Ismail Sabri sah menjadi PM ke-9. Ini pencapaian & kontroversi beliau selama ni

*Artikel ini pada asalnya diterbirkan pada 18 Ogos 2021*

[TERKINI]: Sebentar tadi, Malaysia dikejutkan dengan berita mengenai Dato’ Sri Ismail Sabri ialah Perdana Menteri kita yang ke-9. Beliau juga akan mengangkat sumpah esok pada 2.30 petang di istana. Lepas je diumumkan pelbagai reaksi positif dan negatif diluahkan oleh para pengguna media sosial.

Memandangkan Dato’ Sri Ismail Sabri sah menjadi Perdana Menteri kita, mari kami kongsikan beberapa pencapaian dan kontroversi yang pernah dilakukan oleh beliau. Ayuh teruskan membaca!

Permulaan karier politiknya

Anak kelahiran Temerloh ni asalnya merupakan peguam sekitar tahun 1985, dan mula menjadi Ahli Majlis Daerah Temerloh pada 1987 dan Ahli Majlis Perbandaran Temerloh pada 1996, dan setpol kepada Datuk Sabaruddin Chik.

Dia berjaya jadi ahli parlimen pada tahun 2004, selepas memenangi pilihanraya kerusi parlimen Bera. Dari situ, dia kekal menjawat beberapa jawatan menteri dalam kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri ke 5 dan ke 6.

Amacam, ada muka Dafi tak? Imej dari FB Ismail Sabri

Kalau nak cakap pasal pencapaian pulak, ada beberapa iaitu

  1. Kedai Rakyat 1Malaysia, 2011 – Menteri KPDNKK -barang-barang keperluan dengan harga 30% lebih murah berbanding pasaraya. Tapi dah tutup sekarang sebab katanya Mydin jual dengan harga mahal.
  2. Jihad Memerangi Orang Tengah, 2014 –  Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani –  membebaskan golongan nelayan daripada terus berada dalam cengkaman orang tengah dan mengambil alih hutang nelayan sebanyak RM40 juta daripada orang tengah menerusi Tabung Ekonomi Usahawan Nasional (TEKUN).
  3. Inisiatif MARA Digital, Disember 2015 Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah – memastikan usahawan Bumiputera tidak ketinggalan dalam perniagaan bidang teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT).
  4. Membandarkan Luar Bandar tempoh lima tahun bermula 2016 – penyediaan infrastruktur asas luar bandar diperhebat oleh Ismail Sabri terutamanya di kawasan yang masih kurang liputan terutamanya di Sabah dan Sarawak serta kawasan pedalaman di semenanjung Malaysia termasuk kawasan Orang Asli.
Tapi sampai sekarang pun ada tempat yang banyak takde internet sampai ada pelajar Sabah, Veveonah kena panjat pokok. Imej dari Mstar

Beberapa kontroversi yang melibatkan perkauman

Sepanjang kerjayanya sebagai menteri, dia banyak kali juga keluarkan beberapa statement yang rasanya macam tak patut la memandangkan kita tinggal di negara yang berbilang kaum. Antara statement tersebut adalah:

1. Menyuruh orang Melayu boikot perniagaan Cina

Pada tahun 2015, Ismail Sabri pernah ajak orang Melayu boikot perniagaan yang menguntungkan Cina, dan mengatakan yang orang Melayu perlu menggunakan kuasa pengguna untuk menghalang orang Cina yang mengawal lebih dari 90% ekonomi Malaysia. Kenyataan tu dibuat dalam FBnya yang meminta supaya peniaga Cina menurunkan harga barangan selepas pengumuman penurunan harga minyak.

Perkara ni menimbulkan kemarahan beberapa pihak sampaikan Lim Lip Eng dari DAP buat laporan polis pasal ucapan tersebut. Last-last, Ismail Sabri pun kata yang dia takkan minta maaf dengan peniaga Cina. Lagipun, dia cakap jangan cop dia rasis cuma sebab dia cuma suarakan kepentingan Melayu dan Bumiputera.

2. Kes Low Yat 2

Korang ingat lagi tak kes gaduh antara Melayu dan Cina juga pada tahun 2015 – bila orang Melayu ni kata phone yang dia beli kat Low Yat tu fake, dan dia curi yang ori kat Low Yat? Disebabkan kes ni la Ismail Sabri kemudian mencadangkan penubuhan Low Yat 2 yang menempatkan peniaga Melayu saja.

Tapi baju haruslah warna-warni. Imej dari Bernama

Cadangannya tu tak dipersetujui beberapa pihak termasuklah Presiden MCA masa tu, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Saifuddin Abdullah yang mengatakan penubuhan Low Yat 2 hanya akan menjejaskan hubungan perkauman, tak bagi manfaat kepada rakyat Malaysia.

