Kalau korang pernah lepak dekat kopitiam atau warung dekat kawasan rumah korang, mesti korang pernah nampak kakak-kakak Indonesia ni sibuk kemas meja dan ambik order. Kadang-kadang, diorang siap tolong pak cik yang tengah masak char kuey teow yang korang suka sangat sangat tu. Kita pun tak pernah terfikir pun pasal benda ni sebab kita anggap diorang ni pekerja kedai biasa je.
Tapi.. ada satu masalah kecil yang korang tak tahu.
Kebanyakan dari diorang ni tak sepatutnya kerja situ pun sebenarnya.
Dekat Malaysia, ribuan wanita warga asing masuk negara kita dengan permit pekerja domestik. Kalau diikutkan, permit ni hanya benarkan diorang bekerja di rumah majikan yang berdaftar. Tapi entah macam mana, ada yang kerja kat kopitiam lah, kedai keluarga lah, syarikat pembersihan dan macam-macam.

Salah sorang daripada pekerja ni ialah Embun (bukan nama sebenar). Dia datang Malaysia dari Medan untuk bekerja sebagai penjaga seorang wanita warga emas kat utara. Tapi sampai je sini, rupanya rupanya majikan dia tak wujud pun! Dari sepatutnya kerja untuk sebuah rumah, dia terpaksa kerja dari 5 pagi untuk bersihkan rumah rumah ejen dia sebelum dia dihantar untuk bersihkan rumah pelanggan setiap hari.
Malangnya nenek tu cuma bahagian pertama dalam kes penipuan ni.
Gaji bulanan RM1,700 yang dijanjikan tiba tiba kena potong sampai tinggal RM1,200. Lepas tu, turun lagi sampai tinggal RM600 je! Ejen dia janji yang dia akan dapat baki gaji bila dah balik negara asal dia. Duit tip yang sekecil RM5 atau RM10 yang pelanggan bagi pun kena rampas. Dan yang paling teruk, ejen ni gunakan kekasaran untuk diamkan pekerja-pekerja ni supaya diorang takut untuk buat aduan.
“Dia pukul orang! Betul! Dia pukul kami! Kawan saya menangis bila dia ditangkap sorok duit beberapa ringgit saja. Kami tak boleh simpan duit sendiri, walaupun RM1. Dia buang semua baju, geledah semua barang dan pukul kawan saya hanya sebab dia simpan sedikit duit. Kami tak curi duit tu, pelanggan yang kasi. Tidak banyak pun, hanya dalam jumlah kecil, paling banyak RM 10 atau RM 20,”–Embun
Tak dapat dinafikan, kisah Embun ni bagi kesan kat kitorang. Pada masa yang sama, kisahnya juga bawa banyak persoalan.Kalaulah seseorang boleh datang Malaysia untuk buat satu kerja tapi akhirnya disuruh buat kerja yang lain, agaknya berapa kerap benda ni berlaku dan yang lagi penting, siapa dalang sebalik semua ni?
Jadi macam wartawan kepoh lain, kami pun siasat. Kami cuba cakap dengan banyak pihak, daripada majikan dan agensi pengambilan pekerja sampailah aktivis hak pekerja migran serta peguam. Apa yang kami jumpa, benda ni cuma bahagian kecik daripada isu yang jauh lagi besar. Belakang tabir, ada satu sistem yang biarkan semua ni jadi.
Jadi untuk kita faham semua, kita kena mula dengan benda paling asas, apa sebenarnya yang pekerja domestik ni dibenarkan untuk buat.
Ikut undang undang, permit pekerja domestik HANYA untuk rumah korang je
Sekarang ni, mungkin ada antara korang tertanya tanya apa sebenarnya masalah dengan situasi Embun tu. Ye lah, dia bukan kena paksa untuk hidang kopi dekat kopitiam atau jadi cashier kedai runcit. Dia tetap sapu lantai dan kemas dapur. Kerja rumah biasa. Janji mengemas, kira sama la kan?
