Hadiah pemenang pingat Sukan SEA 2017 adalah anak pokok?

Baru-baru ni tersebar berita mengenai hadiah pokok yang diterima oleh setiap atlet Sukan SEA KL yang menang pingat. Seperti yang diterangkan Khairy Jamaluddin, ianya adalah sebahagian dari projek One Medal, One Tree. Jumlah pokok yang ditanam adalah 5 249 berdasarkan jumlah pemenang pingat Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN di Kuala Lumpur.

Tiga jenis yang dijadikan hadiah. Imej dari Kuala Lumpur 2017.

Tapi sebenarnya, kalau korang nak tahu. Sukan-sukan besar sebelum ni ada juga bagi hadiah lebih kurang macam ni. Apa yang mengejutkan, ia berlaku ketika…

Setiap pemenang pingat emas Olimpik Berlin 1936 dapat anak pokok dari Adolf Hitler

Bandar Berlin di Jerman telah dianugerahkan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 1936. Pada ketika tu, Adolf Hitler dan Parti Nazi sudah pun berkuasa di Jerman. Pada mulanya, Majlis Olimpik Antarabangsa buat perbincangan rahsia untuk tukar tempat Olimpik sebab polisi Nazi yang dikatakan anti-agama. Tapi diorang janji yang orang Yahudi dibenarkan masuk ke dalam sukan tersebut. Lepas je Majlis Olimpik US bersetuju untuk menyertai Olimpik Berlin, maka negara lain pun sertai juga.

Walaupun dia tunduk. Imej dari Historyplace.

Selain tuan rumah pertama yang memperkenalkan larian obor berganti-ganti serta ditayangkan di televisyen pertama kali. Apa yang menjadi pelik sampai sekarang adalah hadiah yang diterima setiap pemenang pingat emas temasya tu.

“Ianya mungkin hadiah sukan paling ganjil yang pernah dianugerahkan. Di samping pingat emas, pemenang-pemenang Olimpik 1936 di Berlin juga mendapat anak pokok Oak dari Adolf Hitler.” – Petikan dari The Guardian.

Kenapalah aku dapat pokok ni? Imej dari Olympic Museum

Dilaporkan Olimpik Berlin ada lebih kurang 130 atlet yang dapat pingat emas. Jadinya ada 130 anak pokok yang atlet dapat. Tapi, kebanyakan anak pokok itu hilang tanpa sebarang kesan. Nasib baiklah ada yang bersungguh nak cari kat mana perginya pokok-pokok ni. Mengikut laporan oleh Jim Constandt (penulis buku berkaitan pokok), pasukan Olimpik US dapat 24 anak pokok tu (sebab 24 pingat emas) dan hanya 4 sahaja yang mungkin hidup.

Tapi yang dikatakan masih lagi ada hanyalah satu di Sekolah Tinggi Rhodes, Cleveland dan dikenali sebagai Hilter’s Oak. Pokok tu di tanam oleh Jesse Owen (Usain Bolt masa zaman tu) yang mana dia dapat 4 pingat emas dalam acara lari pecut. Ada satu lagi berdekatan Perpustakaan Negeri Ohio yang masih dikaji sama ada itu Oak yang ditanam oleh Jesse Owen atau tak. Sebab Jesse Owen pernah cakap yang dia ada tanam satu di Ohio.

Antara anak pokok yang Jesse Owen dapat. Imej dari BT

Untuk United Kingdom, diorang ada 4 pemenang pingat emas waktu Olimpik Berlin. Jadi ada 4 anak pokok. Dilaporkan pokok milik Harold Whitlock (pelumba jalan kaki) telah pun ditebang sebab dah rosak. Satu-satunya yang masih ada di UK adalah pokok milik pasukan layar UK yang diketuai Christopher Boardman. Disebabkan pokok tu makin rosak, diorang cuba untuk cantas sikit pokok tu dan cuba dapatkan biji-biji pokok untuk ditanam.

“Sesetengah orang rasa ianya menunjukkan sokongan kepada Hitler dan Nazi, tapi pokok Oak Hitler ini adalah secara tulen berasal dari Olimpik 1936 dan sangat penting untuk sejarah Perang Dunia Kedua.” – Petikan dari BBC.

Pokok yang masih dijaga. Imej dari BBC.

Diorang nampaknya bersungguh-sungguh nak jaga pokok ni. Sebab nilai-nilai sejarah yang ada bersama pokok ni. Tapi waktu Olimpik Rio, lagi banyak pokok. Ke mana pokok-pokok tu?

Setiap atlet berarak sambil bawak biji benih pokok masa majlis pembukaan Olimpik

Jika pembukaan Olimpik di London dan Beijing menunjukkan kemegahan negara tuan rumah. Di Rio, Brazil, acara pembukaan hanya bertemakan tugas manusia untuk menjaga alam sekitar dan melawan perubahan iklim. Ianya terbukti ketika majlis pembukaan yang mana…

Ketika mereka (atlet) masuk ke stadium, setiap mereka menerima benih pokok (pokok asli dari Brazil) untuk ditanam dalam bekas. Ada 207 spesies yang dibawa – satu spesies mewakil satu negara. – Petikan dari USA Today.

Atlet letak benih dalam bekas masa Opening Ceremony. Imej dari Asian Mirror.

Kalau atlet bawa biji benih, budak kecil yang ketuai setiap perarakan negara tu pulak akan bawa anak pokok dalam pasu. Ianya dipanggil sebagai Seeds Of Hope. Apa yang dijanjikan Brazil adalah, semua biji benih tu akan ditanam di Hutan Atlet, Radical Park di Deodoro, Brazil. Inilah pertama kali dalam sejarah, perkara macam ni dibuat.

Mesti ramai tak perasan budak tu bawak anak pokok. Imej dari Avax.news.

Tapi, laporan pada tahun ni dikeluarkan yang mana Brazil tak jalankan tanggungjawabnya seperti yang dijanjikan. Benih-benih yang di tanam tak dijaga dan banyak yang mati. Ada juga anak benih yang masih ada dalam pasu-pasu kecil tanpa disemai.

“Ianya masih tak jelas apa yang akan berlaku kepada biji benih itu. Majlis penanaman pokok yang dirancang melibatkan selebriti, atlet dan pegawai masih lagi belum diatur.” – Petikan dari Weather.com.

Awak capati janji kita.

Bagaimana pula perancangan Malaysia terhadap anak-anak pokok yang dijadikan hadiah tu?

Ambil ikitbar dari kesilapan Brazil dan bersungguh macam negara yang ada Hitler’s Oak

Seperti yang diterangkan laman rasmi Sukan SEA 2017, penanaman anak pokok ni akan ada empat fasa. Fasa pertama dah dimulakan masa majlis pelancaran. Fasa kedua, pemberian anak pokok pada atlet. Fasa ketiga, setiap pemenang pingat emas dari Malaysia akan tanam anak pokok yang diorang dapat di sekitar KL Sports City. Fasa terakhir pulak, penanaman anak pokok di kawasan hutan terpilih bermula Oktober hingga Mac tahun depan.

Projek yang sangat baik. Imej dari Kuala Lumpur 2017.

Jika pokok-pokok ini berjaya ditanam, maka terbuktilah yang Malaysia sangat bersungguh membantu dunia untuk melawan perubahan iklim. Sedangkan atlet Olimpik Berlin pun boleh tanam dan masih dijaga sampai sekarang. Mestilah atlet Sukan SEA dari Malaysia boleh tanam dan jaga juga. Sebabnya Malaysia power! #Bangkitbersama

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT