- 674Share sekarang!
- Email80
- Facebook594
- Share
Kita dah biasa dengar tentang lelaki khunsa dan ada yang popular bukan main sekarang ni, tapi kita tak biasa dengar mengenai golongan Eunuch yang juga dari kaum lelaki. Sebutannya adalah u.nik (keraskan sebutan ‘K’). Eunuk adalah lelaki yang dikembiri (dikasi) atau kata lainnya lelaki yang tidak mempunyai testis atau genitalia luaran, yang berlaku sama ada secara semula jadi atau pembedahan.
Pengkasian kanak-kanak lelaki dulunya berlaku di merata dunia dan sangat terkenal digunakan oleh dinasti-dinasti China, Afrika, India, Greek dan Byzantine. Proses yang merbahaya menyebabkan kebanyakan kanak-kanak yang dikasikan mati akibat pendarahan dan kecederaan teruk menjadikan harga hamba Eunuk lebih mahal berbanding hamba abdi lain. Terdapat permintaan yang tinggi untuk hamba-hamba Eunuk menyebabkan amalan ni diteruskan ribuan tahun di merata dunia.
Zaman dulu golongan ni sering dikaitkan dengan jawatan di istana yang dikenali sebagai sida atau sida-sida. Bagi peminat drama China dan Korea bertema zaman mahajara mesti akan perasan adanya watak sida-sida. Jadi, kali ni kami akan kongsikan cerita mengenai golongan sida-sida yang mungkin ramai tak tahu.
Persoalan asal usul sida-sida dalam empayar Islam masih tak terjawab walaupun peranannya jelas
Takde rekod yang tepat bilakah sida-sida dimasukkan ke dalam pentadbiran empayar Islam, ada yang dakwa sida-sida dah ada sejak era Kerajaan Bani Umayyah lagi. Tapi, masih tak dianggap sebagai fakta dengan kebanyakkan kajian lebih cenderung mengatakan ianya bermula sekurang-kurangnya pada pemerintahan Bani Abbasiyyah, iaitu sejak tahun 750.
Sungguhpun Islam mengharamkan amalan kembiri, empayar-empayar Islam tetap gunakan sida-sida. Penggunaan sida-sida ditiru dari Empayar Byzantine yang dah lama jadi hamba Eunuk dari kalangan rakyat sendiri atau dibeli dari negara lain seperti Abyssinia atau Sudan. Sejak kerajaan Bani Abbasiyyah lantik sida-sida, kesemuanya bukan terdiri dari rakyat sendiri, sebaliknya dibeli dari negara luar seperti dari Balkan, Caucasus dan Afrika.
Sida-sida ditugaskan untuk jadi khadam di harem yang menempatkan isteri-isteri, dan para gundik sultan. Harem adalah rumah mewah yang dilarang untuk dimasuki semua lelaki (kecuali sultan) yang turut didiami ahli keluarga wanita sultan seperti emak, adik perempuan, dan anak perempuan.
Bagi menjaga keselamatan harem, perlu ada pengawal lelaki yang bertugas 24 jam, 7 hari seminggu. Jadi, Penggunaan sida-sida di tempat privasi sultan memastikan tiada skandal di istana seperti yang selalu berlaku di istana-istana Eropah.
Peranan sida-sida dilihat tidak maskulin dan tak sesuai untuk jantan sejati sebab sida-sida adalah hamba suruhan yang kena; jaga pintu keluar masuk harem, jaga tempat akses kepada sultan, jadi pengerusi majlis, jaga perihal wanita istana dan jaga anak-anak kecil dalam istana. Peranan tu dalam masa sama beri peluang untuk diorang berdamping dengan sultan dan wanita istana hingga diberi kuasa untuk buat keputusan berkaitan pemerintahan.
Kuasa sida-sida Empayar Uthmaniyyah pernah sebaris dengan kuasa pembesar negara
Walaupun Empayar Uthmaniyyah merupakan kesinambungan kesultanan Islam dari Dinasti Mamluk dan Abbasiyyah, menurut Profesor George Junne, amalan menggunakan sida-sida dalam Empayar Uthmaniyyah ditiru dari Empayar Byzantine dan Empayar Saljuk yang diorang kalahkan. Menurutnya, Uthmaniyyah mula gunakan sida-sida selepas mengambil alih Istanbul pada tahun 1453.
