Bot bentuk pelik ni tengah bersihkan Sungai Klang. Dari mana datangnya?

(This article is a translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)

Sungai Klang amat dikenali dengan warna-warni dan khazanah yang ada di dalamnya…

Khazanah alam manusia. Imej dari NST

Tapi nampaknya beberapa bulan lepas, orang Shah Alam dan Klang menemui sesuatu yang luar biasa. Kali ni, mereka nampak sebuah ‘objek terapung yang tak dikenali’ di Sungai Klang. Bukan sekadar terapung, tapi meluncur dalam sungai tersebut.

Ikan? Bot? UFO? Bukan, ia adalah The Interceptors. Imej dari dutchwatersector.com

Ada yang panggil bot, ada yang panggil UFO. Tapi, ia sebenarnya adalah… The Interceptor.

Nampaknya, objek aneh ni kemungkinannya adalah sebuah jawapan untuk menyelamatkan sungai kita

Boyan Slat dan inovasinya, The Interceptor, di sungai Klang. Imej dari Twitter Boyan.

The Interceptor adalah sebuah kapal yang direka untuk memungut sampah dari sungai. Dan mungkin ada antara korang yang mengharapkan inovasi terkini tempatan macam kereta terbang, tapi nampaknya ni lagi penting. Kapal ni direka oleh seorang lelaki Belanda bernama Boyan Slat, pengasas organisasi bukan keuntungan bernama The Ocean Cleanup.

Seperti nama kapal tu sendiri, organisasi tersebut pada mulanya bertujuan untuk mengurangkan jumlah sisa plastik di lautan dengan membangunkan sistem mengumpul plastik secara pasif dari sisa sampah dengan menggunakan arus laut. Dan selepas enam tahun membangunkan sistem tu, ia dilengkapi dengan laluan berbentuk U yang terapung (bukan The Interceptor) yang memerangkap plastik menggunakan sesuatu yang nampak macam lipatan lengan gergasi.

In case korang tak boleh bayang macam mana rupa bentuknya, ini dia:

Imej dari cleantx.org

Bagaimanapun, The Ocean Cleanup mendapati ada je plastik baru yang akan masuk ke lautan. Nampaknya, plastik tu datang dari sungai-sungai yang ada. Dan berdasarkan penyelidikan organisasi tersebut, dianggarkan 80% sampah plastik yang berakhir di lautan berasal dari sekitar 1000 sungai.

Jadi, macam tu la organisasi tersebut datang dengan idea untuk inovasi The Interceptor. Pada masa penulisan ni dilakukan, terdapat empat prototaip di dunia yang dilancarkan di Belanda pada 26 Oktober 2019. Dua daripada empat Interceptors telah diuji di Jakarta dan Malaysia!

Dan seperti peranti sebelumnya yang diinovasi oleh organisasi tersebut, The Interceptor tak perlu ditarik kerana ia bergerak dengan arus air dan dikuasakan 100% dari tenaga solar. Korang boleh tonton video di bawah untuk melihat bagaimana ia berfungsi.

Dan kalau korang perasan, ia tak nampak macam bot biasa yang menunda tongkang. Kapal tersebut, yang boleh membawa kira-kira 50,000kg sampah setiap hari, bukan saja boleh beroperasi hampir di mana-mana sungai, tapi juga boleh disesuaikan untuk memenuhi keadaan sesebuah sungai tu. Misalnya, Interceptor yang ditempatkan di Cengkareng Drain, Jakarta ada penghadang untuk pengemudian sampah masuk ke conveyor belt.

Jadi apa yang The Interceptor berjaya kutip dari sungai Klang?

Antara benda yang dikutip dari sungai Klang termasuklah helmet dan… BEG TANGAN?

Imej tak diedit dari Twitter Boyan

Boyan ada di KL semasa kisah ni ditulis. Dan menurut tweetnya, Boyan mengetahui yang rakyat Malaysia, atau lebih tepat lagi orang duduk di Malaysia ni buang semua benda dalam sungai dari plastik, helmet, ke beg tangan. Dan adakah ia bermakna Sungai Klang adalah yang paling kotor berbanding sungai-sungai yang ada di negara-negara lain?

Rupa-rupanya, tidak. Walaupun sungai Klang adalah antara 1,000 sungai paling tercemar di dunia, menurut The Ocean Cleanup, terdapat sungai-sungai lain yang lebih tercemar daripada sungai Klang. Lihat sahaja perbandingan ini:

Jumlah sisa plastik di setiap sungai. Klik tangkapan skrin dari The Ocean Cleanup ni untuk melihat sungai-sungai tercemar yang lain.

Jadi kenapa Boyan memilih sungai Klang untuk menguji inovasinya?

Nampaknya, The Ocean Cleanup sedang mencari rakan strategik di Asia Tenggara, kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. Dan di sinilah kerajaan negeri Selangor telah melangkah untuk menawarkan bantuan kepada organisasi tu (dan sebaliknya).

“Mereka menyedari usaha yang telah diambil oleh Selangor untuk menghentikan pembuangan plastik ke dalam perairan kita. Kami menyedari yang kami tak boleh melakukannya sendiri. “- Amirudin memberitahu NST.

Amirudin juga menambah yang organisasi tu adalah Selangor Maritime Gateway (SMG), sebuah inisiatif untuk membersihkan, memulihkan dan meremajakan sungai Klang, perkongsian antarabangsa pertama. The Interceptor juga dipercayai dapat melengkapkan usaha kerajaan negeri Selangor untuk membersihkan sungai Klang.

SMG mula membersihkan sungai pada 2016 dan ia bertujuan untuk menjadikan sungai Klang sebagai tarikan pelancong. Bunyi macam familiar, kan? Sebabnya, ada satu lagi projek dengan matlamat sama yang dikenali sebagai River of Life. Kami pernah tulis tentangnya sebelum ni dan korang boleh baca lebih lanjut kat sini.

Klik imej untuk baca pasal River of Life

Walau bagaimanapun, tak macam River of Life, SMG telah menunjukkan perubahan positif. Oh dan sekiranya korang terlupa betapa susahnya nak bersihkan sungai, kerajaan mengambil masa 30 tahun untuk membersihkan sungai Klang sementara jiran kita, Singapura ambik masa hanya 10 tahun untuk melakukannya!

Jadi tu mungkin sebab kenapa kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan The Interceptor dalam jangka masa panjang. Setakat ni, ia hanya dipinjamkan tanpa kos kepada kerajaan negeri selama setahun. Kami cuba berhubung dengan The Ocean Cleanup untuk mengetahui apa yang mereka fikirkan mengenai rancangan kerajaan negeri Selangor tapi kami belum terima jawapan daripada mereka. :\

Apa yang kita tahu, menurut tweet Boyan, ialah The Ocean Cleanup bertujuan untuk melengkapkan 10 projek Interceptor menjelang akhir tahun 2020.

“Mengutamakan kualiti dari kuantiti adalah sangat penting dalam tahap pertama ujian. Tiada keputusan lagi untuk menempatkan Interceptor di negara lain.”- tweet Boyan.

Jadi mungkin ada harapan untuk kerajaan negeri Selangor dapatkan Interceptor tersebut untuk jangka masa panjang. Dan ia mungkin dapat membantu dalam pembersihan Sungai Klang memandangkan kerajaan negeri sendiri berhasrat untuk mendapatkan sungai yang bersih menjelang 2022. Dan sementara tu, projek River of Life bertujuan untuk disiapkan menjelang 2020… yang hanya dalam masa sebulan. Jadi ni mungkin masanya untuk mengucapkan selamat tinggal sungai yang berwarna seperti teh tarik!