- 337Share sekarang!
- Email15
- Facebook322
- Share
Sejak kebelakangan ni, nampaknya kita dihidangkan dengan isu air antara kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang. Isunya timbul selepas MB Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menuntut kerajaan negeri Pulau Pinang membayar RM50 juta atas air yang sumbernya datang dari negeri berkenaan. Isu itu juga dah menimbulkan pelbagai pandangan, sama ada yang menyokong mahupun membantah.
Akan tetapi, kalau kita menoleh kembali sejarah – Kedah sebenarnya adalah salah sebuah negeri yang ada sistem perairan terawal di Tanah Melayu. Hal tu dapat kita kesan berdasarkan rekod sejarah dan bukti fizikal yang sampai sekarang kita boleh nampak. Antara yang terkenal sudah pastinya – Terusan Wan Mat Saman yang suatu masa dulu menjadi antara projek hebat dalam pembangunan negeri Kedah. Semuanya bermula selepas Perdana Menteri (PM) Kedah masa tu…
Mendapat ilham selepas pulang dari Bangkok, Siam
Berdasarkan kajian, sebelum adanya Terusan Wan Mat Saman – dah ada beberapa buah terusan yang dibina di Kedah. Antaranya adalah terusan yang mula digali pada tahun 1627 dari Kayang (Kangar, Perlis) ke Anak Bukit, Kedah. Boleh dikatakan – inilah terusan pertama sekali dibina di negeri jelapang padi itu. Seterusnya, ketika pemerintahan Sultan Rijaludin Mohammed Shah (1625 – 1651), sebuah lagi terusan dibina di mana ia digali dari Mergong ke Pumpong.
Menjelang tahun 1735, sebuah lagi terusan muncul yang dinamakan sebagai Sungai Kecil Anak Bukit. Ia kemudiannya membawa kepada usaha mengorek Terusan Sungai Terus antara Sungai Simpor dan Sungai Muda pada tahun 1818. Apa yang pasti, semua projek terusan ni dibuat sebab nak bekalkan air ke kawasan sawah padi, dusun dan sebagai jalan perhubungan air antara satu tempat ke tempat lain.
Perkara ini jugalah yang mencetuskan ilham pada pembinaan Terusan Wan Mat Saman pada tahun 1880-an. Terusan ni dapat nama macam tu sebab, ia adalah usaha yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Kedah pertama (sekarang Menteri Besar), Wan Muhammad Saman. Dikatakan, idea ni datang selepas Wan Muhammad pergi ke Bangkok, Siam dan nampak banyak terusan di sana yang digunakan untuk pengangkutan dan pertanian.
Jadinya, bila beliau balik je ke Kedah, Wan Muhammad pun mulakan usaha nak bina terusan yang baru. Sebabnya, masa tu dia dapat banyak aduan soal air tak sampai ke sawah, risiko banjir bila musim hujan dan kekurangan air di kawasan tertentu.
“Terusan yang akan dibina ini terpaksa melalui pelbagai jenis hutan termasuk hutan berpaya yang mengandungi pokok bakau dan nipah.” – Dipetik dari jurnal terbitan UPSI.
Seperti mana kenyataan di atas, usaha nak bina terusan ni bukannya mudah dan macam-macam masalah juga jadi. Ia termasuklah…
Wan Muhammad terpaksa pinjam duit dan dapat ‘ancaman bunuh’
Jadinya, menjelang 13 Ogos 1885 – maka bermulalah proses menggali terusan yang cukup mencabar ni. Secara umumnya, Terusan Wan Mat Saman menghubungkan Sungai Kedah sehingga ke kaki Gunung Jerai, tapi kalau ikut proses – ia lalui tiga fasa:
- Fasa pertama: Mula di Lubuk Katong (bertentangan dengan Masjid Tandop) sehingga ke Kota Sarang Semut.
- Fasa kedua: Mula dari kaki Gunung Jerai (Gurun) sampai ke Kota Sarang Semut.
- Fasa ketiga: Mula dari Lubuk Katong sampai ke Tanjung Chali yang terletak di tebing Sungai Kedah.
Cabarannya, zaman tu korek dan gali ni tak guna sebarang alatan moden, sebaliknya hanya guna alatan tradisional macam cangkul, parang dan sebagainya. Sebab tu jugalah ada orang panggil terusan ni sebagai Sungai Korok (maksudnya: sungai yang digali).