Sida-sida pada zaman Empayar Uthmaniyyah dikenali sebagai “agha” atau “aghawat” (kalau ramai) yang berasal dari perkataan Turki yang membawa gelaran kehormat seperti ‘ketua dan tuan’. Setiap sida-sida akan menggunakan gelaran agha pada nama masing-masing.
Pemilihan aghawat Uthmaniyyah ada kaedah yang tersendiri dengan setiap calon wajib melalui proses latihan. Diorang akan dilatih berbahasa Turki, mengaji al-Quran, belajar undang-undang, dan etika seorang sida sebab akan berkhidmat selama 40-50 tahun sebelum bersara atau diberhentikan. Bukan sultan je yang lantik aghawat, ada ramai golongan bangsawan turut ada sida-sida sendiri untuk jaga harem masing-masing.
“Di Istanbul terdapat ramai orang kaya yang mempunyai harem peribadi, di mana Eunuch lain dapat bekerja. Dalam satu masa, barangkali di Istanbul sahaja ada 1,000 Eunuch.” – Professor George Junne. Dipetik dari Hurriyet Daily News.
Dalam pentadbiran istana, aghawat perlu mengambil masa sebelum capai ranking yang tinggi sebab kena ikut hierarki. Muka baru akan berkhidmat untuk mereka yang lebih senior dan diorang akan naik pangkat sekiranya ada kekosongan jawatan, kehadiran ahli baru, ada persaraan atau kematian.
Kesetiaan sida-sida sangat diyakini istana atas banyak sebab seperti; takde ahli keluarga (kandung), tak boleh ada zuriat, akan diasingkan sekiranya ada sultan baru menaiki takhta, jauh dari tempat asal.
Pada asalnya, ada ramai aghawat kulit putih yang berasal dari Balkan turut jadi kegemaran sultan-sultan Uthmaniyyah sebelum tempat mereka diambil alih sepenuhnya oleh sida-sida kulit hitam yang berasal dari benua Afrika seperti dari Sudan, Ethiopia dan lain-lain. Sebelum populasi aghawat kulit hitam meningkat, Kapi Agha (ketua aghawat kulit putih) sering jadi kegemaran sultan dan mempunyai pengaruh yang besar serta anak buah yang ramai.
Peranan dan status antara aghawat kulit hitam dan aghawat kulit putih berbeza sangat sebab yang berkulit putih lebih banyak ditugaskan hal-hal pentadbiran dan takde akses ke dalam harem sultan. Selepas 300 tahun pemerintahan Uthmaniyyah, pada pemerintahan Sultan Murad III pada tahun 1588, satu tradisi baru dimulakan yang turut menandakan zaman kejatuhan aghawat kulit putih, iaitu penciptaan jawatan Kizlar Agha (ketua aghawat kulit hitam).
Antara puncanya adalah kerana pengaruh dari wanita Istana di samping kebanyakkan aghawat kulit putih tak dikembirikan sepenuhnya dan ramai yang masih boleh buat anak serta ada ramai ahli keluarga kandung.
Peranan aghawat yang bebas mengakses harem secara automatiknya buatkan diorang jadi sangat rapat dengan sultan dan subjek-subjek di harem seperti ibu, isteri dan gundik-gundik kegemaran sultan. Selama hampir 130 tahun pada abad ke-16 dan 17, Uthmaniyyah secara asasnya di bawah pemerintahan Kesultanan Wanita, yang mempunyai pengaruh melangkaui kuasa sultan. Secara tak langsungnya hubungan aghawat dengan wanita istana memberi pengaruh politik yang besar untuk diorang sambil dapat ikut rapat perkembangan putera mahkota sejak dari kecik.
Kizlar Agha dengan kepercayaan sultan, mempunyai kuasa seperti pembesar negara. Bahkan pada abad ke-17 dan 18, Bandar Athens berada di bawah kepimpinan seorang eunuk yang dilantik sultan. Antara projek terbesar yang menjadikan status Kizlar Agha sangat tinggi dalam politik dan ekonomi bila diamanahkan secara tradisi untuk jaga tabung sultan dan dana yang dipungut dari Makkah dan Madinah.
Posisi Kizlar Agha dianggap sangat penting dan sebaris dengan posisi Wizurai Besar, dan Syeikhul Islam. Sepatutnya jawatan Wizurai Besar ni macam perdana menteri, tapi Kizlar Agha yang paling berpengaruh dalam sejarah Uthmaniyyah, Beshir Agha pernah diberi kepercayaan memecat Wizurai Besar dan memilih orang yang baru untuk jawatan tu. Beshir Agha juga terkenal banyak tubuhkan perpustakaan dan masjid serta memperkukuhkan mazhab hanafi dalam Empayar Uthmaniyyah.
Pengaruh dan kuasa Kizlar Agha tak mampu kekal sebab diorang bukanlah ahli keluarga sultan dan akhirnya perlu bersara. Posisi Kizlar Agha akhirnya menuju pengakhiran bila datangnya pengurusan baru serta peristiwa besar seperti peperangan, arus permodenan dan kejatuhan Empayar Uthmaniyyah. Posisi tu dipandang keji dan membawa memori buruk untuk golongan pembaharuan di sana.
Sistem perhambaan tak pernah ditamatkan oleh Uthmaniyyah, tapi sejak 1857, perhambaan makin tak diamalkan lepas pengharaman perniagaan hamba di peringkat antarabangsa yang memberi tekanan kepada Uthmaniyyah untuk menamatkan amalan perhambaan. Walaupun macam tu, perhambaan masih lagi diamalkan secara meluas oleh kelas elit sampailah diharamkan di Turki pada 1918, tapi masih diteruskan oleh segelintir orang hingga abad ke-20.
Aghawat dah ada di Masjid Nabawi sejak abad ke-12 hinggalah ke hari ini
Sejak tahun 707 masihi, Masjid Nabawi dan Makam Nabi s.a.w melalui banyak perubahan setelah diubah suai oleh para khalifah dan sultan. Penjagaan masjid turut berubah-ubah setelah pengurusan baru mengambil alih. Namun, sejarah tentang bilakah hamba Eunuk kali pertama ditugaskan di sana tak dapat dibuktikan secara jelas.
Golongan aghawat dalam sejarah umat Islam sejak dari zaman dulu sampai sekarang terkenal dengan sikap dignified silence dan takkan dedahkan sejarah sebenar mereka kepada orang lain termasuklah kepada ahli sejarah. Kebanyakan sejarawan mengatakan sultan pertama yang menugaskan hamba Eunuk di Madinah adalah sama ada di zaman Nuruddin al-Zanki atau Salahuddin al-Ayyubi. Kekaburan fakta ni masih diperdebatkan dengan kebanyakkan sejarawan moden cenderung mengatakan Salahuddin al-Ayyubi yang memulakannya.
Seawal kurun ke-12, dah ada beberapa catatan oleh Ibn Jubayr diikuti catatan Ibn Battuta dan Ahmad Al-Qalqashandi mengenai aghawat di Madinah, namun tak catat perkara sama di Makkah yang mana aghawat turut ada di sana. Ini bermakna tugas aghawat di Makkah hanya bermula setelah beberapa dekad atau abad setelah Madinah.
Seorang ulama kurun ke-15, al-Sakhawi ada menulis perihal sejarah kota suci Madinah dan pernah menjadi guru kepada aghawat yang mejaga makam Rasulullah s.a.w. Tapi beliau juga tidak berupaya mendapat penjelasan tuntas mengenai asal usul golongan tu untuk dimasukkan dalam kitabnya Al-Tuhfah al-latifah fi Tarikh al-Madinah al-Sharifah. Ulama tak pegang kuasa kepada pentadbiran tanah suci. Sebab tulah seorang ulama terkenal dari Mesir, Jalaluddin al-Suyuti, pernah suarakan bantahan terhadap penggunaan aghawat ni tapi ia tetap diteruskan.
