- 1.1KShare sekarang!
- Email6
- Facebook1.1K
- Share
Dalam beberapa hari lepas, kita semua digemparkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai kes kematian Zulfarhan Osman dua tahun lepas sebab dibuli member dia sendiri. Dan kita semua tahu yang hasil keputusan kes tersebut memang menyebelahi arwah Zulfarhan ni. ?
Pada siapa yang mengikuti kes arwah ni mesti tertunggu-tunggu keputusan akhir untuk pembelaan arwah. Bila kita tengok senario sekarang ni, kes bunuh macam jadi perkara biasa. Lagi-lagi dalam kalangan remaja dan golongan belia. Ada yang sampai sanggup bunuh adik beradik sendiri tu. Tapi, sekarang ni bukan kes bunuh orang yang kitaorang nak cerita. Sabar jap, baca sampai habis ye.
Remaja lelaki suka bunuh diri dengan cara ekstrem
Sebelum tu, kitaorang ada tulis artikel pasal kes bunuh diri ni ataupun kes bunuh, kalau korang terlepas nak baca, korang boleh klik kat bawah ni:
- 7 pembunuhan ngeri di Malaysia yang membuatkan korang tak tidur malam
- 9 kes bunuh diri kat Malaysia sejak 2 tahun lepas
- Terbaru organ hilang, dulu ada anak kepala putus ditetak ayah sendiri
- Ada atlet Malaysia mati tapi puncanya dirahsiakan? Ini 4 kes kematian yang ramai tak tahu
Baru-baru ni ada satu kenyataan keluar daripada surat khabar dari Singapura yang menyatakan statistik bunuh diri kat negara tu makin meningkat. Tapi, apa yang lagi mengejutkan, daripada jumlah bilangan orang yang bunuh diri tu, golongan remaja merupakan jumlah yang paling tinggi sejak kebelakangan ni. Dan daripada pecahan tu, remaja lelaki lebih cendurung untuk bunuh diri zaman sekarang ni dan jumlahnya semakin bertambah.
Kementerian Kesihatan Malaysia dedahkan yang remaja cenderung untuk bunuh diri disebabkan oleh tekanan masalah kesihatan mental. Secara rawak, kelompok remaja seawal 13 tahun dah mencatatkan 11.2% dah ada idea untuk bunuh diri, 9% rancang untuk bunuh diri dan 10.1% terlibat dengan cubaan untuk bunuh diri. Dan dekat Pulau Pinang, 18.5% pelajar dan remaja kat sana mengalami masalah mental kemurungan.
Dan golongan lelaki terutamanya remaja lelaki mempunyai kecenderungan untuk bunuh diri menggunakan kaedah yang lebih ekstem macam terjun bangunan dan gantung diri. Dan golongan perempuan pulak lebih cenderung untuk cederakan diri sendiri macam kelar tangan sendiri dan makan ubat-ubatan yang berlebihan.
‘Lelaki tak boleh nangis’ jadi sebab utama ramai remaja kemurungan
Kita selalu dengar orang cakap yang ‘lelaki kena lah kuat, jangan nangis’, ataupun ‘tak malu ke tunjukkan air mata jantan kau tu?’ Dan banyak lagi perbualan sama yang berulang-ulang sampailah sekarang. Dan kalau kita perhatikan, memang jarang kita nak nampak golongan lelaki ni nangis tak pun ekspresskan emosi dia. (Mungkin kita tak perasan, emm dan tak bergaul? Bukan feminis ya).
Kadang-kadang stigma yang macam tu lah jadikan golongan lelaki terutamanya remaja yang baru nak belajar kenal dunia, pendam semuanya. Tak kira lelaki ataupun perempuan, semuanya manusia biasa, ada perasaan dan punyai emosi yang berbeza.
“Budaya kita selalu menekankan lelaki tidak boleh menangis – jadi sikap suka memendam perasaan dalam anggota masyarakat menyebabkan pelbagai ‘penyakit jiwa’ tercetus.” – Dr Robiah Kulop Hamzah, Pakar Motivasi dan Kaunseling Keluarga, sumber dari BH Online.
Dalam statistik sekarang ni, remaja dan kanak-kanak seawal umur 13 tahun dah ada niat untuk bunuh diri. Dan menurut pakar, zaman umur yang macam tu lah golongan awal remaja ni dah boleh ekspresskan emosi diaorang tapi emosi diaorang ni sebenarnya tak stabil lagi. Perlukan sokongan dan orang yang diaorang boleh percaya untuk survive dalam hidup diaorang.
