Bayaran TOL ditukar nama CAJ KESESAKAN? Ini 5 perkara yang dijenamakan semula oleh PH

(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)

Pada 9 Mei 2018, pertama kali dalam sejarah negara, kerajaan Malaysia bertukar dari Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH). Pertukaran ni juga menyaksikan beberapa orang ahli politik yang dulunya pembangkang dah pun jadi menteri tertentu. Jadi, macam-macam yang diharapkan oleh rakyat.

Kalau nak diikutkan, memang ada berlaku perubahan sama ada jadi makin baik, mahu pun makin buruk. Semua tu korang boleh baca dalam laporan-laporan berita yang ada. Cumanya, kali ni kami dari SOSCILI tertarik dengan isu pasal penjenamaan semula PERMATA kepada Genius seperti yang diumumkan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Imej dari Giphy

Kalau korang nak tahu, ini bukanlah tindakan pertama yang dibuat kerajaan PH. Ia dah berlaku beberapa kali. Tapi kita mulakan dulu dengan isu PERMATA ni dulu…

1) Program PERMATA Negara bertukar menjadi GENIUS

Apa yang menjadi tanda tanya, adakah ia sekadar bertukar nama atau dengan program-program dalam tu pun bertukar sekali. Menurut Dr Maszlee, fungsi dan peranannya sama. Cuma program dibawahnya akan dipertingkatkan dari segi kualiti.

Macam yang korang tahu, PERMATA ni adalah cetusan idea isteri Perdana Menteri ke-6 iaitu Datin Seri Rosmah Mansur. Kajian pasal nak tubuhkan PERMATA dah dibuat melalui penyelidikan pendidikan awal kanak-kanak di negara maju macam Perancis, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand. Dari situ lahir konsep bagi keseronokan kepada anak-anak untuk belajar apa yang dia suka dengan fokus pendidikan secara pengalaman.

Esok jangan rindu-rinduan. Imej dari mStar

Kurikulum PERMATA ni pula diadaptasi dan diinovasikan dari model Pusat Pen Green, Corby, London serta disesuaikan dengan falsafah dan budaya negara ni. Bawah ni adalah program-program yang ada di bawah PERMATA.

  1. Program PERMATA Negara: Untuk bayi sehingga kanak-kanak berumur 4 tahun
  2. PERMATA Pintar: Sebuah program khusus untuk remaja pintar dan berbakat luar biasa dalam bidang Sains, Matematik, Teknologi dan Kejurute­raan (STEM)
  3. PERMATA Insan: Dipilih sejak umur lapan tahun dan diuji kecerdasan intelektual (IQ) serta dinilai dari segi minda agama mereka.
  4. PERMATA Seni: Untuk menggilap bakat yang berminat dalam kesenian

Dr Maszlee Malik belum umum lagi program yang mana akan dipertingkatkan kualiti, tapi apa yang pasti dibawah GENIUS nanti, semua yang ada kat atas ni akan diteruskan.

KESAN PENJENAMAAN SEMULA: Fungsi sama, kualiti program ditingkatkan

2) Kedai Rakyat 1 Malaysia ditutup, Hopemart diperkenalkan

Waktu zaman Najib memerintah dulu kebanyakan program yang dibuat mesti akan ada perkataan 1 Malaysia. Ini termasuklah program Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M). Namun, kedai ni takkan lagi kelihatan selepas ni. Namun, pada April 2019, telah berlangsung perasmian kedai serbaneka Hope Mart yang akan disasarkan untuk membuka 222 kedai diseluruh negara menjelang hujung tahun 2019.

Lambang Hopemart ada kat dalam gambar ni. Korang cari sendiri. Imej dari Kosmo

Apa yang menjadi tanda tanya, ada beza ke KR1M dan Hopemart. Kami dah buat sikit carian dan bawah ni adalah senarai perbezaanya.

Kedai Rakyat 1 Malaysia  

  • 250 jenis produk berjenama 1 Malaysia pada harga sehingga 40 peratus lebih rendah.
  • Keutamaan penjenamaan produk kepada barangan keluaran Perusahan kecil dan sederhana (PKS).
  • Peruntukan RM40 juta.
  • 856 KR1M

Manakala Hopemart pula….

