi, teori ni masih belum boleh diterima sepenuhnya.

5. Kerana hipotermia

Apa tu ‘hipotermia‘? Secara amnya ia adalah apabila suhu badan menurun secara mendadak. Benda ni selalunya kena kat orang yang mendaki gunung pada suhu yang sangat sejuk. Disebabkan hipotermia, seseorang tu akan menggigil dan mungkin akan alami kekeliruan mental.

Kesannya, mereka berisiko kena ‘paradoxical undressing‘ di mana mereka ni bukak pakaian diorang. Disebabkan tindakan ni, diorang selalunya mati sebab kesejukan atau kerana jantung berhenti. Tapi, masih ada lagi kemuskilan yang kenapa diorang keluar dari khemah bila tahu kat luar tu sejuk dan suhu dalam khemah tak cukup rendah untuk berlakunya ‘paradoxical undressing’.

Simptom-simptom hipotermia. Imej dari Health Life Media.

Sampai sekarang, tragedi ni masih kekal misteri

Akhirnya disebabkan kekurangan bukti, kes ni ditutup. Disebabkan itu pelbagai teori muncul untuk menyeselaikan kes ni. Dari teori yang masuk akal sampailah teori yang merepek macam diserang Yeti dan UFO.

Imej dari Giphy.

Menurut satu-satunya saksi dalam kes ni, Yuri Yudin dia percaya yang pihak tentera terlibat dalam kejadian yang menimpa kawan-kawannya tu. Dalam satu intervieu, Yuri ada kata yang dia pernah diminta untuk kenal pasti pemilik setiap barang yang dijumpai kat tempat kejadian. Tapi ada sehelai kain yang dia tak dapat pastikan dan kain tu macam berasal dari tentera!

Yuri Yudin dipeluk Dubinina. Imej dari Daily Mail.

Dia jugak kata, yang pihak berkuasa masa tu lebih tertarik pada persoalan kenapa pendaki-pendaki tu berada di kawasan tersebut berbanding mencari punca kenapa mereka terbunuh. Akhirnya, pada 2013, Yuri Yudin meninggal dunia pada usia 75 tahun.

“Jika saya ada peluang untuk bertanya hanya satu soalan pada tuhan, ia adalah ‘Apa sebenarnya yang terjadi pada rakan-rakan saya pada malam itu?” – Yuri Yudin, dipetik dari The Telegraph.

Tragedi ni pernah diadaptasi ke sebuah filem bertajuk Devil’s Pass. Bagaimanapun, kes yang menimpa pendaki Dyatlov Pass, masih lagi kekal sebagai misteri. Pelbagai andaian dan teori akan terus muncul mengisi pemikiran masyarakat.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.