Best FIFA Football Awards: Kenapa ramai marah Messi dicalonkan dalam senarai akhir?

Pada awal pagi ini, FIFA akan melangsungkan salah satu anugerah bola sepak yang paling berprestij, The Best FIFA Football Awards 2020 yang akan dibawa secara langsung dari ibu pejabat FIFA di Zurich, Switzerland.

The Best FIFA Football Awards  telah diadakan sejak tahun 2016 selepas FIFA menamatkan kontrak dengan France Football untuk anjuran bersama FIFA Ballon d’Or. Sebelum ini, anugerah pemain terbaik lelaki dalam The Best FIFA Football Awards sudah dimenangi oleh Cristiano Ronaldo (2016 & 2017), Luka Modric (2018) dan Lionel Messi (2019).

Kalau korang nak tahu, FIFA dah pun mengeluarkan senarai finalis untuk anugerah kategori pemain terbaik lelaki 2020 pada 11 Disember lepas. Bagaimanapun ia menimbulkan kontroversi selepas ramai peminat tidak berpuas hati kerana tersenarainya Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo untuk anugerah itu. Tapi, kenapa dorang ni nak marah-marah sangat? Sebabnya…

Ada calon yang lebih layak untuk berada di senarai akhir

Top 10 The Best FIFA Men’s Player. Imej dari fifa.com

Pada 25 Nov lalu, FIFA telah mengeluarkan senarai 10 calon terakhir bagi pemain terbaik lelaki yang dibarisi pemain-pemain yang gah dan dilihat mempunyai pencapaian yang lebih hebat pada musim lepas berbanding Messi dan Ronaldo.

Pemain seperti Neymar dan Mbappe yang telah membawa Paris Saint Germain ke final Liga Juara-juara (Champions League) dan juga pemain pertahanan seperti Van Dijk yang berjaya membawa Liverpool menjadi juara Liga Perdana Inggeris selepas lebih 30 tahun tidak memenanginya.

Ada juga pemain tengah hebat seperti Thiago Alcântara yang menjadi antara nadi utama Bayern Munich untuk memenangi treble pada musim lepas dan juga seperti Kevin de Bruyne yang menjaringkan 13 gol dan 20 bantuan gol walaupun tidak bermain di posisi penyerang.

Senang cerita, ramai yang beranggapan ada yang lagi layak la untuk jadi finalis berbanding dua orang ni je sampaikan netizen international kat Twitter pun bagi hujah dorang tentang benda ni.

Tweet yang diajukan kepada Messi. Imej dari Twitter

 

Netizen di Twitter membandingkan statistik Messi dan Ronaldo. Imej dari Twitter

Perbandingan antara finalis The Best FIFA Men’s Award

Messi vs Lewandowski vs Ronaldo. Imej dari BusinessDay

Seperti yang semua sudah tahu, Robert Lewandowski, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo telah dipilih sebagai finalis anugerah ini dan ada yang siap kata Lewandowski merupakan nama baharu di samping nama ‘tradisional’ dalam sesebuah anugerah bola sepak.

Statistik individu menunjukkan Robert Lewandowski sudah menjaringkan 55 gol dan 10 bantuan gol pada musim lepas, sekaligus jauh meninggalkan Cristiano Ronaldo (37 gol, 7 bantuan gol) dan Lionel Messi (31 gol, 27 assist).

Dari segi trofi pula, Lewandowski telah membantu Bayern Munich untuk menang quintuple (4 trofi) pada musim lepas dan pada masa yang sama memenangi anugerah kasut emas dalam tiga pertandingan berbeza (Bundesliga, Liga Juara-juara Eropah dan DFB-Pokal). Manakala, Ronaldo hanya memenagi ‘Scudetto’ dan Messi pula tidak memenangi apa-apa trofi pada musim lepas.

FIFA didakwa menyebelahi pemain penyerang dan nama-nama besar

The Best Fifa Awards. Imej dari fifa.com

Ada yang mengatakan bahawa anugerah pemain terbaik dalam bola sepak ni ibarat lebih kepada penyerang sahaja kerana hanya mereka yang menjaringkan gol yang banyak layak berada di senarai akhir. Kita juga boleh nampak pemenang-pemenang sebelum ni pun kebanyakannya pemain penyerang.

Itu sebab mengapa Ballon d’Or sudah menjadi anugerah untuk penyerang terbaik dunia. Itu bukan perspektif saya sebagai pemain pertahanan tetapi melalui fakta yang neutral dan telah dibuktikan dengan statistik – Phillipp Lahm, bekas pemain Bayern Munich, dipetik dari goal.com

Hal ini sekaligus mencetuskan tanda tanya, adakah pemain tengah dan pertahanan yang tidak ditugaskan untuk menjaringkan gol itu tidak dianggap hebat? Ditambah lagi dengan FIFA yang didakwa berat sebelah dalam memilih calon akhir seperti Messi dan Ronaldo hanya kerana nama mereka yang gah dan besar supaya dapat menaikkan views anugerah itu.

Dalam pada itu, ramai peminat bolasepak mengharapkan Robert Lewandowski memenangi anugerah The Best FIFA kategori lelaki itu. Bagaimanapun, benda ini masih lagi tak boleh dijangka sebab keputusan-keputusan lepas yang agak kontroversi seperti mana Andreas Iniesta kalah dengan Lionel Messi dalam perebutan gelaran pemain terbaik dunia pada 2010.

Lionel Messi dan Cristiano memang pemain yang hebat tetapi Lewandowski dikatakan lebih layak

Lewandowski meraikan jaringan. Imej dari Bleacher Report

Disebabkan prestasi Robert Lewandowski yang amat memberangsangkan pada musim lepas, ramai peminat bola sepak mengatakan dia adalah invidu paling layak untuk dinobatkan sebagai pemenang anugerah The Best FIFA kategori lelaki itu.

Ini dikuatkan lagi dengan Cristiano Ronaldo yang tidak dapat menunjukkan prestasi yang lebih cemerlang disebabkan kecederaan yang dialaminya semasa awal musim lepas.

Bagi Lionel Messi pula, dia dah la tak menang apa-apa trofi musim lepas. Macam mana la dia boleh masuk senarai finalis, ramai yang lebih hebat dari dia patut masuk senarai akhir itu berbanding dia. Lebih-lebih lagi dengan kekalahan 8-2 Barcelona kepada skuad yang diwakili Lewandowski (Bayern Munich) sendiri di suku akhir Liga Juara-juara Eropah yang dikira amat memalukan.

Jadi, lepas korang dah baca semua ni, siapa yang korang rasa patut menang?