Haa, tak jugak sebenarnya. Apa yang ejen dia buat tu memang terang lagi bersuluh langgar undang undang imigresen Malaysia. Macam ni, pekerja domestik warga asing ni masuk negara ni guna Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), yang letak diorang ni bawah satu majikan dan satu alamat rumah je.
Maksudnya, kerja diorang untuk satu rumah tu sahaja. Jadi kalau korang tertanya tanya soalan macam, boleh ke….
- Suruh pembantu rumah tolong berniaga kat warung keluarga.
- Minta dia ambil pesanan pelanggan atau basuh pinggan kat kedai.
- Letak dia jaga kaunter kat kedai runcit korang.
….. jawapannya, TAK BOLEH.
Malah, undang undang yang ada ni sangat ketat sampai suruh diorang basuhkan kereta dekat porch pun tak boleh sebab secara teknikalnya tu tak termasuk dalam skop kerja-kerja rumah.
Sebab kat Malaysia, pekerja asing dibahagikan mengikut sektor pekerjaan tertentu. Kalau pemilik perniagaan nak ambil pekerja asing untuk kemas meja kat kedai makan atau jaga kaunter, diorang kena mohon permit kerja lain di bawah sektor perkhidmatan.
Masalah utama dalam cerita ni dah tentu, duit. Setiap sektor pekerjaan ada kadar levi yang berbeza. Levi ni sebenarnya bayaran tahunan yang majikan kena bayar kepada kerajaan untuk menggaji pekerja asing. Tapi apa yang penting kat sini adalah pekerja domestik antara pilihan paling murah, dengan levi sekitar RM410 je. Cuba bandingkan dengan sektor lain yang kadar levi boleh cecah RM640 hingga RM1,850 💸💸.
Bila pilihan yang lebih murah tu juga lebih senang nak dapat, tak hairanlah kalau ada majikan yang mula ambil kesempatan dan langgar syarat permit kerja. Korang tak perlu tengok jauh-jauh sampai ke kopitiam atau restoran pun untuk nampak benda ni berlaku. Cuba tengok tukang cuci sambilan warga Indonesia yang datang vakum dan kemas rumah korang beberapa jam setiap hujung minggu tu.
Secara teknikalnya, cara macam ni pun sebenarnya tak dibenarkan. Sebabnya, pekerja yang diupah bawah permit pembersihan sepatutnya bersihkan ruang komersial macam pejabat dan tempat perniagaan, bukan rumah persendirian. Macam yang dijelaskan oleh peguam dan aktivis hak pekerja migran, Sumitha Kishna, majikan tak boleh sesuka hati tukar jenis kerja pekerja asing ikut keperluan diorang sendiri.
“Jadi, apa yang berlaku sekarang ni, diorang ambil pekerja asing bawah permit pembersihan am, tapi lepas tu suruh pekerja pergi dari rumah ke rumah untuk buat kerja pembersihan. Benda tu sebenarnya tak dibenarkan. Ada juga yang masuk Malaysia guna permit pekerja domestic, tapi akhirnya buat kerja pembersihan dari rumah ke rumah. Masalahnya, Malaysia tak benarkan pembantu rumah warga asing bekerja secara sambilan macam tu.” — Sumitha, peguam dan pengasas Our Journey, sebuah NGO yang membantu pembantu rumah warga asing dalam urusan undang-undang.
Bila undang-undang dah jelas macam ni, mesti korang fikir orang akan takut nak langgar sebab tak nak kena tangkap, kan? Tapi nampaknya, masih ada majikan yang sanggup ambil risiko.
Jadi, persoalannya sekarang…
Kenapa majikan selamba badak je guna permit bibik untuk ambil pekerja?
Sebab pertama, diorang ni “entitled” je. Diorang fikir pekerja tu hak milik diorang. Ada majikan rasa bila dah bayar gaji bulanan, seluruh hari pekerja tu dia punya. So kalau kat rumah dah takde apa nak masak atau mop, apa salahnya hantar dia jaga kaunter kedai?
Tapi sebab utamanya lebih besar dari semua tu sebab semuanya berpunca daripada betapa lecehnya nak ambil pekerja secara sah untuk perniagaan kecil (PKS).
Sejak beberapa tahun lepas, kuota pekerja asing yang lebih ketat buat PKS makin susah nak ambil pekerja ikut saluran yang betul. Dan kalau dah berjaya lepas proses yang berbelit tu pun, ada sesetengah industri yang kena hadap pula peraturan yang super spesifik. Menurut Zenna Law, pengasas bersama agensi pengambilan pekerja Pinkcollar, peluang sesebuah perniagaan F&B untuk dapat kelulusan pekerja asing boleh bergantung pada jenis makanan dalam menu mereka.
“Memang susah sangat nak dapat kuota pekerja asing sekarang ni, untuk sektor F&B, hanya boleh mohon kalau menu kedai tu sepenuhnya makanan tradisional, macam masakan Cina atau Melayu. Bila kita tanya, ‘Maksudnya apa tu?’ diorang cuma jawab, ‘Oh, hantar je menu kedai, nanti kami tengok sama ada layak atau tak.’” — Zenna Law, pengasas bersama dan CEO Pinkcollar.
Bila pekerja pekerja ni dah sampai negara kita, perkara ni jadi susah untuk kita kesan sebab dah jadi benda yang terbiasa. Pelanggan biasa macam kita bukannya akan tengok kakak yang tengah lap meja dan tanya, “Eh, akak ni kerja sini ada permit ke ek?”
Tambahan pula, pihak berkuasa ni bukannya selalu muncul untuk periksa permit pekerja dekat warung warung rumah korang. Menurut Sumitha, bila pemeriksaan dan penguatkuasaan tak dibuat secara proaktif, majikan pun tak rasa takut nak langgar peraturan.
Dan sebelum korang cakap “ala, pekerja tu sendiri yang rela buat kerja lebih kot”… tunggu dulu. Ada beza yang besar antara setuju seikhlas hati dengan paksa rela tanpa pilihan lain.
Bila majikan korang pegang passport korang, kawal status visa dan siap tentukan mana korang tidur setiap malam, dari awal lagi dah nampak berat sebelah. walaupun pekerja tu ikut je apa yang disuruh, tak semestinya dia memang rela.
Dalam kes Embun, lepas lima bulan kena pukul, potong gaji dan passport kena simpan dengan ejen, dia putuskan yang dia dah tak tahan dah. Apa jadi lepastu adalah plan larikan diri macam style James Bond, kecuali ni bukan movie dan Embun tak buat untuk seronok seronok.
“Malam kami larikan diri [dari agensi], kawan saya sebenarnya ada sorok satu kad SIM. Kami tempah Grab tengah malam melalui pintu belakang dapur sebab kat situ tak ada kamera CCTV.Kami minta pemandu Grab tu tutup lokasi telefon dia dan terus bawa kami ke [negeri lain yang jaraknya beberapa jam perjalanan]. Kami takut sangat kalau pihak agensi dapat tangkap kami dan pukul kami lagi.” –Embun
Embun berjaya terlepas, tapi larikan diri bermakna dia terus jadi pekerja tanpa dokumen sekelip mata. Tapi jangan cepat sangat judge dia! Untuk faham kenapa dia rasa tu je pilihan dia, kita kena tengok macam mana sistem ni perangkap pekerja domestik dengan sangat teruk.
Fakta menarik! Undang-undang buruh Malaysia KECUALIKAN pekerja domestik daripada perlindungan utama.
Rupa-rupanya, bukan semua pekerja dilayan sama rata di bawah undang-undang kita.
