- 1.7KShare sekarang!
- Email9
- Facebook1.7K
- Share
Lebih kurang dua minggu lepas, kita ada dengar berita yang Sri Lanka diisytiharkan darurat. Apa yang menyedihkan, darurat ni jadi sebab rusuhan etnik antara orang Buddha dan Islam. Dilaporkan, dua orang dah terbunuh dalam keganasan ni. Sebelum ni, SOSCILI ada tulis pasal konflik agama yang jadi kat Myanmar, China dan India.
Tapi rupa-rupanya, Sri Lanka pun tak terlepas dari konflik macam ni. Walaupun macam tu, bila dikaji balik, ini bukan kali pertama konflik antara agama jadi kat Sri Lanka. Sebabnya pada tahun 2014 dulu, dah pun jadi rusuhan agama yang mengorbankan empat nyawa.
Disebabkan rusuhan baru-baru ni, kerajaan Sri Lanka dah ambil tindakan drastik dengan haramkan media sosial macam Facebook, Whatsapp dan beberapa lagi. Menurut kerajaan Sri Lanka, media sosial ni dah jadi platform untuk sebarkan ucapan kebencian. Tapi, tak lama lepas tu pengharaman ni ditarik balik.
Kat sudut yang lain pulak, Malaysia dan Sri Lanka sebenarnya simpan sejarah yang agak sama. Sebabnya, kedua-dua negara ni – bekas jajahan British dan anggota Komanwel. Apa yang lebih menarik, sehingga ke hari ni masih ada lebih kurang 40,000 orang etnik Melayu kat Sri Lanka (setakat tahun 2011).
5 peratus orang Islam kat Sri Lanka adalah orang Melayu
Sri Lanka adalah sebuah negara yang terletak kat kawasan Lautan Hindi dan dekat dengan India. Lepas setahun India merdeka, negara ni pun merdeka pada tahun 1948. Tapi masa tu, korang tak akan jumpa nama Sri Lanka kat peta dunia, sebab negara ni masih nama yang British bagi – Ceylon. Hanya pada tahun 1972, barulah namanya ditukar jadi Sri Lanka.
Masa India nak merdeka dulu, ada konflik antara orang Islam dengan orang Hindu. Jadinya, wilayah yang ramai orang Islam ni buat negara sendiri dan jadilah Pakistan. Tapi tak lama lepas tu, Pakistan pun ada konflik dan muncul pulak Bangladesh. Jauh sikit dari negara-negara ni, Myanmar menyaksikan penganut Buddha sebagai populasi terbesar.
Hal ni juga jadi kat Sri Lanka bila kaum Singhala (etnik terbesar kat negara tu) beragama Buddha. Menurut Zin Mahmud, lepas je merdeka, Sri Lanka mengiktiraf etnik-etnik lain yang ada kat negara tu termasuklah orang Islam.
Untuk maklumat, etnik kedua terbesar kat Sri Lanka adalah Tamil yang beragama Hindu dan ikuti dengan beberapa etnik lain yang bergama Islam dan Kristian. Dari 10 peratus orang Islam kat Sri Lanka, 5 peratus darinya adalah berketurunan Melayu. Diorang ni datang masa Belanda menjajah Sri Lanka dulu.
Apa yang lagi menarik, kepelbagaian etnik dan agama ni diabadikan dalam bendera Sri Lanka yang bernama Sinha (singa).
“Latar belakang singa itu berwarna merah hati yang melambangkan kaum Singhala. Di sebelah kiri bendera itu terdapat jalur hijau dan oren. Warna hijau melambangkan orang Islam sementara warna oren mewakili kaum Tamil. Warna emas menegas perpaduan semua kaum dalam satu kebangsaan Sri Lanka.” – Zin Mahmud, dipetik dari Utusan Malaysia.
Kaum majoriti risau dengan kedatangan orang Islam dan peningkatan populasi diorang
Boleh dikatakan kebanyakan negara yang bergolak kat dunia ni adalah negara-negara Islam. Kalau kat belah negara-negara Arab tu jangan cakaplah pasal konflik ni, apa yang jadi kat Iraq, Afghanistan, Yemen, Syria dan Palestin dah cukup gambarkan betapa sedihnya dunia Islam sekarang ni.
Disebabkan konflik ni, ia dah wujudkan krisis pelarian – bila ramai dari diorang ni lari ke Eropah. Dari tahun 2015 sampai 2016, dianggarkan lebih dari 2.5 juta pemohon suaka direkodkan kat Eropah. Kebanyakan dari diorang ni pulak datang dari Syria, Iraq dan Afghanistan.
Itu masalah yang jadi kat negara majoriti Islam. Tapi masalah ni juga jadi kat negara yang orang Islam cuma minoriti, macam Myanmar. Disebabkan ada ancaman, diorang ni lari ke negara-negara lain macam India, Bangladesh, Sri Lanka, Thailand, Indonesia dan termasuklah Malaysia.
Tapi bila ramai sangat pelarian yang datang, penduduk negara tu pun naik risau sebab diorang ni boleh bagi kesan sosial.
“Kaum majoriti itu bimbang jika orang Rohingya menetap di negara mereka, ia akan menambah bilangan penduduk beragama Islam, yang akhirnya akan mengubah statistik kaum penduduk mereka. Isu inilah yang turut dibincangkan oleh sebahagian daripada orang Sinhala.” – Zin Mahmud, dipetik dari Utusan Malaysia.
Itulah yang jadi masalahnya sekarang ni. Malah sebenarnya, rasa tak puas hati ni juga dah ada sejak awal abad ke-20 lagi. Hal ni jadi bila orang Islam menguasai banyak bidang ekonomi kat Sri Lanka, sampai buatkan kaum majoriti rasa tak puas hati. Kesannya dah jadi satu rusuhan anti-Islam pada tahun 1915.
Menurut Dr Sudha Ramachandran (penganalisis politik kat India), keganasan yang sasarkan golongan minoriti ni juga berkait rapat dengan cara masyarakat Sinhala pandang minoriti lain. Sebabnya, masyarakat Sinhala percaya yang Sri Lanka ni milik asal diorang dan diorang juga bangsa yang terpilih untuk melindungi ajaran Buddha. Perkara ni diambil dari sebuah karya lama bernama – Mahavamsa.
Masalah ni sebenarnya bukan jadi kat orang Islam je, tapi juga kat orang bukan Islam macam masyarakat Tamil. Malah, dah jadi perang saudara antara dua kaum ni selama 26 tahun!
Masyarakat Tamil cuba nak buat negara sendiri kat Sri Lanka
Lepas merdeka dari British, gerakan yang lebih agresif dah dilakukan oleh kaum Sinhala dalam menentukan hala tuju Sri Lanka. Tapi benda ni agak merisaukan bila kaum minoriti macam Tamil dinafikan hak kerakyatan diorang. Disebabkan hal ni, lebih dari 700 ribu orang Tamil dah tak berwarganegara masa tu.
Keadaan jadi makin teruk bila golongan Tamil yang bekerja dengan kerajaan dipaksa untuk letak jawatan atau dipecat. Disebabkan isu ni, hubungan antara kaum mula tergugat dan banyak jadi rusuhan kaum kat Sri Lanka. Keadaan semakin parah, kawasan dan harta diorang mula diserang oleh orang Sinhala. Sayangnya, serangan ni disokong oleh kerajaan.
Makanya, muncullah kumpulan pemisah yang nak buat negara dan kerajaan sendiri untuk orang Tamil. Gerakan ni dibawa oleh Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) yang ditubuhkan pada tahun 1976. Pada tahun 1983, LTTE dah serang satu konvoi tentera dan bunuh 13 orang tentera. Maka jadilah rusuhan kaum sampai 2,500 orang Tamil terkorban.
Sejak dari peristiwa tu, bermulalah perang saudara kat Sri Lanka. LTTE kemudiannya mula bergerak lebih agresif sampai buat pengeboman berani mati, rekrut budak-budak dan isytihar menentang kerajaan Sri Lanka. Disebabkan perkara ni, Amerika Syarikat (AS) dah letakkan LTTE dalam list pengganas pada tahun 1997.
“Pada Ogos 2005, Menteri Luar Sri Lanka, Lakshman Kadirgamar telah dibunuh sehingga menimbul konflik. Untuk dua tahun selepas itu, kerajaan dan pemberontak berulang kali melanggar perjanjian gencatan senjata.” – Dipetik dari Council on Foreign Relations.
Tapi lama-lama, LTTE makin lemah dan kerajaan Sri Lanka berjaya kawal balik negeri-negeri yang diorang kuasai. Akhirnya pada tahun 2009, LTTE diisytiharkan kalah bila pemimpin diorang terbunuh. LTTE pun lepas tu keluarkan statement yang diorang letak senjata. Maka tamatlah perang saudara yang berlangsung selama 26 tahun.
Kalau dulu masyarakat Tamil dilihat sebagai musuh, nampaknya sekarang ni masyarakat Islam pulak dapat nasib yang sama.
