November 24, 2024

Ibnu Khaldun, Bapa Sosiologi Dunia yang turut mempengaruhi pemikir Barat

Tak lama dulu, pengasas Facebook iaitu Mark Zuckerberg pernah memberi ucapan tentang azam tahun barunya iaitu untuk membaca buku-buku penting. Salah sebuah buku yang dipilihnya adalah ‘The Muqaddimah’, yang ditulis pada tahun 1377 oleh sejarawan Islam, Ibnu Khaldun.

“Ia adalah sejarah dunia, ditulis oleh seorang cendekiawan yang hidup pada tahun 1300-an. Ia memfokuskan bagaimana masyarakat dan budaya bergerak, termasuk penciptaan bandar, politik, perdagangan dan sains.

Walaupun apa yang pernah dipercayai dulu pernah disanggah selepas kemajuan lebih 700 tahun, ia masih sangat menarik untuk kita fahami pandangan secara amnya bila kesemuanya diambil kira”- Mark Zuckerberg.

Imej dari www.femmesdetunisie.com

Ibnu Khaldun, bapa Sosiologi dunia

Gambar sekadar ilustrasi. Imej dari detik.com

Bagi yang tak tahu tentang Ibnu Khaldun, nama sebenarnya adalah Abdurahman bin Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Al-Hasan bin Jabir bin Muhammad bin Ibrahim bin Abdurahman bin Ibn Khaldun. Dia berketurunan Khaldun yang berasal dari Arab Yaman, iaitu dari sebuah daerah bernama Hadramaut.

Keluarga Ibnu Khaldun ni boleh dikatakan nomad juga sebab selalu berpindah randah. Diorang adalah antara penduduk terawal Andalus (atau dikenali sebagai Sepanyol sekarang) masa pembukaan negara tersebut oleh tentera Arab Muslimin. Bagaimanapun bila Andalus mengalami kejatuhan, keluarganya berpindah ke Tunisia di mana Ibnu Khaldun kemudiannya dilahirkan.

Jauh berjalan, luas pemandangan. Imej dari pinterest

Lahir dalam keluarga ternamaayahnya merupakan seorang ulama, ahli bahasa dan seorang pemerintah tentera. Sebelum kelahirannya lagi, keluarganya memegang jawatan-jawatan pentadbiran dan politik yang tinggi di bawah pemerintahan kerajaan Umayyah, al-Murabitun dan al-Muwahhidun. Sejak kecil lagi, dia dididik oleh ayahnya dan dihantar berguru dengan ramai sarjana Islam yang hebat di Tunisia. Ibu bapanya meninggal dunia disebabkan wabak kusta yang menyerang negara tersebut masa dia berumur belasan tahun.

Ibnu Khaldun juga pernah berkhidmat dengan Sultan Mesir iaitu Sultan Barquq sebelum berumur 20 tahun lagi. Dia kemudiannya memulakan kerjaya politik dengan penguasa Tunisia sebagai seorang pegawai. Tugasnya adalah menulis nota pengenalan khas dokumen rasmi dengan kaligrafi yang halus. Tapi, dia tak rasa gembira walaupun masa tu pekerjaannya dianggap terhormat.

Disebabkan dia nak belajar dan kaji pelbagai perkara lagi, dia berhenti dan berpindah ke Fez, Maghribi. Tapi bila sampai kat sana pula, keadaan negara tu kacau bilau. Berdasarkan pembelajaran, pemikiran dan pengalaman dia, masa ni la Ibnu Khaldun ambik kesempatan untuk tulis buku pertama dia, Al-Muqaddimah, yang nampaknya memberi kesan yang mendalam sampai la ke hari ni.

