- 422Share sekarang!
- Email26
- Facebook396
- Share
Kalau korang nak tahu, satu per tiga daripada rakyat kita menghadapi masalah kemurungan. Kajian yang dibuat oleh tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) katakan 29.2% rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas ada masalah depresi. Korang tahu tak, masa tahun 2006, jumlahnya cuma 11.2%. Naik gila-gila depresi dalam kalangan orang kita, kitaorang harap korang tak rasa depresilah.
“Penyakit kemurungan merangkumi faktor penyebab dan mitos yang boleh membawa kepada akibat yang tidak dijangka termasuk membunuh diri.” – Dr Nor Hayati Ali, dipetik dari HMetro
Peningkatan penyakit depresi ni seiring dengan peningkatan orang nak bunuh diri yang naik mendadak. Pungutan data Pusat Registri Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia (NSRM-National Suicide Registry Malaysia) kata dua orang membunuh diri setiap hari dengan kadar purata 60 orang dalam sebulan.
Hari ni kami bawakan korang kes-kes bunuh diri yang popular kat Malaysia…
1. Pelajar yang dapat 10A dalam SPM terjun bangunan
Korang jangan fikir pelajar-pelajar yang cemerlang takde risiko nak hadapi masalah kemurungan, baru-baru ni ada seorang pelajar yang dapat 10A masa SPM terjun bangunan. Dia tengah belajar nak jadi cikgu, awal-awalnya dia belajar kat Kedah. Oleh sebab dia ada masalah depresi dia pindah untuk belajar kat kolej Negeri Sembilan.
Masalah depresi yang dihadapi Lin Jiaying buatkan ibu bapa dia risau. Apa lagi, diorang pun letaklah GPS kat phone anak dia, kot-kot dia buat sesuatu yang boleh bahayakan diri dia. Pada 2 April 2018 lepas dia pergi ke apartment, dia beritahu dia nak lepak rumah member.
Akhirnya dia mengambil keputusan untuk terjun dari tingkat 14 apartment tu sekitar 8:45 malam. Apa yang lebih menyedihkan, Lin siap tinggalkan nota yang berbunyi;
“Kalau anda temui saya dalam keadaan hidup, beritahu doktor jangan selamatkan saya.” – dipetik dari Worldfbuzz
Dalam surat tu jugak, dia ada kata yang dia berada dalam tekanan yang tinggi dan tak nak kecewakan ibu bapa dia. Dia minta abang dia jaga mak ayah dia dan kata sudi nak dermakan organ kat orang-orang yang memerlukan.
2. Kes pelajar bunuh diri lepas dituduh curi iPhone cikgu
Kes ni boleh kira barulah lagi, masa awal-awal dulu hampir satu Malaysia tahu tentang kes ni. Mendiang Piriya dituduh mencuri iPhone 6 gurunya, dia siap dikurung dalam satu bilik dan dipaksa mengaku yang dia mencuri. Piriya tahu dia tak bersalah, paksalah macam mana pun, mestilah dia tak nak mengaku kan?
https://www.youtube.com/watch?v=bcB6M1JEVN8
Apa yang lebih menyedihkan, dah lah kena kurung, Piriya didakwa dipukul oleh tiga lagi orang guru. Lepas tu dia kena malukan dan pukul dekat kawan-kawan dia. Kalau kita fikir elok-elok, dia baru 13 tahun kot, dah sah-sah dia akan rasa malu. Tak cukup dengan semua ni, suami pada guru tu siap pergi rumah Piriya.
“Perasaan malu yang ditanggung, terutamanya memikirkan kejadian itu akan diketahui ramai atau disaksikan oleh kawan-kawan, sangat besar sehinggakan dia cuba membunuh diri.” – Datin Noor Azimah Rahim, laporan FMT
Masa diorang tengah settlekan masalah kat luar rumah Piriya, masa tulah Piriya dipercayai cuba nak bunuh diri. Dia gantung dirinya dengan kain selendang yang diikat pada penghawa dingin. Masa tu dia masih hidup lagi dan terus dihantarkan ke hospital. Selepas seminggu koma, dia menghembuskan nafas yang terakhir.
3. Lelaki ni bunuh 3 anak, lepas tu dia gantung diri dia
Kes ni berlaku tahun lepas, lelaki yang bunuh anak dia tu dikatakan alami tekanan perasaan sebab isteri dia baru meninggal dan ada masalah hutang. Kalau korang nak tahu, lelaki ni membunuh anaknya dengan cara menekup muka diorang, kemudian dia gantung diri.
