- 2.3KShare sekarang!
- Email11
- Facebook2.3K
- Share
*Artikel ni asalnya disiarkan pada 8 Mac 2017*
Pada 2017, pelajar Malaysia, Nur Adlyka telah mengharumkan nama negara apabila menjadi salah seorang daripada sekumpulan ahli astronomi dunia yang membuktikan kewujudan supermassive black hole yang tersembunyi di lingkaran kosmik semesta.
Malah dalam awal tahun lepas, sorang lagi pelajar Malaysia, Hafizah Noor Isa turut menjadi perbualan apabila telah menyumbang kepada kajian santifik terbesar abad ini iaitu ‘Observation of Gravitational Waves from a Binary Black Hole Merger‘, sebuah kajian untuk membuktikan teori Einstein.
Ramai betul golongan muda kita yang berpotensi tinggi! Tapi dalam kita meraikan golongan muda kita hari ni, jangan pulak kita lupa akan tokoh-tokoh kita yang lalu. Jadi bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa hari ni, SOSCILI lihat balik pengorbanan dan pencapaian tokoh-tokoh wanita kita dalam memajukan negara.
1. Dr Jemilah, doktor Malaysia yang bertanggungjawab untuk dana kecemasan PBB
Sebagai orang Asia, kita mesti selalu dengar mak bapak yang nak anak dorang jadi doktor. Bukan je mak bapak boleh eksen dengan jiran sebelah, tapi senang la kalau ada mana-mana ahli keluarga jatuh sakit.
Dan ada sorang doktor kat Malaysia ni yang telah berhempas-pulas dalam menyumbang bukan sahaja kepada negara, malah di kepada dunia, dan dia adalah Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.
Pada tahun 1999, Dr Jemilah telah menubuhkan MERCY Malaysia untuk membantu rakyat Kosovo yang sedang dilanda perang saudara ketika itu. Waktu tu, takde persatuan atau organisasi swasta dari Malaysia lain yang sanggup membantu.
Objektif utama MERCY adalah untuk menyatukan rakyat Malaysia dan membantu mangsa kekejaman atau malapetaka di peringkat dunia. Dr Jemilah bersama team MERCY telah melakukan beberapa misi kemanusiaan seperti menolong mangsa gempa bumi di Izmit, konflik di Maluku (Indonesia), tsunami di Acheh, buka hospital di Kabul (Afghanistan) dan banyak lagi.
Tapi ada satu insiden di Iraq pada tahun 2003 telah buat kami tabik spring respek kat dia. Time tu Dr Jemilah dan rakannya sedang menghantar bekalan ubat kat hospital Baghdad apabila mereka disangkakan sebagai musuh dan akibatnya Dr Jemilah telah ditembak pada bahagian pinggang. Disebabkan dia tak nak ganggu staff hospital dan membazirkan bekalan ubat, Dr Jemilah telah berjalan dengan peluru di dalamnya selama lima hari. Fuh gangsta siut!
Tahun 2006, Dr Jemilah dan 16 orang lagi telah dilantik oleh Setiausaha Agong PBB, Ban-Ki Moon sebagai Lembaga Penasihat untuk Central Emergency Response Fund (CERF), iaitu sebuah tabung kecemasan bagi mana-mana negara yang dilanda malapetaka. Pada 2016 pula, Dr Jemilah memulakan tugasnya di Persatuan Bulan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC).
Dr Jemilah telah mendapat beberapa anugerah termasuklah ‘Anugerah Gandhi, King, Ikeda’ dari Kolej Morehouse, Amerika Syarikat dan juga Anugerah Keamanan Wanita Timur di Filipina. Sekarang ni Dr Jemilah masih lagi aktif dalam bidang bantuan kemanusiaan dengan memegang beberapa jawatan tempatan dan antarabangsa. Caiyok Doctor!
2. Ibu Zain, tokoh yang membina kolej wanita dengan duit sendiri
Tan Sri Hajah Zainon atau nama glamournya Ibu Zain merupakan sorang tokoh pendidikan tempatan. Lepas habis belajar, Ibu Zain telah bekerja dalam bidang pendidikan dan antara projek pertamanya adalah membina sebuah sekolah di Negeri Sembilan dengan menggunakan duit dia sendiri.
Ibu Zain kemudiannya pindah ke Johor dan diberi pangkat Penyelia Sekolah-Sekolah Perempuan untuk negeri Johor. Ketika di sana Ibu Zain berjaya meyakinkan pentadbir kerajaan Johor untuk bina lebih banyak sekolah perempuan. Tapi apa yang menarik perhatian kami adalah kejayaan Ibu Zain untuk menubuhkan kolej dia sendiri, Kolej Tunku Ampuan Mariam pada tahun 1948.
Masa kolej dia tengah nak siap, Ibu Zain telah mendapat jemputan peribadi dari Datuk Onn Jaafar untuk menyertai Pergerakan Melayu Semenanjung. Dengan pengaruhnya dalam politik, Ibu Zain berjaya mengajak wanita-wanita lain untuk memperjuangkan kemerdekaan negara.