“Di sebelah timur (maqam) adalah sebuah arbor yang diperbuat dari kayu aloe. Di sinilah tempat beberapa penjaga masjid menghabiskan waktu malam. Para penjaga itu adalah eunuch Ethiopia dan Slavic. Mereka berperwatakan elegan dan sangat teliti dalam pemakaian dan sikap.” – Ibn Jubayr. Dipetik dari Eunuchs and Sacred Boundaries in Islamic Society.
Peranan aghawat Madinah tak sama dan mengalami evolusi sejak zaman berzaman
Sejak kurun ke-17, satu trend diubahsuai yang kemudiannya diteruskan zaman berzaman, iaitu aghawat hanya dilantik di kalangan hamba dari Afrika serta Kizlar Agha yang diberhentikan khidmatnya untuk sultan akan menjadi ketua aghawat di Masjid Nabawi (Syeikhul Aghawat) sebelum bersara dan menghabiskan saki baki hidup di Mesir sebagai penjaga harta sultan.
Semasa zaman Uthmaniyyah, Syeikhul Aghawat dibantu oleh anak-anak buah yang ada tanggungjawab masing-masing. Antaranya sebagai pembuka pintu masjid (Bawwabin), pembersih kawasan tertentu masjid (Khubziyah) dan ranking paling rendah yang digelar “Battalin” yang akan mengawasi jemaah termasuklah merotan pengunjung yang mencemari kesucian masjid.
Tiada catatan bilakah kali pertama makam Masjid Nabawi dan makam Nabi s.a.w dikunci dengan pagar tapi Syeikhul Aghawat adalah orang yang akan pegang kunci makam Nabi s.a.w sampailah hari ini dan hanya buka sekiranya perlu dibersihkan atau atas arahan pemerintah (zaman sekarang selalunya untuk dibawa tetamu-tetamu VVIP Kerajaan Arab Saudi).
Di sebalik pagar makam adalah sebuah bilik yang mempunyai kubur yang dihijabkan dengan kain semacam langsir (klik link video ni untuk tengok lakaran makam Nabi s.a.w dalam 3D). Aghawat hanya akan berhenti setakat di depan kain tu (kalau masuk pun diorang tak akan cerita kat orang) sambil bawak wangian, bersihkan debu-debu dan membasuh lantainya dengan air mawar.
Pada awalnya, hanya ada beberapa orang aghawat sahaja bertugas di Madinah sampailah abad ke-14, Sultan al-Malik al-Salih Ismail memperbanyakkan lagi posisi aghawat Madinah hingga kepada 40 aghawat. Sejak dari tu bilangan aghawat semakin bertambah hingga pernah sampai ratusan orang.
Oleh kerana aghawat akan habiskan masa di Masjid Nabawi, diorang diberikan banyak penghormatan seperti diberi ruang sendiri dalam masjid dikenali sebagai ‘Dakkatul Aghawat.’ Dulu rumah ketua aghawat terletak berhampiran Pintu Jibril (pintu paling hampir dengan makam Nabi s.a.w) dan ada kejiranan kecil aghawat kat kawasan tu tapi dah dipindahkan.
“Mereka melihat banyak perubahan di Madinah, mereka masih ingat zaman sebelum penggunaan elektrik bila keseluruhan masjid hanya menggunakan satu lampu sahaja. Ketika bulan Ramadan, mereka pernah menyaksikan hanya dua baris saf, hari ini orang menjadi tersangat ramai hingga terkeluar dari kawasan masjid.” Dipetik dari Islamhastag.com
Status aghawat tak seperti hamba abdi dan tak juga macam lelaki biasa
Walaupun aghawat berasal dari kalangan hamba abdi, tapi status diorang sejak dulu lagi dah dimuliakan orang Makkah dan Madinah dan tak pernah dihina hingga pengembara dari Eropah pada abad ke-18 merasa jelik melihat orang Islam mencium tangan mereka dan memberikan penghormatan yang tinggi kepada para aghawat.
