Kebakaran sekolah tahfiz dan 5 lagi kes kebakaran terbesar di Malaysia

*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 2 November 2016.

UPDATE (14/09/2016): Satu kejadian kebakaran telah berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur. Dalam kejadian itu, dilaporkan 24 nyawa telah terkorban (22 orang pelajar & 2 orang guru) dalam kejadian itu. Turut tercedara juga adalah beberapa pelajar lain dan orang awam.

Kenyataan pihak bomba mengatakan, kejadian ini dipercayai berpunca dari litar pintas. Pihak bomba juga tak menolak kemungkinan akan ditubuhkan satu suruhanjaya khas untuk menyiasat punca sebenar kebakaran.

_______________________________________________________________________

Baru-baru ni, negara kita dikejutkan dengan 6 kematian akibat kebakaran yang berlaku di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor. Kes kebakaran ni dah tarik perhatian ramai dari masyarakat biasa hinggalah golongan istana.

Menurut laporan, punca kebakaran adalah kerana litar pintas di hospital tersebut. Kalau ikut sejarah, HSA mula dibina pada 1882 dan juga adalah hospital pertama yang ada wad ICU di Malaysia.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, ketika di HSA. Imej dari Warta Daily.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, ketika di HSA. Imej dari Warta Daily.

Sebenarnya, sejak tahun 1990an hampir 19 kes kebakaran libatkan hospital  dilaporkan kat Malaysia. Kes terakhir sebelum kejadian di HSA adalah di Pusat Perubatan Pakar Sri Kota pada Ogos lalu, syukur kerana takde sesiapa yang terkorban dalam kebakaran ini.

Kebakaran selalunya menyebabkan kerugian dan lebih malang bila ia libatkan kehilangan nyawa orang yang tak berdosa. Kadang-kadang tu memang kemalangan tak boleh dielakkan, kalau nak jadik tu jadik jugak. Tapi bolehkah ianya dicegah? Apa langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk berjaga-jaga.

Kami cuba tengok 5 kes kebakaran terbesar yang pernah menggemparkan Malaysia sebelum ini, cuba siasat apa puncanya, dan lihat jika sebarang tindakan telah diambil untuk mengelakkan perkara sama berlaku, bermula dengan…

1. Kompleks Campbell, bangunan tinggi pertama terbakar di Kuala Lumpur

Pada 08 April 1976, sebuah bangunan 20 tingkat yang juga tertinggi di Kuala Lumpur dilaporkan terbakar. Dalam kejadian tu, pihak Bomba terpaksa ambil masa hampir 24 jam untuk memadamkan kebakaran.

Bangunan ini mula dibuka pada 1973 di Jalan Campbell (kini Dang Wangi) dan terbakar tiga tahun selepas itu. Bangunan ni menempatkan kedai pakaian, restoran, kelab malam dan bangunan pejabat.

Kompleks yang terbakar. Imej dari Utusan Malaysia.

Dalam kejadian itu seorang peniaga,Yap Leong Hoem, 59, maut lepas nekad terjun dari tingkat dua bangunan tersebut dan 1,000 orang kehilangan kerja. Punca kebakaran dipercayai kerana litar pintas.

Bangunan ini ditutup selama 2 tahun untuk proses baik pulih dan dibuka semula seperti dalam keadaan asal pada 1978. Pemilik bangunan ni adalah mendiang, Tan Sri Lim Thean Leong yang juga pengasas dan pengerusi Bolton Berhad (kini Symphony Life Berhad).

Aktivis, Tan Sri Lee Lam Thye pernah jadi penasihat untuk satu jawatankuasa antara wakil peniaga dan pengurusan kompleks. Imej dari The Malaysian Times.

Kerana peristiwa ni jugak, Persatuan Perlindungan Kebakaran Malaysia (FPAM) ditubuhkan dan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 1984, juga dipertingkatkan. Akhirnya pada 2006, Kompleks Campbell dijual dan bangunan ini tetap mencatatkan sejarah sebagai bangunan tinggi pertama yang terbakar di Kuala Lumpur.

Kompleks Campbell sekarang. Imej dari dewancampbell.com

2. Kebakaran di sekolah agama, korbankan 27 nyawa

Sekolah Menengah Agama (SMA) Taufiqiah Khairiah Al- Halimiah di Guar Chempedak, Kedah ditubuhkan pada 1947 oleh Allahyarham Tuan Guru Hj. Yahaya Junid atau Pak Ya Junid. Kerana tu jugak, sekolah ini dikenali dengan nama ‘Pondok Pak Ya’.

Pada awal pagi Jumaat 22 September 1989, asrama puteri di sekolah ini dilaporkan terbakar dan telah mengorbankan 27 nyawa. Kesemua pelajar yang terkorban adalah perempuan, manakala 6 berjaya menyelamatkan diri tapi masih dalam keadaan cedera, melecur teruk dan ada yang patah pinggang.

Keadaan asrama yang terbakar. Imej dari Sinar Harian.

Menurut abang seorang mangsa yang maut, dia hanya dapat berita tentang kebakaran itu melalui pengumuman tergempar di radio. Menurut siasatan, punca kebakaran itu adalah kerana lilin yang digunakan oleh pelajar perempuan.

“Berdasarkan laporan dan siasatan pihak berkuasa, kebakaran berpunca daripada lilin yang digunakan pelajar puteri yang menghuni asrama itu untuk mengulang kaji pelajaran.

Namun difahamkan mereka tertidur dan lilin yang digunakan untuk menerangi ruang bilik asrama itu telah terjatuh dan membakar tilam hingga merebak dan tidak dapat dikawal.” – Azizah Yahaya, Pengetua Pondok Pak Ya, dipetik dari Sinar Harian.

Pihak berkuasa sedang mengutip sisa dari mangsa yang terkorban. Imej dari bintulqaryah.blogspot

Jenazah mereka yang terkorban dikebumikan di tanah perkuburan khas, “27 Syuhada Peristiwa Kebakaran Pondok Pak Ya” di Padang Lumat, Yan, Kedah. Telefilem tentang tragedi ni jugak pernah disiarkan di Astro Oasis dan satu dokumentari di RTM.

https://www.youtube.com/watch?v=8zSGNnfbO18

Tragedi ni jugak dah memaksa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja Mengenai Keselamatan Sekolah Agama. Sehingga kini, difahamkan keselamatan sekolah pondok dan agama di negara ni masih dalam keadaan yang belum memuaskan. Antara punca kebakaran yang dilaporkan adalah kerana pendawaian elektrik, gas memasak, ubat nyamuk dan lilin.

3. Letupan kilang mercun di Sungai Buluh

Keadaanselepas kebakaran. Imej dari hmetro.

Kejadian ini berlaku di kilang mercun Bright Sparklers, Sungai Buluh pada 7 Mei 1991. Kejadian ni menyebabkan 200 hartanah kediaman rosak. Letupan yang dahsyat ni jugak digelar sebagai ‘Hiroshima Sungai Buloh’.

Digelar sebagai Hiroshima Sungai Buloh kerana keadan letupan itu terlalu dahsyat dan mengorbankan banyak nyawa, seramai 26 maut dan 83 pula cedera.

“Bagaimanapun, semasa dalam perjalanan melalui Jalan Lapangan Terbang Subang, kami sudah terlihat asap berbentuk cendawan yang sangat besar. Pada masa itu, kami sudah mengagak kebakaran tersebut sangat besar.

Semasa tiba kira-kira satu kilometer dari kilang tersebut, kami berasa seolah-olah sedang berada dalam medan perang dengan api sedang marak sehingga timbul pelbagai perasaan ngeri dalam diri kami semua.” – Jaafar, Ahli Bomba, dipetik dari Utusan Malaysia.

Kejadian tu jugak telah memusnahkan bangunan, rumah dan kenderaan di sekeliling 500 meter dari kilang tersebut. Diceritakan, ada juga mangsa yang lari dari tempat kejadian untuk selamatkan diri tapi maut kerana dilanggar kereta. Selain tu, banyak lagi kisah ngeri yang diceritakan oleh ahli bomba yang terlibat dalam kejadian itu:

“Dalam operasi tersebut, salah seorang lelaki yang ditemui mati di tempat kejadian bukan kerana terbakar, sebaliknya belakang kepalanya terkena hentakan batu-bata yang terbang pada kelajuan tinggi sehingga tempurung kepala mangsa tercabut. Insiden itu menjadi kenangan tidak dapat dilupakan.

“Kuasa letupan itu juga menyebabkan sebuah kereta yang dipercayai milik pemilik kilang remuk seperti botol air mineral yang dipicit kuat.”

“Jeritan meminta tolong dan raungan kesakitan akibat terkena serpihan mercun jelas kedengaran. Lebih menyayat hati apabila melihat ada dalam kalangan mereka meratapi kematian ahli keluarga.” – dipetik dari Utusan Malaysia.

“Bayangkan, anjing yang ditinggalkan di halaman rumah ketika itu sudah tidak kelihatan dan yang tinggal hanya rantai besi milik haiwan berkenaan,” dipetik dari Utusan Malaysia.

Keadaan mayat yang ditemui. Imej dari mvfra.org.

Pihak bomba juga terpaksa menyejukkan simpanan belerang seberat 180 tan yang ditanam di dalam kilang itu. Tugasan tu dilakukan selama 24 jam sehari dan berterusan untuk beberapa hari.

“Jika simpanan belerang itu ditakdirkan meletup, pasti Sungai Buloh akan musnah menjadi padang jarak padang tekukur. Tetapi hasil usaha kami yang tidak kenal penat lelah, belerang itu dapat disejukkan sebelum dihantar pulang ke negara asal (China).” dipetik dari Utusan Malaysia.

Antara mangsa yang ditemui. Imej dari mvfra.org

Siasatan dapati, kebakaran berpunca dari bahagian makmal yang jalankan kerja-kerja menguji mercun. Disebabkan kelalaian pihak kilang yang buat ujian kat luar dari tempat yang dikhaskan, mercun tadi terkena simpanan mercun dan bunga api sampai buat tempat tu meletup. Selain tu, rupa-rupanya kilang tersebut dah beroperasi secara haram sejak tahun 1978 lagi.

Selepas peristiwa ni, kerajaan bertindak mengharamkan mercun pada 1991, mengikut Seksyen 42 Akta Bahan Letupan 1957 (fail PDF). Boleh baca artikel kami tentang mercun, klik sini.

https://www.youtube.com/watch?v=hYx-1m4bzFI

Kerana tragedi ni jugak, Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) ditubuhkan. Unit ini diberikan latihan khas dalam menangani masalah melibatkan kimia berbahaya, bahan radioaktif, radiasi, nuklear dan letupan. Walaupun sebelum itu, Malaysia adalah antara pengeksport mercun ke negara-negara maju (fail PDF).

4. Tangki minyak meletup dan terbakar kerana disambar petir

Kejadian ni berlaku di Depot Petronas Dagangan Berhad, Pasir Gudang, Johor pada 28 April 2006. Letupan dan kebakaran ni terjadi disebabkan cuaca buruk apabila 2 tangki minyak yang berisi antara 70,000 hingga 80,000 liter minyak disambar petir.

Akibatnya, kawasan tersebut ditutupi dengan asap tebal dan api yang menjulang hingga 30 meter tinggi. Keadaan tu boleh dilihat dari beberapa kilometer dari tempat kejadian. Kebakaran tu jugak sebabkan seluruh kawasan perindustrian Pasir Gudang mengeluarkan bau kimia dan orang ramai di kawasan sekitar diarah meninggalkan kawasan dengan segera.

Keadaan di tempat kejadian. Imej dari Utusan Malaysia.

Lebih 80 anggota Bomba, Pasukan Menangani Bahan Kimia (Hazmat) dan dua pasukan bomba sukarela dikejarkan ke tempat kejadian. Syukur sebab takde sebarang kematian dilaporkan kecuali seorang anggota bomba yang alami kecederaan.

Kesan dari kejadian tu, operasi di depot tersebut digantung sementara untuk kerja siasatan. Perkara ni jugak sebabkan 720,000 liter petrol dan minyak kapal terbang musnah. Bagaimanapun, pihak syarikat dipuji sebab dapat kawal kebakaran, hasil daripada kerjasama syarikat dengan pihak bomba dalam sesi latihan sebelum kejadian itu.

5. Kebakaran terminal minyak Tanjung Langsat

Kebakaran berlaku di Terminal Minyak Pelabuhan Tanjung Langsat, Pasir Gudang, Johor pada 17 Ogos 2008. Kebakaran ni dikatakan berlaku masa kerja-kerja memindahkan 11,200 meter padu Naptha (sejenis kimia mudah terbakar).

Kejadian ni bermula bila tangki minyak Nombor Satu yang ada 17,800 meter padu gasolin terbakar pada jam 6.30 petang. Kebakaran ni hanya dapat dipadamkan pada jam 2.00 petang dua hari selepas kejadian. Kebakaran kedua pulak, terjadi pada tangki Nombor 2 yang simpan Naptha dan hanya dapat dipadamkan pada jam 9.30 malam selepas sehari kebakaran.

Keadaan tempat kejadian jika dilihat dari jarak jauh. Imej dari rossitamz.blogspot

Kebakaran ni dah libatkan 400 anggota bomba dari Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang. Bahang panas dari kebakaran ni jugak dapat dirasa dari jarak 200 meter dari tempat kejadian. Difahamkan, tangki minyak gasolin itu adalah milik syarikat Trafigura Pte. Ltd.

Pihak Bomba jugak terpaksa menghentikan aktiviti pemadaman bila ada masalah kekurangan semburan buih untuk padam kebakaran. Tapi syukur sebab takde sebarang kemalangan dan kehilangan jiwa dilaporkan.

Kebakaran ni jugak dapat dikawal kerana adanya sistem pencegah kebakaran di setiap tangki dan ia masih berfungsi dengan baik. Tentang punca kebakaran ni pulak, nampaknya kami tak dapat sumber yang sahih untuk dinyatakan.

Keadaan terminal lepas kebakaran dipadamkan. Imej dari Kosmo.

Litas pintas antara punca utama kebakaran

Imej dari Health Xchange.

Sejak dua tahun lalu, 292 kematian dilaporkan akibat dari kebakaran dan menyebabkan kerugian sebanyak RM 4.4 bilion di seluruh negara. Pada 2015, pihak bomba dah terima 80,183 panggilan kecemasan dengan purata 220 sehari.

Menurut laporan, punca utama kebakaran adalah kerana litar pintas. Litar pintas ni boleh jadi bila kita menggunakan tenaga elektrik melebihi had yang telah ditetapkan atau menggunakan barangan elektrik tanpa henti.

Selain tu, banyak dari pelan pembangunan di Malaysia tak tepati ciri-ciri keselamatan seperti yang ditetapkan. Statistik dari pihak bomba jugak mendapati sebanyak 5,817 kes kebakaran bangunan pada tahun 2013 dilaporkan dan dari jumlah tu, kebakaran rumah kediaman duduki tempat pertama (fail PDF).

Image dari bomba.gov

Baru-baru ni, Kementerian Pelajaran dah arahkan pemeriksa dan pendawaian semula elektrik di setiap sekolah yang berusia 50 tahun ke atas untuk elakkan sebarang perkara yang tak diingini. Pemilik bangunan premis jugak digalakkan untuk buat pemeriksaan berkala di premis masing-masing.

Untuk maklumat, TNB tak buat pemeriksaan masalah/pendawaian elektrik kat rumah atau premis. Jadi kalau korang rasa ragu-ragu dengan keselamatan pendawaian elektrik kat rumah atau pejabat korang, korang boleh la call mana-mana kontraktor elektrik yang berdaftar. (Boleh periksa kontraktor tu berdaftar atau tak kat sini atau hubungi Suruhanjaya Tenaga). Korang jugak boleh tengok tips-tips keselamatan di sini.

“Adalah dimaklumkan bahawa TNB tidak membuat pemeriksaan masalah/pendawaian elektrik di dalam premis sama ada di rumah kediaman atau pejabat. Sekiranya perlu, tuan perlu melantik kontraktor pendawaian untuk berbuat demikian. Semakan status kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga boleh dibuat menerusi laman sesawang Suruhanjaya Tenaga” – jawapan TNB ketika ditanya oleh Soscili.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.