- 1.1KShare sekarang!
- Email6
- Facebook1.1K
- Share
Sejak Malaysia ada kerajaan baru ni, banyak sidang media yang kita dapat tengok. Sidang media dari Perdana Menteri, sampailah ke menteri-menteri kabinet. Dalam masa sama, kita juga dilaporkan pasal beberapa agensi yang dibubarkan macam – SPAD, Majlis Profesor Negara (MPN), JASA dan JKKKP.
Tapi tak cukup dengan tu, ada pulak cakap-cakap yang minta agensi-agensi lain turut dimansuhkan dan antaranya adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Dr Mahathir dalam reaksinya ada kata yang kerajaan belum terfikir nak mansuhkan JAKIM, tapi fungsinya akan disemak semula.
Sehari lepas tu, Tawfik Ismail (bekas MP) dan juga anak allahyarham Tun Dr Ismail (bekas Timbalan Perdana Menteri) ada kata yang kerajaan tak payah kaji kedudukan JAKIM, tapi sepatutnya ia dibubarkan terus.
Jadinya, SOSCILI kali ni nak bincang serba sedikit pasal JAKIM dan apa yang agensi ni pernah buat. Selain tu, kita juga jangan lupa, yang…
JAKIM ditubuhkan masa Dr Mahathir jadi Perdana Menteri
Itulah hakikat yang kita kena tahu. Sebabnya sebelum tahun 1997, kita tak dengar nama JAKIM. Kalau nak ikut sejarah, pada mulanya kita cuma ada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang diletakkan kat bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
MKI ni mula bertugas pada tahun 1970 dan semenjak tu diorang bersidang untuk bincangkan hal-hal berkaitan Islam. MKI juga bertanggungjawab dalam penubuhan – Pusat Penyelidikan Islam (PPI), Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) dan Maktab Perguruan Islam (MPI).
Tapi bila Wilayah Persekutuan dibentuk pada tahun 1974, MKI dinaik taraf menjadi Bahagian Ugama JPM. Dari masa ke semasa, bahagian ni mula berkembang, sampailah kerajaan ambil keputusan untuk bina kompleks baru Pusat Islam kat Jalan Perdana, KL.
10 tahun lepas tu, bahagian ni sekali lagi dinaik taraf dan dikenali sebagai Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS). Kedudukannya masih sama – kat bawah JPM, tapi masa tu BAHEIS dah ada lebih kurang 14 cawangan – dari pendidikan Islam, dakwah Orang Asli, penyelidikan dan macam-macam lagi.
Akhirnya pada tahun 1997, kerajaan ambil keputusan untuk jadikan BAHEIS sebagai sebuah agensi yang lebih baik dan tertubuhlah JAKIM. Dari ada 14 bahagian (masa kat BAHEIS), JAKIM seterusnya ada 19 bahagian. Agensi ni kemudiannya diketuai oleh seorang Ketua Pengarah, tapi kedudukannya masih lagi sama iaitu di bawah JPM.
Seperti mana yang kita tahu, pada tahun 1997 tu, Dr Mahathir lah yang jadi Perdana Menteri dan tu dah cukup bukti nak kata – Dr Mahathir adalah antara orang yang bertanggungjawab menubuhkan JAKIM. Tapi ada satu perkara yang kita kena tahu, menurut Dr Mohd Fauzi Shaffie (Presiden Pertubuhan Jati), penubuhan JAKIM adalah hasil dari perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.
Apa yang JAKIM buat? Dan JAKIM ni ada kuasa ke?
Sekarang ni, kita nak beralih pulak dengan fungsi sebenar JAKIM dan apa yang badan ni boleh buat sebenarnya. Kalau kita ikut apa yang ada kat website JAKIM, tiga fungsi utama badan ni adalah:
- Menggubal dan menyeragamkan Undang-Undang Syarak.
- Menyelaraskan Pentadbiran Islam.
- Menyelaras dan membangunkan Pendidikan Islam.
Nak lebih faham, JAKIM ni bertindak untuk hal ehwal Islam kat peringkat Persekutuan. Seperti mana yang kita tahu, hal berkaitan dengan agama Islam ni adalah di bawah bidang kuasa negeri.
Berikut adalah tugas-tugas JAKIM:
- Merangka dasar pembangunan hal ehwal Islam di negara ini.
- Membantu menggubal dan menyeragam undang-undang dan peraturan.
- Menyelaras mekanisma penguatkuasaan undang-undang serta peraturan-peraturan pentadbiran hal ehwal Islam di seluruh negara.
- Membuat penilaian program-program Hal Ehwal Islam yang dilaksanakan di negara ni.
- Bertindak sebagai pengumpul, penyebar dan pusat rujukan maklumat mengenai hal ehwal Islam.
Tapi dalam masa sama, muncul pulak persoalan pasal kuasa apa yang JAKIM ada. Boleh ke JAKIM tangkap orang yang tak puasa atau orang yang berkhalwat? Dan ini jawapan dari pakar undang-undang:
“Yang ada kuasa untuk menahan adalah polis dan pegawai penguatkuasa syariah.” – Dr Hazmi Rusli, Pakar Undang-Undang USIM. Katanya kepada SOSCILI.
Jadinya, jelas kat sini pihak yang ada kuasa untuk buat penguatkuasaan adalah Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk kawasan Wilayah Persekutuan. Walaupun macam tu, JAKIM masih ada kuasa dalam hal-hal tertentu macam pensijilan halal.
Kalau JAKIM dah takde. Siapa yang akan bagi sijil halal?
Untuk maklumat, sijil halal JAKIM dah diiktiraf sebagai antara yang terbaik kat dunia ni. Sebagai contoh, negara Brazil yang nak pasarkan daging ke Asia Barat, dah diminta untuk dapatkan sijil halal dari Malaysia dulu.
“Negara Asia Barat membenarkan Brazil untuk memasarkan daging di negara mereka dengan syarat negara itu perlulah mendapatkan pensijilan halal daripada kita.” – Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, bekas Timbalan Menteri JPM. Dipetik dari Kosmo.
Kalau kita merujuk Warta Kerajaan Persekutuan, pihak yang berwibawa memperakui dan keluarkan sijil halal adalah JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Jadinya, kalau sijil halal tu dikeluarkan oleh pihak tertentu, ia mestilah dapat pengiktirafan dari JAKIM (klik sini kalau nak semak).
Walaupun kuasa pengeluaran sijil halal dalam bidang kuasa JAKIM atau JAIN, tapi prosedur pelaksanaannya masih lagi banyak dilakukan oleh JAKIM. Jadinya senang cakap, perkara berkaitan dengan sijil halal kat Malaysia ni bergantung kepada JAKIM, sebagai satu badan agama yang mewakili Persekutuan. Sebab tu jugalah, logo halal tu selalunya dikenali sebagai logo halal JAKIM.
Tapi macam mana dengan pengurusan sijil halal kalau tiba-tiba JAKIM dibubarkan nanti?
“…sekiranya ia dibubarkan, kemungkinan besar sijil halal akan dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM), kerana JAKIM sendiri di bawah JPM…mungkin JPM akan tubuhkan badan lain menggantikan JAKIM jika JAKIM dibubarkan.” – Dr Hazmi Rusli. Katanya kepada SOSCILI.
Selain tu, pada awal Februari lepas, masa orang rancak cerita pasal JAKIM. Tiba-tiba Tengku Razaleigh ada keluarkan kenyataan yang kata – JAKIM ni tak berperlembagaan.
Sama ada JAKIM berperlembagaan atau tak? Ada dua pandangan dalam isu ni.
“JAKIM tidak berperlembagaan. Apabila beliau (Dr Mahathir) berkuasa, beliau melihat PAS sebagai satu ancaman. Oleh itu, beliau meneruskan program Islamnya, menubuhkan JAKIM misalnya.” – Tengku Razaleigh Hamzah, Veteran UMNO. Katanya kepada Free Malaysia Today.
Itulah kenyataan Ku Li pasal JAKIM. Boleh kita simpulkan, Ku Li anggap penubuhan JAKIM ni adalah cara Dr Mahathir nak bersaing dengan PAS dulu. Tapi betul ke dakwaan tak berperlembagaan ni?
Menurut seorang peguam syariah, Nizam Bashir, apa yang Ku Li cakap tu memang betul dan JAKIM tu tak sah dari Perlembagaan. Tambahnya, JAKIM ditubuhkan melalui tindakan eksekutif (pemerintah), sedangkan ia patut ditubuhkan melalui undang-undang yang menjelaskan bidang kuasanya. Hal ni kerana, hal ehwal Islam terletak bawah negeri dan ia dah pun ada garis sempadan.
Walaupun macam tu, pandangan ni nampaknya tak diterima oleh sebahagian pengamal undang-undang lain macam Datuk Zainul Rijal (Presiden Persatuan Peguam – Peguam Muslim Malaysia – PPMM). Menurutnya, walaupun memang betul hal berkaitan agama Islam terletak bawah negeri, tapi tak semuanya macam tu.
Sebabnya, masih ada undang-undang Persekutuan yang ada kaitan dengan amalan Islam diluluskan kat Parlimen. Contohnya macam:
- Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775)
- Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301)
- Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535)
- Akta Bank Islam 1983 (Akta 276)
- Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 (Akta 326)
Untuk nak lebih faham, kita boleh tengok Akta 775 yang ada peruntukan dan pengiktirafan untuk perubatan Islam. Jadinya, macam mana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang nak pastikan sesuatu perubatan tu Islam atau tak? Dalam hal macam ni, takkan lah KKM nak rujuk kat semua 14 Jabatan Agama Islam Negeri kan?
“Oleh itu, JAKIM adalah entiti yang dirujuk dan ia bertepatan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam Jadual Kesembilan Senarai I Butiran 4(k) yang menyebut Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa dalam penentuan hukum syarak, selain daripada undang-undang diri, bagi tujuan-tujuan undang-undang Persekutuan.” – Datuk Zainul Rijal. Dipetik dari Utusan Malaysia.
Begitu jugak macam dalam Akta Tabung Haji, bila segala urusan pasal kuota haji, visa dan sebagainya diurus oleh entiti Persekutuan.
“Ini adalah kerana hubungan antarabangsa iaitu antara Malaysia dan Arab Saudi dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Arab Saudi tidak akan berunding dengan negeri-negeri mengenai perkara ini. Jadi entiti di peringkat Persekutuan yang menjalankan fungsi ini.” – Datuk Zainul Rijal. Dipetik dari Utusan Malaysia.
Menurut Dr Mohd Fauzi Shaffie (Presiden Pertubuhan Jati) pula, walaupun memang kuasa berkaitan agama Islam terletak kat bawah negeri, tapi tak ada halangan yang ia boleh diselaraskan kat peringkat pusat.
“Malah peraturan MKI (Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia) 1968, melalui perkenan MRR (Majlis Raja-Raja) telah memberi justifikasi bahawa hal ehwal Islam boleh (dan sebahagiannya, hendaklah) diselaraskan diperingkat pusat.” – Dr Mohd Fauzi Shaffie, katanya kepada SOSCILI.
Menurut Dr Hazmi pula, kedudukan JAKIM tak melanggar Perlembagaan sebab ia selaras dengan Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan…
“…iaitu Islam adalah agama Persekutuan… Jadi tak salah kerajaan tubuhkan badan khusus mentadbir agama kerana kedudukan Islam di Malaysia lebih tinggi dari agama lain.” – Dr Hazmi Rusli. Katanya kepada SOSCILI.
Dr Mahathir pun tak kata yang dia akan mansuhkan JAKIM, tapi cuma akan semak balik peranan badan tu dengan buat rundingan bersama beberapa orang tokoh. Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), ada bagi cadangan untuk kerajaan tubuhkan Jawatankuasa Penambahbaikan Institusi Islam.
“UMMAH mengusulkan nama-nama tokoh berikut untuk menganggotai Jawatankuasa berkenaan iaitu Tun Ahmad Fairuz (bekas Ketua Hakim); Tun Ariffin (bekas Ketua Hakim); Tan Sri Dr Rais Yatim (Penasihat Kerajaan); Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman; Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain dan Tan Sri Syeikh Ghazali.” – Aminuddin Yahaya, Ketua Sekretariat UMMAH. Dipetik dari Ismaweb.net.
JAKIM kena berubah, kalau nak kekal releven
Menurut Dr Mohd Fauzi, setiap institusi yang dibina oleh manusia boleh disemak dan ditambah baik. Dan dalam kes JAKIM, kalau benar ia nak ditambah baik, maka wajar semakan dibuat. Tapi, JAKIM masih lagi tak wajar dibubarkan. Sebabnya, kesan terhadap pembubaran ni bukan kecil, tapi besar.
“Membubarkan Jakim bererti menyekat segala usaha membangunkan umat Islam dan institusi-institusi Islam lain, yang tidak boleh dilaksanakan kecuali dengan kerjasama Kerajaan Pusat. ” – Dr Mohd Fauzi Shaffie, katanya kepada SOSCILI.
Untuk itu, kalau JAKIM nak kekal releven, maka pembaharuan perlu dibuat. Menurut seorang wartawan, JAKIM tak boleh tepu dengan agenda menentang liberalisme agama semata-mata. Tapi JAKIM kena muncul dengan keperkasaan baharu.
“Jakim perlu menjadi pusat kesejahteraan dalam menanggapi pertembungan ideologi hak asasi barat dengan isu-isu fundamental Islam. Sudah tentu dalam konteks ini, kita mengharapkan JAKIM mempertahankan kesyumulan Islam.” – Zainal Rashid Ahmad, Wartawan & Penulis. Dipetik dari Malaysian Insight.
Tambah Dr Fauzi pula, kalau JAKIM masih mahu diubah peranannya, kerajaan kena pastikan tugas-tugas yang JAKIM buat sekarang, akan dilaksanakan oleh institusi lain yang lebih ada kemampuan dan berperlembagaan.
Buat masa sekarang, masih ramai pihak yang yakin dengan kedudukan JAKIM dan berdasarkan dengan keyakinan itu, maka JAKIM kena menyambutnya.
“Cuma saya rasa dari segi penguatkuasaan haruslah lebih berhemah mengikut cara Islam yang menggalakkan dakwah secara hikmah. Cara agresif mungkin boleh menyebabkan JAKIM tidak disukai dan akhirnya ia tidak berfungsi secara baik.” – Dr Hazmi Rusli, katanya kepada SOSCILI.
Jadinya, kita janganlah cepat sangat melatah. Sebab, kalau kita cepat melatah, keadaan nanti akan jadi lebih buruk. Kedudukan Islam tu memang dah terjamin dalam Perlembagaan. Tugas kita adalah memperkasanya lagi.
SOSCILI terbuka dalam hal ni. Kalau korang ada apa-apa pandangan dan cadangan, boleh je bagitau kitorang kat bahagian komen. Mungkin kita boleh bincang dengan lebih teliti lagi.
- 1.1KShare sekarang!
- Email6
- Facebook1.1K
- Share