Sementara kita boleh senang senang ugut boss kita kat HR bila dia suruh jawab email hari Ahad, pekerja domestik takde langsung kelebihan macamtu. Di bawah Akta Kerja 1955, beberapa perlindungan asas pekerja seperti hari rehat, had maksimum waktu bekerja dan bayaran kerja lebih masa (OT) sebenarnya tak terpakai kepada pembantu rumah.
Tambah pula dengan status sebagai pekerja asing tanpa dokumen yang sah, pekerja yang sememangnya dah ditindas ni jadi makin susah nak pertahankan diri
Okay, kita recap sikit kat sini. Hak sah pekerja domestik untuk “bernafas” kat Malaysia ni bergantung 100% pada seorang majikan je. Ye sekejam tu. Kalaulah pekerja tu kena pukul, dibiar kebulur atau dah berbulan-bulan tak dapat gaji sekalipun, keluar je dari rumah majikan, habislah diorang. Majikan boleh call imigresen, batalkan permit kerja dia dan jadikan dia pendatang haram dalam sekelip mata. Dari situ, pekerja yang nak ambil tindakan terhadap majikan diorang akan terperangkap dalam satu situasi Catch-22 yang memang tak ada jalan keluar.
“Masalah pekerja domestik nak pergi mahkamah ni, sebaik sahaja pekerja tu keluar dari rumah atau buat aduan terhadap majikan, majikan akan batalkan permit kerja dia. Lepas tu pekerja jadi tanpa dokumen. Untuk failkan kes pula, dia kena pergi cari peguam, failkan kes, dan dengan tu baru dia akan dapat pas khas, yang kena diperbaharui setiap bulan dengan bayaran RM100. Dan selagi pas khas tu aktif, dia tak boleh bekerja,” –Sumitha
Jadi, cuba korang fikir balik. Dah kena dera, terpaksa larikan diri, hilang kerja, lepas tu kena bayar RM100 setiap bulan untuk pas sementara, tapi TAK DIBENARKAN kerja sementara tunggu kes mahkamah selesai? Walao weh, macam mana nak hidup kalau macam tu?!
Nak betulkan benda ni sebenarnya bukannya susah mana pun pun. Kat jiran sebelah kita, Singapura, bila majikan batalkan permit, kerajaan secara automatik bagi pekerja Special Pass sementara supaya dia ada masa cari majikan baru atau selesaikan tuntutan dia dengan selamat.
Sebelum korang tanya soalan yang terpaling rakyat Malaysia tu: “Habis kenapa tak balik kampung je? Kenapa nak stay dan ambil risiko kena buli dengan majikan yang teruk?”
Hakikatnya, Embun memang nak balik. Dia siap cuba dapatkan dokumen perjalanan kecemasan yang dipanggil SPLP, yang membolehkan dia buat perjalanan sehala balik ke Indonesia.
“Sebenarnya saya memang bercadang nak balik lepas 3 tahun. Saya nak mohon SPLP dan bayar kompaun. Tapi masa cuba buat SPLP tu, saya kena tipu RM2,000 dengan seorang ejen! Benda tu buat saya trauma,” – Embun
Jadi, terkandas kat Malaysia dengan dompet kosong dan trauma dengan ejen-ejen scammer, satu-satunya pilihan Embun ialah terus usaha cari rezeki. Kat Indonesia, kerja domestik cuma dapat dalam RM600 je sebulan. Tapi kat Malaysia, jadi tukang cuci bebas boleh bawa balik lebih RM2,000. Bagi Embun, perbezaan tu buat dia boleh tanggung pelajaran anak-anak dia, jadi dia gagahkan juga diri dan bertahan.
