Dato’ Hj Ishak Baharom – Kerana pertandingan ratu cantik, mufti ini dipecat

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 18 April 2017

UPDATE 30/1/2020: Pada 30 Januari 2008, 12 tahun lalu, umat Islam di negara ni telah kehilangan seorang ulama terbilang dan berani – Dato’ Haji  Ishak Baharom. Allahyarham juga adalah bekas Mufti Selangor yang akhirnya tersingkir dari jawatannya.

_________________________________________________________________________

Malaysia, sebuah negara yang unik kerana setiap dari negeri-negerinya ada seorang mufti. Mufti-mufti ini dipilih dari kalangan mereka yang mujtahid (ulama yang tinggi ilmunya). Tugas mufti adalah memberi fatwa, nasihat dan jawapan berkaitan agama kepada orang ramai. Menurut Sheikh Wahbah al-Zuhaili, fatwa bermaksud jawapan yang diberikan oleh mufti pada perkara yang berlaku bila ditanyakan soalan kepadanya.

Mufti juga bertindak sebagai penasihat kepada kerajaan (khususnya negeri) dalam isu-isu tertentu. Seperti mana baru-baru ni bila Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria minta kerajaan supaya jangan pinda akta 164. Akhirnya, kerajaan ambil keputusan untuk tangguhkan pindaan akta ni dan lakukan penelitian semula.

Majlis Fatwa Kebangsaan jugak dianggotai oleh para mufti. Imej dari thenutgraph.com

Beberapa minggu lepas pulak, mufti Wilayah Persekutuan dah tegur dua portal berita yang bagi gambaran salah tentang pendapat beliau pasal khalwat dalam teksi, Uber atau Grabcar. Jadinya, apa yang kita boleh kata adalah, institusi mufti sememangnya sangat rapat dengan masyarakat Islam di Malaysia. Ini kerana, mufti juga bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah dan kemusykilan umat.

Tapi pada tahun 90-an dulu, pernah ada satu krisis di antara mufti dan kerajaan pemerintah. Perkara tu timbul bila tindakan mufti dipersoalkan dan jadi bahan politik. Hal inilah yang menimpa bekas Mufti Selangor, Dato’ Hj Ishak Baharom yang akhirnya dipecat dari jawatannya. Oleh itu, mari kita mengenang kembali peristiwa ini dengan mengenali dengan lebih dekat siapa dia Ustaz Ishak Baharom.

Memegang jawatan mufti selama 12 tahun

Tuan Guru Dato Hj Ishak Baharom, bekas Mufti Selangor. Imej dari Wikipedia.

Ustaz Ishak Baharom dilahirkan di Kampung Kanchong Darat, Banting, Selangor pada 1 Januari 1928. Ayahnya Hj Baharom Jaafar adalah berketurunan Banjar yang berasal dari Banjarmasin, Kalimantan sebelum berhijrah ke Tanah Melayu. Ustaz Ishak mula bersekolah di Sekolah Melayu Kanchong Darat dan seterusnya di Sekolah Menengah Arab (Madrasah al-Masriah) Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Lepas habis belajar, beliau dilantik sebagai cikgu di sekolah ni untuk beberapa tahun, sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Darul Ulum, Deoband, India. Lepas balik ke Tanah Air, beliau menjadi mudir (pengetua) di Sekolah Menengah Agama Batu 38, Sabak Bernam, Selangor.

Darul Ulum, Deoband. Imej dari Wikipedia.

Akhirnya pada 16 Ogos 1985, setelah mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Ustaz Ishak dilantik menjadi Mufti Selangor yang ke 5. Dengan pelantikan ni, beliau diberi peluang yang cukup besar untuk berdakwah dan mengajak masyarakat menegakkan syiar Islam. Beliau memegang jawatan itu selama hampir 12 tahun sehingga tahun 1997.

“Beliau adalah guru yang sangat alim, tinggi ilmu agama dan tinggi akhlaknya.

Malah Allahyarham yang saya kenali juga seorang yang berpendirian tegas serta tidak berkompromi terutamanya yang menyentuh soal amar makruf nahi mungkar.” – Datuk Md. Hashim Yahya, bekas Mufti Wilayah Persekutuan dan anak murid Ustaz Ishak. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Keluarkan fatwa mengharamkan rokok dan ajaran sesat

Pada yang merokok tu, fatwa macam ni la yang malas nak dengar kan? Tapi itulah apa yang pernah difatwakan oleh Ustaz Ishak masa jadi Mufti Selangor dulu. Malah, fatwa pengharaman rokok ni juga dah diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989.

Klik imej kalau nak tahu lebih lanjut.

“…mulai tarikh pewartaan berkenaan, umat Islam yang merokok perlu menghentikan amalan itu, selaras dengan enakmen dan hukum Islam.

Alasan seperti adanya unsur memabukkan, mengkhayal dan memeningkan serta kesan buruk kepada kesihatan, di samping pembaziran dan baunya yang busuk dan tidak menyenangkan.” – Dipetik dari Utusan Malaysia, 29 Disember 1995.

Sebenarnya, fatwa pengharaman rokok ni juga dah dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Tapi kadang-kadang, keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tak diwartakan oleh semua negeri. Ini kerana, setiap negeri juga ada majlis fatwa masing-masing dan bidang kuasa berkaitan agama Islam adalah di bawah kerajaan negeri dan bukannya pusat.

“Walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa rokok adalah haram, tetapi apabila masing-masing (para mufti) balik ke negeri masing-masing, ada yang mengatakan bahawa rokok tidak haram.

Majlis Fatwa Kebangsaan buat keputusan tetapi yang ada kuasa untuk melaksanakannya ialah Majlis Fatwa Negeri.” – Dato’ Hj Ishak Baharom, dipetik dari temubual Majalah Massa, juga tersiar di buku: Mufti Lawan Mahathir?

Reaksi yang selalu kita dapat. Imej dari kompak.co

Fatwa pasal rokok ni dah diwartakan pada 1995, kiranya dah dekat 22 tahun rokok diharamkan! (Jangan buat-buat tak tahu pulak nanti). Selain tu, Ustaz Ishak juga terkenal dengan ketegasannya dalam mengharamkan gerakan dan kumpulan ajaran sesat. Beliau sendiri dah keluarkan fatwa mengharamkan 12 kumpulan kumpulan ajaran sesat.

Antara ajaran sesat tu adalah Al-Arqam, Tarekat Zikrullah Hasan Anak Rimau, ajaran Nordin Puteh, Tarekat Naqsyabandiyah Kadirum Yahya, ajaran Ghazali bin Othman dan banyak lagi. Dalam masa sama, hal aurat turut disuarakan olehnya. Beliau secara tegas mengkritik mana-mana pihak yang kata keputusan sama ada nak tutup aurat atau tak ni adalah hak asasi individu.

Ustaz Ishak bagi ceramah di TV, masa masih jadi mufti. Imej dari Youtube.

Ini kerana katanya, kalau yang cakap tu orang bukan Islam tak apa. Tapi untuk orang Islam, diorang tak boleh kata macam tu sebab orang Islam terikat dengan undang-undang dan peraturan yang dah ditetapkan oleh Allah SWT. Kerana itu, beliau dah keluarkan fatwa melarang mana-mana orang Islam dari masuk petandingan ratu cantik.

Kontroversi isu ratu cantik: Krisis antara Mufti dan Kerajaan Persekutuan

Pada 13 Jun 1997, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dah menahan tiga orang gadis Melayu-Islam dalam pertandingan ratu cantik Miss Malaysia Petite 1997, di Classic Ballroom, Hotel Holiday Villa, Subang Jaya.

Perkara ni jadi bila 2 tahun sebelum itu pada 1995, Majlis Fatwa Negeri Selangor dah keluarkan fatwa mengharamkan mana-mana wanita Islam dari menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik.

Klik imej untuk tahu lebih lanjut.

Walaupun begitu, tindakan JAIS tu dah dapat reaksi yang tak berapa positif dari pihak kerajaan pusat. Ini kerana, bagi Dr Mahathir (PM masa tu) tindakan JAIS tu agak keterlaluan untuk remaja-remaja tersebut, yang bukan je akan memalukan peserta tapi juga keluarga diorang.

“Saya tidak kata pertandingan itu halal dan tidak kata tangkapan tidak perlu dibuat. Saya cuma kata jika mahu ambil tindakan janganlah terlalu keras.

Kita mesti adil, kalau orang itu penyangak garilah, tapi budak-budak tu bertanding dalam pertandingan yang haram bagi mereka.” – Dr Mahathir, dipetik dari buku: Mufti lawan Mahathir, m/s58.

Bagi Dr Mahathir lagi, tindakan JAIS tu dah bagi persepsi buruk pada jabatan agama Islam dan akan buatkan orang bukan Islam takut nak dekatkan diri dengan Islam. Baginya, biarlah JAIS bertindak dengan lebih berhemah tanpa memalukan mana-mana pihak. Bermula dari situlah berlakunya krisis di antara kerajaan pimpinan Dr Mahathir dan Mufti Selangor.

Dr Mahathir dan timbalannya suatu masa dulu.

Berlakunya perselisihan faham yang buatkan keadaan bertambah buruk

Krisis antara pihak mufti dan kerajaan bertambah besar lagi bila surat khabar rasmi PAS, Harakah siarkan artikel bertajuk ‘Awas Gelincir Aqidah – Mufti’ pada 11 Ogos 1997. Artikel tu melaporkan isi ceramah Ustaz Ishak yang tegur para pemimpin supaya jaga mulut dan berfikir panjang sebelum keluarkan apa-apa kenyataan khususnya yang ada kaitan dengan agama Islam.

Imej dari buku “Mufti lawan Mahathir?”

Sebab katanya, kalau tersilap (buat kenyataan) ia boleh menyebabkan seseorang tu tergelincir aqidah atau murtad. Jadinya bila artikel tu keluar, ramai yang kata kenyataan Ustaz Ishak tu ditujukan khas kepada Dr Mahathir pasal kes ratu cantik. Walaupun begitu, ada juga yang kata – sebenarnya isu ni taklah besar mana pada mulanya. Tapi ia cuba diapi-apikan oleh pihak-pihak yang tak bertanggungjawab sampaikan jadi krisis antara dua orang tokoh ni.

Ustaz Ishak bagaimanapun menafikan yang kenyataannya tu ditujukan kepada Dr Mahathir. Sebaliknya, ia ditujukan kepada mana-mana pihak yang sengaja permainkan hukum Allah seperti Hudud.

“Beliau seterusnya menghuraikan beberapa kalimat yang boleh membuatkan seseorang itu murtad. Antara lain, mereka yang menyatakan ‘jika dilaksanakan hudud, banyaklah tangan yang kudung, bolehlah makan sup jari’ atau ‘jika dilaksanakan hukuman rejam, tidak dapat buat jalan raya sebab kehabisan batu’.

Hj Ishak juga mengulangi, sesiapa yang mempersendekan hukum Allah, sama ada melalui lisan atau benci dalam hati, ia boleh jadi murtad.” – Mufti lawan Mahathir, m/s 03.

Erra Fazira masa jadi Ratu Cantik Malaysia tahun 1992. Masa tu fatwa belum dikeluarkan lagi. Imej dari bersamaerrafc.blogspot

Bagaimanapun, perkara ni diterangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri masa tu, Dr Abdul Hamid Othman (beliau juga boleh dikira sebagai penasihat agama PM). Katanya, laporan Harakah tu mengelirukan sampai ia macam menjurus ke arah orang tertentu (Dr Mahathir), sampai buatkan Dr Mahathir rasa tersinggung.

“Pendirian mereka (Dr Mahathir dan pemimpin UMNO yang lain) bukan menolak hukum dan fatwa mufti tetapi yang dibincangkan ialah bagaimana pelaksanaannya (pentadbiran) di negara ini.

Tidak ada sesiapa mempertikaikan hukum Islam dan mufti yang membuat keputusan bahawa perkara itu (pertandingan ratu cantik) adalah haram.

Yang menjadi persoalan ialah cara menjalankan hukum itu. Itu tidak sekali-kali menyebabkan murtad atau tergelincir daripada aqidah” – Dr Abdul Hamid Othman, dipetik dari Mufti lawan Mahathir, m/s 66.

‘Saya memang anti-kemungkaran’ – Dato Hj Ishak Baharom. Imej dari kamaray.blogspot

Mula aktif dalam PAS selepas dipecat dari jawatan mufti

Disebabkan krisis antara beliau dan kerajaan pusat pimpinan Dr Mahathir semakin meruncing. Apatah lagi, bila artikel yang tersiar kat Harakah menampakkan yang beliau condong kepada PAS.

Akhirnya Ustaz Ishak disingkirkan dari jawatan Mufti Selangor, bila kontraknya yang tamat tak disambung lagi (bahasa lainnya dipecat) pada bulan Oktober 1997. Tempat beliau selepas tu diganti oleh Dato Hj Mohd Tamyes Abdul Wahid.

“Ternyata Dr. Mahathir dan Dato Ishak Baharom tidak dapat disesuaikan lagi, maka tidak banyak yang dapat dibuat oleh kerajaan negeri dan menteri besar melainkan menjaga hati Perdana Menteri.

Kuasa Sultan pun tidak berupaya mempertahan Muftinya, maka tiada jalan lain selain dari menamatkan perkhidmatannya.” – Subky Latif, dipetik dari Harakahdaily.

Ustaz Ishak sedang bagi ceramah. Imej dari TV14.

Selain tu, Ustaz Ishak memang terkenal sebagai orang yang berpegang teguh dalam cita-citanya untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara yang amalkan al-Quran dan al-Sunnah secara total. Kerana itu jugaklah, beliau menyokong penuh pelaksanaan undang-undang Islam di Malaysia.

“Saya setuju dengan pandangan Datuk Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan yang mengatakan jika mahu dianggap negara kita sebagai negara Islam, perlembagaannya mestilah berdasarkan Al- Quran dan al-Sunnah.

Itu yang nombor satu. Kemudian barulah disebut perkara lain, seperti yang diisukan (orang politik) pada masa ini.” – Dato’ Ishak Baharom, katanya kepada majalah Tamadun.

Oleh itu, lepas saja dipecat dari jawatan mufti, beliau meneruskan kerjanya seperti biasa sebagai pendakwah. Beliau juga mula aktif terlibat dalam PAS. Sebenarnya, sejak tahun 1953 lagi beliau dah terlibat dalam PAS iaitu sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS sampai tahun 1956.

Tapi apabila beliau lanjutkan pelajaran ke India dan balik semula ke Malaysia, beliau mula kurang aktif dalam politik. Apatah lagi bila dilantik jadi Mufti yang memerlukannya mengasingkan diri dari politik.

Bagaimanapun, lepas dipecat dari jawatan mufti beliau ada datang ke perjumpaan GERAK (Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia) pada 1998. Lepas pilihanraya 1999, beliau dah dilantik menjadi Ahli Majlis Syura PAS dan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS. Beliau juga aktif memberikan ceramah di pentas-pentas PAS.

https://www.youtube.com/watch?v=DrMoZ-NmAno&t=13s

Perginya seorang ulama yang mendapat perhormatan pihak istana

Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh agak sayu suasananya pada hari itu. Tiada siapa menyangka Ustaz Ishak telah pergi mengadap ilahi pada jam 3.05 petang pada 30 Januari 2008. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 80 tahun.

Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat umat Islam di negara ini. Tapi ternyata, jasanya tetap dikenangkan oleh rakyat dan juga pihak istana. Sultan Selangor mengeluarkan titah supaya pengkebumian Ustaz Ishak disempurnakan dengan penuh istiadat negeri di Makam Diraja Shah Alam. Begitulah allahyarham sehingga lepas pemergiannya pun tetap dihormati oleh masyarakat dan sultan.

“Sekelian Raja-Raja, pembesar-pembesar negara dan pegawai tinggi kerajaan juga menghormatinya bukan saja kerana ilmu yang tinggi tetapi juga sikap dan pendapatnya yang tegas.

Bukan mudah bagi seorang Mufti untuk mendapat penghormatan yang demikian, kerana pandangan umum merasakan mufti adalah terikat dengan pengaruh Sultan dan dalam zaman merdeka Perdana Menteri dan Menteri Besar menjadi penasihat utama para Sultan, maka mufti dirasakan lebih kurang sama dengan lain-lain pegawai kerajaan.” – Subky Latif, dipetik dari Harakahdaily.

Ustaz Ishak bersama cucu-cucunya. Imej dari 7kilas.blogspot

Walaupun namanya semakin dilupakan, tetapi sejarah tak akan dapat memadamkan kisah ulama yang penuh warna warni ini. Dalam bidang penulisan, Ustaz Ishak pernah terjemahkan Kitab al-Adhkar tulisan Imam al-Nawawi dan menulis buku ‘Solat dan Keajaibannya‘.

Mufti kena elakkan diri dari dieksploitasi

Kalau kita tengok sejak akhir-akhir ni, nampaknya ada beberapa kes yang memperlihatkan seolah-olah institusi mufti ini diperlekehkan. Pada tahun lepas, ada satu NGO yang dah bagi anugerah ‘menghina intelektual’ kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Dan hal ni mendapat kecaman dari ramai pihak.

Dalam waktu yang sama, kita juga boleh puji pendekatan yang mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri buat dalam mendekati masyarakat. Buat masa sekarang, beliau dah ada page FB, Twitter, Instagram dan channel Telegram sendiri. Semua pendekatan ni sangat baik sebab dapat mendekatkan masyarakat dengan mufti.

Instagram mufti Wilayah Persekutuan, Dato Dr Zulkifli al-Bakri.

Kesimpulannya, institusi mufti hendaklah dihormati. Kalau ada sebarang perselisihan pendapat atau pandangan, perkara tu hendaklah diselesaikan secara berhemah dan ilmiah. Tak guna pun untuk kita asyik bergaduh dan menuduh. Ini kerana, kesannya bukan je akan memburukkan pandangan masyarakat kepada ulama, malah kepada institusi agama itu sendiri.

“Saya mahu menyeru kepada mufti supaya menghormati diri mereka sendiri daripada menjerumus diri mereka kepada sesuatu situasi yang tidak dihormati oleh masyarakat…

Justeru semua agamawan, pendakwah dan mufti harus berhati-hati, tidak semua yang kita tahu dan faham akan diberitahu kepada masyarakat semata-mata untuk tujuan mencari populariti, atau desakan pihak tertentu, sebaliknya kenyataan dibuat itu menimbulkan kekeliruan kepada sebahagian masyarakat pula.” – Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi, Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN). Dipetik dari YADIM.

[Artikel ini merujuk beberapa sumber seperti jurnal – Dato’ Haji Ishak Baharom dan Sumbangan Pemikirannya di Malaysia (oleh Kamarudin Salleh); buku – Tokoh-tokoh Ulama Selangor (terbitan Universiti Islam Antarabangsa Selangor), Mufti lawan Mahathir (tulisan Ahmad Lufti Othman) dan Fatwa dan Mufti: Hukum, Etika dan Sejarah (tulisan Dr Zulkifli al-Bakri)]

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.