- 426Share sekarang!
- Email16
- Facebook410
- Share
Dulu kami ada tulis artikel pasal 5 belia Malaysia yang awesome, dan antaranya adalah Arlina Banana, seorang personaliti kat social media yang banyak menyebarkan mesej “love yourself”, terutamanya mengenai pandangan kita tentang kecantikan fizikal.
Arlina juga mempunyai Borderline Personality Disorder (BPD), salah satu jenis mental ilness yang sangat serius dan boleh membawa kepada suicidal thoughts. Malangnya, bila Arlina menyatakan yang ada terlintas fikiran untuk bunuh diri, banyak komen kat Twitter yang sangat kejam seperti yang telah dilaporkan oleh Says Seismik.
Walaupun ada jugak komen di Facebook dan Twitter yang menyatakan solidariti dengan Arlina, komen-komen negatif inilah yang boleh membawa bahaya, kerana…
Kata-kata seperti “Kembalilah kepada Tuhan” sebenarnya boleh MEMBUNUH
Mungkin ada kata-kata berbunyi serupa macam ni berniat baik, tapi ianya masih kurang sensitif. Sebab kita mungkin tak kenal hati budi orang yang ada mental illness ni. Bersangka baiklah, mungkin mereka dah banyak cuba mendekati diri pada Tuhan dan pada masa yang sama, masih depressed. Contohnya soalan yang dihantar kat Islam Question and Answer ni:
“Walaupun saya solat lima waktu, qiamullail, baca satu juz Quran sehari… tapi perasaan ini (sedih yang teramat) masih ada. Syukur pada Allah sebab hidup saya lebih baik daripada kebanyakan orang… tapi perasaan ini tidak mahu pergi.” – diambil dari Islam Q&A.
Dan bukan dia seorang je yang rasa bersalah sebab tak ingat tuhan. Malah, rasa bersalah atau kebencian terhadap diri (self-hatred) lah yang boleh menyemakkan lagi kepala dengan suara-suara dan persoalan sampai niat bunuh diri tu jadi lebih teruk.
Bukan tugas kita untuk menghakimi berapa banyak iman orang ada, kan. Tugas kita adalah untuk membantu. Sebab tu la walaupun niat kita baik, kita kena lembutkan lagi kata-kata. Nasihat secara berhikmah.
Lagipun siapa kata kalau ada mental illness maknanya mereka tak ikut ajaran Islam? Malah antara tokoh perubatan yang pertama menyokong konsep mental illness ini adalah… Ibnu Sina!
Tatkala Eropah menganggap mental-illness sebagai ‘masalah setan’, tamadun Islam mengakui akan seriusnya penyakit ini
Kebanyakan tamadun awal di dunia menganggap mental illness ni adalah disebabkan kes rasuk, sihir dan sebagainya. Sebab tu la rawatan yang dibuat adalah agak ngeri seperti menebuk lubang di tengkorak, seksaan, dan exorcism.
Ahli falsafah seperti Hippocrates ada menyanggah kepercayaan kuno tersebut, dengan mengatakan yang mental illness ni memang masalah tubuh badan, secara khususnya, masalah pada organ otak kita. Kemudiannya tamadun Islam lah yang mula merawat mental illness secara moral dan bukannya dengan pengasingan, didorong oleh ayat di dalam Al-Quran:
Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya, harta (mereka yang ada dalam kekuasaanmu) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan. Berilah mereka belanja dan pakaian (dari hasil harta itu) dan ucapkanlah kepada mereka kata-kata yang baik.” Surah An-Nisa ayat 5, dipetik dari tafsirQ.
Pendapat ini sangat disokong oleh Ibnu Sina, dan membawa kepada tertubuhnya pusat psikiatri pertama di Baghdad sekitar tahun 700 oleh Al Razi (salah seorang physican Muslim terhebat yang juga mencipta ubat jenis ‘rubbing alcohol’). Ia juga merupakan hospital psikiatri PERTAMA di dunia!
Ha… sejak zaman Ibnu Sina lagi dah ada kesedaran tentang mental illness. Jadi kenapa kita sekarang ni masih ada banyak stigma?
Pesakit mental illness takut berkata-kata kerana risau akan pandangan masyarakat
Sebenarnya masalah ini bukanlah jarang kat Malaysia. Menurut Program Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (yang terkini pada tahun 2011), sehingga 500,000 rakyat Malaysia pernah atau terlintas untuk cuba bunuh diri, malah satu juta kanak-kanak berumur 5 hingga 16 tahun mengalami masalah kesihatan mental.
Cumanya, mungkin kita tak berapa nampak sangat orang-orang macam ni kat sekeliling kita. Mungkin mereka pandai sembunyi, mungkin ada yang takut dipandang hina atau dibuang kerja seperti yang telah berlaku pada seorang bekas doktor ini.