  • Kedai serbaneka berkenaan akan dibuka di lokasi strategik bagi membantu masyarakat membeli barangan keperluan pada harga lebih rendah iaitu antara 7 hingga 10 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
  • Semua Hope Mart itu akan dibuka di setiap kawasan Parlimen, masjid, universiti awam dan swasta serta stesen minyak terpilih

KESAN PENJENAMAAN SEMULA: Barang dijual murah, tapi peratusan harga murah berkurang

3) Tiada lagi Klinik 1 Malaysia, nama baru Klinik Komuniti

Dah tukar pak cik oi. Imej dari Berita Kini

Selain KR1M, ada satu lagi yang ditinggalkan bekas PM Najib dengan programnya yang ada perkataan 1 Malaysia. Tak lain dan tak bukan ialah Klinik 1 Malaysia. Namun, Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad dah mengumumkan bahawa Klinik 1 Malaysia akan dijenamakan semula kepada Klinik Komuniti.

Sebelum sembang jauh, apakah ini sekadar penjenamaan semula? Kita tengok dulu fungsi Klinik 1 Malaysia. Objektif penubuhan Klinik 1 Malaysia adalah menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan ringan kepada penduduk setempat. Klinik ni hanya dikendalikan oleh pembantu hospital (HA) yang dibenarkan oleh kerajaan untuk memberi ubat sakit yang ringan.

Ini antara apa yang ada di Klinik 1 Malaysia:

  1. Perkhidmatan rawatan ringan seperti demam, batuk, selsema dan penyakit-penyakit ringan yang lain.
  2. Rawatan susulan kes pesakit kronik yang stabil dan terkawal seperti Diabetes, Darah Tinggi dan Asma
  3. Prosedur rawatan ringan seperti mencuci luka dan membuka jahitan
  4. Membuat notifikasi bagi penyakit berjangkit seperti Demam Denggi
  5. Khidmat Nasihat/Pendidikan kesihatan

Ia beroperasi 7 hari seminggu dari 10 pagi hingga 10 malam termasuklah cuti sekolah atau perayaan. Bayaran pun murah iaitu RM1 untuk warganegara dan RM5 untuk bukan warganegara.

RM 1 sahaja ye. Imej dari Penerangan

Manakala Klinik Komuniti yang nak digantikan ni pula akan ada sedikit perubahan iaitu

  1. 20 daripada 347 cawangan Klinik 1 Malaysia akan dinaik taraf menjadi Klinik Kesihatan
  2. 34 daripada 347 cawangan Klinik 1 Malaysia akan ditutup secara berperingkat
  3. Pegawai perubatan dan pegawai farmasi akan ditempatkan secara berperingkat
  4. Fungsi ditambah untuk Rawatan Pesakit Luar untuk kawalan dan kawalan penyakit tak berjangkit serta kecemasan asas

KESAN PENJENAMAAN SEMULA: Beberapa klinik ditutup. Beberapa lagi jadi Klinik Kesihatan. Pegawai perubatan dan pengawal farmasi akan kerja kat situ.

4) Berakhirnya Bantuan Ringgit 1 Malaysia, Bantuan Sara Hidup sebagai ganti

Sewaktu zaman pemerintahan Najib Razak, Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dah pun diperkenalkan. Ia adalah bantuan tunai secara one-off sebanyak RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah bermula tahun 2012. Bantuan ni dilaporkan akan memberi manfaat kepada 5.2 juta isi rumah atau 79.5 peratus isi rumah seluruh negara.

Pada tahun 2016, BR1M dinaikkan kepada RM1000 dan RM1200 pada tahun 2017. Kali terakhir BR1M diumumkan adalah pada Bajet 2018 dengan peruntukan sebanyak RM6.8 bilion kepada 7 juta penerima.

