Ibnu Sayyad: Yahudi buta sebelah mata dan dituduh sebagai Dajjal oleh para sahabat

Hari ni tak kira di media mana pun, kita akan dengar tentang krisis dan konflik yang jadi di dunia Islam. Bila sebut pasal dunia Islam, tak terlepas kita dari tengok apa yang jadi di Palestin, Yaman, Syria, Iraq, Libya dan sebagainya. Sampai hari ni, konflik yang jadi ni macam tak ada penghujungnya.

Itu belum lagi kalau nak fikir pasal persaingan politik di antara negara-negara di rantau tu, terutama sekali antara Arab Saudi dan Iran. Kalau kita masih ingat, pada akhir tahun 2017 – Amerika Syarikat (AS) dah buat keputusan iktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Umat Islam di seluruh dunia buat bantahan, tapi sampai sekarang AS tak tarik pengiktirafan tu.

Palestin terus berdarah. Imej dari The Telegraph.

Bila disemak perkara-perkara yang jadi ni, banyaklah pihak kaitkannya dengan tanda-tanda akhir zaman atau kiamat. Seperti mana yang kita tahu, tanda-tanda kiamat ni ada yang kecil dan besar. Kalau cakap pasal Dajjal, tu dah dikira tanda besar akan jadinya kiamat.

Tapi Dajjal ni siapa? Manusia, jin atau cuma satu simbolik? Itulah yang dah dibincangkan sejak sekian lama. Jadi SOSCILI kali ni nak cerita pasal Dajjal. Asyik korang je yang berteori konspirasi, kitorang pun nak jugak. Tapi sebelum tu, jom kita kenal dulu ciri-ciri yang ada kat Dajjal ni.

Dajjal tu ada kuasa yang luar biasa, sampai boleh hidupkan orang yang dah mati!

Rasanya semua dah tahu yang Dajjal ni matanya buta sebelah. Selain tu, Nabi Muhammad SAW juga menceritakan kepada kita pasal ciri-ciri lain tentang Dajjal, antaranya:

  1. Seorang muda yang berambut kerinting.
  2. Keluar dari satu jalan di antara Syam dan Iraq dan buat kerosakan kat serata tempat.
  3. Boleh buat macam-macam benda ajaib termasuk suburkan tanah yang gersang.
  4. Boleh hidupkan orang yang dah mati.
  5. Mengaku jadi tuhan.
  6. Siapa yang terima dia sebagai tuhan akan hidup mewah dan sesiapa tak terima akan hidup susah.
Ada perkataan ‘kafir’ kat dahi Dajjal. Imej dari feehas.wordpress

Menurut satu hadis, Dajjal ni akan bermaharajalela di atas muka bumi selama 40 hari, yang mana hari pertama panjangnya seperti setahun, hari kedua panjangnya seperti sebulan dan hari ketiga panjangnya seperti seminggu. Hari-hari yang seterusnya sama macam biasa.

Tapi lagak Dajjal ni akan habis bila turunnya Nabi Isa AS dan Dajjal dibunuh. Lepas tu, dunia akan dipimpin oleh seorang soleh keturunan Rasulullah SAW yang digelar sebagai al-Mahdi atau Imam Mahdi.

Klik imej kalau nak baca pasal Bani Tamim yang akan bantu Imam Mahdi.

Itulah secara ringkasnya kisah pasal Dajjal ni. Kita kena bersyukur sekarang ni sebab Dajjal nampaknya macam belum muncul lagi. Tapi, ada juga yang kata Dajjal ni sebenarnya dah muncul dan jadi kuasa dunia sekarang. Dajjal yang dimaksudkan tu adalah Rusia dan Amerika Syarikat (AS).

Dajjal sebagai simbolik dan bukannya manusia atau jin

Dekat Malaysia, teori macam ni pertama kalinya diperkenalkan oleh Ustaz Amaluddin Darus, seorang pendakwah dan aktivis politik Islam pada tahun 1960-an. Dalam bukunya, beliau ada kata yang Dajjal ni sebenarnya kuasa besar dunia – Rusia dan Amerika Syarikat (AS) pada masa tu. Sebenarnya, sekarang ni ramai juga orang yang ada pendapat macam ni.

Mungkinkah betul dakwaan ni? Imej dari Daily Beast.