Tenaga buruhnya pula terdiri daripada rakyat Kedah sendiri dengan menggunakan sistem kerah. Dengan kata lain, mereka ni kena gali terusan tanpa bayaran dan sebagai balasan ada yang dikecualikan dari bayar sewa tanah. Disebabkan tak nak ada yang terlepas dari mengerjakan sawah dan buatkan sawah terbiar, penghulu di arahkan supaya membuat jadual giliran untuk anak buah masing-masing supaya tidak timbul masalah. Penghulu juga bertindak sebagai mandur yang mengatur dan melicinkan proses.
“Sekiranya ada yang ponteng tanpa sebab yang munasabah, mereka akan dihukum dengan seberat berat hukuman dengan cara merotan.” – Dipetik dari jurnal terbitan UPSI.
Cumanya, Wan Muhammad lepas tu tetap dapat masalah bila mana ramai yang tak sanggup buat pekerjaan tu dan larikan diri ke Pulau Pinang. Selain daripada tak dapat upah, mereka ni juga tak sanggup buat sebab diancam penyakit malaria sampaikan ada yang meninggal dunia.
Bila nampak yang buruh Melayu dah tak mahu lagi buat tugas tu, Wan Muhammad pun cuba dapatkan buruh Cina untuk siapkan terusan. Bezanya, buruh Cina bukan macam buruh Melayu yang boleh dikerah. Mereka ni kena diupah antara $2.00 hingga $3.00 sehari. Disebabkan hal ni, Wan Muhammad kena ada duit untuk bayar mereka dan terpaksa gunakan simpannya sendiri untuk buatkan projek ni sampai jadi.
Tapi ada satu masa tu, para pekerja Cina ni rasa tak puas hati sebab Wan Muhammad lambat bayar upah mereka. Jadinya, dikatakan wujud rancangan nak bunuh Wan Muhammad sebab mereka dakwa beliau jadikan mereka ni sebagai hamba.
“Hal ini memaksa beliau meminjam wang daripada saudagar Cina dari Pulau Pinang yang berjumlah $7,000 atas jaminan Sultan Abdul Hamid. Pembayaran semula pinjaman ini telah dipotong melalui wang gajinya sehinggakan beliau pernah menerima baki gaji bulanan hanya $3.66 sahaja…” – Dipetik dari jurnal terbitan UKM.
Dalam pelbagai kepayahan dan cabaran ini, pada 12 Julai 1895 – terusan sepanjang 35 kilometer, selebar 8 meter dan sedalam 5 kaki itu akhirnya siap dibina setelah mengambil masa hampir 10 tahun. Dilaporkan terusan ini memakan kos sebanyak $35,000 atau bersamaan dengan $35 serelung (53.645 meter).
Bagaimanapun, ada berita sedih yang kita dapat tahu pada tahun lalu apabila dilaporkan…
Terusan itu kini hanya parit terbiar dan ada yang kotor
Pada Februari tahun lalu, Berita Harian ada melaporkan tentang keadaan Terusan Wan Mat Saman yang ketika ini ada di antara bahagiannya yang tak ubah macam parit dan kotor. Menurut laporan, khazanah sejarah itu memang sejak sekian lama dah tak dijaga dengan baik dan lebih malang lagi ia kini menjadi tempat pembuangan kertas, plastik dan sampah. Maka tak hairanlah yang ia semakin dilupakan oleh generasi muda…
“Golongan muda hanya memanggil terusan ini sebagai parit dan jika ditanya sejarahnya, mereka tidak mengetahui mengenainya dan bagi kaki pancing pula mereka menganggapnya sebagai terusan biasa.” – Mohmmad Ridzuwan Baharom, peniaga, katanya kepada Berita Harian.
Namun begitu, sinar untuk terusan ini mungkin masih belum terpadam kerana pada September tahun lalu, International Commission On Irrigation and Drainage (ICID) dah mendaftarkannyab sebagai World Heritage Irrigation Structures. Dalam satu laporan lagi, dimaklumkan bahawa Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang mengruskan terusan ini memerlukan dana sekitar RM1.8 juta setahun untuk menyelenggara terusan berkenaan. Sama ada akan ada penambahbaikan atau sebaliknya, kita semua masih lagi menanti.
- 337Share sekarang!
- Email15
- Facebook322
- Share