Ibu mertua lelaki tu kata memang menantu dia tu resah memanjang sebab isterinya baru meninggal dan ada masalah kewangan. Pada awal pagi hari kejadian, ibu mertua lelaki tu dengar je cucu-cucu dia nangis, tapi dia tak syak apa-apa. Mak mertua lelaki tu kata;
“Pada pukul 5 pagi tadi saya terdengar suara cucu saya menangis tetapi tidak mengesyaki apa-apa. Namun, hingga mereka berempat tidak turun bersarapan pagi dan makan tengah hari, saya bergegas ke bilik tidur dan terkejut melihat menantu tergantung manakala tiga cucu saya sudah mati.” – Dipetik dari AWANI
4. Gantung diri lepas tikam member satu kerja
Gaduh dengan member ni, hal biasalah kan? Tapi sampai bunuh-bunuh ni dah kenapa. Kes ni berlaku kat Taman Selayang Batu Caves, dua orang pekerja kedai runcit ni bergaduh pukul 1 pagi. Habis kecoh kawasan tu dengan suara diorang. Oleh kerana pergaduhan dua member ni buat orang sekitar kawasan tu risau, diorang pun telefon polis.
https://www.youtube.com/watch?v=hil94PdSye0
Sampai-sampai je polis kat kedai runcit tu, polis tengok tauke kedai tu cedera sebab nak leraikan pergaduhan. Seorang mati akibat terkena tikaman, dan seorang lagi mati sebab gantung diri.
“Dalam kejadian kira-kira 1 pagi di sebuah kedai runcit di Taman Selayang Batu Caves itu, seorang lelaki warga India berusia 32 tahun dipercayai telah menikam rakan senegaranya yang berusia 51 tahun dan majikan mereka, warga tempatan berketurunan India Muslim.” – Dipetik dari MalaysianReviews
5. Tahanan gantung diri kat dalam lokap
Punyalah jarang kita dengar ada orang gantung diri kat lokap, selalunya lokap ni dijaga 24 jam. Tapi tulah yang berlaku kat Balai Polis Selama, Perak. Macam mana agaknya banduan tu boleh gantung diri erk? Kalau korang nak tahu, kes-kes macam ni akan disiasat oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
“Dalam kejadian 9.30 pagi, mangsa berusia 39 tahun yang juga orang kena tahan (OKT) mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985 ditemui dua anggota bertugas dalam keadaan tergantung di dalam lokap.” – Dipetik dari KOSMO
Mengikut kenyataan DSP Loo Lian Lay selaku ketua balai polis tu, kejadian ni berlaku sebab pegawai yang bertugas tu cuai, tak komited dan tak bertanggungjawab. Masa diorang semak CCTV, diorang dapati yang mangsa gunakan baju lokap untuk buat lilitan sebelum mengantung diri.
Bagi Pengerusi EAIC, Datuk A Aziz A Rahim, diorang tak terima kesimpulan yang dibuat DSP Loo Lian, diorang nak orang tahu yang EAIC ni badan yang betul-betul bebas.
“EAIC adalah sebuah suruhanjaya bebas dan sedang menjalankan siasatan berasingan berhubung kes kematian tahanan itu, bukan sebagaimana dinyatakan oleh Ketua Polis Daerah Selama.” – A Aziz, dipetik dari Berita Harian
6. Pemilik sebuah tadika gantung diri sebab tekanan
Tekanan hidup ni selalu jadi punca utama orang ambik keputusan untuk bunuh diri. Kat Johor Bahru ada seorang guru wanita gantung diri dia sebab tekanan hidup. Kalau korang nak tahu, guru ni siap miliki satu tadika. Guru ni dah bercerai dengan bekas suami dia, dan ada seorang anak yang berumur 25 tahun. Anak dia tu tengah kerja kat Singapura.
Polis mendapati takde pun tanda-tanda unsur jenayah dalam kes ni, memang kes bunuh diri. Dia juga dipercayai tengah menghidap kanser payu dara dan berhadapan dengan tekanan yang tak diketahui.
“Mangsa ada meninggalkan nota bunuh diri di atas meja. Dalam surat itu ditujukan kepada anak perempuannya menyatakan beliau ingin mati kerana sakit dan meminta anak perempuannya menjaga diri serta menghormati bapanya.” – Dipetik dari Berita Harian
7. Anggota polis dan kekasih mati dengan kesan tembakan
Kalau korang pernah dengar ayat sehidup semati, mesti korang akan fikirkan pasangan kekasih yang bahagia. Cuma yang sedihnya, ada kisah seorang anggota polis ni dikatakan tembak awek dia sebelum tembak diri sendiri. Kalau korang nak tahu, lelaki tu bertugas kat Bukit Aman dan perempuan tu merupakan warga Vietnam.
“Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, anggota yang bertugas di Bukit Aman berusia 26 tahun berkenaan dan wanita lingkungan 20-an ditemui terbaring berlumuran darah dalam sebuah bilik.” – Dipetik dari Sinar Harian
Ketua Polis KL Datuk Amar Singh kata diorang jumpa kesan tembakan masing-masing kat kepala dan badan mangsa. Diorang jugak jumpa sepucuk pistol polis kat tempat kejadian, kes ni dipercayai mangsa menembak mati salah seorang dari mereka sebelum membunuh diri. Korang rasa siapa yang bunuh siapa?
https://www.youtube.com/watch?v=UYLTQ7lH1hw
8. Cekik anak dia sehingga mati sebelum gantung diri
Kes ibu bunuh anak adalah kes yang jarang kita dengar, biasanya ibu akan jaga anak dia gila-gila. Seorang suri rumah kat Johor ni cekik anak dia yang berumur 10 tahun sebelum ambik keputusan untuk gantung diri. Kalau korang nak tahu, ibu yang gantung diri ni penghidap kanser tahap 4 dan pernah beritahu dia tak nak hidup lagi.
https://www.youtube.com/watch?v=Jgq_PLC0_OA
Masa kes ni berlaku, anak-anak mangsa tengah beli peralatan sekolah kat pusat membeli-belah. Masa tengah membeli-belah tu, diorang adalah cuba hubungi ibu diorang, tapi ibu diorang tak jawab. Apa lagi, diorang terus balik kat rumah. Sampai je kat rumah, terus dorang dapati adik diorang dah tak sedarkan diri. Ibu diorang pulak mati tergantung.
“Dia menemui isterinya dalam keadaan tergantung di bilik gimnasium di tingkat bawah rumah sebelum bergegas mencari anak bongsunya yang ditemui di tingkat atas dalam keadaan tidak sedar diri dan mempunyai kesan cekik.”- Supt Beh Eng Lai, dipetik dari AWANI
9. Tinggal wasiat kat Facebook sebelum terjun jambatan
Kes lelaki terjun Jambatan Pulau Pinang ni pernah viral dulu. Sebelum terjun dia siap tulis nota bunuh diri yang panjang kat Facebook, apa lagi ramailah yang viralkan. Dia terjun jambatan untuk bunuh diri sebab tertekan dengan kes mahkamah dia (kes jual rokok seludup) dan ada masalah hutang dengan member.
Dia tak puas hati kenapa orang yang ada jawatan tinggi boleh je tibai duit juta-juta tapi bebas, dia ni peniaga runcit je, nak cari makan. Dia tak nak susahkan orang lain untuk pinjam duit, dia katanya nak fikirkan tentang penjara, tapi dia tak naklah anak dia digelar anak banduan.
https://www.youtube.com/watch?v=kujYYI2PQwU
“Yang pengarah tibai berjuta boleh lepas pula dengan duit jaminan. *** punya pimpinan kerajaan sekarang, berniaga kedai runcit kampung je, bukan untung besar pun. Ku tak sanggup lagi menyusahkan orang dengan meminjam duit. Mula ku pilih untuk dipenjara tapi terkenangkan anak nanti digelar anak banduan. Ya Allah, ampuni dosaku.” – Dipetik dari FMT
Dia siap beri pesanan kat PAS jangan terpedaya kat UMNO. Dia kata UMNO tu saje je sokong rang undang-undang untuk pecahkan belahkan pembangkang. Dia juga harap pembangkang boleh jadi kuat lagi supaya nasib orang macam dia akan terbela.
Kalau korang rasa nak bunuh diri, segera dapatkan bantuan
Kalau korang pernah terfikir nak bunuh diri, korang perlu dapatkan bantuan. Bunuh diri ni tak akan selesaikan masalah tapi hanya akan berikan kesedihan kepada orang-orang yang sayangkan korang. Ada satu hotline 24 jam terima panggilan untuk mereka-mereka yang perlukan seseorang untuk bercakap dan beri nasihat kalau ada orang terfikir nak bunuh diri.
Tak pun, Editor kami ada tulis pengalaman peribadi dia melawan rasa nak bunuh diri. Korang bacalah, harap-harap lepas korang dapatkan bantuan dan baca artikel tu, korang akan jumpa kembali semangat nak teruskan hidup.
Tak pun, kalau korang pernah tengok filem 3 Idiots, hero dalam filem tu suruh member dia letak gambar mak bapak dia kat dompet. Kalau member dia tu fikir nak bunuh diri, dia suruh member dia tengok gambar tu dan bayangkan macam mana keadaan diorang kalau tengok dia mati.
Korang pun boleh buat macam tu, letak gambar yang korang sayang kat dompet, kalau rasa nak bunuh diri je cepat-cepat tengok gambar tu dan dapatkan bantuan. Selagi korang teruskan hidup, mesti benda positif akan berlaku!
- 422Share sekarang!
- Email26
- Facebook396
- Share