- 4.7KShare sekarang!
- Email5
- Facebook4.7K
- Share
Balik kerja setiap hari naik kereta memang mengajar kita erti kesabaran, lebih-lebih lagi mereka yang kerja di KL dan tinggal di luar bandar. Namun, bagi penunggang motosikal, cabaran mereka berbeza sedikit kerana faktor keselamatan dan cuaca.
Untuk penunggang motosikal mengharungi jalan yang sibuk, diorang kena “lane splitting” dan “lane filtering” (nanti penulis explain dengan lanjut) untuk sampai ke destinasi. Jadi, beberapa hari lepas, penulis pergilah tempat buat lesen memandu, ujian litar motosikal sama macam 10 tahun lepas (lalu atas titi, lalu antara kon, brek kecemasan, lalu di laluan tak rata, buat pusingan angka 8, dan lalu selekoh tajam) dan ini untuk lesen B2 (250 cc ke bawah) dan B full (atas 250 cc).
Siap je lesen motosikal, penunggang dah boleh bawak motor ikut suka hati diorang nak pergi mana. Tapi, bagi korang yang naik motor la kan, korang rasa ujian lesen motosikal ni mencerminkan cabaran dan realiti sebenar pemanduan atas jalan raya ke?
Malaysia negara ketiga tertinggi untuk jumlah kematian jalan raya di Asia?!
Malaysia negara ketiga tertinggi untuk jumlah kematian sebab kemalangan jalan raya di Asia! dan antara sebab kemalangan ni berlaku kerana kurang pemantauan pihak berkuasa, pemandu dibawah pengaruh dadah atau alkohol, memandu melebihi had laju, pemandu kurang mahir dan sebagainya. Data dari PERKESO untuk kemalangan dalam perjalanan menunjukkan umur diantara 20 ke 24 adalah umur yang tertinggi untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Selain itu, mengikut statistik bagi kematian pengguna jalan raya dalam tempoh 10 tahun (2008 – 2017), jumlah pengguna motosikal ialah 41,857 dan pengguna kereta ialah 13,758. Malah, Persatuan Automotif Malaysia pernah mengeluarkan data mengenai jumlah kenderaan persendirian yang berdaftar di Malaysia, dan jumlah kereta sebanyak 13,288,797 dan motosikal, 12,933,042. Jadi, tak banyak beza sangatlah kan jumlah kereta dan motosikal persendirian di Malaysia sebenarnya.
Apa yang cuba disampaikan di sini, kebarangkalian untuk cedera parah sangat tinggi bagi penunggang motosikal ni berbanding pemandu kereta bila berlaku kemalangan! Demi kebaikan korang, kitorang kat Soscili nak rungkaikan tentang satu cara pemanduan yang penunggang motosikal di Malaysia setiap hari buat, tapi kurang diberi pendedahan.
Apa itu “lane splitting” dan “lane filtering” ni?
Lane splitting ini ialah satu cara pemanduan di mana penunggang motosikal akan bawa motosikal di atas garisan pembahagi jalan, ketika kereta sedang bergerak ke hadapan dengan arus yang sama. Sementara tu, lane filtering ni bila motosikal ‘mencilok’ di jalan yang ada ruang untuk sampai ke hadapan apabila kereta sedang berhenti, contoh apabila lampu trafik merah atau trafik perlahan.
Bagi sesetengah pengguna jalan raya di Malaysia, mesti ada antara korang fikir yang lane splitting ni bahaya dan mereka tiada pilihan pun selain daripada mencelah waktu jalan sibuk. Menurut satu kajian di Universiti Berkeley, daripada 6,000 jumlah kemalangan, hanya 17% yang terlibat dengan kemalangan ketika lane splitting.
Selain itu, dalam kajian tersebut mengatakan yang lane splitting ini satu strategi yang selamat untuk motosikal apabila trafik bergerak kurang dari 80 km/j, dan motosikal tidak melebihi kelajuan kenderaan lain sebanyak 25 km/j. Kalau penunggang motosikal pandu lebih dari 25 km/j sebenarnya dah kira bahaya tu, lagipun dengan kelajuan ni korang masih sempat untuk brek atau elak jika ada halangan.
Lagi satu kajian dari Brussels, Belgium, jika 10% kereta di jalan raya diganti dengan motosikal, waktu trafik boleh dikurangkan sehingga 40% disebabkan lane splitting. Dan, Belgium antara negara yang membenarkan penunggang motosikal untuk lane splitting dan filtering.
Sebab penulis tunjukkan kajian ini bukan untuk ajak korang konvoi naik motor ramai-ramai pergi kerja. Tapi, terasa ia satu tanggungjawab untuk mewar-warkan kaedah dan cara untuk lane splitting dan filtering yang betul supaya cara pemanduan pemandu kereta dan penunggang motosikal ini lebih matang dan faham sifat jalan raya di Malaysia.
Hal ini kerana, di California, lane splitting dan filtering hanya boleh dilakukan oleh penunggang motosikal yang berpengalaman atas jalan raya. Di Australia pula, penunggang lesen penuh sahaja boleh lane filtering, jika penunggang dengan pelekat lesen “L” atau “P”, boleh didenda jika didapati lane filtering atas jalan raya. Tapi di Malaysia, penunggang motosikal yang ada lesen L dah boleh buat.
Sudah terang lagi bersuluh, Malaysia membenarkan lane splitting secara tidak langsung, dan kita kurang pendedahan tentang cara pemanduan ini. Jadi penulis akan merujuk undang-undang dari beberapa sumber relevan yang boleh menjadi panduan untuk pengguna jalan raya di Malaysia.
Cara lane splitting dan filtering yang baik lagi menyelamatkan
Menurut California Highway Patrol (macam JPJ kite), ketika jalan sesak, ia lebih selamat jika penunggang motosikal mengikut laluan sebelah kanan kerana trafik di lorong kiri biasanya sibuk dengan pemandu kereta yang ingin susur keluar dan kereta sering tukar lorong. Selain itu, undang-undang di California dan Malaysia ada persamaannya, di mana lorong kecemasan tidak boleh digunakan oleh mana-mana kenderaan kecuali kecemasan, tapi…. banyak motosikal mengunakannya kerana menganggap ia lebih selamat.
Seterusnya, perkara penting yang korang kena tahu bila tengah lane splitting ni, pastikan korang bawak laju sedikit daripada kenderaan lain. Kalau korang bawak dengan kelajuan yang sama dengan kenderaan lain, lebih selamat kalau korang masuk dalam lorong jalan raya. Hal ini kerana, mengikut MIROS, kemalangan maut bagi penunggang motosikal banyak berlaku kerana perlanggaran sisi sebanyak 27.5% berbanding hilang kawalan 21.4%.
Jadi, jangan berkongsi satu lorong dengan mana-mana kenderaan, di mana motosikal bersebelahan dengan kereta lain dalam satu lorong dengan kelajuan yang sama (lorong tu korang punya je).
Sebut pasal kedudukan motor korang di atas jalan raya, ni satu perkara penting yang pemandu amatur patut tahu, elakkan lane splitting ketika kereta di sebelah kanan dan kiri korang bergerak pada kelajuan yang sama, lebih-lebih lagi kenderaan berat. Hal ini untuk mengelakkan korang kena himpit. Memang susah untuk ikut tips lane splitting ni, sebab tu di California dan Australia, penunggang motosikal berpengalaman sahaja yang dibenarkan.
Seperti kita sedia tahu, bunyi hon ni kadang dianggap biadap atau satu bahasa cacian oleh sesetengah pengguna jalan raya, tapi tak salah untuk menggunakannya, lebih-lebih lagi sebagai peringatan kepada kenderaan lain tentang kehadiran korang di posisi tersebut. Tapi, kalau lampu depan motosikal korang menyala dengan jelas dan terang, rasanya guna lampu tinggi dah mencukupi.
Satu perkara lagi yang kita boleh belajar dari undang-undang lane splitting di Australia ialah, mereka melarang pengguna motosikal untuk lane splitting di kawasan dan pada waktu persekolahan. Ini untuk mengelakkan kemalangan di kawasan sekolah la, lagipun korang tunjuklah contoh yang elok sikit cara bawak motor depan adik-adik.
Setiap penunggang motosikal bertanggungjawab di atas keputusan mereka di atas jalan raya
Kalau nak banding dengan negara jiran kita, Malaysia dengan Singapura sahaja yang benarkan motosikal lalu laluan bertol. Sebab itu, pengguna motosikal di Malaysia lebih menggunakan motosikal bergear manual (kapcai), kerana ia lebih tahan lasak, mudah diselenggara dan pastinya lebih laju untuk jarak jauh. Tak terkejut lah kenapa penunggang motosikal negara Asia yang lain seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina lebih menggunakan skuter.
Apa-apa pun, tak kisahlah guna kapcai ke skuter, penentun berhemah atau tak seseorang tu di jalan raya adalah penunggang tu sendiri. Memang betul, takdir tu bukan kita yang tentukan, tapi sekurang-kurangnya kita berusaha untuk sentiasa berhati-hati dan menjadi penunggang yang ikut peraturan. Mungkin korang boleh mula dengan tips bawah ni.
- 4.7KShare sekarang!
- Email5
- Facebook4.7K
- Share