Apabila tugasnya untuk membantu Datuk Onn selesai (time ni negara di ambang kemerdekaan), Ibu Zain telah menolak jawatan di arena politik dengan memberikannya kepada orang lain. Kemudian pada tahun 1959, Ibu Zain terpaksa terima jawatan sebagai Ahli Parlimen apabila dia menang pilihanraya kat Pontian.
Tapi untuk pemilihanraya tahun 1963, Ibu Zain telah minta untuk tidak dicalonkan supaya dia boleh fokus kembali ke sektor pendidikan.
“Agama dididik, moden dibela. Dunia dikelek, akhirat ditatang” – Ibu Zain
Pengorbanan dan dedikasi Ibu Zain dalam sektor pendidikan dan politik wanita tak diabaikan sebegitu saja, malah Ibu Zain telah mendapat beberapa anugerah tempatan seperti pingat dari Sultan dan Agong, Tokoh Sastera dan Tokoh Pendidikan, dan juga beberapa anugerah luar negera seperti pingat Lady of Burma dari kerajaan Myanmar.
3. Azah Aziz, antara wartawan wanita pertama di Malaysia
Sharifah Azah Mohamed Alsagoff atau nama gelarannya Azah Aziz atau Mak Ungku merupakan seorang wartawan untuk Berita Harian. Pada tahun 1957, dia telah melaporkan diri di balai berita kat Singapura dan sekaligus menjadikannya antara wartawan wanita pertama di Malaysia.
Lepas dua dekad, Azah Aziz pun join Utusan Malaysia sebagai Editor. Sewaktu di Utusan Malaysia, Azah Aziz telah menubuhan sisipan akhbar yang bertajuk ‘Pancaindera’ yang hanya ada kat dalam Mingguan Malaysia (Utusan). Langkah ini telah menaikkan lagi nama Utusan di kalangan pembaca dan ni terbukti apabila jumlah jualan telah melonjak naik dalam masa dua bulan ia diterbitkan.
Selain dari Pancaindera, dia juga bertanggungjawab dengan menubuhkan Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) di mana ia menggalakkan wanita untuk menjadi wartawan. Tapi penulisan Azah Aziz bukan je kat dalam keratan akhbar sebab sepanjang kehidupannya, Azah Aziz telah menulis 10 buku pantun mengenai pemakanan, masalah wanita, dan kebudayaan.
Pencapaian dia tak terhenti sebagai wartawan je. Seperti ibunya, Azah Aziz minat dengan budaya Melayu. Malah dia amat mendalami jiwa baju kurung dan cara pemakaiannya yang sempurna termasuk jugalah dengan aksesori. Baginya, budaya Melayu tak terletak kat bahasa je tetapi pada pemakaian juga. Macam contoh orang Arab yang berbahasa Arab dan berpakaian jubah.
Kalau korang google gambar Azah Aziz, confirm jumpa banyak gambar dia pakai baju kurung, tak kisah lah hari apa pun. Dia kemudiannya telah menurunkan semangat baju kurung ni kepada anak tunggalnya, YM Tan Sri Dato’ Sri Dr Zeti Aziz, bekas gabenor bank negara kita. Sebab tu kalau korang tengok Zeti Aziz, dia pun sama mesti pakai baju kurung. Pengaruh maknya la tu, Azah Aziz pernah berkata:
“Tidak perlu menggandingkan kebaya dengan jean, baju kurung potongan klasik mengikut negeri di Malaysia sudah cukup istimewa” – Azah Aziz, Kosmo
Pada tahun 2008, empat tahun sebelum pemergiannya, Azah Aziz telah dianugerahkan doktor kehormat dari UPSI atas sumbangannya dalam bidang kewartawanan dan kebudayaan. Selain dari tu, Azah Aziz pernah mendapat anugerah Tokoh Wanita Johor dan juga Anugerah Jarum Belian. Sewaktu pemergian Azah Aziz Pancaindera telah buat satu artikel special untuk dia, korang boleh tekan kat sini untuk baca.
4. Habsah Hassan, lagenda dalam industri muzik tanah air
Siapa je tak kenal Allayarham Sudirman Arshad, tapi untuk artikel ni kami bukan nak bercakap pasal dia tapi komposer kepada salah satu lagu arwah, iaitu Habsah Hassan. Perjalanan hidup Habsah atau nama industrinya – Kak Chah tak bermula dengan penulisan muzik, malah agak berbeza.
Habsah yang mempunyai kelulusan SC/MCE (lebih kurang SPM lah) telah mula berkecimpung dalam media hiburan melalui industri radio. Masa kerja kat radio tu dia telah bekerja sebagai penulis skrip, tapi tak lama. Habsah kemudian telah berpindah ke sebuah syarikat swasta di mana dia telah menjadi seorang production manager. Kat situ, Habsah telah handle beberapa filem termasuklah Ali Setan 1. Dia kemudiannya telah buka company sendiri dan terlibat dalam penulisan filem Hati Bukan Kristal.
Kalau nak diikutkan, nama Habsah ni lagi famous dan digeruni kat industri muzik berbanding filem. Habsah pernah menulis beberapa lagu untuk artis-artis yang hebat seperti Francissca Peter, Misha Omar, Erra Fazira, Noorkumalasari Zaiton, Rahim Maarof, dan of course Sudirman.
Kehebatan Habsah dalam seni layar dan muzik amat mengagumkan sebab dia merupakan komposer pertama Malaysia yang dianugerahkan Golden Disc oleh Warner Music dan juga wanita pertama menang Anugerah Juara Lagu (AJL) untuk lirik terbaik. Dalam industri perfileman pula, Habsah telah mendapat anugerah penerbitan terbaik oleh RTM (masa tu RTM masih berkualiti, so macam menang Oscar versi Malaysia juga lah).
Siapa kata nak kena sambung belajar tinggi-tinggi untuk jadi hebat? Habsah rileks je…
5. Mazlan Othman, wanita yang secara rasminya adalah Duta Bumi
Dr Mazlan Othman merupakan ahli astrofizik Malaysia yang pertama dan juga pelajar pertama dalam sejarah Universiti of Otago, New Zealand mendapat PhD dalam bidang fizik.
Yang menariknya, masa kecil dulu Dr Mazlan sebenarnya nak belajar seni tapi disebabkan pengaruh dari cikgu sekolahnya dia telah ‘dipaksa’ untuk ambil sains. Last-last sekali Dr Mazlan telah jadikannya sebagai kerjaya.
“Saya tak pernah menyesal ambil sains. Kat dalam sains, ada fizik di mana kat dalam subjek tu ada unsur misteri dan saya sangat tertarik dengan misteri.” – Dr Mazlan, interview dengan Perdana.
Selain menjadi ahli astrofizik yang pertama, Dr Mazlan pernah dilantik oleh PBB untuk menjadi pengarah UNOOSA (Pejabat Angkasa PBB). Tanggungjawab dia adalah menyelesaikan isu sampah di angkasa dan juga menjadi orang tengah untuk negara-negara yang terlibat dengan program angkasa. Tapi yang paling best, Dr Mazlan juga memikul tanggungjawab untuk menjadi duta manusia kalau kita bertemu dengan makhluk asing. Sungguh! Malah Dr Mazlan merupakan orang pertama di dunia untuk dilantik sebegitu.
Tindakan PBB untuk pilih Dr Mazlan jadi duta manusia ni telah mendapat sokongan dari salah seorang manusia paling bijak di dunia, Stephen Hawking. Dia berkata walaupun berkemungkinan makhluk asing yang kita akan jumpa adalah bakteria dan binatang kecil, ni tak menghalang Dr Mazlan dari menunaikan tanggungjawabnya dengan bersemangat.
(Mungkin ada yang kata jawatan sebagai duta manusia ni mengarut sebab alien tak wujud. Kat sini korang boleh tekan link ni untuk penjelasan dari segi agama dan yang ni untuk sains bahawa terdapat kemungkinan ada makhluk lain kat dalam alam semesta ni)
Perkhidmatan Dr Mazlan dengan PBB, bukan alasan untuk lupakan Malaysia. Sebelum ni dia telah mengetuai program angkasa negara dan juga antara orang yang bertanggungjawab untuk melatih angkasawan pertama negara, Datuk Dr Sheikh Muszapahar Shukor. Tapi hari ni Dr Mazlan dah takde kat dalam industri angkasa lagi, sebab sekarang dia tengah busy dengan projek MegaScience 3.0 – iaitu salah satu projek kemajuan Malaysia dalam bidang sains.
Selamat Hari Wanita Sedunia!
Sememangnya kita memang tak terbilang dengan tokoh-tokoh wanita yang hebat di Malaysia seperti Marina Mahathir, Nurul Izzah Anwar, Rafidah Aziz, Yasmin Ahmad, Tun Hasmah, Yuna, mak korang (aww), dan ramai lagi.
Dan kisah kehebatan wanita ni pula sebenarnya tak asing di kalangan masyarakat kita, sejak sejarah Melayu Lama lagi wanita telah dipandang tinggi dan siap ada pegang jawatan sebagai ketua negeri lagi, contohnya macam Cik Siti Wan Kembang.
Mengikut laporan Malaysiakini tahun 2015, sebenarnya jumlah wanita kat dalam industri pekerjaan telah melonjak tiga kali ganda berbanding 30 puluh tahun dulu malah seramai 35 peratus wanita yang bekerjaya memegang jawatan tertinggi. Walaupun begitu, di arena politik purata lelaki kepada wanita masih lagi di tahap yang rendah.
“Ia mungkin makan masa. Saya makan masa yang lama untuk mencari apa yang saya betul-betul minat. Jangan takut untuk mengubah kerjaya lagi-lagi bila sudah tersekat dengan apa yang awak tak suka. Walaupun orang sekeliling ragu-ragu, selagi awak berminat, kejar je.” – Dr Jemilah, Malaysian Times.
- 2.3KShare sekarang!
- Email11
- Facebook2.3K
- Share