Aghawat sekarang ni bukan lagi berstatus hamba dan tetap diberikan ruang di dalam Masjid Nabawi tapi peranan diorang dah dihadkan seperti menyambut tetamu-tetamu kehormat Saudi yang berkunjung ke Masjid Nabawi, bertugas memberikan tongkat kepada khatib ketika solat Jumat, membuka pintu mimbar, dan menjaga keharuman masjid. Kerja-kerja pembersihan dan pemeliharaan masjid dah diberi kontrak kepada syarikat Saudi tapi Syeikhul Aghawat masih pegang kunci ke dalam makam Rasulullah s.a.w.
Antara ‘kesitimewaan’ aghawat di tanah suci adalah dibenarkan untuk berada di kawasan jemaah wanita. Disebabkan aghawat “bukan lelaki sebenar”, jadi, diorang kadangkala akan masuk ke kawasan jemaah wanita dan akan tegur jemaah yang melakukan syirik, bidaah, berkelakuan tak senonoh atau berpakaian tak sesuai. Fatwa mengatakan eunuk masih dianggap lelaki dan tak patut berada dengan jemaah wanita. Sekarang, diorang dah tak buat pun kerja-kerja tu sebab dah ada skuad pemantau dari kalangan wanita yang dilantik pihak masjid sendiri.
Posisi aghawat tinggal generasi terakhir dan bakal ditamatkan tak lama lagi
Sejak penguatkuasaan larangan sistem perhambaan pada tahun 1960, ramai yang suarakan supaya perlunya tradisi aghawat ni dihentikan, justeru Arab Saudi akan tamatkan amalan ni setelah kesemua aghawat bersara.
Tak sampai 10 orang aghawat masih lagi berkhidmat di Madinah sekarang dan tugas-tugas mereka dah diekslusifkan oleh Kerajaan Arab Saudi. Kebanyakkan yang masih ada hari ni berasal dari Etritrea dan Ethiopia, semuanya dah berusia dan merupakan kumpulan terakhir aghawat di Madinah sehinggalah mereka bersara atau meninggal dunia.
Ketika bekas Syeikhul Aghawat, Almarhum Syeikh Said Adam ditanya bagaimana beliau dapat kerja tu dan macam mana orang lain nak mohon pekerjaan jadi khadam Masjid Nabawi, Syeikh tak bagi jawapan yang jelas, katanya mana-mana masjid pun boleh berkhidmat.
Boleh tengok gambar-gambar aghawat lain di Madinah yang diambil secara eksklusif oleh Adel Quraishi setelah diberi akses dengan kebenaran gabenor Madinah. Gambar-gambar tu adalah untuk dipamerkan di Leighton House, London pada 2015.
Menurut Adel, kesemua aghawat mempamerkan sikap yang elegan dan hampir tak bercakap langsung. Mereka hanya datang setelah diminta berbuat demikian oleh gabenor, sesuatu yang tak pernah mereka lakukan, dan tak tunjuk minat pun nak pergi tengok. Ada di antara mereka fasih beberapa bahasa dan ada yang baru sahaja kembali setelah berkunjung ke Amerika Syarikat. Klik link video ni untuk dengar sendiri suara Sheikh Bodaya Ibrahim Agaha, salah seorang agha di Masjid Nabawi.
“There was light in the room – not my own lighting, but there was something beyond that. A beautiful energy.”- Adel al-Qurashi, ketika menggambarkan suasana photoshoot aghawat, dipetik dari RBKC.
Aghawat adalah tinggalan tradisi empayar Islam yang perlu diambil pengajaran
Bagi yang berpeluang terserempak dengan aghawat di tanah suci, janganlah diambil gambar dan hormati privasi mereka. Status aghawat Masjid Nabawi pada hari ini sangat dimuliakan, namun mereka mengingatkan kita tentang amalan keji masa lalu dalam sejarah umat Islam kerana sifat natural amalan kembiri sangat keji dan memang tak boleh dikaitkan dengan ajaran Islam.
Aghawat hari ini adalah sebagai peringatan, bagaimana tinggalan sejarah empayar Islam yang sangat hebat dengan para sultan itu akhirnya lenyap dengan meninggalkan antara saki bakinya; lelaki kasim yang berasal dari golongan hamba abdi.
- 674Share sekarang!
- Email80
- Facebook594
- Share