The Muqaddimah, buku teori tentang tamadun pertama di dunia

Buku pertama Ibnu Khaldun, The Muqaddimah

Dalam bukunya Al-Muqaddimah, topik utama yang dibincangkan adalah tamadun, persatuan dan juga sejarah manusia. Dia juga menulis tentang asas beberapa bidang pengetahuan termasuklah

  • Falsafah sejarah
  • Sosiologi
  • Etnografi (adat dan budaya masyarakat), dan
  • Ekonomi

Penulisannya pula dipengaruhi oleh tiga faktor utama iaitu pandangan budaya, kedudukan sosial dan juga pandangan peribadinya. Dalam kata lain, Ibnu Khaldun dipengaruhi oleh keadaan sekelilingnya. Contohnya hal-ehwal politik Islam dan sifat mereka pada zaman tu, termasuklah statusnya sebagai salah seorang ilmuan. Dari situ, dia bagi pandangan terhadap bidang yang diketahuinya.

Dari segi sejarah pula, Ibnu Khaldun membentangkan pengetahuan masa kini seperti etika Islam, falsafah Neo-Platonik, historiografi dan sains semulajadi dengan sains yang mengandungi ‘tamadun manusia dan organisasi sosial’.

Selain daripada gelaran sebagai bapa sejarawan, dia juga dianggap sebagai pengasas sosiologi dunia, iaitu orang pertama yang memulakan kajian tentang pembangunan, struktur, dan fungsi masyarakat manusia dan masalah sosial. 

Dalam salah satu penulisannya pasal sosiologi, dia menerangkan konsep assabiyah, iaitu sifat semangat kekeluargaan dan nasab keturunan atau sesuatu suku bangsa. Ia dah terbukti sejak zaman Arab beribu tahun lagi

Konsep assabiyah juga menjadi salah satu kajian utama Ibnu Khaldun dalam mengaitkannya dengan kebangkitan dan kejatuhan sesebuah tamadun. Ia juga dikaitkan dengan bentuk dasar organisasi politik dan sosial manusia, serta sumber untuk pembangunan ekonomi dan kestabilan politik.

Dianggap radikal, Ibnu Khaldun ada idea tersendiri tentang tamadun sesebuah kerajaan

Ibnu Khaldun pada zamannya juga pernah dianggap radikal, dan disebabkan tu la dia dikenali ramai. Antaranya ialah dengan mengatakan yang seseorang pemerintah negara bukanlah wakil Tuhan atau manusia suci seperti didakwa masyarakat pada masa tu.

Selain tu masa dia berkhidmat sebagai setiausaha negara di Fez, dia dikatakan menentang dasar perluasan kuasa. Kerajaan masa tu yang dikuasai oleh Sultan Abu ‘Annan, pemerintah Maghribi. Dia dikatakan berkonspirasi untuk menjatuhkan raja tu dengan menolong bekas pemerintah wilayah Bougie, Abu Abdullah Muhammad Al-Hafasi. Salah satu sebab lain adalah Bani Hafas banyak berjasa dengan Bani Khaldun.

Bila tertangkap dengan raja sendiri, Ibnu Khaldun kemudiannya dipenjarakan selama hampir dua tahun. Penjara tu agak dahsyat sebab banyak sangat ‘kemalangan yang tak disengajakan’ berlaku dalam tu. Dia bernasib baik sebab tak lama lepas kematian Sultan Abu ‘Annan, dia kemudiannya dibebaskan oleh Wazir Al-Hassan ibn Omar.

Walaupun seorang yang radikal dan menentang perluasan kuasa kerajaan, dia ada mencadangkan tentang pemerintahan yang baik untuk sesebuah kerajaan. Dalam pendapatnya, dia kata perkara buruk boleh berlaku kalau kuasa sesebuah kerajaan tu kekal. Sebabnya, manusia senang lupa diri bila ada kuasa dan mudah melupakan sejarah.

Jadi dalam buku Al-Muqaddimah itu, Ibnu Khaldun ada memperkenalkan teori mengkaji usia sesebuah kerajaan. Menurut teorinya,  purata usia sesebuah negara bertahan adalah selama tiga generasi. Usia satu generasi bertahan selama 40 tahun. Maknanya, purata usia sesebuah negara adalah 120 tahun.

