- 378Share sekarang!
- Email20
- Facebook358
- Share
Antara frasa yang paling popular dalam budaya pop dunia, khususnya untuk para peminat Star Wars adalah – “I am your father”. Kata-kata ni diucapkan oleh Dark Vader dalam filem Star Wars Episode V: Empire Strikes Back, kepada Luke Skywalker. Masa itulah, dia mendedahkan kebenaran kepada Skywalker bahawa dialah bapanya.
Tapi kali ni kita bukan nak cerita pasal watak-watak dalam Star Wars, sebaliknya pasal Mark Hamill yang membawa watak Skywalker tu. Sebabnya, baru-baru ni Hamill ada umumkan yang dia dah padam akaun Facebook-nya melalui ciapan Twitter-nya. Boleh baca di bawah ni:
Korang mesti perasan ada benda tak kena dengan ciapan Hamill ni. Sebabnya, bendera yang dia gunakan tu bukannya bendera Amerika Syarikat (AS) tapi bendera kita – Malaysia! Nampaklah di sini yang dia silap gunakan emoji bendera AS.
Tapi apa sebab dia marah sangat dengan Facebook ni?
Dia buat macam tu sebab nak protes terhadap Mark Zuckerberg
Sebenarnya, tindakan Hamill ni ada kaitan dengan laporan media yang kata CEO Facebook, Mark Zuckerberg lah yang buat keputusan membenarkan iklan politik termasuk pembohongan dan propaganda di laman web itu.
Hal ni semakin panas bila Facebook pada beberapa hari lepas mengumumkan yang mereka tak akan tukar polisi yang membenarkan iklan politik yang mengandungi penipuan. Sebaliknya, syarikat itu akan memberikan pilihan kepada pengguna untuk melihat beberapa iklan politik serta memberi mereka lebih banyak kawalan ke atas iklan mana yang mereka lihat, dan yang tidak mereka tak lihat.
Perubahan ni akan dibawa melalui kemas kini di Facebook’s Ad Library, yang mana akan ada alat yang membolehkan semua pengguna melihat semua iklan yang dibuat oleh ahli politik di Facebook dan Instagram.
“Ini adalah langkah penting dalam membuatkan iklan politik lebih telus dan pengiklan lebih akauntabiliti: orang awam dapat melihat setiap iklan yang disampaikan kepada siapa saja dalam pangkalan data yang mudah dicari.” – Dipetik dari kenyataan Facebook.
Facebook juga kata yang mereka tak menafikan hal ni diperdebatkan oleh ramai pihak, sebab langkah mereka yang berbeza. Sementara Twitter memilih untuk sekat iklan politik dan Google pula cuba untuk mengehadkannya. Tapi, Facebook memilih untuk meluaskan lagi ketelusan dan memberikan orang ramai lebih banyak kawalan dengan iklan-iklan politik ni.
Tapi apa yang pasti, masih ada pihak yang rasa tak puas hati dengan langkah Facebook ni. Selain Hamill, ada lagi selebriti yang mengkritik – seperti Sacha Baron Cohen yang siap tulis satu artikel dekat Washington Post untuk kritik Facebook.
Bagaimanapun, yang menarik perhatian kita sekali lagi pasal kesilapan Hamill menggunakan bendera Malaysia untuk bendera AS. Tapi, sebenarnya isu ni bukan baru, sebab….
Sebelum ni, ada orang AS yang tersilap bendera Malaysia dengan bendera ISIS?!
Kalau korang masih ingat lagi, dua tahun lepas (2018) – kita pernah dilaporkan pasal seorang jurutera Malaysia di AS, Munir Zainal dah disoal siasat FBI lepas ada orang laporkan bendera Malaysia yang dia kibarkan tu sebagai bendera AS dengan simbol ISIS.
Hal ni dah membuatkan – American Civil Liberties Union (ACLU) memfailkan tuntutan mahkamah untuk pihak jurutera Malaysia berkenaan, sebab ada sesetengah rakyat AS yang menganggap bendera Malaysia sebagai “bendera Amerika bersama simbol ISIS”.
“Kesukaran ini menyebabkan Zainal mengalami tekanan dan anxiety.” – Kata ACLU, dipetik dari The Star.
Tapi sehingga kini, masih tak ada laporan lanjut tentang tuntuan mahkamah tu. Apa yang pasti, isu bendera kadang-kadang boleh jadi sensitif juga sebab ia melibatkan kedaulatan sesebuah negara. Tapi mungkin juga mata Hamill tu rabun, nak-nak pulak bentuk bendera Malaysia dengan AS hampir-hampir sama. Apa pula pandangan korang?
- 378Share sekarang!
- Email20
- Facebook358
- Share