- 145Share sekarang!
- Email9
- Facebook136
- Share
Baru-baru ni kita dikejutkan dengan berita mengenai kawasan rumah dan kereta milik seorang ahli Majlis Bandaraya Seremban (MBS) ni, disimbah dengan cat merah serta diletakkan bangkai ayam. Bila sebut pasal benda ni, apa yang terlintas kat fikiran kita mesti ia berkaitan dengan sindiket Ah Long sebab benda tu semua sinonim dengan perbuatan Ah Long kalau kita tak bayar hutang dia. Jadi, Ah Long bukanlah jalan penyelesaian untuk mintak tolong.
Tapi, bila disiasat dan berdasarkan kes polis yang sebelum ni, dia, K Senthivelu terlibat dengan lima dakwaan kes penghinaan kat Dr Zakir Naik dan berkaitan dengan menyentuh sensitiviti umat Islam. Dari situ, mungkin ia ada kaitan dengan kes dakwaan yang melibatkannya tu.
Kat Malaysia banyak trend orang pinjam Ah Long
Ah Long ni lazimnya dikenali jugak sebagai ceti haram yang berikan pinjaman wang dengan mengenakan faedah yang banyak dan kadang-kadang berganda daripada amaun pinjaman yang dipinjam tu. Ia jugak ditambah dengan ugutan daripada geng-geng mereka untuk pastikan peminjam tu dapat bayar hutang dalam amaun yang dah ditetapkan.
Pada asalnya, aktiviti Ah Long ni berasal dari Singapura dalam lingkungan tahun 1990-an. Dari situ, ia merebak ke Malaysia dengan dicatatkan ramai dah terjebak dengan peminjaman wang dari Ah Long ni.
Perkataan Ah Long diambil daripada perkataan Cina iaitu ‘Naga’ dan daripada frasa Kantonis yang membawa maksud pada istilah ceti kat Malaysia. Cat merah, bangkai ayam, kepala khinzir, penculikan dan geledah rumah merupakan antara ugutan yang digunakan oleh Ah Long untuk peminjam yang tak berupaya nak bayar hutang Ah Long ni.
Tapi kenapa dengan ugutan yang macam tu? Ia merupakan identiti Ah Long ni untuk memberitahu yang si peminjam ni terlibat dengan kegiatan peminjaman wang daripada Ah Long.
Dan ada jugak yang sampai jadi macam ni …
“Jika mereka masih tidak bayar, beberapa gambar membabitkan keluarga peminjam akan turut dimuat naik bagi memalukan mereka,” – Datuk Seri Michael Chong, sumber dari MStar.
Dan situasi kat Malaysia yang melibatkan aktiviti peminjaman duit daripada Ah Long ni sememangnya tak asing lagi. Bahkan ia semakin popular sebab situasi ekonomi mereka yang semakin mendesak.
Berdasarkan statistik kat Malaysia ni, sebanyak 80% peminjam Ah Long adalah Melayu, 10% Cina, 8% India dan 2% adalah lain-lain. Dan 65% daripadanya adalah lelaki. Dan, kat Malaysia ni jugak, ramai penjawat awam yang dah terjebak dengan hutang yang tinggi daripada peminjaman dari Ah Long ni. Ada banyak sebab kenapa orang pinjam Ah Long ni, antaranya adalah sebab nak kahwin dengan nak shopping barang-barang raya, nak nampak mewah gitu.
Orang Malaysia kerap terjebak dengan Ah Long jugak waktu musim perayaan. Dan ada satu laporan mendedahkan yang setiap kali musim perayaan, nilai amaun yang dipinjam mencecah kepada jumlah RM37.5 juta dengan nilai setiap seorang meminjam sehingga RM5,000 untuk setiap kali musim perayaan.
Budak kecik pinjam Ah Long sebab nak main game
Macam yang kita semua tahu, taktik Ah Long ni pun dah menuju ke arah moden selari dengan wujudnya teknologi yang canggih ni. Macam-macam boleh berlaku dalam talian tu sebab mereka pun aktif secara dalam talian.
Kita biasanya dengar pasal permainan video dalam talian yang secara tak langsung boleh menjerumus kepada kegiatan judi. Dan hal ni semakin menjadi-jadi sekarang tanpa mengira peringkat umur, baik yang tua ataupun yang muda semua sama naik main benda-benda yang macam ni.
Kalau dulu memang Ah Long ni sinonim dengan orang berjudi secara terang-terangan sebab nak dapatkan taruhan yang tinggi dan terpaksa pinjam Ah Long sebab takde modal. Tapi sekarang ni kes perjudian banyak berleluasa secara dalam talian je. Untuk korang yang suka main game tu hati-hati ye, kalau tak macam ni pun, korang pun berpotensi untuk kena scam.
Dan tahun lepas, kita semua digemparkan dengan penemuan banyak markas judi online yang berjaya menguntungkan pemiliknya sehingga jutaan ringgit. Tapi kes berkaitan jugak berlaku bila ada kenyataan mengatakan ramai yang terlibat dengan kes judi dalam talian yang menunjukkan budak-budak kecik yang sanggup pinjam dengan Ah Long untuk taruhan dalam permainan tu.
“Ibu bapa datang kepada saya menangis selepas mengetahui anak-anak mereka meminjam wang daripada Ah Long untuk berjudi,” – Michael Chong, Veteran MCA, sumber dari FMT.
Apa yang lagi teruknya, kes diaorang hutang dengan Ah Long ni sampai mencecah RM30 juta dengan catatan kes sebanyak 350 kes dari Januari sehingga Oktober tahun lepas (2019). Apa yang lagi teruk, kebanyakan budak yang pinjam Ah Long ni tak diketahui ibu bapa mereka.
Bila mereka buat aktiviti tu secara senyap dan sembunyi, mak ayah diaorang ingat diaorang tengah belajar dan tak nak diganggu. Tapi, sebaliknya yang jadi, tak pasal-pasal mak ayah pulak yang kena tanggung hutang.
Bukan tu je, untuk BBNU (Budak Baru Nak Up) pun dah terjerat dengan Ah Long bila mereka tengah syok bercinta lepas tu sampai sanggup pinjam Ah Long untuk penuhi permintaan pasangan masing-masing. Haih macam-macam budak-budak sekarang ni ye. ?
Ada satu kes pinjam Ah Long ni, ada seorang remaja perempuan ni buat pinjaman duit dengan tujuh orang Ah Long sebab nak menampung kehidupan boyfriend dia. Sampai motor lelaki tu pun perempuan tu bayar. Perempuan tu sanggup buat macam tu sebab dia sayang kat lelaki tu. Bila dia mintak balik duit yang dia dah belanjakan, lelaki tu selalu mengelak. Akhirnya, dia jadi mangsa bebanan hutang yang mencecah RM20,000 tu.
“Saya memang tidak fikirkan apa kesannya kerana sayangkan dia dan ingin menjalani hidup bersama. Tidak lama kemudian, saya pinjam lagi kerana nak gunakan wang. Gaji saya sebagai pembantu di kedai tidak seberapa,” – Peminjam Ah Long, sumber dari Harian Metro.
Guna emas pelanggan sebagai modal Ah Long
Apa yang kita tahu pasal Ah Long ni, dia tawarkan pinjaman dengan amaun yang kita perlukan, dan akan mengenakan bunga yang tinggi kalau peminjam tak dapat bayar dalam tempoh yang ditetapkan. Hasilnya, bayaran yang perlu dibayar akan jadi bergandalah. Tu yang ada segelintir orang ramai larikan diri sebab jadi buruan geng Ah Long berpunca daripada mereka tak mampu bayar hutang tu.
Zaman dulu mungkin takde lagi kes-kes pinjaman daripada Ah Long ni tapi mereka ada sistem barter tak pun menggunakan kaedah pajak gadai dan penyimpanan barang yang dulunya terkenal dengan panggilan goldsmith.
Dan waktu tu merupakan zaman yang mana emas dan perak jadi alat tukaran barang untuk dapatkan duit kertas. Dan goldsmith tu bukanlah orang yang buat emas ataupun bahan logam yang lain, ia gelaran untuk orang Yahudi yang bekerja sebagai penyimpan emas tersebut.
Pekerjaan goldsmith waktu zaman dulu ni dijadikan pekerjaan alternatif untuk mereka, sebab mereka tak dibenarkan memiliki tanah kat negara jajahan yang menjadikan mereka susah nak dapatkan pendapatan dan hasil sendiri. Jadi, mereka tawarkan perkhidmatan penyimpanan barang tu dengan mengenakan caj tambahan yang secara tak langsung menyusahkan penduduk dan akhirnya harta tu jadi milik dia.
Pada asalnya, orang banyak simpan harta berbentuk emas dengan perak kat goldsmith sebab lebih selamat. Jadi, setiap harta yang disimpan dengan goldsmith, dia akan keluarkan sijil yang mengandungi keterangan pasal jumlah harta tu dan menyerahkan pada pemilik harta tu. Dan bila pemilik harta tu nak ambik semula barang mereka yang disimpan, mereka akan tunjukkan sijil tu.
Dan bila zaman makin berubah, sijil tu dijadikan alat untuk sistem pertukaran barang. Sebab dalam sijil tu ada menunjukkan nilaian harta yang seseorang tu ada. Daripada situlah sijil tu dijadikan nilaian berbentuk wang dan merupakan nilaian wang kertas yang pertama kat dunia dihasilkan.
Bila ramai orang dah taruhkan kepercayaan kat goldsmith dan semakin banyak harta emas dengan perak yang disimpan, permintaan kat duit kertas pun semakin tinggi sebab orang lebih mengharapkan sijil kertas tu untuk transaksi jual beli. Jadi, goldsmith pun ambik langkah bijak dengan pinjamkan emas tu kat orang yang terdesak ataupun peminjam. Dan peminjam tu akan dikenakan bunga lepas dia pulangkan emas yang dipinjam, kiranya macam keuntungan untuk goldsmith tu lah.
Tapi sebenarnya, apa yang dia buat tu adalah satu penipuan. Sebab dia gunakan modal orang lain untuk kaut untung yang sangat banyak. Orang ingat barang yang dipinjamkan tu kepunyaan dia, sebenarnya ia adalah sebaliknya dan ia kepunyaan pelanggan yang simpan harta berbentuk emas dan perak kat situ.
Pada waktu yang sama kalau peminjam tu lambat pulangkan barang yang dipinjam, geng-geng goldsmith ni akan buat ugutan dan menakut-nakutkan peminjam tu. Dan bunga yang dikenakan akan jadi semakin tinggi kalau peminjam tak dapat bayar dalam tempoh yang lama. Dari situ, goldsmith ni berjaya dapat keuntungan yang berganda-ganda tanpa perlu keluarkan modal yang banyak ataupun tak mengeluarkan modal langsung sebab dia gunakan prinsip meminjamkan barang simpanan orang lain.
Kalau diperhatikan daripada sejarah goldsmith ni, sistem perbankan diwujudkan dan mungkin Ah Long gunakan taktik dan prinsip yang sama seperti yang digunakan goldsmith ni. Dan Ah Long pun guna pakai lah cara ni untuk tawarkan pinjaman kat orang yang memerlukan.
Cuma yang berbeza waktu tu takde lagi nilai mata wang dan orang terpaksa bersemuka untuk dapatkan khidmat tu. Sekarang ni, dengan dunia semakin moden, secara dalam talian pun dah boleh terjerat dengan Ah Long tanpa perlu bersemuka.
Rujuk tempat yang berdaftar dan jangan mudah terpedaya
Macam yang kita semua tahu, Ah Long ni akan bertindak ganas kalau peminjam tak mampu nak bayar semula apa yang dah dipinjam. Ada yang sampai kena bunuh serta keluarga pun akan diancam sekali. Sekarang ni kan dah maju, banyak kaedah lain untuk buat pinjaman duit yang lebih selamat tanpa perlu terikat dengan bebanan yang mengancam keselamatan.
Dan disebabkan perkara ni makin berleluasa dan menjadi-jadi, pihak berkuasa nasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan kuatkan iman supaya tak mudah terpedaya dengan kata-kata manis orang yang nak tawarkan pinjaman ni. Pergilah tempat-tempat yang berdaftar dan diiktiraf. Gituw…
- 145Share sekarang!
- Email9
- Facebook136
- Share