- 931Share sekarang!
- Email129
- Facebook802
- Share
Baru-baru ni kita semua digemparkan dengan kes kematian seorang Ketua Jururawat kat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin. Punca kematian tersebut disebabkan kesan kelar menggunakan objek tajam kat leher dia. Dan sekarang ni, suspek yang dipercayai terlibat dengan pembunuhan tu dah berjaya ditangkap, dan akan didakwa.
Tapi, apa yang jadi tanda tanya sekarang ni, kes kematian tu nampak macam pelik sebab pembunuh tersebut ada kaitan dengan ketua jururawat tu. Dan, Siti Kharina ni ditemui mati dekat kondominium yang dia sewa kat Cyberjaya. Tapi, pembunuh tu yang merupakan warga Nigeria jugak ada akses masuk ke rumah tersebut.
Kalau kita semak dan rujuk kat Jabatan Perangkaan Malaysia, kes kematian yang disebabkan pembunuhan merupakan salah satu daripada jenayah kekerasan. Dan, mengikut jenayah indeks Malaysia sehingga tahun 2017, terdapat 379 kes bunuh daripada jumlah keseluruhan jenayah kekerasan, iaitu sebanyak 21,366 kes. Jadi, kali ni SOSCILI nak mengimbas kembali beberapa kes pembunuhan dan kematian yang buatkan korang tertanya-tanya apa puncanya.
1. Rabia Salam – atlet Trek Asia mati keracunan, tapi sijil kematiannya tak diberikan pada keluarga
Kes ni berlaku sekitar tahun 1994 (waktu tu team kitaorang pun ada yang tak lahir lagi), Rabia Salam merupakan atlet (olahragawati) remaja wanita, jarak sederhana dalam acara 4 x 400 meter dan juga digelar sebagai “Bakal Ratu Trek Asia”. Tapi, kronologi kisah kematian dia ni agak mencurigakan. Kenapa pulak mencurigakan? Jeng jeng jeng…
Dia dikatakan mati disebabkan keracunan lepas dia mengadu sakit perut lepas buka puasa. Jadi, bila dia mengadu dia sakit perut tu, jurulatih peribadi yang selalu rapat dengan dia iaitu C. Ramanathan pun bawaklah dia pergi hospital. Tapi lepas dapat rawatan daripada pihak hospital, kemudian dia meninggal dunia. Dan punca kematian dia dirahsiakan oleh pihak berkuasa.
Apa yang mencurigakan lagi, bila selesai acara pengurusan kematian dia, segala dokumen pengesahan kematian, perubatan dan sijil kematian dia tidak diberikan kat keluarga dia. Dan ikut kebiasaannya, sijil kematian seseorang jenazah akan diberikan pada penggali kubur yang akan kebumikan jenazah. Tapi, waktu nak kebumikan dia, penyerahan dokumen tu tak diberikan. Sebaliknya, dokumen tersebut dipegang oleh pihak Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM). Kenapa pulak macam tu ye?
“Terdapat beberapa orang yang terdekat dengan badan-badan yang terlibat telah menyatakan bahawa motif kematian Rabia sengaja dirahsiakan daripada pengetahuan umum. Apa yang pak cik dengar, Rabia telah terlibat dalam satu kes yang mana perbuatan ini bakal memalukan keluarganya.” – Pak Hassan, penggali kubur sewaktu kematian Rabia Salam, sumber dari Uthaya Sankar.
Memandangkan kes kematian dia dirahsiakan walaupun macam-macam siasatan yang telah dijalankan, kes tersebut pun berlalu begitu sajaaa… Dan banyak spekulasi yang dibuat oleh masyarakat tentang kes tersebut. Tapi, untuk menambah kecurigaan, kawan baik dia ada bagitahu yang dia memang sangat rapat dengan jurulatih peribadi dia. Kat mana dia ada, mesti jurulatih dia pun ada, dan kat mana jurulatih dia ada, dia pun ada sekali. Kawan dia bagitahu yang hubungan diaorang ni macam pasangan yang baru dilamun cinta.
Disebabkan situasi tersebut, kematian dia dikaitkan dengan kes bunuh diri yang mengatakan dia minum minyak kuda untuk gugurkan kandungan dia. Tapi diri dia sendiri yang terkorban. Laporan doktor pun pada mulanya sahkan yang dia memang minum minyak kuda. Dan tak lama lepas dia meninggal dunia, jurulatih peribadi dia digantung keahliannya oleh KOAM pada 23 Mac 1994 disebabkan kes pencabulan atlet perempuan. Sebelum tu pun, dah ada tuduhan tentang kes pencabulan ni, tapi tak ada apa-apa tindakan yang dibuat. Lepas tuduhan kes pencabulan tu dikenakan kat C. Ramanathan, Rabia jadi lebih pendiam selepas berita tu tersebar.
Ada juga yang mengaitkan kes kematian ni dengan dendam, sebab jurulatih dia nak dapatkan beberapa peratus daripada duit kemenangan yang dia dapat. Duit yang berjumlah RM11,000 tu dimenangi Rabia lepas dia berjaya naikkan mutu sukan negara yang diberikan daripada Menteri Belia dan Sukan. Tapi, masih lagi jadi tanda tanya tentang kematian dia sampai sekarang. Semua orang tak tahu punca kenapa dia mati. Dan kes tu pun senyap macam tu. Dah 25 tahun dah pun. Hmm.
2. K. Sujatha – model ingat minum ubat batuk rupanya racun rumpai
K. Sujatha merupakan pelakon popular dan model jelita Tamil dulu. Dia jugak merupakan setiausaha peribadi anak ahli politik yang terkenal waktu tu, S.Vell Paari, Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings Bhd dan anak kepada Datuk Seri S.Samy Vellu. Hasil siasatan mengatakan kematian model tu disebabkan dia minum racun rumpai tanpa ada penglibatan orang lain dan takde unsur jenayah. Ada ke orang minum racun suka-suka?
Tapi apa yang peliknya kenapa pulak dia nak minum racun sedangkan menerusi kawan dia yang perangai dia ni sangatlah ceria dan ramah. Dan kes kematian dia ni akhirnya dikaitkan dengan kes bunuh diri sebab takde bedah siasat yang dijalankan. Dan kes tersebut habis macam tu jelah. Tak ada pengadilan untuk pihak si mati. Kes tu jugak disembunyikan kebenarannya. Tapi apa pulak yang disembunyikan tu?
Kes tersebut tak dikaitkan dengan jenayah sebab polis takde bukti yang kukuh nak kaitkan kes tersebut dengan jenayah. Selain tu, pihak keluarga Sujatha tak bersetuju nak adakan bedah siasat, dan kes tu hanya bergantung dengan laporan doktor dan saksi. Tapi bila polis buat siasatan lanjut, ada jumpa gambar Vell Paari kat bilik dia, tapi bukti lain macam botol racun tu dah tak jumpa sebab adik dia dah buang dan kemas bilik tu. Hmm. Dan adik dia bagitahu, yang dia tersalah minum racun yang disangka ubat batuk. Tapi ada pulak yang bagi kenyataan macam ni:
“Kenyataan tersebut tidak boleh diterima kerana mangsa merupakan
seorang yang berpendidikan tinggi dan sudah tentu pandai membuat
perbandingan antara botol ubat batuk dan botol racun,” – Manikavasagam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Keadilan, sumber dari News You Have Missed.
Bila pihak polis bawak adik Sujatha pergi kedai logam yang ada jual racun rumpai tu, orang kedai tu tak cam rupa dia. Dan untuk selesaikan kes ni, pihak polis dan mahkamah hanya bergantung kepada saksi-saksi yang terlibat. Antaranya adik Sujatha, Vell Paari dan doktor yang merawat Sujatha, Dr. Saktiveloo. Kes tersebut tak dapat pembelaan sebab doktor tersebut merupakan sepupu Vell Paari. Dan Vell Paari pun menafikan yang diaorang ni ada hubungan romantik walaupun Sujatha ada simpan gambar dia. Selain tu, untuk pastikan ketepatan yang dia minum racun rumpai tu kenalah ada hasil ujian air kencing, tapi sample air kencing tu hilang pulak.
“Nama dan reputasi wanita yang tidak berdosa ini telah diheret dalam permainan politik oleh ahli politik yang tidak bertanggungjawab demi kepentingan mereka kerana mangsa tidak dapat untuk mempertahankan dirinya,” – Vell Paari, sumber dari MStar.
Tapi, kawan dia bagitahu yang hidup dia mewah bila bekerja dengan Vell Paari. Dia duduk dekat kondominium yang Vell Paari belikan berjumlah RM220,000, ada kereta mewah, dan selalu bercuti ke luar negara. Dan waktu dia tengah tenat, Vell Paari bawak dia kat Hospital Tengku Ampuan Rahimah yang sejauh 40km untuk dirawat oleh sepupunya sendiri berbanding bawak mangsa kat hospital yang berhampiran. Memandangkan kes tersebut dah selesai, tapi siapa yang ikuti kes ni dari awal mesti tertanya-tanya kan betul ke tak hasil keputusan kes tu.
3. Hasleza Ishak – dicampak dari jambatan sebab cemburu berpoligami
Hasleza Ishak ni merupakan isteri kedua Raja di-Hilir Perak, Datuk Seri Raja Jaafar Raja Muda Musa yang dilaporkan dibunuh dengan kejam. Memandangkan statusnya sebagai isteri Raja, jadi satu Malaysia heboh dengan kes ni dulu. Dia jugak merupakan seorang pelakon dan model. Mayatnya dijumpai dalam keadaan yang mengerikan tersangkut kat pokok dekat dengan jambatan, berhampiran Jalan Sumpitan, Taiping.
Bila dilihat keadaan mayat dia waktu orang jumpa tu, dia dipercayai dibunuh sebelum mayat dia dicampak dari jambatan tersebut. Dan jambatan tu berketinggian setinggi bangunan 5 tingkat! Ngeri kan?
Dan lepas satu per satu siasatan dilakukan, ada salah seorang daripada 5 suspek yang merupakan seorang bomoh, Mat Saad Isa mengaku bersalah dan dikenakan hukuman penjara selama 14 tahun. Dia mengaku yang dia dah menculik Hasleza dan kemudian membunuhnya dengan mengelar lehernya sebelum mencampak Hasleza dari jambatan. Dan lepas perbicaraan kat Mahkamah diadakan, dia bagitahu yang isteri pertama Raja di-Hilir Perak, Raja Nor Mahani merupakan dalang kes pembunuhan tersebut.
Tapi, walaupun dah ada dakwaan dan kenyataan tu, Raja Nor Mahani nafikan perkara tersebut. Dia bagitahu yang dia gunakan khidmat bomoh untuk membuang santau dan jampi yang ada kat suami dia. Santau dan jampi tersebut dikatakan perbuatan Hasleza yang menyebabkan suami dia selalu bersikap dingin waktu dengan dia. Dia pun ada bagitahu yang dia takde niat pun nak bunuh Hasleza memandangkan perbuatan tu boleh mencemarkan nama baik dia sendiri.
“Kerana perbuatan tersebut akan menjejaskan kedudukan tinggi saya dan nama baik keluarga saya dan negeri.” – Raja Nor Mahani, sumber dari IOL News.
Sejak suami dia kahwin dengan Hasleza, dia bagitahu yang banyak benda pelik yang jadi kat istana tu. Antaranya Raja selalu duduk seorang-seorang dalam gelap, burung takde kepala dijumpai kat kawasan istana, tuala wanita dijumpai atas bumbung, muntah kristal dan bunyi bayi menangis sedangkan kat istana tu takde bayi pun. Uish.
Walaupun macam tu, kes kematian dan pembunuhan Hasleza ni masih jadi tanda tanya sebab tak tahu apa sebenarnya motif pembunuhan dia. Dan akhirnya, Raja Nor Mahani tu bebas daripada tuduhan tu sebab takde bukti yang kukuh. Walaupun ada beberapa suspek yang ditangkap, tapi lepas tu diaorang dibebaskan sebab bukti yang ada tu tak cukup untuk nak sabitkan kesalahan.
4. Jean Perera Sinnapa – mayatnya berlumuran darah masih terikat dengan tali pinggang keselamatan
Kes ni jadi pada tahun 1979 dulu. Jean Perera Sinnapa merupakan seorang ratu cantik yang terkenal kat Malaysia zaman tu. Kes kematian dan pembunuhan dia pun menjadi misteri lepas pembunuh dia tak dapat dikenal pasti siapa sebenarnya. Kes jenayah pembunuhan ni nampaknya memang macam dah biasa sejak dulu lagi kan.
Jean dijumpai mati dalam kereta dengan tali pinggang keselamatan masih lagi terikat kat badan dia. Selain tu, dekat beg dia jugak penuh dengan barang kemas. Abang ipar dia dan jugak suspek, Karthigesu Sivapakiam yang merupakan pemandu kereta tu pengsan kat luar kereta. Lepas disiasat, suspek bagitahu yang diaorang ni disamun. Tapi kalau disamun pun kenapa barang kemas tu tak hilang? Dan hasil rawatan pihak hospital kat badan dia pun takde kesan cedera macam yang dia bagitahu dia tak sedarkan diri sebab kena pukul.
Jean ni sebenarnya janda. Suami dia dah meninggal. Dan, nak dijadikan cerita, hasil siasatan daripada kematian Jean, ia disebabkan dendam cinta. Jean ada bercinta dengan seorang doktor warga Sri Lanka. Diaorang ni selalu balas-balas surat (dulu takde whatsapp), dalam surat tu Jean ada bagitahu yang dia sangat cintakan abang ipar dia sendiri. Jadinya ni macam kes cinta bersegi-segi lah ni.
Ada saksi bagitahu yang Karthigesu ada jerit yang Jean tak patut hidup sebelum Jean dijumpai mati. Dan tu jadi bukti kukuh kes ni. Daripada bukti tu, Karthigesu ditangkap dan akan dikenakan hukuman gantung. Tapi tak lama lepas tu, saksi tu bagitahu yang kenyataan dia bagi tu tak betul.
Jadi, pihak berkuasa pun lepaskanlah suspek utama tu. Dan, saksi tu pulak kena tangkap sebab bagi kenyataan palsu. Tapi persoalannya siapa pembunuh Jean??? Dan sampai sekarang takde lagi jawapan memandangkan pihak polis takde jumpa apa-apa senjata yang mengaitkan tentang pembunuhan Jean. Aduhh…pening.
Kadar kes jenayah pembunuhan berjaya dikurangkan dengan sikap keprihatinan semua orang
Kalau kita perhatikan kat Malaysia ni, statistik kadar jenayah semakin berkurangan walaupun sekarang ni, kita banyak dengar pasal kes pembunuhan. Disebabkan sikap prihatin dan tanggungjawab pihak berkuasa, kadar jenayah semasa berjaya dikurangkan. Contohnya pihak polis Melaka berjaya turunkan indeks jenayah kat sana yang sebelum ni 1,054 kes jenayah dan berjaya dikurangkan sebanyak 970 kes.
“Ia merupakan usaha berterusan semua anggota dan pegawai bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa berada pada terbaik selain memberi fokus pada penyelesaian kes agar penjenayah dapat dihadapkan ke muka pengadilan,” – Datuk Abd Jalil Hassan, Ketua Polis Melaka, sumber dari BERNAMA.
Tapi untuk atasi kes-kes jenayah jugak, masyarakat pun kena mainkan peranan penting. Kalau nampak sesuatu mencurigakan yang berkaitan jenayah, cepat-cepat buat laporan kat pihak berkuasa berhampiran. Tapi ingat, jangan bertindak ikut sesuka hati korang.
- 931Share sekarang!
- Email129
- Facebook802
- Share