Usia tiga generasi pula, dibahagikan kepada lima tahap penguasaan. Pertamanya ialah kejayaan, keduanya ialah pemilikan, ketiga peradaban dan kemakmuran. Tahap keempat ialah keamanan, manakala kelima pula ialah kelemahan dan  kerosakan. Teori ini telah digunakan oleh ahli-ahli sejarawan dunia untuk menilai jatuh bangunnya sesebuah kerajaan.

Pemikirannya yang tersendiri menjadikannya seorang ‘Saintis Sosial’ dan mempengaruhi pemikir-pemikir lain selepasnya

Imej dari thinglink.com

Sains sosial merupakan kajian ilmiah mengenai hubungan sosial dalam masyarakat manusia. Salah satu daripada bidang sains sosial berkaitan adalah ekonomi dan politik. Dalam hal ini, Ibnu Khaldun berjaya mengupasnya dengan baik sehingga masih boleh digunakan sampai hari ni. Malah, hasil penulisan buku Al-Muqaddimahnya saja berjumlah tujuh jilid.

Ibnu Khaldun ni bukan saja diiktiraf dalam kalangan sarjana Islam je, tapi juga pemikir-pemikir Barat.

Kualiti terbaik yang ada pada (Ibnu) Khaldun terletak pada revolusi kaedah pemikirannya. Dia menolak kaedah nenek moyang sepenuhnya , yang menjadikan dirinya ‘saintis sosial’ yang pertama- (Fonseca, 1988)

Selain tu juga, sejarawan British yang berpengaruh, Arnold J. Toynbee juga menggambarkan penulisannya dalam “The Muqaddimah”;

“Falsafah sejarah yang tidak diragui lagi, merupakan karya terbaik dan terbesar yang pernah diciptakan oleh mana-mana pemikiran pada masa dan tempat yang lain”-Arnold J. Toynbee

Dr. Bryan S. Turner, pakar sosiologi di Universiti of Aberdeen, Scotland dalam artikelnya “The Islamic Review & Arabic Affairs” telah mengulas tentang karya-karya Ibnu Khaldun. Dia menyatakan,

“Tulisan-tulisan sosial dan sejarah dari Ibn Khaldun hanya satu-satunya dari tradisi intelektual yang diterima dan diakui di dunia Barat, terutama ahli-ahli sosiologi dalam bahasa Inggeris.

Salah satu tulisan yang sangat menonjol dan popular adalah Muqaddimah (pendahuluan) yang merupakan buku terpenting tentang ilmu sosial dan masih terus dikaji hingga saat ini”.

Dia juga menganggap Ibnu Khaldun sebagai orang pertama yang cuba menerangkan evolusi dan kemajuan sesebuah masyarakat dengan lengkap. Ia melalui sebab dan akibat sesuatu peristiwa berlaku dan juga pengaruh persekitaran. Selain itu, Jamil Ahmad seorang ilmuan Pakistan juga melalui bukunya “Seratus Muslimin Terkemuka” menyatakan,

“Cendekiawan-cendekiawan barat terhutang budi pada rakyat Tunisia untuk bimbingannya dalam bidang sosiologi.

Pemikirannya dalam teori sejarah dan tamadun digunapakai oleh pemikir Islam dan ahli politik dunia

Kalau nak tahu, sejarawan Islam sebelum Ibnu Khaldun tak mengubah, menyunting atau buat seberang pernyataan pada informasi yang diorang dapat. Diorang juga tak mempersoalkan kesahihan cerita tersebut, tapi lebih kepada menganalisis sama ada penyampai tu boleh dipercayai ataupun tak. Malah, diorang hanya merekod sejarah tanpa memahami sesebuah peristiwa tu.