Bukan setakat tu, dua orang pemimpin Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), (parti komponen Barisan Nasional) sendiri buat laporan polis terhadap Ismail Sabri pasal ucapannya mengenai ‘Low Yat Plaza 2 untuk peniaga Melayu’ sebagai hasutan, sampaikan dia dilarang memasuki Sarawak, dan dikatakan,

“Dia tidak layak untuk menjadi menteri selepas membuat beberapa kenyataan bersifat perkauman.” – SUPP

Akhir tahun yang sama, Ismail Sabri tetap dengan pendiriannya dan merasmikan pembukaan Low Yat 2 yang dikenali sebagai… Mara Digital Mall.

Mara Digital Mall yang tak mendapat sambutan dan terpaksa ditutup. Imej asal dari Norman Goh, Malaysia Kini

3. Pembatalan penajaan Taylor’s University

Masa perhimpunan perkauman baju merah terjadi, sebuah kontraktor perkhidmatan, Wawasan Sutera menggunakan bas untuk mengangkut penumpang ke perhimpunan. Dua hari lepas tu, Taylor’s University menamatkan kontrak dengan Wawasan Sutera sebab bas yang digunakan tu ada logo universiti tersebut – logik la kan universiti nak jaga nama baik?

Bas Taylor’s yang mambawa penyokong Himpunan Rakyat Bersatu, atau perhimpunan baju merah #Himpunan169

Tapi Ismail Sabri tiba-tiba umumkan yang MARA akan tamatkan penajaan untuk pengambilan pelajar seterusnya ke Taylor’s University, dan tak sebut pun sebab pembatalan tu, malah menafikan ia ada kaitan dengan kejadian tersebut.

Teresa Kok dari DAP kemudiannya mengkritik keputusan Ismail Sabri dengan mengatakan yang keputusan Ismail Sabri sebagai penyalahgunaan kuasa. Malah, MCA sendiri mengutuk keputusan Ismail Sabri yang dianggap kebudak-budakan.

4. Ucapannya pasal “penghapusan hak istimewa Melayu kalau sokong DAP”

Menjelang PRU-14 pada tahun 2018, Ismail Sabri sekali lagi menimbulkan kontroversi bila dia gunakan ‘race card’ dengan mengatakan,

“Satu undi kepada PH, bermakna satu undi kepada DAP. Walaupun yang bertanding itu adalah daripada parti Bersatu tetapi sebenarnya di belakangnya adalah DAP,” – dipetik dari UMNO Online.

Kemudian Lim Kit Siang menjelaskan yang dalam manifesto PH, adalah jelas yang Artikel 153 hak istimewa Melayu dan Artikel 3 tentang Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Jadi, takkan ada isu untuk hak istimewa Melayu dihapuskan.

Kadang tak tau nak salahkan siapa

5. Tak perlu kuarantin bagi mereka yang balik mengundi di Sabah

Kalau ikutkan dia baru je dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri bulan lepas, dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan masa pelantikan tersebut bulan lepas (ni sebelum kerajaan PN tumbang la).

Kalau dulu satu geng, namaknya macam ada perpecahan sikit lepas Ismail Sabri decide masih nak sokong Muhyiddin Yassin walaupun Zahid Hamidi tarik sokongan. Imej dari sinar harian

Dan masa jadi Menteri Pertahanan pun… dia dikatakan merupakan ‘penyebab’ kepada kes Covid yang tinggi pada waktu ni kerana membenarkan mereka yang pulang dari Sabah tak perlu dikuarantin.

“Kalau kita mahu lakukan kuarantin wajib, seluruh negeri perlu berada dalam zon merah, sedangkan keadaan itu tidak berlaku di Sabah.”- dipetik dari Berita Harian.

Pencalonan yang sengit antara mereka Anwar & Ismail

Kalau diikutkan, mereka berdua ini mempunyai pengaruh yang besar dalam kalangan kedua-dua pihak. Pelbagai reaksi yang dikeluarkan dan diluahkan oleh para netizen ketika pencalonan Perdana Menteri dijalankan. Ramai yang menyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana pengaruhnya manakala ramai yang menyokong Dato’ Sri Ismail Sabri kerana rekod bersihnya.

Anwar Ibrahim vs Ismail Sabri, yang mana satu pilihan hati setiap MP? Imej dari The Straits Times

Apa-apapun, tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri baru kita. Jadi, apa pendapat korang mengenai Dato’ Sri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baru kita?