Gunung Daik bercabang tiga dan Pulau Pandan betul-betul wujud rupanya

Orang Melayu dan seni pantun memang tak boleh dipisahkan. Jika zaman dulu, ia digunakan sebagai percakapan harian, hari ni lebih kepada majlis-majlis rasmi. Sebelum ni kami pernah terangkan bahawa pantun sama ada dua kerat atau empat kerat dia akan ada AYAT PEMBAYANG dan MAKSUD PEMBAYANG.

Pembayang ni biasanya bermula dengan kehidupan alam dan berdasarkan pemerhatian keliling masyarakat dulu. Maka, kali ni kami dari SOSCILI nak bincangkan pembayang bagi pantun yang sangat terkenal dalam kalangan kita ni,

Pulau Pandan jauh ke tengah

Gunung Daik bercabang tiga

Hancur badan dikandung tanah

Budi yang baik dikenang jua

Pantun ni diabadikan oleh Pa’din Musa, juara skater Asia dalam kasut Vans. Imej dari Rojak Daily

Apakah Pulau Pandan dan Gunung Daik ni hanya sekadar pembayang pantun atau pemerhatian masyarakat dulu? Adakah kedua-dua lokasi ni betul-betul wujud? Mari kita mulakan kajian…

Nama Gunung Daik, siap bercabang tiga?

Nusantara ni kalau dari sudut geografi memang luas. Alam Melayu atau Nusantara merupakan bahagian tenggara benua Asia yang terdiri daripada batasan-batasan politik baru macam Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Fillipina, Singapura, Selatan Thai, Kambodia, selatan Vietnam di muara Sungai Mekong, tanah tinggi Vietnam serta masyarakat minoriti di Taiwan. 

Pada zaman dulu kala, memang banyaklah kerajaan-kerajaan Melayu yang ada termasuklah kerajaan Kesultanan Riau-Lingga. Pemerintahan kerajaan ni merangkumi gugusan kepulauan di Selatan Singapura dan juga Selatan Selat Melaka. Kerajaan ni pernah berada dibawah jajahan empayar Kesultanan Melaka dan kemudiannya Kesultanan Johor.

Dah terlajak sembang pasal Riau-Lingga yang sekarang di bawah kawasan negara Indonesia, kami nak bagitahu bahawa di situlah terletaknya Gunung Daik yang disebutkan dalam pantun tadi. Memang betul-betul wujud. Ia boleh ditemui di Kampung Pahang Daik, Lingga. Ini rupanya…

Bercabang bersama kabus. Imej dari Arpaaindi

Memang gunung ni ada tiga cabang puncak iaitu dikenali sebagai Gunung Daik (cabang tertinggi), Penjantan (cabang tengah) dan Cindai Menangis (cabang terendah). Cindai Menangis ni dikatakan nama asalnya adalah Cindai Manis, namun selepas puncaknya runtuh atau patah, ia digelar Cindai Menangis. Ketinggian Gunung Daik ni adalah 1165 meter dari paras laut.

Menurut Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL), Gunung Daik turut dikenali sebagai Puncak Mahkota kerana 3 puncaknya yang diihat dari jauh bagaikan mahkota. Untuk menawan puncak Gunung Daik ni bukan mudah, sebabnya nak tawan puncak kena ada kepakaran dalam bidang memanjat batu (Rock Climbing). Masyarakat setempat hanya memandang puncak gunung ni tanpa ada rasa nak menawan puncaknya, orang Malaysialah semangat sikit pasal terkenang pantun ni.

Harap tak keluar cabang keempat. Susah nak buat pantun baru. Imej dari Four Square

Apa yang menarik, pernah ada satu pasukan pendakian dari Malaysia melawat penduduk sekitar di Pulau Lingga, mendapati kehidupan mereka sangat rapat dengan orang Pahang terutamanya dalam bab pertuturan.

Selain menggunakan bahasa Melayu yang lebih kurang sama macam kita, di sana juga ada nasi dagang yang terkenal kat Terengganu. Jalan-jalan di situ juga ada guna nama tempat di Pahang seperti Pekan. Apa yang menarik, penduduk tempatan menjadikan filem P. Ramlee sebagai tontonan harian mereka.

Selesai Gunung Daik yang terbukti wujud siap dengan tiga cabang lagi. Sekarang pula, kita pergi ke Pulau Pandan.

Pulau Pandan ni jauh ke tengah mana?

Kalau ikut pengalaman ekspedisi Kelab OGKL pada tahun 2006, memang mereka ada naik bot dan lalu satu pulau kecil ni dalam perjalanan pulang selepas pendakian Gunung Daik. Semestinyalah pulau itu dipanggil sebagai Pulau Pandan.

“Kedudukannya yang jauh ketengah membuatkan sahabat-sahabat OGKL sudah tertidur kepenatan dalam bot.”- Khairimah Chumari, ahli ekspedisi OGKL.

Memang ke tengah tu. Imej dari Berita Harian

Secara realitinya, memang betul Pulau Pandan ni wujud. Kedudukannya jauh ditengah laut, bersaiz kecil dan dianggarkan hanya ada 10 batang pokok di pulau yang dipenuhi batu tu tanpa ada penghuni manusia. Cukup luas untuk bot-bot kecil berteduh daripada ribut.

“Pulau kecil itu adalah sebahagian daripada 377 pulau yang membentuk wilayah Kabupaten Lingga dan hanya 92 daripadanya dihuni manusia.”- Mohd Azis Ngah, petikan dari Berita Harian

Jika berada berdekatan Pulau Pandan, suasana di depan akan kelihatan satu banjaran gunung yang membentuk tulang belakang di Kepulauan Riau, Indonesia. Apa yang menarik, di banjaran tu lah terletaknya puncak Gunung Daik bercabang tiga.

Agaknya, masa nampak panorama macam ni lah pereka pantun dapat idea. Imej dari Berita Harian

Bukan sekadar pembayang pantun, ia mencerminkan kehidupan masyarakat dulu

Setelah ramai yang membuktikan bahawa Gunung Daik dan Pulau Pandan itu benar-benar wujud, maka ternyatalah bahawa kewujudan pantun tradisi popular tu berkait rapat dengan kehidupan masyarakat Melayu Riau. Mereka pada zaman dulu menggunakan jalan air sebagai laluan pengangkutan utama. Ditambah pula, Pulau Lingga adalah bekas pemerintahan kerajaan Melayu Melaka yang kemudian menjadi milik Kerajaan Melayu Johor.

Semestinyalah suatu masa dahulu, laluan di kawasan ni sibuk dengan kapal perdagangan dan aktiviti harian. Jadi memang tak hairan kalau ada pada masa tu golongan bijak pandai bahasa mencipta pantun ketika melihat keadaan sekeliling. Begitulah indahnya pantun Melayu warisan zaman berzaman.

Klik gambar untuk baca artikel pasal maksud pembayang pantun yang lain

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT