- 1.1KShare sekarang!
- Email4
- Facebook1.1K
- Share
Dekat Malaysia ni, bulan Ramadanlah yang paling ditunggu-tunggu. Antara sebabnya, masa inilah banyak jenis makanan/kuih muih baru yang muncul. Antaranya macam apa tengah viral sekarang ni – kuih kerbau guling. Dengar nama je, kita dah rasa unik dan nak rasa.
Itu belum masuk lagi dengan – kuih tepung pelita, ayam pasu, murtabak, air katira dan macam-macam lagi makanan yang kita boleh jumpa dekat bazaar-bazaar Ramadan. Tapi dari semua yang ada ni, ada satu perkara yang semua orang nantikan, dan ia adalah Hari Raya Aidilfitri.
Tapi dalam masa sama, kita kena ingat yang perasaan dan suasana ni mungkin hanya ada kat Malaysia je. Sebabnya, kalau nak dibandingkan dengan negara-negara lain, suasananya berbeza. Malah ada negara yang halang orang Islam kat negara mereka dari berpuasa. Tak kurang juga yang buat diskriminasi, macam apa yang jadi kat Alaska ni, apabila…
1. Banduan Muslim dipaksa makan daging babi
Satu NGO bernama – The Council on American-Islamic Relations (CAIR) ada melaporkan yang pihak penjara Alaska sengaja bagi daging babi kepada tahanan muslim kat penjara sebagai makanan untuk berbuka puasa. Tindakan ni dianggap sebagai ‘kejam dan hukuman di luar kebiasaan’.
Bagaimanapun, CAIR dah pun bawa perkara ni ke mahkamah, dan mahkamah dah buat keputusan yang pegawal penjara Alaska kena berhenti dari bagi daging babi sebagai makanan untuk tahanan Islam kat sana.
“CAIR telah melaporkan bahawa, tindakan seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini, (tapi kini) mensasarkan umat Islam Amerika dan ahli-ahli kumpulan minoriti yang lain, sejak pemilihan Donald Trump sebagai presiden.” – Dipetik dari AFP.
Sebenarnya dakwaan dipaksa makan daging babi bukan ada kat AS je, tapi jugak berlaku kat negara lain, macam…
2. China halang orang Islam berpuasa dan paksa mereka tandatangan perjanjian
Seperti yang dibagitau tadi, kes paksa orang Islam makan daging babi juga jadi kat China. Hal ni didedahkan sendiri oleh mereka yang pernah masuk ke kem ‘pendidikan semula’ kat wilayah Xinjiang. Sebenarnya, kem ni digunakan oleh kerajaan China untuk kekang gerakan pemisah.
Dalam kem ni, diorang akan cuba untuk brainwash pemikiran tahanan politik, hapuskan kepercayaan Islam diorang dan bentuk semula identiti diorang. Dianggarkan lebih 1 juta orang Islam dah ditahan kat kem ni, atas alasan untuk mengekang gerakan pemisah.
Omir Bekali salah seorang bekas tahanan ada menceritakan macam mana dia diseksa dalam kem tersebut. Antaranya, kaki dan tangan yang dirantai dan disoal-siasat.
“…makanan yang diberi sangat menyedihkan, jarang diberi daging dan keracunan makanan telah menjadi perkara biasa. Tahanan kadangkala dipaksa makan daging babi yang diharamkan dalam Islam,…sesiapa yang dituduh sebagai ‘ekstrem agama’ mereka juga dipaksa meminum arak.” – Omir Bekali, bekas tahanan, katanya kepada Washington Post.
Selain tu, kita juga dilaporkan yang kerajaan China ada paksa kanak-kanak sekolah etnik Uighur dan ibu bapa diorang sain perjanjian supaya diorang tak akan berpuasa di bulan Ramadan.
“Sebagai seorang pelajar, kami tidak berpuasa. Kami telah tandatangan perjanjian sekolah dan juga menulis surat aku janji.” – Kata seorang pelajar kepada Radio Free Asia.
Sebenarnya kalau nak diikutkan, kebanyakan orang Islam yang dikenakan sekatan kat China ni adalah dari etnik Uighur kat wilayah Xinjiang. Tapi kita juga kena tahu, ada satu lagi etnik yang majoritinya beragama Islam iaitu etnik Hui. Apa yang menariknya, etnik Hui tak dikenakan sekatan yang ketat sangat, kalau nak dibandingkan dengan Uighur. Apa sebabnya?
Kitorang sebenarnya dah tulis artikel penuh pasal situasi ni (klik sini kalau nak baca). Antara puncanya adalah bila ada sebahagian dari masyarakat Uighur yang terlibat dalam gerakan pemisah dan itu dah buatkan Parti Komunis China (CPC) rasa terancam.
Sebaliknya, etnik Islam Hui tak terlibat dalam gerakan pemisah dan bahasa yang diorang gunakan adalah Mandarin, berbanding Uighur dengan bahasa Turki.
“CPC begitu sensitif terhadap kumpulan yang besar tidak kira berasaskan agama atau budaya, dan lebih-lebih kumpulan berasaskan politik kerana pada pendapat mereka ia boleh menggugat pengaruh CPC.
Sebab itu masyarakat Uighur yang berasaskan agama dilabel sebagai musuh dan sebab itu setiap langkah diambil tujuannya untuk melemahkan kesatuan kumpulan ini.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.
Sehingga ke hari ni, dianggarkan lebih dari 20 juta umat Islam ada kat China. Seperti mana yang kita tahu, China diperintah oleh parti Komunis dan sehingga kini nilai-nilai komunis itu masih lagi dikekalkan (walaupun tak lagi dalam ekonomi). Kekangan terhadap amalan agama juga masih lagi diteruskan dan ia tak terhad kat Islam je, tapi juga Kristian dan agama-agama lain.
3. Menteri Denmark kata – orang Muslim yang berpuasa ‘berbahaya untuk masyarakat’
Sekarang ni kita beralih pulak dengan kenyataan-kenyataan negatif pemimpin-pemimpin negara luar tentang puasa. Antaranya adalah apa yang dikatakan oleh Menteri Imigresen Denmark bahawa orang Islam sepatutnya tak boleh bekerja di bulan Ramadan, sebab ia akan timbulkan ‘bahaya dalam masyarakat’.
“Stojberg (Menteri Denmark) berkata, dengan zaman moden ini, Denmark memerlukan waktu kerja yang panjang, kadangkala ia melibatkan operasi mesin berbahaya. Beliau memberi contoh pemandu bas yang tidak minum atau makan selama lebih dari 10 jam dan mengatakan puasa boleh memberi kesan ‘keselamatan dan produktiviti’.” – Dipetik dari BBC.
Bagaimanapun kenyataan Stojberg ni dah dapat reaksi dari syarikat bas, yang kata puasa tak jadi masalah bagi diorang. Kenyataan Stojberg juga dapat kritikan, sebab dakwaanya tu tak berasaskan fakta.
“Tidak ada sebarang maklumat atau statistik yang menunjukkan pemandu bas atau pekerja Muslim akan berkelakukan bahaya ketika berpuasa. Di kebanyakan negara Islam, kedai dan perniagaan dijalankan seperti biasa.” – Pia Jardi, Kesatuan Muslim Finland, katanya kepada The Guardian.
4. Selain Denmark, ahli politik Jerman juga cadang supaya muslim berpuasa diharamkan bekerja
Cadangan ni diutarakan oleh ahli politik dari Alternative for Germany (AfD) – Martin Sichert. Menurut Sichert, doktor, jururawat, pilot, pemandu bas dan pemandu train Muslim yang berpuasa patut diharamkan dari bekerja.
Untuk maklumat, sekarang ni ada lebih kurang empat juta penduduk Islam kat Jerman, termasuklah mereka dari keturunan Turk dan pelarian-pelarian yang datang beberapa tahun lepas kesan dari konflik kat Syria, Iraq dan lain-lain. Manakala, AfD pulak terkenal sebagai gerakan anti-imigran kat Jerman.
“Pesakit mana yang boleh dibedah oleh pakar bedah yang tak minum apa-apa untuk tempoh masa 12 jam? Mengapa kita patut dibawa oleh pemandu yang mungkin akan menghadapi masalah konsentrasi dan dehidrasi kerana mereka telah berpuasa lebih beberapa jam?” – Tanya Sichert. Dipetik dari Reuters.
Walaupun begitu, jurucakap kerajaan Jerman masih lagi tak mahu ulas apa-apa yang Sichert kata ni. Sebelum ni, Canselor Jerman – Angela Merkel dapat banyak kritikan atas keputusannya membuka sempadan Jerman kepada para pelarian dan pencari suaka. Antaranya adalah Sichert sendiri sebagai salah seorang ahli Alternatif anti-imigran Jerman.
5. Satu sekolah kat UK cuba haramkan hijab dan puasa di sekolah
Pada awal tahun ni, kita dilaporkan yang satu sekolah kat Timur London – St Stephen’s School cuba untuk haramkan pemakaian hijab dan puasa di bulan Ramadan untuk pelajar-pelajarnya. Pada tahun 2016, sekolah ni jadi yang pertama mengharamkan pemakaian hijab untuk kanak-kanak di bawah umur lapan tahun.
Walaupun macam tu, pihak sekolah nafikan yang diorang halang pelajar puasa 100%.
“Kami tidak mengharamkan puasa secara menyeluruh, tapi memberi galakan kepada mereka (pelajar) untuk berpuasa ketika cuti di hujung minggu dan tidak di kampus sekolah.
Di sini kami mempunyai tanggungjawab atas kesihatan dan keselamatan mereka jika mereka pengsan di dalam kampus, kata Qawi (Pengerusi sekolah) setelah berbincang dengan ulama Islam tentang hukum wajib puasa bermula ketika umur akhil baligh.” – Dipetik dari Indian Express.
Tapi tindakan sekolah ni terus dapat kritikan ramai pihak termasuk para ibu bapa pelajar. Dilaporkan, lebih dari 1,400 tandatangan petisyen dah terkumpul untuk minta Arif Qawi (Pengerusi sekolah) letak jawatan. Hasilnya, Qawi akhirnya letak jawatan atas desakan ramai pihak tu.
“Saya berharap sekolah ini akan terus berjaya dan saya benar-benar minta maaf atas tindakan saya sehingga reputasi sekolah yang hebat ini tercemar.” – Qawi katanya kepada The Guardian.
Pihak sekolah nampaknya juga dah tarik balik peraturan tersebut dan akan kaji balik apa yang patut. Untuk maklumat, St Stephen’s School adalah salah satu sekolah berprestij kat UK yang pernah disenaraikan kat The Sunday Times.
Sementara kita nak hak kita dihormati, kita juga kena hormat hak orang lain
Dari apa yang kita dapat tahu ni, kita tak boleh juga nak salahkan diorang semua. Sebab mungkin diorang tak faham apa yang dimaksudkan dengan ibadah puasa. Dan menjadi tugas masyarakat Islam dunia untuk beri penerangan sebaiknya tentang apa di sebalik puasa. Contohnya macam Malaysia yang gembira je di bulan puasa ni.
Tapi ada juga kes yang tak berapa sedap didengar, macam beberapa tahun lepas. Kita ada dengar kes pasal pelajar bukan Islam yang disuruh makan kat tandas sekolah masa bulan puasa. Tapi lepas tu, kita dimaklumkan yang tempat tu bukan tandas, tapi bilik persalinan.
Walaupun begitu, bilik persalinan masih lagi tak sesuai dan tindakan macam ni tak patut jadi. Lebih-lebih lagi, bila ia boleh beri gambaran negatif kepada masyarakat – terutama sekali kepada masyarakat bukan Islam. Islam itu agama rahmat, dan ia tak pernah mengajar kita membenci atau mendiskriminasi penganut agama lain.
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan…” – Surah al-Maidah: ayat 8.
Jadinya, kalau kita nak orang lain menghormati kita, kita boleh mulakannya dahulu. Perjalanan beribu batu itu, dimulakan dengan langkah pertama.
- 1.1KShare sekarang!
- Email4
- Facebook1.1K
- Share