Sebelum Gordon Ramsay jadi chef terkenal, dia pernah jadi atlet bola sepak

Baru-baru ni filem tentang Lee Chong Wei dikeluarkan, katanya filem tu akan beritahu korang sejarah dan pengorbanan hidup lagenda badminton negara kita, Dato’ Lee Chong Wei. Kami masih ingat lagi, setiap kali Lee Chong Wei lawan Lin Dan, punyalah jantung berdebar macam nak meletup je. Cuba korang fikir, agak-agaknya nanti apabila Lee Chong Wei dah berhenti main badminton, dia akan jadi apa?

Macam ni kot Lee Chong Wei berlatih. Imej dari Giphy

Sebenarnya ramai je atlet yang tukar bidang diorang dan jadi lebih berjaya. Ada yang tukar masa baru nak mulakan kerjaya sebagai atlet professional dan ada pulak yang pilih nak tukar kerjaya lepas diorang dah bersara. Cuba korang bayang, ada diantara atlet ni buat juta-juta masa zaman kegemilangan diorang. Lepas tu, diorang buat pulak juta-juta lagi lepas tukar kerjaya!

Kita mulakan geng-geng atlet kita dengan…

1. Sebelum jadi pakar memasak, Gordon Ramsay pernah jadi pemain bola sepak

Bagi sesiapa yang minat tengok rancangan Hell’s Kitchen, mesti diorang akan kenal nama chef yang asyik marah orang ni. Gordon Ramsay ni lahir kat Scotland pada tahun 1966 dan merupakan antara chef yang paling terkenal dekat dunia. Kalau korang nak tahu, dia terlibat dengan macam-macam rancangan TV, antara yang paling popular adalah Hell’s Kitchen dan Master Chef.

Hahh…macam ni cara Gordon Ramsay marah kat orang. Imej dari Giphy

Sebenarnya, Gordon Ramsay ni adalah pemain bola sepak masa di masih remaja. Masa umur 15 tahun, dia dah dapat kontrak professional dia dengan pasukan Glasgow Rangers. Pasukan ni pasukan professional taw, sama macam JDT. Malangnya, Gordon Ramsay ni ada kecederaan lutut yang buat dia terpaksa berhenti daripada main bola sepak.

Oleh kerana dah tahu peluang nak main bola tu hilang, dia pun ambil ijazah dalam bidang pengurusan hotel. Nasib baiklah dia tukar kerjaya, tak dapat kami bayangkan kalau dia ni betul-betul jadi atlet bola sepak, lepas tu main dengan pasukan power. Macam manalah agaknya dia akan marah orang lain kalau dia tak puas hati.

2. Chuck Norris bekas juara seni mempertahankan diri ke pelakon terkenal

Kalau korang minat filem-filem aksi, nama Chuck Norris ni tak perlu kami perkenalkan lagi. Antara babak lakonan yang kami paling ingat adalah masa Chuck Norris lawan Bruce Lee. Masa tu teruja betul kami, macam pendekar Asia lawan Barat. Nasib baiklah dalam filem tu hero dia Bruce Lee, dah tentu-tentulah dia menangkan. Horeyy, pendekar Asia!

Chuck Norris ni lahir pada tahun 1941, dia belajar ilmu mempertahankan diri dari Korea. Habis je belajar ilmu mempertahankan diri dia terus masuk tentera sebelum membuka pusat Karatenya sendiri. Masa dia jadi atlet karate, dia hampir tak boleh dikalahkan. Punyalah banyak gelaran dia dapat.

https://www.youtube.com/watch?v=eDJUVOaeUag

Chuck Norris kalah dalam tiga pertandingan pertama dia dalam acara karate. Tapi selepas tiga kekalahan ni, dah macam tak ada orang boleh kalahkan dia. Antara kejohanan yang dia pernah menang adalah; The National Karate Championships (1966), All-Star Championships (1966), World Middleweight Karate Championship (1967), dan All-American Karate Championship (1967).

