Isu pembatalan enakmen syariah Kelantan: 3 benda yang rakyat perlu risaukan

Baru-baru ni, ada kes besar yang dikatakan menggugat sistem syariah negara.

Ringkasnya, peguam Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Natasha buka kes untuk cabar 18 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019. Pada Jumaat lepas (9 Feb), Mahkamah Persekutuan setuju untuk batalkan 16 peruntukan, bermakna perkara-perkara ni bukan lagi di bawah undang-undang syariah Kelantan.

Isu ni membuatkan ramai rakyat Malaysia yang beragama Islam risau, kerana nampak macam satu langkah ke belakang bagi Islam dan syariah di negara ni. Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, antaranya menyifatkan hari Jumaat tersebut sebagai ‘Black Friday’ atau Jumaat yang hitam.

“Ini bukan benda kecil, mempertahankan syariah mempertahankan institusi raja-raja yang menjadi ketua kepada agama Islam negeri, Yang di-Pertua. Agong pula ketua agama Islam Wilayah Persekutuan bagi negeri tidak beraja, jadi ini kita mempertahankan syariah mempertahankan institusi raja-raja Melayu,”

– Datuk Takiyuddin Hassan, dipetik dari Sinar Harian.

Mendengarkan nama raja-raja dan YDP Agong dipetik, bunyinya macam kedaulatan Malaysia sendiri dah tergugat. Tapi yang lebih membimbangkan sebenarnya adalah macam mana isu ni boleh jadi isu besar, sampaikan Nik Elin ni kena ugutan bunuh dan Kementerian Dalam Negeri pun kena pantau reaksi awam.

Berdasarkan pemerhatian, ada tiga sebab kenapa boleh jadi macam ni.

Sebab #1: Rakyat tak didedahkan dengan pengetahuan undang-undang

Sebenarnya kami sendiri pun melatah bila mula-mula dengar pasal kes ni, sebab dari tajuk berita, apa yang kami faham ialah “undang-undang Islam tercabar”. Tapi lepas baca lebih mendalam dan tengok pada sistem syariah di Malaysia, ni sebenarnya kes “kerajaan negeri buat undang-undang luar bidang kuasa diorang”.

Tapi… bunyinya begitu serius!!? Berita dari Astro Awani.

Undang-undang kat Malaysia ada dua: sivil dan syariah. Sivil digunapakai oleh semua dalam Malaysia, syariah digunapakai orang Islam di peringkat negeri masing-masing. Parlimen gubal undang-undang sivil, kerajaan negeri gubal undang-undang syariah.

Sebab kita ada dua jenis undang-undang, untuk elakkan pertindihan kita tetapkan yang undang-undang syariah cuma boleh cover benda-benda berkaitan adat dan agama Islam di peringkat negeri. Contohnya, kesalahan bakar bangunan tak boleh bawah syariah, tapi kalau bangunan yang dibakar tu masjid, boleh bawah syariah sebab melibatkan agama Islam.

Sebaliknya, undang-undang sivil tak boleh sentuh hal berkaitan adat dan agama Islam. Tangkap layar dari Jadual Kesembilan, Senarai II, Perlembagaan Persekutuan.

Jadi seksyen-seksyen yang dibatalkan ni boleh dibatalkan sebab dah terkeluar dari bidang kuasa mahkamah syariah. Tu je. Benda-benda ni masih lagi kesalahan di bawah undang-undang sivil.

Kalau nak kata tak hormat hukum tuhan pun tak betul juga sebenarnya, sebab dalam perundangan Islam, kesalahan ada tiga jenis: hudud, qisas, dan takzir. Ringkasnya,

  • Hudud: langgar hukum Allah, hukuman bagi kesalahan ada dalam al-Quran dan Hadis.
  • Qisas: kesalahan sesama manusia, hukuman juga ada dalam al-Quran dan Hadis, sama ada balasan setimpal (bunuh dibalas bunuh contohnya) atau ganti rugi ikut budi bicara waris.
  • Takzir: kesalahan yang ada disebut, tapi hukuman tak ditetapkan, jadi terpulang pada pihak berkuasa untuk tetapkan.

Syariah Malaysia hanya pakai takzir setakat ni (hukuman ditetapkan kerajaan negeri), sama macam sivil (hukuman ditetapkan parlimen). Jadi tak ada isu mencemar hukum tuhan kalau kesalahan-kesalahan ni di bawah sivil dan bukan di bawah syariah.

Antara komen dari posting berita berkaitan kes.

Jadi kenapa ramai yang salah faham ni? Mungkin pengetahuan ni tak ditekankan di sekolah. Mungkin kebanyakan cuma baca tajuk berita. Atau mungkin juga ada kerisauan yang berita ni semuanya tak boleh dipercaya sebab agenda liberal untuk menyesatkan dan melemahkan kedudukan Islam kat Malaysia.

Yang membawa kita ke sebab kedua…

Sebab #2: Ada ketakutan terhadap benda-benda ‘liberal’ kat Malaysia

Kes ni jadi sensitif bila rakyat anggap yang ni kes agama sebab ada perkataan “syariah”, dan mungkin jadi bertambah buruk bila rakyat label Nik Elin dan Tengku Natasha ni sebagai “liberal”. Lihatlah gambar diorang:

Nik Elin (kiri) dan Tengku Natasha (kanan). Tangkap layar dari video Malaysiakini (BM).

Tak pakai tudung! Liberal!!!

Antara komen dari posting berita berkaitan kes.

Sekadar tak pakai tudung tu satu hal, tapi ada sesetengah pihak korek habis resit dan putar belit cerita untuk menambah perasa liberal kat dua beranak ni. Antaranya, ada yang mendakwa Nik Elin imamkan suaminya solat dan ungkit balik kenyataan lepas dia tentang kewajipan pakai tudung.

Antara posting yang tular di Facebook.

Apa kaitannya benda-benda ni dengan kes enakmen Kelantan? Sepatutnya tak ada kaitan, tapi bila Nik Elin dan Tengku Natasha ni dilihat liberal di mata rakyat, sekarang isu ni dah jadi “golongan liberal nak ancam kedudukan Islam”.

Berasas ataupun tak, memang ada kerisauan yang kedudukan Islam di Malaysia kian terhakis dek golongan liberal dan sekular ni, dan sentimen ni dapat dilihat dengan jelas dalam kenyataan dibuat Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan:

“Apa yang kita bimbangkan, hasil keputusan ini bukan sahaja membolehkan undang-undang di Kelantan dicabar, tetapi seluruh undang-undang Islam di negeri lain juga akan dicabar setelah kejayaan bermula di Kelantan. Jadi, mereka akan lebih berani setelah kejayaan tersebut dan golongan liberal ini akan lebih bermaharajalela seolah-olah mereka ada kuasa,”

– Dato’ Siti Zailah, kepada HarakahDaily.

Mungkinkah keadaan akan berbeza kalau diorang ni pakai tudung litup dan berana anta dengan wartawan? Mungkin tak pun, kerana bukan kebetulan isu ni tetiba jadi Islam vs liberal.

Sebab #3: Ahli politik, yang sepatutnya celik undang-undang, bagaikan sengaja buat-buat tak faham

Selain kenyataan “Black Friday” Datuk Takiyuddin Hassan pada permulaan artikel – yang kita sekarang tahu tak tepat – banyak lagi kenyataan-kenyataan berbaur serupa dikeluarkan ahli-ahli politik dalam minggu lepas.

Muhyiddin Yassin, pengerusi Bersatu, mengatakan yang kes ni bakal bagi kesan dan impak negatif kepada sistem perundangan syariah bukan sahaja di Kelantan, tetapi seluruh negara. Menurut beliau,

“Dengan keputusan ini, perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam seperti menawarkan perkhidmatan maksiat, berkhalwat, sumbang mahram dan minum arak tidak lagi menjadi suatu kesalahan bagi umat Islam di negeri Kelantan.”

– Muhyiddin Yassin, di Facebook beliau.