Ibnu Khaldun bagaimanapun berpendapat yang setiap fakta dalam peristiwa sejarah mestilah dianalisis terlebih dahulu. Ini kerana, ia adalah subjek yang kompleks, serta mempunyai sebab dan akibat. Jadi, ahli-ahli sosiologi dunia sekarang menggunakan kaedah yang ditinggalkan oleh Ibnu Kaldun dalam mengkaji sesuatu peristiwa sejarah untuk kegunaan generasi akan datang.

Malah bila kita tahu pasal sebab dan penyebab sesuatu perkara tu terjadi,

Malik Bennabi adalah seorang pemikir Islam moden pada zamannya, dan merupakan salah seorang peminat pemikiran Ibnu Khaldun. Dia juga dikatakan sebagai antara pemikir muslim terbaik selepas cendekiawan tersebut. Dalam konsep sejarah dan tamadun, ideanya banyak dipengaruhi Ibnu Khaldun dan beberapa pemikir Islam yang lain. Dia hidup pada zaman jajahan Perancis, dan mula sedar betapa mundurnya masyarakat Islam waktu tu. Bukan tu je, penjajah cuba untuk terapkan budaya Barat, yang dalam masa yang sama mengubah identiti dan nilai-nilai budaya Islam. Sebab tu la dia cuba untuk buat perubahan.

Malik Bennabi, pemikir kontemporari Islam. Imej dari weebly.com

Menurut Malik Bennabi, masyarakat Islam boleh membina tamadun dan peradaban dengan kembali kepada fitrah mereka sendiri iaitu dengan menghayati Islam dan membina akidah yang baik. Dalam masa yang sama juga tak ketinggalan dengan pengetahuan teknologi semasa, sebab tu adalah salah satu fardhu kifayah dalam Islam.

Pandangan Bennabi tentang Islam juga sentiasa mendapat tumpuan cendekiawan-cendekiawan Islam di Timur Tengah dan Eropah kerana sering menyentuh sesuatu isu secara global. Malik dianggap sebagai pemikir dan sarjana yang paling menonjol di Algeria selepas Perang Dunia Kedua.

Rachid Ghannouchi, pemimpin parti politik terbesar Tunisia. Imej dari slate.com

Pemikiran Malik Bennabi kemudiannya mempengaruhi pengasas dan pemimpin Parti Ennahda dari Tunisia, Rachid Ghannouchi. Walaupun pernah hidup dalam buangan selama 22 tahun di bawah pemerintahan diktator, dia berjaya buat pembaharuan untuk negaranya. Semuanya dengan bersandarkan penjaminan hak asasi dan kebebasan untuk rakyat termasuk pentadbiran, sosial, ekonomi dan hak alam sekitar, dan kembali kepada Islam seperti saranan Malik Bennabi.

Rachid diiktiraf sebagai antara 100 individu paling berpengaruh di dunia dalam majalah Times pada tahun 2012, malah penganalisis juga menggambarkannya sebagai tokoh paling berjaya di dunia Arab. Malah masa dia melawat Malaysia beberapa hari lepas, Rachid memuji Malaysia sebagai negara Islam contoh dengan menyatakan bahawa Malaysia menggambarkan imej indah negara Islam kontemporari.

Ibnu Khaldun mendahului ratusan tahun dari pemikir Barat dalam teori bidang ekonomi

Selain daripada sosiologi, tamadun dan sejarah, topik lain yang dititikberatkan dalam Al-Muqaddimah ialah bidang ekonomi. Ibnu Khaldun merupakan seorang tokoh ekonomi Islam yang mendahului tokoh-tokoh ekonomi barat seperti Adam Smith (1723-1790) dan David Ricardo (1772-1823).

Menurut pandangan Ibnu Khaldun, selain daripada dasar-dasar pemerintah yang adil, ekonomi yang stabil juga boleh bagi kesenangan hidup kepada rakyat. Sekaligus, melahirkan peniaga yang jujur dan amanah. Antara pandangannya dalam bidang ekonomi ialah percukaian.

