- 267Share sekarang!
- Email8
- Facebook259
- Share
(This article is a translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)
Sebelum ni kitorang ada tulis artikel berkaitan dengan pembalakan, di mana ada perebutan tanah antara orang Asli dan kerajaan Kelantan. Kali ni isu yang hampir sama berlaku di antara TNB dan penduduk Janda Baik di Bentong, Pahang.
Ia berkaitan dengan sebuah ancaman kepada penduduk kampung di Janda Baik, di mana sebuah projek pembinaan pencawang TNB berkemungkinan besar akan merosakkan kawasan sekitar, dan menjejaskan kampung berhampiran.
Hidup orang kampung berisiko disebabkan projek pembinaan pencawang TNB
Sekarang mesti korang terfikir, “Kalau kita tak bagi TNB bina pencawang, jadi macam mana kita nak dapatkan bekalan eletrik? Takkan nak guna lilin je?”
Jadi untuk memahami masalah ni, kita tengok dulu kampung yang jadi isu ni: Janda Baik. Kampung tu sendiri sangat kaya dengan sejarah. Mana taknya, tengok nama je pun dah boleh tertanya-tanya, macam mana nama Janda Baik ni boleh timbul? Apa sejarah disebaliknya?
Salah satu daripada kisah yang diceritakan adalah, satu masa dulu, kampung tersebut sebenarnya bernama Kampung Tiga Haji kerana pengasas-pengasas tempat tersebut adalah tiga lelaki yang bernama Haji.
Pada tahun 1932, Sultan Pahang, Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam membuat kunjungan ke kampung tu disebabkan kawasan tu semakin ramai penduduk.
Masa baginda bersembang dengan penduduk kampung, ada antara diorang yang menceritakan kisah pertengkaran antara Tok Batin Orang Asli dan isterinya, Siah yang menyebabkan penceraian. Tapi penceraian tu tak lama apabila mereka rujuk kembali tak sampai sebulan lepas tu. Tertarik dengan kisah tu, baginda menamakan tempat tu sebagai Janda Baik dan kekal sampai sekarang. Ada juga beberapa versi lain yang korang boleh baca kat sini.
Berbalik kepada permasalahan tadi, penduduk kampung Janda Baik sekarang ni mampu bertahan disebabkan industri eko-pelancongan. Macam yang kita semua tahu, ramai pelancong dari dalam dan luar negara suka datang ke Janda Baik sebab udara yang nyaman dan selesa untuk berkelah dan menginap di chalet. Malah, ada beratus-ratus buah chalet dan resort ada di Janda Baik ni, sampaikan ada Persatuan Pengusaha Resort Janda Baik Highlands lagi untuk kesemua pengusaha ni.
Ia sangat popular, sampaikan majlis perkahwinan dan percutian keluarga adalah sesuatu yang sangat biasa di sini, dan juga disebabkan keindahan tempat ni yang sangat… ‘instagrammable’.
Ok, sekarang cuba korang bayangkan. Kalaulah ni tempat tinggal kita, dan ia adalah cara kita sara hidup kita. Tapi satu hari ada pihak nak gondolkan, macam mana?
Percubaan TNB untuk membina saluran kuasa juga dah menyebabkan pencemaran sungai
Masalah yang dihadapi penduduk kampung ni bukanlah sesuatu yang baru. Sejak tahun 2015, TNB dah mulakan projek di Bentong Selatan, berhampiran Janda Baik. Tujuannya adalah untuk membina 500kV talian penghantaran ke Lenggeng dan 275kV ke Ampang. Projek tu juga melibatkan penebangan pokok untuk membuat laluan.
Walaupun takde bukti kukuh, tapi ramai percaya yang TNB dah buat penebangan di kawasan tu secara berlebihan, dan menyebabkan tanah runtuh yang meliputi Lebuhraya Karak akhir tahun itu.
TNB pula dalam masa yang sama menafikan, dan mengatakan tanah runtuh tu bukanlah disebabkan projek kabel tu. Menurut mereka, TNB tak mulakan lagi projek pembangunan pencawang pada masa tu, dan tapak projek tu pula jauhnya berkilometer daripada tempat kejadian. Tapi, sebelum TNB mulakan projek tu lagi mereka dah upah pembalak untuk menebang hutan, dan ia adalah kontrak TNB.
“Saya faham tentang keperluan untuk membina wayar tegangan tinggi di sana. Bagaimanapun, mereka (kontraktor) menebang lebih banyak daripada apa yang mereka perlukan, “- Puan Sri Sharifah Sabrina, Presiden Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (PEKA), dipetik dari The Star.
Walaupun projek dihentikan buat sementara waktu selepas kejadian tu, isu yang sama muncul lagi pada 2016 apabila penduduk kampung Janda Baik menyuarakan ketidakpuasan hati mereka secara langsung terhadap projek tu. Penduduk kampung menyedari sungai-sungai disekitar Janda Baik telah mula menjadi cetek dan tercemar, dan menurut mereka, ia disebabkan projek kabel TNB.
“Pendapatan utama kami adalah eko-pelancongan dan pertanian, dan kami bergantung kepada sungai untuk sumber air. Jika orang berhenti datang, sumber pendapatan kami akan terjejas…
Kami tak menentang projek tu. Kami hanya mahu melindungi alam sekitar, “- Mohd Rosli Norrashid, penduduk Janda Baik, dipetik dari New Straits Times
Kebimbangan mereka berasas kerana keadaan menjadi lebih buruk bagi penduduk Janda Baik. Pada bulan Jun tahun ni, Persatuan Resort Janda Baik pun sertai penduduk kampung yang menentang projek tersebut, dengan menyatakan projek tu akan melibatkan penebangan lebih banyak pokok. Ia bakal mengakibatkan hakisan tebing sungai yang mana kebanyakan chalet Janda Baik bergantung kepada sungai tersebut.
Ok, sebelum korang call talian hotline TNB 15454 untuk mengadu tentang pekerja mereka merosakkan alam sekitar, korang kena tahu yang…
Plot twist: Perkara ni mungkin bukan salah TNB, walaupun mereka mungkin dipertanggungjawabkan
Setakat ni, kitorang tak boleh nak bagi sebarang butir-butir lengkap tentang proses undang-undang TNB untuk teruskan projek mereka ni. Kalau nak tahu lebih lanjut, korang boleh baca kes ni melalui artikel undang-undang kawan kitorang di AskLegal.
Apa yang korang patut tahu sekarang – TNB sebenarnya cuba pelbagai rancangan untuk meminimumkan kesan alam sekitar bagi projek mereka. Bukan tu je, rancangan TNB tu juga diluluskan oleh kerajaan negeri Pahang, dan Jabatan Alam Sekitar. Mereka dah keluarkan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) TNB dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang kemudiannya dikaji dengan lebih lanjut, dan mengurangkan risiko kepada persekitaran sekitar Janda Baik.
Tapi, TNB dalam masa yang sama kena la bertanggungjawab sebab mereka yang upah pembalak ni. Malah, TNB juga sebenarnya boleh saman pembalak tu. Apa yang menambah kekeliruan dalam kes ni adalah walaupun EIA dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar, mereka tak boleh campur tangan dalam isu Janda Baik, sebab cuma Jabatan Perhutanan je dapat kendalikan isu pembalakan.
Apa yang Jabatan Perhutanan boleh buat adalah dengan menasihati Majlis Eksekutif Negeri Pahang untuk buat keputusan. Tapi nampaknya… mereka memutuskan untuk melepaskan semua tanggungjawab berkenaan isu tu.
Buat masa ni, TNB dah bersetuju untuk menghentikan semua kerja pembinaan dari pihak mereka sekarang, dan penduduk kampung Janda Baik bersama-sama dengan TNB akan mencari jalan baru untuk projek kabel. Bagi kerosakan yang dah dilakukan kepada alam semulajadi, Jabatan Alam Sekitar akan memulakan kerja membaik pulih sebaik mungkin.
Kes ni dah ambil masa selama bertahun-tahun, dengan pelbagai amaran. Tapi nampaknya TNB mula mendengar kebimbangan penduduk Janda Baik, dan mampu berbincang untuk menyelesaikan masalah. Jadi, kita semua berharap yang isu ni takkan berulang lagi demi alam sekitar kita yang tak boleh ditukar ganti.
- 267Share sekarang!
- Email8
- Facebook259
- Share