Melalui pandangan ni, mereka percaya yang Dajjal bukan individu tertentu – sama ada jin, iblis, manusia atau kacukan manusia dan jin. Apa yang dimaksudkan, Dajjal tu sebenarnya satu bentuk kuasa ketenteraan atau keganasan. Macam yang kita tahu, sejak dulu lagi AS dan Rusia (Soviet Union) dah berperang dingin dan jadikan negara-negara kecil yang takde kuasa ni sebagai mangsa.

“Alamat Dajjal disebutkan dalam hadis sebagai buta sebelah mata. Maksudnya tidak dapat menilai sesuatu dengan adil dan saksama. Memangpun kuasa-kuasa besar di dunia hari ini disifatkan sebagai buta atau sengaja membutakan sebelah matanya, iaitu apabila mereka tidak dapat melihat dengan adil isu-isu Palestin, Kashmir dan lain-lain.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Iluminati ada kat mana-mana. Imej dari Giphy.

Jadinya melalui pendapat ni, Dajjal tu hanya satu simbolik. Walaupun begitu, pendapat macam ni tetap juga dibincangkan dan ada juga yang bantah. Sebabnya, kita juga kena tahu satu kisah tentang seorang Yahudi yang hidup di zaman Rasulullah SAW dan dia dituduh sebagai Dajjal oleh para sahabat.

Ibnu Sayyad: Yahudi yang dituduh sebagai Dajjal oleh para sahabat

Di zaman Rasulullah SAW, ada seorang Yahudi yang dikenali sebagai Ibnu Sayyad. Matanya buta sebelah dan dia ni ada kebolehan yang luar biasa. Salah seorang sahabat pernah jumpa Ibnu Sayyad di satu jalan dan buat dia marah. Ibnu Sayyad lepas tu kembang membesar sampai penuh satu jalan.

Kalau Hulk ni matanya buta sebelah. Mesti ada yang kata dia ni Dajjal. Imej dari spinoff.com

Selain tu, diriwayatkan juga suatu hari Rasulullah SAW dan Saidina Umar RA, tengah berjalan di satu perkampungan dan terserempak dengan Ibnu Sayyad. Masa tu Ibnu Sayyad masih lagi budak-budak dan dia tengah main dengan kawan-kawannya.

Rasulullah SAW pun bertanya kepada Ibnu Sayyad: Adakah engkau mengakui aku ini utusan Allah? Ibnu Sayyad menjawab: Aku menjadi saksi tuan adalah utusan Allah. Tapi lepas tu Ibnu Sayyad pula tanya: Mahu tak tuan percaya aku juga utusan Allah? Nabi tak jawab dan kata: Aku beriman kepada Allah dan semua utusannya.

Nabi seterusnya bertanya: Apa yang engkau nampak? Ibnu Sayyad menjawab: Aku nampak singgahsana di atas air. Nabi menjawab: Apa yang engkau nampak itu adalah singgahsana iblis di atas laut.

Seterusnya Ibnu Sayyad kata: Aku nampak dua orang bercakap benar dan seorang pembohong atau dua orang pembohong dan seorang bercakap benar. Nabi pun kata: Tinggalkan dia, dia ini sudah keliru. ” – Hadis riwayat Muslim.

Dari hadis ni, kita dapat tahu beberapa perkara, pertamanya Ibnu Sayyad ni ada kebolehan luar biasa (boleh nampak istana iblis), dan keduanya kita dapat tahu yang istana iblis (ketua syaitan) ni ada di atas laut. Di laut mana, itu tak diberitahu.

Ada juga yang kata Segitiga Bermuda inilah tempat istananya iblis. Imej dari telegrafi.com

Menurut Dr Maza, disebabkan ramai sahabat yang kata Ibnu Sayyad ni Dajjal, dalam satu hadis sahih – Nabi dan seorang sahabat pernah menyorok di satu kawasan sebab nak tengok Ibnu Sayyad. Masa tu Ibnu Sayyad di ladang kurma, jadi Nabi nak tengok sama ada betul tak orang kata yang Ibnu Sayyad ni boleh berinteraksi dengan alam ghaib.

“Ketika Nabi cuba nak dengar dan tengok dia. Tiba-tiba mak Ibnu Sayyad kata: Ibnu Sayyad! Itu Abu Qassim (Nabi Muhammad) tengah tengok engkau. Ibnu Sayyad bangun dan lari. Nabi kata, kalau ibunya tak kacau kita tadi, kita boleh dengar dengan siapa Ibnu Sayyad berinteraksi.” – Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis.

Hati-hati, Iluminati mungkin ada dalam dompet kita. Imej dari za-hawa.blogspot

Disebabkan ciri-ciri Dajjal tu ada pada Ibnu Sayyad, ramailah sahabat yang kata Ibnu Sayyad ni Dajjal. Sampaikan Saidina Umar pernah mintak kebenaran dari Rasulullah SAW untuk bunuh Ibnu Sayyad. Tapi, Rasulullah tak bagi dan kata, kalau betul Ibnu Sayyad tu Dajjal, Umar dah pasti tak boleh membunuhnya.

Walaupun macam tu, diriwayatkan Ibnu Sayyad ni akhirnya masuk Islam. Malah, dia ada anak bernama – Umarah Ibnu Sayyad yang jadi antara tokoh besar Islam. Seorang sahabat – Abu Said Khudri ada menceritakan kisah perbualannya dengan Ibnu Sayyad. Dalam perbualan tu, Ibnu Sayyad ada luah perasaannya sebab dituduh jadi Dajjal.

Ibnu Sayyad kata: Nabi pernah kata yang Dajjal tu Yahudi, sedangkan dia dah masuk Islam. Dajjal takde anak dan dia ada anak. Dan Dajjal tak boleh masuk Mekah, tapi dia dah masuk Mekah dan buat haji. Bila dengar macam tu, Abu Said pun rasa kesian dengan Ibnu Sayyad. Tapi tiba-tiba…

Ibnu Sayyad berkata: Namun begitu demi Allah, aku tahu Dajjal itu tinggal di mana. Dan aku tahu siapa bapa dan mak dia. Abu Said terkejut dengar dan tanya, kau mahu ke jadi Dajjal? Ibnu Sayyad jawab: Kalau dibagi peluang aku tak tolak.” – Hadis riwayat Muslim, diceritakan oleh Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis.

Imej dari religionislam.forumpro

Disebabkan kisah ni, para ulama berbahas – sama ada betul atau tak Ibnu Sayyad ni Dajjal. Menurut pendapat Imam al-Khattabi, Baihaqi, Qurtubi dan beberapa ulama lain, Ibnu Sayyad ni adalah salah satu daripada Dajjal yang banyak. Tapi dia bukan Dajjal yang akan muncul kat akhir zaman nanti.

Malah, menurut seorang pakar hadis – Maulana Asri Yusoff, Ibnu Sayyad adalah orang yang beriman dan jenazahnya dah disembahyangkan oleh para sahabat. Walaupun macam tu, ada satu lagi riwayat (daif) pasal Ibnu Sayyad yang boleh buat korang fikir dua kali.

“Ada sahabat di Isfahan (kawasan di Iran) dan dia nampak satu hari orang Yahudi tengah berpesta. Yahudi ni kata, raja Yahudi dah datang ke Isfahan. Sahabat ni pun pergi tengok siapa dia raja yang datang ke pesta tu. Tiba-tiba apa yang sahabat tu nampak adalah Ibnu Sayyad.” –  Dr Maza, dipetik dari One Galaxy Studio.

Sebenarnya tak habis lagi kisah pasal Dajjal ni. Sebabnya, ada juga hadis menceritakan tentang sahabat yang pernah berjumpa sendiri dengan makhluk yang mengaku sebagai Dajjal.

Kisah sahabat berjumpa dengan Dajjal yang dirantai badannya di sebuah pulau

Kisah ni adalah pengalaman dari seorang sahabat bernama Tamim al-Dari. Tamim sebelum tu seorang Kristian dan dia ceritakan kisah ni kepada Rasulullah SAW masa dia nak masuk Islam. Kisahnya bermula bila Tamim dan 30 orang anak kapal dah terdampar di sebuah pulau kerana kapal diorang dipukul ombak.

Masa di pulau tu, diorang dah jumpa dengan makhluk pelik yang badannya penuh dengan bulu tebal. Diorang pun tanya siapa dia, makhluk tu kata namanya al-Jasasah.