Dengan senario sekarang ni, budaya masyarakat kita yang selalu ketepikan masalah dan aduan golongan remaja menyebabkan golongan macam ni cenderung untuk mengasingkan diri dan lebih suka bersendiri. Dari sebab itu lah yang menjadi punca utama yang menyebabkan diaorang ada niat untuk bunuh diri.
Pada tahap umur yang baru menginjak dewasa, kebanyakan golongan yang macam ni tak tahu macam mana nak hadapi dan selesaikan masalah diaorang. Diaorang jugak selalu rasa sunyi sebab diaorang rasa takde orang yang ambil berat pasal diaorang.
“Mereka bukan tidak mahu meluahkan perasaan kepada keluarga terdekat tetapi kebanyakan ibu bapa tidak merasakan masalah tersebut besar atau tidak mempercayainya.” – Justin Victor, Ketua Exekutif BeFrienders, sumber dari FMT.
Hmm benda macam ni selalu jadi kan. Orang selalu cakap budak kecik tak faham dengan dunia luar sedangkan diaorang pun ada emosi diaorang sendiri, masalah diaorang yang diaorang kena selesaikan. Tapi dengan takde tempat yang diaorang boleh ceritakan apa yang diaorang alami, sebab tu lah diaorang selalu rasa sunyi, takde tempat nak mengadu. ?
Kadang-kadang masalah yang diaorang hadapi dijadikan bahan jenaka dan dianggap macam satu bahan ejekan orang ramai. Bukan tu je, siap ada yang mengata lagi. ?♂️?♀️ Sebenarnya, kalau diikutkan pakar psikiatri, masalah emosi dan kemurungan ni jugak dirasai oleh kanak-kanak dan remaja.
Cuma mungkin dari faktor dan sebab yang lain, tak sama macam golongan dewasa. Orang selalu anggap masalah yang budak-budak hadapi ni macam bahan jenaka sebab diaorang takde kesedaran dengan isu dan aspek masalah kesihatan mental. Yang diaorang tahu cuma membawang je. Eh. Ops.
“Ada kala cubaan bunuh diri diceritakan kepada rakan, tapi rakan pula menganggapnya sekadar remeh. Ada juga luahan dibuat di laman sosial, namun dipersenda kerana dianggap bahan gurauan.
“Kes cubaan bunuh diri ada yang dibuktikan bukan dirancang, sebaliknya disebabkan krisis yang menimpa mangsa secara tiba-tiba membuatkan remaja rasa bimbang, ketakutan dan tidak selesa.” – Anita Abu Bakar, Presiden Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA), sumber dari BH Online.
Remaja bunuh diri dalam setiap 40 saat!!! ?
Kebanyakan remaja yang cenderung nak bunuh diri dan selalu ada rancangan diaorang dengan tujuan yang macam tu, kebiasaannya berpunca daripada kemurungan dengan adanya perasaan negatif dalam diri diaorang. Mungkin dalam masyarakat sekarang ni, orang ramai masih kurang kesedaran dan tak berfikiran terbuka dengan masalah mental yang remaja hadapi. Waktu remaja sebenarnya adalah tempoh yang agak mencabar bagi peringkat umur manusia ditambah lagi dengan pengaruh kawan-kawan, perubahan hormon, harapan terlalu tinggi, dan banyak lagi faktor lain.
Antara punca yang selalu membelenggu remaja dengan merancang untuk bunuh diri adalah tekanan mental yang berpunca dari membesar dalam keadaan keretakan keluarga. Keadaan ganas dalam keretakan keluarga ni lah yang menyebabkan proses pembesaran diaorang terganggu dan dibelenggu dengan tekanan emosi.
Contohnya, waktu proses remaja tu membesar, dia berada dalam situasi keganasan rumah tangga yang berlarutan sampai lah dia besar. Ayah pukul mak. Mak menengking anak-anak dengan sebab kecik. Mak ayah perangai tak elok, mak ayah paksa anak buat benda tak elok dan sebagainya.
Benda macam ni mungkin nampak normal bagi mak ayah dalam keluarga yang macam tu, tapi sebenarnya secara tak langsung ia mempengaruhi emosi anak-anak yang sedang membesar. Dan sebab tu lah jadi macam ni:
“… remaja yang berhasrat membunuh diri sebenarnya ingin menarik perhatian keluarga, yang masalah itu hanya dapat diselesaikan seandainya ibu bapa memberi perhatian rapi kepada anak sejak mereka kecil dan sentiasa berkongsi masalah dengan mereka,” – Dr Hazli Zakaria, Pensyarah dan Doktor Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), sumber dari BH Online.
