- 738Share sekarang!
- Email0
- Facebook738
- Share
(This article has been translated from the our sister’s page, Cilisos)
Dalam berita baru-baru ni, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, iaitu Datuk Seri Jamal Yunos mendakwa yang dia ‘jumpa’ 7,000 pengundi untuk kerusi DUN Sekinchan. Jamal yang terkenal dengan himpunan Baju Merah dah buat kenyataan kontroversi tu masa permulaan mesyuarat Pemuda Umno Subang. Dia juga dedahkan yang pemimpin UMNO dah sasarkan kerusi negeri tertentu, dan diorang akan melakukan apa saja untuk memenangi kerusi tersebut!
“Kita susun (dan) rangka balik supaya DUN (Subang) kita tambah pengundi”
dia tambah lagi,
Kita akan bawa masuk dan pindahkan pengundi tak kisahla kalau melibatkan kos tinggi sampai berjuta- juta ringgit pun”- Jamal Yunos, yang dipetik daripada The Malaysian Insight.
Kenyataan Jamal tu nampaknya macam cuba kantoikan diri sendiri. Musuh tradisi dia iaitu Bersih 2.0 , NGO yang memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil kemudiannya mengkritik Suruhanjaya Pilihan Raya sebab diorang ni macam tak ambil tindakan dengan kenyataan Jamal. Diorang juga cakap yang SPR ni bersekongkol dengan ahli politik yang menipu untuk menang dalam pilihan raya umum yang akan datang ni.
Menurut Bersih, ahli politik sekarang dah berani mengaku secara terbuka yang diorang ni menipu. Kalau betul la apa yang Jamal cakap tu, maksudnya UMNO la yang bertanggungjawab pasal ‘pengundi hantu’ kat kawasan Sekinchan. Bukan ke tu satu bentuk penipuan dalam pilihanraya?
Pengundi Hantu ni memang masalah berulang kat Selangor
Korang perasan tak masa bulan Februari lepas, ADUN DAP kat Sekinchan iaitu Ng Suee Lim kata tiba-tiba ada 1,614 pengundi baru yang muncul dalam senarai pemilih terkini. Yang peliknya, ada 358 pengundi baru yang tinggal bersama kat sembilan buah rumah di sebuah kampung yang dipanggil Rizab Sarbini.
358 bahagi kepada 9 buah rumah, iaitu sebuah rumah boleh menempatkan 39 orang???
“Rizab Sarbini adalah kampung tradisi Melayu. Tetapi sekarang kita mempunyai 358 pengundi baru di sini dan 232 daripada mereka adalah dari latar belakang berbilang kaum yang berpindah dari Klang, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak.”- Ng Suee Lim kepada Malaysiakini.
1,074 daripada 1,614 pengundi baru tu adalah orang Melayu. Jadi dia syak yang ada pihak cuba untuk tingkatkan jumlah pengundi Melayu kat Sekinchan, di mana pengundi adalah 56% Cina dan 41% Melayu.
Bulan Jun pulak, ADUN DAP tadi bagitau lagi yang dia jumpa 1,400 pengundi hantu lagi kat Sekinchan. Tapi kali ni pengundi Cina dan India tukar alamat diorang kepada Jalan Parit 8 Baroh, Sg Leman, di mana populasi asalnya adalah Melayu, dan memang takde rumah orang Cina dan India.
“Tiba-tiba je ada 419 pengundi India dan 100 orang Cina yang menukar alamat mereka ke Jalan Parit 8. Pagi ini saya dah bawa beberapa wartawan untuk memeriksa, dan kami tak jumpa satu pun rumah India atau Cina. Macam mana 419 orang India dan 100 pengundi Cina dipindahkan ke sini? Memang pelik “- Ng Suee Lim, seperti yang dilaporkan oleh MalaysiaKini.
Bukan Sekinchan je ada masalah pengundi hantu kat Selangor ni. Masa bulan Julai, PKR kata diorang ada bukti pasal 1,609 pengundi hantu yang baru didaftarkan dipindahkan ke Wangsa Maju, Selangor. Menurut Tan Yee Kew (bendahari PKR), diorang siasat sendiri seramai 4,804 pengundi yang baru pindah dan mendaftar kat kawasan tu.
“Pasukan kaji selidik merumuskan 33% daripada 4,804 pengundi baharu dan dipindahkan ke empat kawasan itu seperti pengundi hantu,”–Tan Yee Kew, bendahari PKR, dilaporkan oleh The Malaysian Insight
Berdasarkan siasatan, Tan kata 80% pemilik sebenar alamat tu tak tahu-menahu langsung pasal hal tu. Naib presiden PKR, Nurul Izzah mendesak pengundi berdaftar untuk periksa daerah pengundian diorang sebab beberapa pengundi lain dapat perubahan tanpa makluman, walaupun tak buat sebarang permintaan pun.
Sebelum ni memang la kita pernah dengar pasal pengundi hantu, tapi takde siapa pun tahu pihak mana yang bawa masuk. Sampai la baru-baru ni…
Gambar ni betul tau. Bukan diedit pun
Awal tahun ni, Jamal Yunos tuduh Ng Suee Lim bawa masuk pengundi hantu untuk pastikan dia menang berdasarkan majoriti di Sekinchan. Masa bulan Jun pula, Jamal datang kat pejabat SPR dengan bas yang penuh dengan penyokong dia pakai macam hantu. Kononnya nak protes la pasal pengundi hantu ni. Dia juga cakap yang benda tu perkara biasa sejak Pilihan Raya Umum Ke-11.
“PRU11 menang hanya berapa ratus, PRU12 menang lebih 300. PRU13 beliau memperoleh majoriti 2,200,” kata Jamal Yunos, merujuk pada pilihan raya umum (PRU) yang dimenangi Adun DAP Ng Suee Lim kepada MalayMailOnline
Tapi Jamal yang baru-baru ni kata dia jumpa sebanyak 7,000 pengundi tu takde pula bagitau secara spesifik macam mana atau dari mana dia dapat. Kalau korang perasan, dia juga ada penyokong tersendiri yang tak kurang ramainya, tak tahu la macam mana.
Selain tu juga, Jamal ada kata yang dia nak bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno. Puteri UMNO Cawangan Sungai Besar, Widia Wati nampaknya setuju dan dia kata Jamal adalah calon yang sesuai disebabkan banyak faktor. Antaranya ialah sebagai ketua bahagian, Jamal berjaya tingkatkan jumlah pengundi. Maknanya, Jamal ni memang ada pengaruh sendiri untuk galakkan belia mendaftar sebagai pengundi.
Dalam Berita Daily, sebuah portal berita pula melaporkan yang Ng Suee Lim kata Jamal yang bertanggungjawab memindahkan pengundi Melayu baru ke Sekinchan. Dalam laporan tu juga, Ng tuduh Jamal bayar RM50 untuk setiap pengundi yang sanggup tukar alamat diorang kepada Sekinchan.
“Saya ada dua sumber yang boleh dipercayai memberitahu saya yang Jamal adalah dalang di sebalik kes ni. Komplot dilakukan setiap hari di UTC Sentul. Ada beberapa ahli Puteri Umno yang secara rambang cari pengundi Melayu untuk menukarkan alamat mereka ke Sekinchan. Mereka akan dibayar RM50, “- Ng Suee Lim, seperti yang dilaporkan oleh Berita Daily.
Ng juga kata yang dia ada rakaman audio sebagai bukti dan akan mendedahkannya kalau Jamal ajak pergi mahkamah.
Berapa banyak perbezaan yang boleh dilakukan dengan 7,000 pengundi?
Tak kira la macam mana dia buat, kalau betul Jamal jumpa 7,000 pengundi baru macam yang dia cakap, banyak ke beza untuk pilihanraya akan datang? Susah nak cakap berdasarkan angka je, tapi mungkin kita boleh buat anggaran berdasarkan data pengundi di Sekinchan. Mula-mula, kita tengok data pilihan raya yang lepas untuk Sekinchan.
Yang bertanding adalah Ng Suee Lim daripada DAP dan Ng Sue Hooi daripada MCA. 87.9% daripada pengundi yang layak (14,274) muncul dan mengundi, dan 1.8% (299) pula adalah undi rosak. Daripada 13,975 undi berbaki, 8,107 (56.8%) mengundi DAP dan 5,868 (41.1%) mengundi MCA. Korang boleh tengok graf ni kalau pening tengok nombor banyak sangat:
DAP menang dengan majoriti sebanyak 2,239 undi. Walaupun banyak laporan pasal pengundi hantu sebelum ni, sebuah laporan daripada Penang Institute memetik, jumlah pengundi yang layak di Sekinchan ialah 16,108 pada bulan Februari. Iaitu hampir sama dengan tahun 2013 (16,247). Anggaplah tak banyak beza pun. Jadinya, tak boleh nak cakap sapa yang menang nanti.
Tapi, kali ni Jamal kata dia ada 7,000 pengundi baru yang mengandungi ‘Umno DNA’, dan mereka dipilih sebab ibu bapa mereka sebagai penyokong Umno.
“7,000 ini daripada DNA Umno, kita jumpa mereka, mereka ini pengundi baru yang tidak berdaftar. Mulanya kita daftarkan mereka sebagai ahli Umno dan kemudian kita daftarkan mereka sebagai pengundi.”- Jamal melalui The Malaysian Insight.
Dalam laporan yang sama, Jamal juga berharap yang sekurang-kurangnya 85% daripada pengundi baru akan mengundi UMNO, lebih kurang 5,950. Banyak bezanya berbanding dengan hasil pilihanraya sebelum ni iaitu sebanyak 2,239 je.
Reputasi SPR dipertaruhkan di sini
Sebagai tindak balas kepada kenyataan dari Jamal Yunos, jawatankuasa Bersih pula cakap:
“Sekarang, pemimpin politik dah mengaku pasal penipuan mereka secara terbuka untuk memenangi pilihan raya tanpa sebarang respon dari SPR,” – Bersih, dilaporkan oleh The Malaysian Insight.
Bersih juga menyatakan yang perjuangan diorang untuk membersihkan daftar pemilih dah lebih dari satu dekad. Malah dah ada pelbagai pihak yang jumpa bukti daftar pemilih dimanipulasi untuk memihak kepada pihak tertentu. Korang boleh baca kat sini.
Pengerusi SPR, Mohd Hashim Abdullah bagaimanapun menafikan yang Malaysia ada masalah pengundi hantu, gerrymandering (lukis sempadan daerah mengundi untuk memihak kepada parti), dan macam-macam lagi. Awal tahun ni, Institut Pulau Pinang ada terbitkan sebuah laporan (fail pdf 30 muka surat) yang mengandungi bukti Suruhanjaya Pilihan Raya terlibat dalam kes penyusunan semula dan kesepakatan ni.
Sementara tu, Projek Integriti Pilihan Raya (EIP), iaitu sebuah projek akademik bebas yang berpangkalan di AS mengkaji integriti pilihanraya global dah menentukan yang Persepsi Skor Integriti Pemilihan Malaysia (PEI 5.0) adalah 35. Maksudnya, Malaysia dapat markah yang sangat rendah walaupun Malaysia dikatakan negara ke-25 paling telus di rantau Asia Pasifik, daripada 28 buah negara. Denmark dan Finland pula adalah yang tertinggi, iaitu 86 untuk PEI 5.0 mereka.
“Selagi SPR terus gagal melindungi hak demokratik rakyat bagi pilihan raya yang adil, satu-satunya kesimpulan yang boleh dibuat adalah mereka bekerjasama dengan pihak tidak bertanggungjawab untuk membantu mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 walaupun hari pembuangan undi belum berlaku,” kata jawatankuasa Bersih kepada The Malaysian Insight.
- 738Share sekarang!
- Email0
- Facebook738
- Share