Dalam minggu lepas juga, walaupun beliau tak nyatakan isu apa yang beliau maksudkan, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengatakan yang undang-undang penjajah masih kekal walaupun dah merdeka. Antara lain, beliau turut menyeru umat Islam bangkit menentang usaha yang ‘zalim dan menyesatkan mereka’ daripada Islam yang sebenar.

“Hal ini demikian kerana dosa menghina Islam lebih besar daripada dosa menghina mahkamah yang sebenarnya hina di hadapan Allah,”

– Abdul Hadi Awang, dipetik dari Malaysiakini.

Susulan keputusan mahkamah, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengatakan yang beliau akan memohon untuk menghadap YDPA dan Sultan Selangor untuk menyerahkan memorandum khas tentang isu ini. Beliau menzahirkan rasa risau tergugatnya Enakmen Jenayah Syariah seluruh negeri dalam Malaysia.

“Jika dilihat dari mata kasar, keputusan ini boleh mendatangkan impak besar dalam menghakis kuasa serta bidang kuasa raja-raja Melayu. Walhal, raja-raja Melayu termasuk Yang di-Pertuan Agong semasa mengangkat sumpah jawatan mengikut Perkara 37 (1) telah bersumpah untuk memelihara agama Islam pada setiap masa,”

– Hamzah Zainuddin, dipetik dari Harian Metro.
Apa yang cuba dikatakan ni? Hmm…

Dan semestinya kita tak boleh lupakan Wan Ahmad Fayshal, yang entah kenapa kaitkan isu ni dengan Rusuhan Natrah. Perhatikan penggunaan istilah-istilah yang membakar emosi (fitnah, sekular, liberal, musibah, dicabar, bahaya, menghakis kedaulatan) dicampur aduk dengan petikan sejarah dan jargon tak berkait (Natrah, Mustafa Kamal Ataturk) untuk menambah kredibiliti.

Petikan dari posting Facebook beliau.

Wakil rakyat sepatutnya lebih arif tentang undang-undang, sebab dah memang kerjanya gubal dan bahaskan undang-undang. Jadi kenapa mereka keluar kenyataan-kenyataan macam ni sekarang dan bukan masa kes ni keluar dahulu?

Mungkin sesetengah mereka memang sejujurnya tak faham isu, yang agak merisaukan sebab gaji MP tetap jalan. Atau lebih berkemungkinan yang mereka sengaja keluarkan kenyataan-kenyataan macam ni untuk kepentingan sendiri, sebab bukan pertama kali isu macam ni jadi.

Yang membawa kita kepada benda yang paling patut kita risau…

Zaman berubah pun, rakyat tetap kena game dengan taktik politik sama

Isu main sentimen agama dan bangsa ni sepatutnya dah lapuk, tapi kita masih dapat lihat hingga ke hari ni. Sejak sebelum merdeka lagi isu-isu ni dah dimainkan dan terus dimainkan ahli politik, sebab taktik ni mudah, berkesan, dan boleh dikitar semula dengan hanya tukar watak-watak yang terlibat.

Bergilir gilir sampai abang Jamil mampus. Gif dari Tenor.

Formulanya sama je:

  1. Kaitkan sesuatu isu dengan kedaulatan agama/bangsa (cth: jurang ekonomi antara kaum, enakmen syariah dibatalkan)
  2. Cari musuh untuk rakyat dalam isu ni (cth: kaum lain, golongan liberal)
  3. Api-apikan rakyat (cth: MEREKA SEMAKIN BERANI!!!)
  4. Tampil sebagai pejuang agama/bangsa dan dapat sokongan majoriti

Kali ni ramai juga netizen yang sedar perkara sebenar dan cuba betulkan persepsi yang salah. Namun masih banyak yang perlu dilakukan sebelum kita boleh tinggalkan isu-isu lapuk ni di belakang dan mula fikirkan benda-benda yang lebih penting.

Antara komen dari posting berita berkaitan kes.

Selagi rakyat masih tak boleh berfikir sendiri dan bergantung harap pada ahli politik, selagi tulah ahli politik akan ambil kesempatan atas kemalasan rakyat.