Malah, salah seorang tokoh Barat yang mengikut teori dan pandangan Ibnu Khaldun adalah Presiden Amerika Syarikat ke-40, Presiden Ronald Reagan. Dia mengguna pakai idea tersebut semasa zaman pemerintahannya. Perkara ni dibuktikan dalam surat terbukanya kepada Presiden Amerika ke-42, Presiden Bill Clinton,

“Presiden (Clinton), bila tanda-tanda positif pemulihan ekonomi muncul, tolong jangan rosakkannya. Walaupun ia berjalan lancar sebelum tahun 1980-an, izinkan saya berkongsi sebuah nasihat daripada sejarawan Arab abad ke-14 iaitu Ibnu Khaldun yang berkata:

“Pada permulaan empayar, kadar cukai adalah rendah dan hasilnya tinggi. Tapi pada pengakhirannya, kadar cukai adalah tinggi dan hasilnya pula rendah. “

Dan tak, saya tak kenal pun Ibnu Khaldun walaupun kita mungkin ada kawan yang sama!”- Ronald Reagan ketika memetik nama Ibnu Khaldun dalam surat terbukanya, petikan daripada NY Times.


Sistem percukaian yang digunakan Ronald Reagan tu sebenarnya memang mengikut landasan Islam. Garis panduan agama untuk cukai sebenarnya agak rendah dan sepatutnya pergi kepada golongan miskin. 

Ibnu Khaldun dalam hujahnya berkata, kalau kerajaan patuhi prinsip Islam dan tak membebankan rakyat secara berlebihan, mesti hasil dapatan cukai tu lebih membuahkan hasil. Nampaknya, Ibnu Khaldun sendiri boleh baca perangai kerajaan sejak beberapa ratus tahun dulu lagi.

Ha, betul tu

“Apabila taksiran cukai dan kewajipan membayar cukai ke atas rakyat adalah sedikit, mereka mempunyai kesungguhan dan semangat untuk mengusahakan sesuatu. Budaya mengusahakan menjadi berkembang dan meningkat, sebab pengenaan cukai yang rendah itu mendorong kepada suatu kepuasan hati.

Apabila budaya mengusahakan itu meningkat, jumlah kewajipan terhadap orang perseorangan dan taksiran cukai akan berlipat ganda. Hasilnya, hasil pendapatan cukai yang merupakan jumlah keseluruhan daripada (taksiran terhadap orang perseorangan) akan meningkat.”-Ibnu Khaldun, tentang percukaian dalam Al-Muqaddimah

Pemikir Islam yang mendahului zamannya bukan sahaja dalam dunia Islam, malah di dunia

Kita banyak mengagumi pencipta dan pemikir moden yang hebat dari Barat macam Karl Marx, Steve Jobs, Bill Gates, dan ramai lagi. Tak salah pun kalau kita adaptasi pemikiran diorang untuk berjaya selagi tak langgar hukum alam dan agama.

Tapi kita perlu tahu, ramai lagi pemikir Islam yang tak kurang hebatnya dalam profession masing-masing. Contohnya Ahli Falak seperti Al-Biruni, pakar bedah seperti Al-Zahrawi, dan  Al-Razi yang berjaya menubuhkan hospital psikiatri pertama dunia ketika Eropah menganggap kes seperti ni ialah kes rasuk dan sihir.

Catatan setiap ahli filsuf sendiri adalah amat penting. Bukan hanya sebagai rujukan untuk generasi seterusnya je, tapi menjadi bukti kepada penemuan idea-idea menarik ni. Malah, setiap teori tokoh-tokoh cendekiawan ni masih boleh diguna pakai dalam hal-ehwal politik dan semasa sampai la sekarang. Perkara ni diakui oleh salah seorang pemikir Barat yang setuju tentang pemahaman sejarah.

“Mereka yang tidak belajar sejarah pasti akan mengulanginya”- George Santayana

Share via
Exit mobile version
Send this to a friend