Imej dari blog Dr. Zahir Zainuddin

Mereka yang layak memohon dan menerima ni juga adalah orang yang menjadi ketua keluarga sama ada lelaki dan perempuan. Ini termasuklah individu yang berkahwin serta anak yang berkahwin serta tinggal bersama ibu bapa. Selain dari ibu atau bapa tunggal yang ada individu bujang yang ditanggung. Begitu juga, warga emas sebatang kara yang punyai tanggungan. Tak lupa juga, ketua isi rumah yang bekerja sendiri.

Selepas pertukaraan kerajaan, nampaknya BR1M ni dtieruskan tapi ditukar nama kepada Bantuan Sara Hidup (BSH). Persoalannya, adakah pertukaran nama ini memberi kesan? Jawapannya, ya.

BSH dah diperkemaskan dengan syarat kelayakan yang lebih bersasar pada tahun 2019 untuk golongan yang berpendapatan rendah. Bantuan ini akan melibatkan 4.1 juta isi rumah dengan anggaran peruntukan RM5 bilion. Kalau dulu BR1M dulu ada kategori bujang, nampaknya, di bawah BSH kategori bujang dilupuskan. Faktor isi rumah yang akan menentukan orang tu layak ke tak. Bawah ni penerangan terperinci:

  1. Pendapatan bulanan RM2,000 ke bawah: RM1,000
  2. Pendapatan bulanan RM2,001 hingga RM3,000: RM750
  3. Pendapatan bulanan RM3,001 hingga RM4,000: RM500

KESAN PENJENAMAAN SEMULA: Bantuan diteruskan. Tapi, syarat bantuan diperketatkan.

Tak jumpa gambar penerima BSH. Gambar penerima BR1M je yang ada. Imej dari Malaysia Gazette

5) Bayaran tol dihapuskan, pemandu akan dikenakan caj kesesakan

Idea lukisan tol terbang. Imej dari FB Ronasina Fandi

Isu yang selalu disebut oleh pengguna media sosial adalah mengenai janji manifesto kerajaan PH yang belum diselesaikan lagi. Benda ni korang boleh baca dekat laporan-laporan berita sama ada bergerak atau pun tak manifesto ni.

Dalam bab hapus tol, dah diumumkan bahawa kerajaan sedang berunding dengan Gamuda Bhd untuk mengambil alih konsesi tol sebagai langkah pertama untuk menghapuskan tol. Lebuhraya yang terlibat adalah  Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Dalam usaha ni juga, nama tol akan dimansuhkan serta diganti dengan caj kesesakan (congestion charge). Bayaran caj kesesakan ni adalah sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam sehari. Untuk waktu “off-peak” (antara 11 malam hingga 5 pagi), tiada lagi bayaran perlu dibuat. Kira dihapuskan lah.

Korang buat sesak, korang kena caj. Imej dari Sedaka Sejahtera

“Hasil kutipan caj kesesakan akan diguna pakai untuk menampung kos operasi serta penyelenggaraan lebuh raya serta bayaran pinjaman.

Manakala, lebihan kutipan akan disalurkan kepada satu dana pengangkutan awam yang kemudian akan digunakan untuk meningkat kualiti pengangkutan awam seluruh negara.”- Pejabat Perdana Menteri, petikan dari Kosmo

KESAN PENJENAMAAN SEMULA: Tetap kena bayar tol. Cuma waktu off peak je tak kena.

Penjenamaan semula biarlah beri kebaikan kepada rakyat

Kalau kita semua perasan, sejak PH jadi kerajaan memang ada beberapa lagi program waktu BN dijenamakan semula. Termasuklah Pusat Transformasi Luar Bandar (UTC) bertukar kepada Pusat Komuniti Desa (PKD) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Dalam banyak-banyak penjenamaan semula ini, nampaknya, pertukaran nama PERMATA kepada GENIUS ni mendapat kritikan ramai. Menurut Wee Ka Siong, penjenamaan semula ni akan bagi kesan kewangan termasuk pakaian pelajar dan papan tanda. Harap-harapnya, pihak kerajaan dapat fikirkan sebaik mungkin sebelum membuat penjenamaan semula. Dalam keadaan sekarang tak kisahlah nak penjenamaan semula atau tak. Apa yang penting biarlah ia memberi untung kepada rakyat.

Harap rakyat selamat dengan penjenamaan semula ni…

(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT