Kenapa China tindas Muslim Uighur, tapi tidak Muslim Hui? Ini cerita disebaliknya

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 5 Oktober 2017

UPDATE 18/12/19: Pemain bola sepak Arsenal, Mesut Ozil dah pun mendapat perhatian media apabila menulis tweet mengenai penindasan terhadap Muslim Uyghur di China. Kerajaan China memberi respon dengan tidak menayangkan perlawanan Arsenal menentang Manchester City di siaran TV China. Kerajaan China juga menjemput Ozil untuk datang ke sana bagi melihat sendiri layanan China terhadap Muslim Uyghur.


Media pernah melaporkan kerajaan China telah mengarahkan umat Islam di wilayah Xinjiang (dari etnik Uighur) untuk menyerahkan salinan al-Quran dan sejadah kepada pihak berkuasa. Sesiapa yang tak ikut perintah itu, tindakan tegas akan dikenakan. Bagaimanapun, laporan ini dinafikan pihak China.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama kerajaan China dikaitkan dengan tindakan diskriminasi terhadap umat Islam sana.

Sebelum ni, kerajaan China juga pernah melarang masyarakat Islam Uighur di negara itu dari berpuasa, masuk masjid dan buat apa-apa aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadhan. Lelaki Uighur yang nak kerja dengan kerajaan pula diwajibkan mencukur janggut dan wanita dilarang memakai hijab.

Masyarat dari etnik Uighur. Imej dari uyghuramerican.org

Jika dilihat dari laporan-laporan ini, jelas menunjukkan yang kerajaan China melakukan diskriminasi terhadap penganut Islam di negara itu. Tapi jika kita lihat sekali lagi, kebanyakan larangan dan perintah ini adalah terhadap masyarakat Islam Uighur. Tapi kenapa diorang je? Betul ke orang Islam di China didiskriminasi? Ada ke agama lain yang terima nasib yang sama?

Inilah persoalan-persoalan yang mungkin berlegar di pemikiran kita. Oleh itu, mari kita lihat satu-satu dari persoalan ini.

Uighur dihukum kerana sejarah silamnya

Populasi penduduk China kini dah lebih daripada 1 bilion orang, hal ini telah menjadikan China sebagai sebuah negara yang menyimpan pelbagai khazanah, budaya dan agama. Selain itu, negara ini juga ada pelbagai etnik yang mempunyai kepercayaan dan budaya masing-masing. Antara etnik tersebut adalah etnik Uighur yang tinggal di Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang di Barat Laut negara itu.

Xinjiang sebenarnya adalah kawasan yang bersempadan dengan Pakistan, Afghanistan, Kyrgyzstan, Kazakhstan, Rusia dan Mongolia. Majoriti masyarakat Uighur di wilayah ini adalah beragama Islam dan menggunakan bahasa Turki sebagai bahasa pengantar.

Imej dari al-Jazeera.

Menurut sejarah, Xinjiang adalah sebahagian daripada ‘Jalan Sutera’, iaitu laluan perdagangan yang membawa sutera China ke Asia Barat dan Eropah. Ia juga menjadi sebahagian dari China. Bagaimanapun, bila berlakunya kejatuhan Dinasti Qing pada 1912, Xinjiang mula menerima nikmat autonomi (berkuasa sendiri). Pada tahun 1933, pemberontak Turki telah mengisytiharkan kemerdekaan untuk Xinjiang dan mencipta Republik Islam Turkistan Timur (atau dikenali juga sebagai Republik Uighuristan atau Republik Turkistan Timur Pertama).

Tahun-tahun seterusnya, pihak Republik China cuba untuk menguasai semula rantau ini. Jadinya, pada tahun 1944, masyarakat di Xinjiang kembali mengisytiharan kemerdekaan dan kali ini di bawah naungan Kesatuan Soviet dan mencipta Republik Turkistan Timur Kedua. Tapi tak lama lepas tu, pada 1949 Parti Komunis China mengambil alih wilayah ini dan mengisytiharkannya sebagai wilayah China. Seterusnya, Xinjiang diklasifikasikan sebagai “wilayah autonomi” di Republik Rakyat China.

Mao Tse-tung (Pengerusi Parti Komunis China) mengisytiharkan pembentukan Republik Rakyat China pada 1949. Imej dari thatsmags.com

Apa yang lebih menarik, wilayah ini kaya dengan hasil mineral dan minyak. China juga cuba memajukan ekonomi wilayah ini dengan menubuhkan zon ekonomi khas, memberikan subsidi kepada peladang kapas tempatan dan memperbanyakkan peluang pekerjaan. Tapi masalah mula timbul bila ramai pulak pekerja asing yang datang ke Xinjiang sebab nak cari kerja dan kebanyakan yang datang tu adalah orang dari etnik Han (etnik majoriti China). 

Kajian mendapati yang populasi etnik Han dekat Xinjiang meningkat dari 220,000 orang pada 1949, ke 8.4 juta orang pada 2008. Disebabkan ramai sangat yang datang, ia dah buatkan orang Uighur rasa tak puas hati dan marah. Ketegangan juga berlaku apabila ramai dari kalangan orang Han yang lebih kaya daripada orang Uighur.

“Uighur juga kecewa dengan apa yang mereka anggap sebagai usaha China untuk ‘memperbaharui identiti budaya dan agama mereka’… Bagaimanapun, pada Julai 2009 ketegangan etnik mula berlaku di antara komuniti Han dan Uighur selepas berlakunya rusuhan di antara kedua-dua kumpulan dan pihak berkuasa di Urumqi. Rusuhan dilaporkan berlaku apabila berlakunya pembunuhan bermotifkan etnik terhadap dua orang Uighur di Guangdong.” – Dipetik dari Council on Foreign Relations (CFR).

Antara keadaan ketika rusuhan di Urumqi. Imej dari uyghuramerican.org

Xinjiang juga selalu dikaitkan dengan kegiatan pengganas atau militan. Ini kerana, dah ada beberapa tindakan yang cuba memisahkan Xinjiang dari China. Antaranya adalah dari The East Turkestan Islamic Movement (ETIM) yang dilabelkan sebagai pengganas oleh China. China juga dakwa kumpulan ni ada kaitan dengan al-Qaeda dan dilatih di kem-kem jihad Pakistan.

Makanya, kerajaan China mula ambil banyak langkah memerangi kumpulan-kumpulan pemisah dan memantau kegiatan agama di Xinjiang. Bagaimanapun, masih ramai pakar yang anggap pihak China terlebih dalam membesar-besarkan bahaya Uighur. Ada juga yang berpendapat, kempen ‘anti-pemisah’ China sebenarnya lebih banyak menimbulkan kebencian dan ia juga menyebabkan lebih banyak keganasan.

Imej dari Giphy.

Tapi sebenarnya, ada lagi etnik yang menganut agama Islam, ia adalah etnik Hui. Adakah etnik ini juga dapat nasib yang sama macam Uighur?

Sementara Uighur dikenakan banyak sekatan, orang Islam Hui pula dapat hidup macam biasa. Kenapa?

Sebenarnya ada perkara yang menarik kalau kita bandingkan layanan kerajaan China terhadap etnik Uighur dan Hui. Sebabnya, etnik Hui dapat layanan yang agak baik dari kerajaan China dan boleh dikatakan agak mesra dengan kerajaan China.

“Sudah tentu saya berpuasa di bulan Ramadhan. Semua rakan Hui saya juga melakukannya. Itulah kewajiban kita sebagai umat Islam.” – Ismail, seorang muslim dari etnik Hui. Dipetik dari Time.

Etnik Muslim Hui juga bebas menunaikan solat. Imej dari Youtube.

Itulah jawapan seorang muslim Hui. Jika kita melihat kepada sejarah, Islam dikatakan datang buat kali pertamanya ke China melalui Xian (kota di wilayah Shaanxi) pada abad ke-7. Penduduk Islam di China kini dianggarkan berjumlah 23 juta dengan lebih dari 10 juta adalah dari etnik Hui.

Jadinya, muncul persoalan kenapa ada layanan yang berbeza di antara dua etnik muslim ini? Antara teorinya adalah kerana faktor budaya dan bahasa.

Ini kerana, masyarakat Hui berbahasa Mandarin, manakala Uighur pula berbahasa Turki. Selain itu, masyarakat Hui juga dikatakan telah berjaya menyesuaikan diri (asimilasi) dengan masyarakat Han (etnik majoriti China). Sebagai contoh, ia dapat dilihat dengan reka bentuk masjid-masjid mereka yang digabungkan dengan seni Islam dan seni tradisional dinasti China.

“Jumlah orang Islam dari kalangan masyarakat Hui semakin meningkat. Sebagai contoh, adanya peningkatan bilangan wanita Hui yang memakai hijab. Bilangan orang Hui yang menunaikan haji juga terus meningkat.” – Prof Dru Gladney, Pomona College, California. Dipetik dari Deutsche Welle (DW).

Antara mereka yang nak ke airport dan seterusnya ke Mekah. Imej dari news.cn

Selain dari faktor ini, satu perkara yang tak dapat dielakkan adalah faktor politik. Menurut Geostrategis, Azmi Hassan, Parti Komunis China (CPC) begitu sensitif terhadap mana kumpulan/pertubuhan yang besar.

“CPC begitu sensitif terhadap kumpulan yang besar tidak kira berasaskan agama atau budaya, dan lebih-lebih kumpulan berasaskan politik kerana pada pendapat mereka ia boleh menggugat pengaruh CPC. Sebab itu masyarakat Uighur yang berasaskan agama dilabel sebagai musuh dan sebab itu setiap langkah diambil tujuannya untuk melemahkan kesatuan kumpulan ini.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.

Hal ini dapat dilihat apabila masyarakat Uighur di Xinjiang mempunyai gerakan/kumpulan pemisah dan ada di antaranya bercita-bercita untuk memerdekakan Xinjiang dari China. Ia sudah pasti menjadi ancaman kepada CPC yang juga pihak pemerintah. Sedangkan Hui pula, tidak seperti masyarakat Uighur yang hendak berkerajaan sendiri dan masyarakat ini tidak menentang parti pemerintah.

“Memang benar Hui Islam tidak dikenakan larangan seperti Uighur, kerana Hui beragama Islam adalah kecil dan dianggap tidak mampu mengancam kewujudan CPC.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.

Sebagai contoh pada tahun 2006, ada seorang pemimpin agama (Sufi) di Ningxia yang menubuhkan satu persatuan bernama ‘virtual religious state’ dengan pengikut hampir satu juta orang di laman maya, masjid dan madrasah.

“Dia juga pernah secara terbuka kata yang dia berjumpa, bercakap dengan Osama bin Laden dan berjumpa dengan beberapa ulama radikal ketika belajar di Pakistan. Tetapi kerana dia menyatakan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Parti Komunis, dia tidak diganggu oleh pihak berkuasa.

Memberikan peraturan yang ketat walaupun kepada orang Islam Uighur yang paling sederhana di Xinjiang, menunjukkan layanan berbeza kerajaan kepada kedua-dua kumpulan Islam ini. Bukan kerana agama, tetapi politik.” – Dipetik dari The Diplomat.

Selain Islam, agama Kristian juga cuba dikawal oleh pihak pemerintah

Kerana media selalu melaporkan diskriminasi China terhadap Islam, mungkin ada yang terlepas pandang dengan nasib yang menimpa penganut agama-agama lain. Rupa-rupanya, ada juga penganut Kristian yang menerima nasib yang agak sama.

Sebagai contoh, pada 1966 semua kumpulan agama diharamkan oleh Mao Tsetung (Pengerusi CPC) termasuk juga Kristian. Bagaimanapun, pada 1979, agama kembali dibenarkan semula dengan dikawal oleh kerajaan, melalui Three-Self Patriotic Movement (TSPM) dan Majlis Kristian China (CCC).

Peratus peganut Kristian di China. Imej dari epm.org

Walaupun Kristian dibenarkan untuk diamalkan, tetapi pihak kerajaan China masih berusaha mengawal gerakan dan penubuhan kumpulan-kumpulan Kristian. Seperti yang dikatakan tadi, ia juga bermotifkan politik dan untuk memastikan CPC tidak tergugat. Apa yang menjadi masalah, ada pihak yang mendakwa pemerintah cuba mengembangkan versi Kristian mereka sendiri (teologi Kristian Cina). 

Disebabkan perkara itu, ramai penganut Kristian di China masuk ke ‘underground church’ yang tak terikat dengan pihak pemerintah.

“Mereka mahu pastor berdakwah dengan cara Komunis. Mereka mahu orang mengamalkannya (agama) dengan cara Komunis.” – Kata seorang pemimpin underground church. Dipetik dari The Diplomat.

Satu majlis baptis di sebuah underground church di Beijing. Imej dari huffingtonpost.com

Selain itu, mereka juga mendakwa yang pendakwah Kristian juga ditekan untuk menunjukkan kesetiaan mereka kepada CPC. Hinggakan mereka disuruh menyampaikan propaganda kerajaan di dalam khutbah mereka. Menurut kajian, dianggarkan 93 hingga 115 juta penganut Kristian di China dan hanya kurang 30 juta yang menghadiri gereja yang dikawal oleh kerajaan.

Satu kes yang ngeri juga pernah berlaku kepada seorang wanita yang juga seorang aktivis Kristian. Dalam satu kejadian, wanita ini telah bertindak menghalang sebuah bulldozer dari merobohkan sebuah gereja. Tapi halangan tu tak dihiraukan dan dia akhirnya ditolak ke dalam parit dan ditanam hidup-hidup!

“Dibawah undang-undang China, segala institusi agama perlu didaftarkan. Jika mereka tidak berbuat demikian, pihak kerajaan ada hak untuk mendakwa mereka jika tertangkap.” – Dipetik dari CBN News.

Kedaan gereja yang dirobohkan dan mayat Ding Cuimei, aktivis Kristian China. Imej dari crestini.com

Agama ini juga ditekan, sebab pengaruh pemimpin mereka

Selain dari Islam dan Kristian, ada juga beberapa agama lain yang menghadapi ancaman pihak pemerintah China. Ia adalah Tibetan Buddhism dan Falun Gong. Tibetan Buddhism adalah salah satu ajaran Buddha yang mempunyai ciri-ciri institusi Tibet. Ajaran ini ada beberapa upacara serta amalan-amalan rohani seperti mantra, bermeditasi, derma/sedekah dan sebagainya. Majoriti masyarakat di Tibet mengamalkan ajaran ini.

Apa yang membuatkan ajaran ni pun cuba dikawal kerajaan? Sudah pasti ia kerana faktor politik Tibet itu sendiri. Untuk maklumat, kebanyakan orang Tibet yang mengamalkan agama ini sangat menghormati Dalai Lama yang juga dianggap sebagai pemimpin rohani (spiritual leader) mereka.

Seorang penganut sedang memutarkan roda doa, sebagai salah satu amalan ajaran Tibetan Buddhism. Imej dari Classroom.

Bagaimanapun, tindakan Dalai Lama yang cuba membebaskan Tibet dari China sudah pasti menampakkan ancaman kepada kerajaan China. Selain itu, disebabkan sejarah masyarakat Tibet yang banyak mengalami penganiayaan dari China, maka kebanyakkan sami dan biarawati di sana berjuang mempertahankan bahasa, budaya dan pendidikan mereka. Akibatnya, ramai dari mereka dijadikan sasaran oleh pihak berkuasa.

“Pada Januari 2014, seorang sami Tibet, Thardhod Gyaltsen telah dijatuhi hukuman penjara 18 tahun selepas polis mendapatinya menyimpan gambar dan rakaman Dalai Lama dalam satu serbuan di buara pada tahun 2013.” – Dipetik dari Free Tibet.

Mungkin sebab kuasa ni yang buatkan China takut. Imej dari Giphy.

Pihak berkuasa China juga baru-baru ini dilaporkan memusnahkan biara-biara di Larung Gar, Tibet, yang menjadi salah satu pusat pengajian Bhudda terbesar di Tibet. Hal ini menyebabkan Human Right Watch (HRW)  menyeru pihak berkuasa China untuk menghentikan pengusiran di institusi tersebut.

Bagaimanapun menurut kenyataan rasmi China, mereka tidak pernah berniat untuk memusnahkan biara tersebut, tetapi sebenarnya merancang untuk mengubahsuai bandar kecil itu, supaya jadi lebih bersih, teratur, selamat, dan cantik.

Pemandangan Larung Gar dan biara-biaranya. Imej dari placeaholic.com

Habis cerita pasal Tibet, sekarang nak cerita pula tentang Falun Gong. Ajaran Falun Gong ni juga boleh dikatakan ada kaitan dengan ajaran Buddha. Amalan ajaran ini adalah satu disiplin untuk sifat-sifat tertinggi seperti kebenaran, belas kasihan dan kesabaran. Ajaran ini diasaskan oleh Li Hongzi yang kini tinggal di Amerika Syarikat sejak 1996.

Ajaran Falun Gong ni agak unik sebab ia tak ada struktur hierarki, takde pentadbir atau pegawai dan takde tempat ibadat khas. Kuasa spiritual dan ideologi ajaran ini terletak sepenuhnya kepada Li Hongzhi. Walaupun begitu, masih tak ada sebab yang jelas mengapa ajaran ini ditentang oleh pihak pemerintah.

Inilah Li Hongzhi, pengasas ajaran Falun Gong. Imej dari Alchetron.

Parti Komunis sebelum ini mengatakan yang Falun Gong adalah ancaman kepada masyarakat dan terdedah kepada ancaman asing (mungkin sebab pengasasnya duduk kat AS). Satu lagi pendapat mengatakan, Parti Komunis yang selama ni cuba mengawal semua organisasi agama, media, pendidikan dan sebagainya di negara itu telah gagal dalam mengawal Falun Gong. Ini menyebabkan kerajaan marah dan mengharamkan ajaran ini.

Selain itu, ada juga yang mengatakan Parti Komunis cemburu dan takut dengan pengaruh Falun Gong yang dapat mengancam mereka. Sekali lagi, ia kerana kuasa politik.

“Pada 25 April 1999, 10,000 pengikut Falun Gong telah berkumpul di Beijing dan ia mengejutkan pemimpin-peminpin parti (CPC). Sejak itu, penindasan dilakukan.” – Dipetik dari New Statesman. 

Antara pengamal Falun Gong yang ditahan di Dataran Tiananmen, Beijing. Imej dari fofg.org

Sehingga sekarang dianggarkan lebih 10 juta rakyat China masih mengamalkan ajaran ini. Sehingga ke hari ini juga pelbagai tindakan telah diambil kepada pengikut ajaran ini termasuk penjara.

Parti Komunis China (CPC) akan terus berusaha mempertahankan kuasa politik dan ideologi Komunis mereka

Seperti yang telah diceritakan panjang lebar tadi, faktor kuasa politik menjadi punca utama mengapa diskriminasi ini berlaku. Walaupun, perlembagaan China memberikan kebebasan beragama, tetapi nampaknya nilai-nilai komunis akan terus dipertahankan. Ini terbukti, apabila ahli Parti Komunis China (CPC) tidak dibenarkan sama sekali beragama.

“Dengan ideologi komunis inilah yang membuatkan CPC begitu efektif mentadbir China dengan berbagai kepelbagaian. Pengasas CPC menganggap ideologi komunis merentasi dan lebih penting dari agama, budaya dan bahasa. Sebab itu ideologi ini dipertahankan sehabisnya oleh CPC.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.

Imej dari South China Morning Post.

Selain itu, tindakan China yang mengangap serangan terhadap Rakhine sebagai urusan dalam Myanmar juga menimbulkan persoalan adakah negara itu menyokong tindakan Myanmar. 

“China dianggap menyokong pembunuhan Rohingya oleh Myanmar kerana China juga berhadapan dengan isu Uighur. Sukar bagi China untuk kecam Myanmar kerana apa yang Beijing lakukan walaupun belum sampai ke peringkat pembersihan etnik. Tetapi kekangan dan larangan yang dikenakan sudah menjurus kepada ethnic cleansing secara tersirat.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.

Selain itu, walaupun penindasan terhadap Uighur mendapat perhatian Turki. Tapi kemungkinan isu ini tak akan mengeruhkan hubungan Turki-China. Ini kerana, menurut Azmi Hassan, selepas kegagalan rampasan kuasa di Turki, Erdogan dilihat sedang mencari kawan kuasa besar baru dan China adalah calon yang terbaik menggantikan AS dan EU.

Hati-hati…jangan jatuh lagi. Imej dari Giphy.

Bagaimanapun, Malaysia masih dianggap boleh memainkan peranan dalam mengurangkan diskriminasi agama (khususnya Islam) di China.

“Penting sekali saluran diplomasi dan hubungan dengan China sentiasa dibuka bagi menyakinkan Beijing bahawa Uighur bukan musuh mereka. Dalam hal ini sifat ketelusan dan kepercayaan diperlukan untuk yakinkan Beijing.

Dalam hal ini Malaysia punyai peranan yang besar kerana hubungan KL dan Beijing adalah berasaskan kepercayaan antara pemimpin tertinggi. Kuala Lumpur mempunyai kemampuan untuk yakinkan Beijing bahawa Uighur tidak mampu cetuskan kekacauan di Xinjiang.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.