Dan tu merupakan jalan terakhir yang diaorang buat…
Ramai orang anggap masalah kemurungan dan depresi ni biasa je, tapi sebenarnya ia melibatkan penyakit yang sukar dikawal dan berada di luar kawalan diri seseorang tu. Dalam laporan World Health Organization (WHO), sekarang ni, statistik kes bunuh diri akan ada setiap 40 saat! ? Dan tu termasuklah kes-kes daripada kalangan remaja yang juga merupakan penyumbang yang banyak dalam statistik tu.
Selain daripada tekanan dalam kalangan keluarga, ada jugak faktor luaran lain yang menjadi punca masalah ni semakin menjadi-jadi. Iaitu, kes buli siber daripada media sosial. Dan awal tahun hari tu ada satu kes remaja bunuh diri kat Sarawak disebabkan followers dia kat Instagram sokong hasrat dia nak bunuh diri.
Selain tu, sikap netizen yang suka malukan seseorang menerusi media sosial jugak merupakan perkara yang makin menjadi-jadi dalam kalangan masyarakat. Contohnya macam sikap netizen yang suka ‘troll’ salah orang lain, komen-komen negatif, dan jugak ada yang suka buat memes untuk malukan orang (bukan kitaorang!).
“Sisi baik adalah, mereka dapat meluahkan perasaan yang terpendam, kerana ada juga orang mengalami kemurungan akan rasa lega selepas meluahkan masalah di media sosial.
“Sisi buruk pula ialah, setelah membuat luahan mungkin akan ada orang lain mengecam atas perilakunya dan ini akan membuatkan mereka (pesakit kemurungan) lebih tertekan,” – Supt Aidil Bolhassan, Ketua Polis Daerah Padawan, sumber dari Malaysia Kini.
Kadang-kadang ada yang rasa benda tu hanya untuk bergurau je tapi sebenarnya benda yang nampak remeh tu lah banyak menyebabkan risiko negatif. Dan gurauan yang macam tu boleh memalukan seseorang dan menyebabkan pihak tersebut berada dalam tekanan walaupun isunya nampak remeh. Percayalah, kalau cakap pasal tekanan ni, benda kecik pun boleh jadi punca.
Memandangkan remaja dikaitkan dengan kecenderungan untuk bunuh diri dan tersenarai dalam statistik kes bunuh diri yang membimbangkan, kekeliruan identiti diri jugak merupakan salah satu penyebab untuk bunuh diri. Kanak-kanak dalam peralihan umur remaja masih dalam proses untuk mencari identiti diaorang.
Diaorang selalunya terperangkap dengan percanggahan imej dan haluan mana yang diaorang kena ikut. Dalam fasa peringkat umur diaorang, diaorang masih berada dalam fasa untuk sesuaikan diri diaorang dengan pembentukan peribadi sendiri. Diaorang sentiasa perlukan sokongan dan perhatian daripada orang yang terdekat untuk bimbing diaorang.
Bila diaorang tak dapat sokongan dan perhatian yang sepatutnya, diaorang cepat rasa kosong dan sunyi. Selain tu masalah emosi lain pun boleh jadi punca, contohnya macam putus cinta, hubungan dengan rakan dan guru, dan tekanan akademik.
Buang stigma rasa malu untuk dapatkan bantuan kaunseling
“Statistik menunjukkan bahawa kumpulan remaja Malaysia dibanding dengan kumpulan umur lain adalah paling menghadapi tekanan. Kita kena membuang stigma mendapatkan bantuan kaunseling sesuatu yang memalukan,” – Datuk Seri Fatimah Abdullah, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-kanak, sumber dari BH Online.
Disebabkan kes kemurungan dan kesihatan mental yang menjadi-jadi sekarang ni, ada satu pertubuhan NGO iaitu The BeFrienders ditubuhkan untuk bantu tangani kes bunuh diri ni. The BeFrienders ni dah ditubuhkan sejak tahun 1970 lagi, tapi mungkin sekarang ni baru nampak kepentingan perkhidmatan yang diberikan tu.
Dia beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu dengan berikan sokongan emosi menerusi talian percuma yang disediakan. Pemanggil boleh luahkan apa yang diaorang rasa menerusi talian percuma ni dengan tak perlu rasa takut dikecam ataupun dituduh. Dan semua rahsia yang dikongsikan, takkan dibongkarkan kat sesiapa. Dengan adanya The BeFrienders ni, orang ramai tak perlu risau kalau takde orang nak dengar masalah diaorang, orang ramai boleh call bila-bila masa je untuk dapatkan bantuan dan sokongan emosi dengan percuma.
- 1.1KShare sekarang!
- Email6
- Facebook1.1K
- Share