“…ramai kawan2 sekerja saya ponteng kerja, bergaduh dengan pihak atasan, tersilap pindah darah sehingga menyebabkan kematian, tetapi mereka hanya didenda dan boleh berkhidmat seperti biasa tanpa sebarang masalah.
Saya OKU terus ditarik lesen dan tidak dibenarkan langsung untuk mengamal walapun tidak melakukan apa2 kesalahan besar atas alasan tidak selamat kerana mempunyai penyakit bipolar.” – Muhammad Farhan, daripada status Facebook.
Malah seperti yang berlaku kepada Arlina yang cuba menggunakan social media sebagai salah satu cara untuk menolong dirinya (di samping dapat membantu orang lain), ada pulak netizen yang kurang sensitif (dan kurang faham) lantas melontarkan kata-kata yang kejam apabila Arlina cuba bunuh diri… hakikatnya.
Cubaan bunuh diri adalah SANGAT, sangat serius dan haruslah diberi bantuan dengan segera
Kes bunuh diri ni memang agak taboo di Malaysia, mungkin kerana ramai yang tahu bahawa perbuatan tersebut diharamkan dalam Islam. Tapi, kalau seseorang itu ada mental illness, dan dia dalam keadaan depressed pada masa tu, adakah dia mempunyai kawalan penuh terhadap kewarasannya? Satu soalan di Islam Q&A membincangkan hal ini:
“[Jika mental illness] menyebabkan seseorang membunuh diri, dia tidak dikira sebagai pendosa yang berdosa besar.
…kerana ada halangan dalam dia bertanggungjawab atas diri sendiri, iaitu ketidakupayaan untuk berfikir dengan waras.” – Islam Q&A.
Tapi seperti yang kami katakan tadi, bukanlah tempat kita untuk menghakimi sesiapa, tapi sebaliknya membantu apa yang patut. Menurut laporan National Suicide Registry Malaysia tahun 2007 (diambil daripada buku Gila tulisan Hanna Alkaf):
- Lelaki ada 72.6% risiko lebih tinggi untuk bunuh diri berbanding wanita
- Hanya 18% invidividu bagitau seseorang yang mereka nak bunuh diri
- Bagi setiap orang yang berjaya bunuh diri, terdapat dalam 10 hingga 40 cubaan yang tidak berjaya
Sebab tu lah kalau kita dengar ada cubaan bunuh diri daripada sesiapapun, kita kena cepat-cepat hulurkan bantuan. Janganlah mencaci, memaki, atau menghakimi. Siapa tahu kalau kata-kata kitalah yang akan menolak seseorang ke cubaan yang terakhir.
Bantulah selagi boleh, atau diam tanpa kata-kata
Menurut Professor Dr Maniam Thambu dalam buku Gila, ini benda-benda yang kita boleh buat dengan kawan atau kenalan yang ada suicidial thoughts:
- DENGAR (dengan penuh hati-hati, dengan penuh perhatian, dan tidak menghakimi perasaannya)
- TANYA (secara direct je kalau perlu tentang samada mereka memang nak bunuh diri, macam mana cara, bila)
- BANTU (bawa mereka ke doktor atau kaunselor, JANGAN tinggalkan mereka seorang diri)
Kalau nak dapatkan bantuan, di sini kami senarai organisasi yang korang boleh hubungi untuk bantuan segera, nak tau macam mana nak tolong kawan yang depresssed, ataupun kalau nak maklumat tentang kat mana nak dapatkan rawatan dan sebagainya (kebanyakannya diambil daripada buku Gila).
- The Befrienders: 03-7956 8144/03-79568145
- Malaysian Mental Health Association: 03-7782 5499
- Malaysian Psychiatric Association
- Hospital Bahagia Ulu Kinta: 05-5532 3337
- Hospital Permai: 07-237 3333
- Hospital Mesra Bukit Padang: 088-240 984
- Hospital Sentosa: 082-612321
- Psychiatric Day Care Centre: 03-7949 2068
- The Mind Psychological Services & Training: 03-7931 8436
- MENTARI Malaysia ([email protected])
- Mentem Psychological Services: 603 8025 1009
- Kin and Kids: +60193390902 / +60193800902
Beserta doa dan tawakkal, kita lakukan apa yang boleh termasuklah rawatan psikologi, ubat-ubatan, terapi, dan sebagainya. Dan kadang-kadang selepas habis kata-kata, benda paling penting (dan paling senang dibuat) adalah berada BERSAMA mereka. Just be around. Just be kind.
Dan buat Arlina, dan semua Arlina-Arlina yang ada dalam diri kita, ketahuilah bahawa kamu disayangi. Dan kamu berhak disayangi. Jaga diri.
“Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan” – Surah Al-Insyirah ayat 5, dipetik dari TafsirQ.
- 426Share sekarang!
- Email16
- Facebook410
- Share