Dia bersara pada tahun 1974 dalam keadaan tak pernah ditewaskan (undefeated) dalam acara full contact middle weight. Pergh, tak pernah kalah kot. Filem yang buat Chuck Norris masa mula-mula nak berlakon dulu adalah filem Way of the Dragon yang dia lawan Bruce Lee tu. Ada je orang kata dia berlakon kayu, tapi banyak peminat suka tengok dia. Akhirnya pada tahun 1977, dia jadi hero dalam filem Breaker! Breaker!.

Pergh…macam ni ker kalau dah power main karate? Imej dari Giphy

Sejak dari itulah dia dah mula berlakon banyak filem aksi macam Missing in Action (1984). Sampai hari ni Chuck Norris jadi pelakon dan ikon filem aksi, sesuailah sebab dia memang power dalam karate.

3. Manny Pacquiao dari peninju yang power ke Senator di Filipina

Bagi yang suka tengok sukan saling melebamkan mata lawan, korang mesti kenal Manny Pacquiao. Dia tinggal tak jauh pun dari Malaysia, dia ni orang Filipina. Kalau korang nak tahu, dia dah menang kejuaraan tinju dalam 8 kelas berat yang berbeza. Atas sebab menang banyak kejuaraan ni dia dah dianggap sebagai atlet legend dalam sukan boxing.

Sekali kena tumbuk oleh Manny Pacquiao ni, confirm tidur lena. Imej dari Giphy

Perlawan terbesar Manny Pacquiao adalah masa dia lawan Mayweather, walaupun dia kalah dalam perlawanan tu, dia dilaporkan kutip 80 juta USD. Kita ni, tujuh keturunan pun belum tentu dapat kutip duit banyak tu, dia dalam satu malam dapat 80 juta. Manny Pacquiao ni masih lagi aktif bertinju, tapi dalam masa dia tumbuk-tumbuk lawan dia tu, dia siap join politik. Sekarang ni pun dia senator kat Filipina!

Pada tahun 2007, dia bertanding untuk jadi ahli dewan rakyat, tapi dia kalah. Dua tahun lepas tu dia buat parti baru, nama parti tu People’s Champ Movement. Dia pun bertanding sekali lagi pada tahun 2009, dan menang!  Tiga tahun lepas tu, dia menang sekali lagi tanpa bertanding. Kami pun tak tahu mana satu kerja utama dia, jadi ahli politik atau peninju.

4. Arnold Schwarzenegger dari abang sado ke pelakon dan Gabenor California

Punyalah terbelit-belit lidah nak sebut nama Arnold Schwarzenegger, dah macam bahasa German kami rasa. Sebenarnya abang sado kita ni lahir pada tahun 1947 kat Austria. Ramai tak tahu yang sejak kecil abang sado ni dah ada kehidupan yang mencabar. Bapanya adalah seorang pemabuk, dan anggota polis yang lebih sayangkan abang dia yang nampak lebih kuat dari dia.

Kita ni biasanya kalau ada masa lapang kita akan membaca buku atau mengumpul setem (ayat korang masa budak-budak dulu). Hobi masa lapang bapak Arnold Schwarzenegger adalah pukul dia, paling tak boleh blaa dia bagi Arnold bergaduh dengan abang dia. Atas sebab ni dia tak pergi majlis pengkebumian ayah dan abang dia.

Awatlah Schwarzenegger ni tak mai, bapak dia mati kot. Imej dari Giphy

Abang sado ni bukan mai power lagi masa dia ikut pertandingan bina badan, dia berjaya dapat 5 kali kejuaraan Mr. Universe dan 6 kali Mr. Olympia. Masa awal-awal dia datang ke Amerika Syarikat, dia dapat tawaran berlakon watak-watak tak penting. Alaa, macam watak pemandu Grab masa hero nak pergi kejar pencuri.

Tapi dengan watak yang tak berapa nak penting ni, abang sado ni berjaya menang anugerah Best Newcomer untuk filem Stay Hungry (1976). Dengan badan yang sado, dah sah-sah dia sesuai jadi hero untuk filem-filem aksikan? Sejak dapat anugerah tu, rezeki dia makin melimpah, dia jadi watak penting dalam beberapa filem macam Conan the Barbarian, The Terminator dan Terminator 3: Rise of the Machines.

Bukan setakat jadi pelakon je abang sado ni, pada tahun 2003 dia bertanding untuk jadi Gabenor California dan menang. Masa dia menang, dia janji nak bawak kestabilan ekonomi kat California. Dia menang dengan mudah sekali lagi pada tahun 2006, dan akhirnya berhenti menjadi gabenor pada tahun 2011.

Arnold tak dapat bilik hotel sebab dah penuh. Masa dia jadi gabenor hotel tu kata nak bagi dia bilik free bila-bila masa. Imej dari Facebook

5. Michael Jordan buka restoran steak lepas bersara

Korang  pernah dengar tak tentang kasut Jordan (Nike)? Kasut Nike yang terkenal ni diambil daripada nama dia. Cuba bayangkan nama korang jadi brand, dah lah dapat duit royalti daripada nama sendiri, famous pulak tu! Dia dilahirkan pada 1963, dan dianggap sebagai salah seorang atlet bola keranjang yang paling berjaya.

Dia bantu pasukan Chicago Bulls untuk menang 6 kejuaraan NBA dan 5 kali merangkul gelaran pemain paling berharga. Sejak kecil dia ada sifat yang sentiasa nak buat yang terbaik, dan pada tahun 1984 dia berjaya masuk pasukan Olimpik USA. Team tu menang emas kot. Lepas tu dia mulakan kerjayanya dekat NBA. Bak kata orang putih, the rest is history.

Dengan kasut Jordan, semua orang boleh terbang. Imej dari Giphy

Masa dia jadi atlet dulu, seperti atlet-atlet yang power yang lain, dia dapat macam-macam tajaan. Biasanya atlet kaya masa dia tengah berada dalam zaman kegemilangan dia, tapi Jordan jadi orang kaya gila-gila lepas dia berhenti main bola keranjang. Awkward pulak nak sebut bola keranjang, dah macam mata keranjang…

Dia beli share dekat satu pasukan basketball NBA – Charlotte Bobcats, dan dia juga buka restoran Michael Jordan Steak House. Ni belum termasuk duit yang dapat daripada Nike setiap kali kasut Jordan keluar. Kalau korang nak tahu, dianggarkan dia mempunyai aset sebesar 1.65 bilion USD.

6. Shaquille O’Neal dari pemain NBA ke penyanyi, pelakon dan bercita-cita menjadi Sheriff

Cuba korang bayangkan ada lelaki dengan tinggi 7 kaki dan berat badan 316 pound main bola keranjang. Kami fikir dulu kalau nak power dalam main bola keranjang, badan kena keding dan tinggi. Tapi Shaquille O’Neal buktikan kita salah, walaupun badan dia agak besar, dia berjaya menjadi salah seorang pemain NBA yang paling power.

Bapak tinggi! Imej dari si.com

Dia dilahirkan Newark, New Jersey pada 6 March 1972. Kalau korang nak tahu, pada tahun 1991 dia menang College Player of the Year. Dia mulakan kerjaya dia dekat Orlando Magic, dan dia mula dikenali sebagai Shaq. Dia satu-satunya pemain yang pernah menang “Player of the week” untuk minggu pertamanya kat liga NBA.

Oleh sebab dia ni power, pada tahun 1996 – dia tandatangani kontrak termahal NBA untuk main dengan Los Angeles Lakers. Kontrak tu bernilai 120 juta USD, tu masa tahun 1996, korang bayanglah berapa banyak nilai wang tu sekarang.

Berapa ramai atlet yang korang kenal ada album sendiri? Kalau korang nak tahu Shaq ni ada 8 album taw, lebih banyak daripada kebanyakan artis kita. Dia ni rapper, macam orang cakap laju sebab nak pergi tandas. Kami gurau je, sebenarnya rap ni ada banyak style, kat Malaysia ni je kebanyakan orang fikir rap cuma cakap laju. Kalau korang fikir dia setakat artis ala kadar, album dia capai jualan platinum kot.

“Apa yang orang tidak faham tentang muzik saya ialah saya tidak cuba untuk menjadi rapper. Secara jujur, rapper tidak membuat banyak wang.” – Shaq, dipetik dari Complex

Dia juga terlibat dengan lakonan, kalau ikut Internet Movie Database, dia dah terlibat dengan 29 filem. Antara filem yang dia berlakon adalah Blended, The Lego Movie dan The Growns Up 2. Paling tak bole blaa, apabila hos rancangan larut malam cadangkan dia bertanding jadi Presiden US, tapi dia kata nak jadi sherif pada tahun 2020!

7. George Weah, daripada pemain bola sepak terbaik dunia ke Presiden Liberia

Macam-macam benda yang boleh berlaku dalam dunia ni, siapa sangka daripada pemenang Balon d’Or (anugerah paling gempak untuk pemain bola sepak) dapat jadi Presiden Liberia. Tapi itulah yang berlaku pada George Weah. Kami harap lepas ni Messi dan Cristiano Ranaldo bolehlah cuba untuk bertanding jawatan presiden negara masing-masing.

Dia dilahirkan 1 Oktober 1966, dan tinggal bersama neneknya sebab mak ayah dia berpisah. Dia mula jadi pemain bola sepak yang power masa umur 15 tahun, dan jurulatih bola sepak Cameroon beritahu pengurus Monaco masa tu –  Arsène Wenger. Dia pun terbang ke Afrika untuk tengok sendiri kebolehan Weah, akhirnya dia diambil untuk main dengan Monaco.

https://www.youtube.com/watch?v=iR-7T8F-bcQ

Punyalah power dia main bola sampai dia dapat anugerah Pemain Bola Sepak Terbaik di Afrika, Eropah dan Dunia (FIFA) pada tahun 1995. Tapi dalam sibuk main bola, dia juga terlibat dengan kempen-kempen anti peperangan dan pernah jadi duta UNICEF untuk kempen cegah AIDS/HIV.

Dia tahu bola sepak penting untuk Liberia, jadi dia pun keluarkan duit dia sebanyak 2 juta USD untuk taja pasukan bola sepak Liberia. Kalau korang nak tahu, masa kelayakan Piala Dunia 2002, dia siap jadi pemain dan jurulatih untuk pasukan Liberia.

Pada tahun lepas Weah bertanding untuk jawatan Presiden Liberia, dan dia menang. Dia siap kata dia dah selalu masuk stadium, tapi masuk ke stadium untuk dilantik jadi Presiden ni antara moment yang paling special.

“Kemenangan ini tidak mungkin dilakukan tanpa anak muda di negara ini, wanita di negara ini yang membuat jualan hidup mereka di pasaran.” – Weah, dipetik dari The Guardian

Tak semestinya korang kena stay dengan satu kerjaya je

Kami tahu ramai je orang kat luar sana rasa tak suka dengan kerja yang diorang lakukan. Tapi kebanyakan tak berani nak tukar kerjaya sebab takut tak menjadi. Kalau korang rasa ada bakat dalam bidang lain, korang kena usaha dan berani ambik risiko.

Tapi kami nak ingatkan korang, kalau betul nak tukar karier, rancang betul-betul. Atlet kat atas ni dah famous, tu senang nak tukar kerja. Kalau Facebook korang setakat 100 followers dan 1221 friends, kena kerja keraslah jawabnya.

Korang kena confident dengan diri korang, tapi jangan terlebih confident pula. Imej dari Giphy

Korang cubalah cari apa-apa kerjaya lain yang boleh tambah pendapatan korang. Bak kata Ahmad Maslan, kita kena buat dua kerja.

 “Saya ada 3 kerja: anggota parlimen, timbalan menteri, ketua penerangan Umno. Ramai dah di Malaysia yang buat #2Kerja. Berusaha gigih cari rezeki yang halal.” – Ahmad Maslan, dipetik dari MalaysiaKini

About Man Hamka 74 Articles
Man Hamka