Munculnya slogan anti-Islam dan masjid pun mula diserang
Sebenarnya, darurat yang jadi baru-baru ni berpunca dari pergaduhan kat jalan raya yang membawa kepada kematian seorang penganut Buddha. Kes ni jadi kat Kandy, satu wilayah kat Sri Lanka. Bila jadi macam tu, masyarakat Buddha pun buat serangan balas kat orang Islam. Akhirnya, jadilah rusahan yang membunuh beberapa nyawa. Kedai dan masjid pun diserang.
Untuk pengetahuan, orang Islam kat wilayah Kandy ni dipanggil sebagai Moor. Sebabnya majoriti orang Islam kat sini adalah orang Moor.
“Panggilan Moor ini diberikan oleh Portugis apabila mereka mula sampai ke Sri Lanka pada kurun ke-16. Orang Islam di Andalusia yang mana buminya didirikan negara Portugis dan Sepanyol dipanggil Moor atau Moro. Sebab itu Maghribi dipanggil Morocco dan orang Islam di Filipina yang dijajah Sepanyol juga dipanggil Moro.” – Zin Mahmud, dipetik dari Utusan Malaysia.
Menurut Zin Mahmud lagi, keturunan orang Moor kat Sri Lanka adalah dari India Selatan (kawasan Kerala dan Tamil Nadu). Diorang ni bermazhab Syafie sama macam kita, tapi berbahasa Tamil.
Macam yang diceritakan kat awal tadi, pada tahun 2014 dah pun jadi satu rusuhan anti-Islam. Hal ni jadi bila seorang sami Buddha dan pemandunya dah diserang kat satu tempat. Kesannya, ia dah naikkan kemarahan dan akhirnya berlaku rusuhan anti-Islam. Sebenarnya kes ni juga dikaitkan dengan gerakan Bodu Bala Sena (BBS) yang sejak dulu lagi dah berkempen dengan slogan-slogan anti-Islam.
Kalau korang masih ingat, SOSCILI sebenarnya ada tulis pasal kebangkitan nasionalisme Hindu kat India yang dilakukan oleh Rashtriya Swayamsevak Sang (RSS) dan cabang politiknya Parti Bharatiya Janata (BJP). Hal ni jugalah yang jadi kat Sri Lanka, bila BBS ni pun dapat inspirasi dari RSS dan BJP.
“Tetapi sejak semangat nasionalisme yang dibawa BJP di India meningkat, pengaruh sikap anti-Islam di India kini merebak ke Sri Lanka. Ditambah dengan isu Rohingya, maka kedua-dua faktor yang berlaku di India dan Myanmar tidak dinafikan telah merebak ke Sri Lanka.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.
Menurut Azmi lagi, apa yang jadi sekarang ni berbeza dengan perang saudara kat Sri Lanka dulu. Sebabnya, dulu ada campur tangan India, tapi sekarang masih tak nampak akan ada pihak luar yang akan tolong orang Islam Sri Lanka.
“Tapi jangan lupa China yang banyak melabur di Sri Lanka punya kepentingan bukan sahaja untuk pertahan pelaburan mereka tetapi juga hadapi masalah serupa di wilayah Xinjiang iaitu penduduk Islam Uighur.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.
Masa depan masyarakat Islam Sri Lanka masih jadi tanda tanya
Dengan masalah yang dihadapi dunia Islam sekarang ni, termasuk juga krisis pelarian dan pergolakan dalaman. Nasib umat Islam kat Sri Lanka masih lagi tak dapat dipastikan. Menurut Azmi, kerajaan Sri Lanka juga nampaknya macam susah nak kawal keadaan, sebab kerajaan tu juga bergantung dengan sokongan rakyat Sri Lanka yang majoritinya beragama Buddha.
“Lebih rumit lagi bila Februari lepas parti politik bekas presiden Rajapaksa menang pilihan raya kecil yang mana parti beliau dapat banyak sokongan rakyat Sri Lanka Buddha.” – Azmi Hassan, katanya kepada SOSCILI.
Tapi nampaknya darurat kat Sri Lanka dah pun tamat, dan kerajaan negara tu sekarang cuba untuk tenangkan keadaan. Apa yang pasti, krisis yang jadi kat Sri Lanka ni sekali lagi menjadi masalah kepada dunia Islam.
Cukup pedih rasanya bila dengar macam mana penduduk Palestin ditindas, Rohingya dibunuh, negara Islam berperang sesama sendiri dan kali ni umat Islam Sri Lanka pula terpaksa terima tempias anti-Islam. Ke mana dunia Islam selepas ini?
- 1.7KShare sekarang!
- Email9
- Facebook1.7K
- Share