- 2.4KShare sekarang!
- Email178
- Facebook2.3K
- Share
Korang tahu tak, dekat Kuala Terengganu ada sebuah seni bina terbiar yang pernah menjadi sebuah inap desa atau homestay terkenal suatu masa dulu. Homestay tu bernama Pura Tanjung Sabtu yang terletak di Kampung Tanjung Sabtu, Manir, Kuala Terengganu.
Pura ni dalam bahasa Sanskrit bermaksud istana atau kota. Pura Tanjung Sabtu turut dikenali sebagai Tujuh Rumah Putera yang mempunyai tujuh buah rumah yang sangat besar dan cantik tapi kini usang tanpa diurus.
Kalau korang nak tahu yang menariknya seni bina rumah ni mendapat inspirasi dari…
Istana Niji-jo di Jepun, oleh seorang kerabat diraja Terengganu
Macam kitorang bagitahu tadi, Pura Tanjung Sabtu ada tujuh buah rumah yang bersambung yang berusia lebih kurang 100 hingga 200 tahun. Yang menariknya, setiap rumah kat situ ada nama-nama sendiri mengikut tempat asal mereka dibawa.
Pura Tanjung Sabtu ni merupakan sebuah inap desa atau homestay yang ditubuhkan oleh seorang kerabat diraja Terengganu, Allahyarham Tengku Ismail Tengku Su. Homestay di Pura Tanjung Sabtu tu dikatakan sangat terkenal sekitar tahun 1990-an terutama dalam kalangan orang ternama dan kerabat diraja selain kerap mendapat pengunjung dari Eropah.
Allahyarham Tengku Ismail juga dikatakan mendapat idea nak membangunkan rumah tradisional selepas lawatan ke Istana Nijo-jo di Osaka, Jepun. Tengku Ismail berasa kagum dengan pemeliharaan struktur kayu istana tersebut yang dibina pada 1603.
Untuk pengetahuan korang, Pura Tanjung Sabtu ni tersangatlah berbeza dari seni bina yang lain kat Malaysia ni, sehinggakan…
Ia meraih pencalonan Aga Khan Award for Architecture
Keunikan seni bina Pura Tanjung Sabtu ni terletak pada penggunaan kaedah sambungan kayu atau pasak. Pura Tanjung Sabtu ni dibina tanpa menggunakan sebarang paku untuk mencantumkan bahagian-bahagian setiap rumah.
Kan tadi kami dah bagitahu yang terdapat tujuh buah rumah yang mempunyai nama tersendiri mengikut nama kampung asal mereka dibawa. Antara nama-nama rumah kat situ ialah Rumah Atas Tol, Rumah Rhu Rendang, Rumah Kuala Ibai dan Rumah Seberang Baroh.
Selain tu, bahagian-bahagian rumah Pura Tanjung Sabtu ni dibawa satu per satu untuk dipasang di Tanjung Sabtu. Bahagian rumah paling panjang yang dibawa ke Tanjung Sabtu dikatakan berukuran 44 kaki x 8 inci x 8 inci.
Kerja-kerja pemuliharaan secara besar-besaran ni memerlukan tenaga kerja pakar dari seluruh negeri. Iya lah, bahagian-bahagian rumah yang dah beratus tahun tu diambil semula dan diberi ‘nyawa’ baru.
Selepas beberapa tahun berhempas pulas dalam pembinaan, Tengku Ismail berasa sangat gembira sebab homestay Pura Tanjung Sabtu mendapat pengiktirafan. Pura Tanjung Sabtu telah meraih pencalonan dalam Aga Khan Award for Architechture pada tahun 2007.
Homestay gaya kampung tapi sangat mewah dengan perabot import
Untuk pengetahuan korang, purata panjang bagi rumah-rumah di Pura Tanjung Sabtu ni adalah 20 hingga 30 kaki. Rumah-rumah kat situ kesemuanya bersambung antara rumah ke rumah dan ada dua sayap iaitu sayap sebelah barat dan timur.
Sayap sebelah barat ni merupakan bilik tidur dan belajar kepunyaan Tengku Ismail, termasuklah ruang tamu dan makan. Selain tu, ada juga dapur dan kuaters untuk pekerja-pekerja serta bengkel menenun songket di tingkat bawah.
Manakala sayap sebelah timur pulak ada rumah tamu dan galeri songket. Tengku Ismail membuka tiga buah rumah tamu untuk pengunjung yang nak menikmati homestay kampung-style tapi dengan sentuhan diraja.
Kalau korang nak tahu, homestay kat Pura Tanjung Sabtu ni nampak je kampung, tapi ia sangat mewah tahu! Kemewahan Pura Tanjung Sabtu ni dapat dilihat melalui perabot kayu yang diimport dari Bali dan lampu-lampu kaca dari Bangkok.
Rasanya Pura Tanjung Sabtu ni sangat sesuai jugak untuk anak-anak bandar yang tak biasa suasana kampung ni. Walaupun dibina dengan kampung-style, homestay kat situ semuanya ada air-cond dan bilik mandi dengan rekaan moden.
Tambah lagi dengan katil yang mengikut rekaan pelamin tradisional siap dengan kelambu lagi. Lagi satu, bantal tidur pun isi bulu angsa tau!
Pura Tanjung Sabtu terbiar selepas Putera Songket mangkat
Allahyarham Tengku Ismail ni sangat meminati songket tau sehinggakan baginda digelar Putera Songket. Selain homestay, Tengku Ismail juga membuka perusahaan songket kat Pura Tanjung Sabtu dikatakan sangat laku sehingga menerima permintaan dari luar negara.
Mungkin sebab tu lah Tengku Ismail buka bengkel untuk belajar menenun songket dan galeri songket kat Pura Tanjung Sabtu ni. Boleh promote pakaian budaya kita lagi-lagi untuk pengunjung luar negara.
Tapi malangnya, homestay kat Pura Tanjung Sabtu ni dah takde selain rumah-rumah terbiar kat situ. Ini disebabkan tak ada siapa yang sambung untuk menguruskan Pura Tanjung Sabtu selepas Tengku Ismail mangkat pada 2011.
Sayangnya, kerja keras Tengku Ismail dan tenaga-tenaga kerja yang lain dalam membina Pura Tanjung Sabtu yang pernah gah di mata dunia terbiar dan tak terjaga macam tu je.
Pemuliharaan Pura Tanjung Sabtu bantu ekonomi penduduk setempat
Berita baiknya, pada Mac tahun lepas, Kerajaan Terengganu sedang dalam kerja untuk membangunkan kembali Pura Tanjung Sabtu. Ia dikatakan akan dijadikan tarikan pelancongan berasaskan komuniti supaya penduduk setempat pun dapat menjana ekonomi tempias dari pemuliharaan Pura Tanjung Sabtu ni.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman,
“Alhamdullilah, pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Sabtu turut bekerjasama dalam bergotong-royong di sini yang juga kelihatan seperti rumah tradisional antik dan pernah tular di media sosial.” – petikan dari TRDI.my
Jadi, sama-sama kita harapkan yang terbaik supaya Pura Tanjung Sabtu berjaya dipulihara dan menjadi tumpuan pelancongan macam dulu. Kita sebagai rakyat Malaysia terutama berbangsa Melayu ni kenalah sama-sama pelihara tradisi dan warisan budaya kita.
- 2.4KShare sekarang!
- Email178
- Facebook2.3K
- Share