Dulu pernah kecoh pasal kes Bigfoot di Malaysia. Imej dari Utusan Malaysia.

Lepas tu, makhluk ni ajak diorang jumpa dengan seseorang di satu tempat. Bila diorang sampai, diorang nampak seorang lelaki yang besar, tapi tangan, tengkuk dan betisnya dirantai dengan besi.

Bila ditanya siapa dia ni, lelaki tu tak jawab, tapi dia pulak yang tanya soalan. Antara soalannya, dia tanya pasal pokok kurma di Baisan (di Israel sekarang), masih berbuah ke tak? Tamim jawab – masih berbuah. Lepas tu dia tanya pulak pasal Tasik Tabariyah (pun di Israel) dan air mata Zughar masih ada lagi air tak? Diorang jawab – masih ada air.

Inilah dia Tasik Tabariyah atau Sea of Galilee. Tahun lepas dilaporkan yang paras air tasik ni dah makin menurun. Imej dari dailymail.co.uk

Seterusnya, dia tanya pasal Rasulullah SAW dan Tamim menjawab Nabi dah pun lahir di Mekah dan dah berhijrah ke Madinah. Lelaki tu tanya lagi: Adakah orang Arab memerangi Nabi itu? Tamim jawab: Ya, tapi Nabi itu dah pun menang dan orang Arab kini patuh dengannya.

“Dia berkata: Baguslah jika mereka mentaati Nabi itu. Aku ingin memberitahu kepada kamu siapa aku ini. Sebenarnya, aku ini adalah al-Masih (Dajjal). Aku rasa sudah hampir masa aku diizinkan keluar. Aku akan keluar ke seluruh bumi. Aku tak akan tinggalkan sebuah negeri pun, kecuali Mekah dan Taibah.” – Hadis riwayat Muslim.

Fatimah binti Qias menceritakan, lepas Nabi ceritakan kisah ni kepada para sahabat, Nabi pun hentak tongkatnya sambil berkata: Inilah dia Taibah. Inilah dia Taibah. Madinah inilah Taibah. Seterusnya Nabi mengatakan yang Dajjal itu akan muncul dari arah Timur sambil menunjukkan tangannya ke arah tu.

Mekah dan Madinah terpelihara dari fitnah Dajjal. Imej dari Youtube & Islam Hashtag.

Ada ulama berpendapat, Dajjal sekarang ni dikurung di sebuah pulau di Yaman. Tapi itu cuma pendapat dan sampai sekarang hadis ni masih dibincangkan.

Amalkan 10 ayat pertama Surah al-Kahfi, kita akan terselamat dari fitnah Dajjal

Sebenarnya, fitnah ni ada banyak maksud antaranya adalah keadaan yang tak stabil atau huru-hara. Disebabkan Dajjal ni akan keluar dan buat kerosakan kat atas muka bumi, maka itulah ia dipanggil sebagai fitnah Dajjal. Nabi sendiri pernah kata yang ujian paling hebat sekali adalah fitnah Dajjal. 

Jadinya, Rasulullah SAW ada mengingatkan kita dengan kelebihan 10 ayat terawal Surah al-Kahfi. 10 ayat ni juga dikenali sebagai ayat anti-Dajjal. Dengan amalkanlah ayat ni, kita akan dapat jauhkan diri dengan fitnah Dajjal. Maksud amalkan tu bukan hafal je, tapi kena faham apa yang dimaksudkan dari ayat-ayat ni.

https://www.youtube.com/watch?v=76upvh5LK7A

Selain tu, antara kelemahan utama Dajjal yang diberitahu oleh Rasulullah SAW adalah bila dia mengaku jadi tuhan. Sebabnya, kita sendiri tahu yang tuhan tu tak buta dan Allah tak sama dengan apa-apa makhluk. Jadinya, janganlah kita terlalu cepat kagum dengan orang-orang yang boleh buat perkara yang luar biasa atas nama agama, sebabnya Dajjal sendiri boleh buat lagi hebat dari tu.

“Jika engkau melihat satu orang terbang di udara. Engkau jangan kagum dengannya, selagi dia tidak menetapi kitab Allah dan sunnah Rasulullah. Ini kata Imam Ibnu Taimiyyah.” – Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis. Dipetik dari Pro Media Tajdid.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.