“Pengalaman saya.. pahit manis semua saya dah telan. Saya pernah dikejar polis dan lari ke hutan tebal! Masa tu, ada ura-ura yang imigresen tengah buat serbuan. Ada orang bagi amaran awal, jadi kami lari masuk hutan dulu. Kami menyorok senyap-senyap dalam hutan sampai pagi, dan balik semula bila dah selamat. Itulah nasib pekerja tanpa dokumen,” – Embun
Setakat ni, memang senang nak anggap Embun ni cuma orang yang malang dan terjumpa orang yang salah. Tapi bila kami ba ca lebih banyak kes dan bercakap dengan lebih ramai orang, kami perasan corak yang sama asyik berulang.
Ramai yang kaut untung tapi pembantu rumah pula yang terpakasa tanggung semua risiko.
Kalau kita tengok balik siapa yang terlibat dalam cerita ni, ada pekerja domestic, majikan, pemilik perniagaan, agensi pengambilan pekerja, kerajaan kita dan negara asal yang menghantar pekerja datang sini. Dan yang berdiri betul-betul kat pintu ekosistem ni ialah agensi pengambilan pekerja, yang jadi orang tengah utama.
Sekarang, bayangkan apa jadi bila pintu tu bertukar jadi perangkap.
Bila agensi tipu pasal jenis pekerjaan, kenakan bayaran yang melampau atau terus hilangkan diri bila ada masalah, pekerja dah pun terdedah kepada risiko sebelum sempat jejak kaki kat Malaysia. Bila terlalu banyak pihak terlibat tapi tak jelas siapa yang patut bertanggungjawab, keadaan ni buka ruang untuk sesetengah majikan dan ejen ambil kesempatan. Akhirnya, orang lain yang kaut untung, tapi pekerja pula yang kena tanggung hampir semua risiko.
Lepas Embun lari dari agensi dia tanpa dokumen sah, dia terpaksa melompat dari satu kerja tak formal ke kerja lain, apa-apa je yang dia boleh dapat. Salah satunya ialah kerja sementara kat sebuah kedai nasi ayam Cina di Subang Jaya. Syif dia bermula pukul 6 pagi, dari lap meja, sediakan ayam kukus dan hidang air tak berhenti-henti sampai pukul 1 petang, tanpa rehat langsung walau sekadar nak duduk. Segala kerja patahkan tulang belakang ni untuk upah cuma RM50 je sehari.
“Boss tau ke saya datang Malaysia sebagai [pekerja domestik]? Ya dia tau. Tapi dia ambil juga saya dan bayar saya kurang sebab dia faham situasi saya,” –Embun
Pemilik kedai tahu pekerja tanpa dokumen tak boleh nak pandai-pandai masuk Jabatan Tenaga Kerja untuk buat aduan pasal gaji tak berbayar atau keadaan kerja yang teruk. Lagi teruk, pekerja yang tak boleh lapor kes kecurian gaji dengan selamat memang lagi senang untuk dibayar murah, perah tenaga dan dibuang bila-bila masa.
Macam pejuang hak pekerja migran Indonesia, Wahyu Susilo, tegaskan, permintaan yang begitu besar terhadap tenaga kerja murah tanpa dokumen inilah yang buat kitaran pekerja tanpa dokumen tak pernah berhenti.
“Kalau penguatkuasaan imigresen itu adil, bukan pekerja migran Indonesia sahaja yang patut dihukum, tapi majikan tak pernah dihukum, syarikat pun tak pernah dihukum.
Dan inilah yang buat masalah pekerja tanpa dokumen berterusan, sebab memang permintaan untuk pekerja tanpa dokumen lagi tinggi daripada pekerja berdokumen… Mereka perlukan pekerja dengan cepat, dan itu hanya boleh dipenuhi kalau pekerja dibawa masuk secara besar-besaran, dan bawa masuk pekerja migran secara besar-besaran dan berdokumen ini mahal, sebab syarikat perlu bayar levi,” – Wahyu
Jadi kita boleh kata yang isu yang pekerja domestik ni hadap bukanlah rahsia. Cuba tengok balik tajuk-tajuk berita lama, isu yang sama sebenarnya dah bertahun-tahun kita dengar. Kalau semua orang dah tahu ada majikan dan ejen yang selamba je guna jalan belakang untuk ambil pekerja asing, kenapa sistem kita masih bergerak macam siput nak selesaikan masalah ni?
Rupa-rupanya, reformasi undang-undang memang susah bila ahli parlimen sendiri pun ambil bibik.
Pertama sekali, ada konflik kepentingan yang jelas depan mata, betul-betul dalam Parlimen. Menurut Sumitha, nak suruh penggubal undang-undang lulus perlindungan undang-undang yang lebih baik untuk pekerja domestik ni memang perjuangan yang mendaki bukit, sebab ramai ahli parlimen sendiri pun majikan kepada pekerja domestik. Jadi, kalau lulus peraturan buruh yang lebih ketat, memang tak menguntungkan kepentingan peribadi diorang.
“Perjuangkan hak pekerja domestik sangatlah susah. Kenapa? Sebab MP sendiri ada pekerja domestik. Jadi, walaupun kami dah cuba bincang dengan ahli Parlimen, mereka tak nak tambah baik hak pekerja, khususnya pekerja domestik. Sebab nanti mereka sendiri pun kena bagi hak yang sama kepada pekerja domestik masing-masing.” –Sumitha
Dan pembaikan yang diminta oleh aktivis dan pakar undang-undang ni pun bukannya radikal sangat.
Yang paling atas dalam senarai ialah membetulkan Jadual Pertama Akta Kerja 1995 supaya pekerja domestik akhirnya dapat hak asas. Pakar-pakar juga desak supaya diwujudkan Akta Pekerja Domestik yang berasingan untuk letak had yang jelas tentang apa yang majikan boleh suruh pekerja buat, di samping pisahkan permit kerja daripada majikan semasa kes mahkamah, supaya pekerja yang didera tak terus jadi pendatang haram sebaik saja diorang ni bersuara.
Jadi tak hairanlah,bila orang atasan sendiri susah nak buat perubahan,sikap ni terus melekat dalam mentaliti harian kita. Sebab utama kenapa ramai sangat orang rasa selesa guna pekerja domestik kat kedai dan perniagaan ialah kita masih anggap diorang macam orang gaji peribadi, bukan pekerja sebenar dengan kontrak kerja yang jelas.
Akhir sekali, seorang pekerja tak patut perlukan ijazah undang-undang, rangkaian sokongan belakang tabir dan keberanian nak lari tengah malam, semata-mata untuk dilayan macam manusia.
Embun datang ke Malaysia dengan harapan nak bagi masa depan yang lebih baik untuk anak-anak dia dan akhirnya buka bisnes kecil kat kampung. Tapi sekarang, dia sentiasa tertanya-tanya, hari ni ke hari dia kena humban dalam penjara. Dan mungkin itulah bahagian paling kejam dalam keseluruhan sistem ni. Lepas semua yang Embun dah harungi, sama ada seorang pekerja berakhir selamat atau dieksploitasi, tu semua masih bergantung pada satu faktor yang langsung tak menentu.
“Memang bergantung pada nasib. Kalau dapat majikan yang baik, nasib kita baik. Kalau dapat majikan yang teruk, nasib kita pun teruk,” – Embun
Projek ni mendapat sokongan daripada Thomson Reuters Foundation sebagai sebahagian daripada usaha global mereka untuk memperkukuh masyarakat yang bebas, adil dan berpengetahuan. Apa-apa bantuan kewangan atau sokongan yang diberikan kepada wartawan tidak mempunyai pengaruh editorial. Kandungan artikel ini adalah milik penulis sepenuhnya dan tidak disokong oleh, atau dikaitkan dengan, Thomson Reuters Foundation, Thomson Reuters, Reuters, mahupun mana-mana pihak berkaitan yang lain.