- 436Share sekarang!
- Email13
- Facebook423
- Share
Bagi korang yang mengikuti perkembangan teknologi, korang mungkin ada terbaca pasal ketidakpuasan hati antara negara China dengan sebuah syarikat kamera Jerman, Leica sampaikan China bertindak mengharamkan perkataan ‘Leica’ dalam media sosial negara mereka buat masa ni.
Syarikat tersebut dikatakan dah sentuh sensitiviti negara tembok besar tu apabila iklan mereka menunjukkan sebuah perang besar-besaran yang terjadi di Beijing pada tahun 1989. Korang boleh judge sendiri dari video tu:
Punyalah serius kes ni sampaikan Huawei, syarikat China yang bekerjasama dengan Leica untuk smartphone mereka pun nampaknya memilih untuk berdiam diri. Jurucakap Leica Group nampaknya menafikan penglibatan mereka dan mengatakan yang mereka tak biayai iklan tu. Malah, Leica juga nak ambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat dalam pembikinan iklan tu sebab dah guna brand mereka, sekaligus burukkan nama Leica.
Tapi, apa yang berlaku di Beijing pada tahun 1989 tu?
Tunjuk perasaan mahasiswa di Dataran Tiananmen 1989
Pada tahun 1989, sebuah tunjuk perasaan diadakan oleh para pelajar, cendekiawan, dan juga aktivis buruh terhadap kerajaan China yang dipimpin oleh Deng Xiaoping, Republik Rakyat China (PRC).
Puncanya sebab sejak 1978, bila Deng Xiaoping ambil alih tampuk pemerintahan di China selepas Mao Zedong, dia buat banyak siri pembaharuan ekonomi dan politik yang membawa kepada perubahan dalam ekonomi pasaran China, dan sedikit liberalisasi politik yang secara tak langsung dah mengurangkan sistem tinggalan Mao Zedong.
Para pelajar dan golongan cendekiawan yang terlibat ni percaya di mana China sepatutnya tumpukan pembaharuan dalam sistem politik. Sebabnya, pembaharuan dalam ekonomi cuma memberi kebaikan kepada golongan petani dan pekerja kilang je berbanding golongan cendekiawan yang pendapatan mereka masih ketinggalan jauh, malah takde manfaat penuh pun daripada polisi yang baru diperkenalkan masa tu.
Seawal 1989, pembaharuan politik dan ekonomi ni lah yang membawa kepada ketidakpuasan hati pelajar terhadap kerajaan. Dalam bantahan tu juga, mereka nakkan demokrasi dan juga supaya pemerintahan PRC memberi lebih kebebasan kepada rakyatnya.
Selain bantahan di Beijing, ia juga terjadi di beberapa daerah China yang lain iaitu di Shanghai, di mana penunjuk perasaan telah meletakkan sekatan-sekatan di Shanghai.
Daripada perhimpunan aman ke pembunuhan besar-besaran di China
Disebabkan perhimpunan haram dah berlangsung sejak bulan sebelumnya, kerajaan China dah tak tahan dah. Nak pula masa yang sama ada tetamu dari Rusia, iaitu Mikhail Gorbachev yang pertama kalinya datang dalam tempoh 30 tahun.
Malah insiden tu juga membuatkan Gorbachev tak dapat masuk ke bangunan parlimen melalui jalan utama, iaitu dataran tersebut. Walaupun, Dda sebagai seorang tetamu penting, dia terpaksa menggunakan ‘jalan belakang’.
Perkara tu membuatkan kerajaan China malu besar dengan tetamu mereka. Jadinya, mereka kemudiannya mengarahkan sebanyak 50 buah trak dan 10,000 tentera bertugas untuk menyuraikan penunjuk perasaan di dataran tersebut.
Dalam kejadian tu juga, media sempat merakamkan satu gambar yang diberi nama ‘Tank Man’, iaitu seorang lelaki yang cuba menghentikan kereta kebal milik tentera yang cuba untuk menyuraikan keadaan tersebut. Gambar ni jugalah yang digunakan dalam iklan Leica tu,
Nampaknya keadaan bertambah buruk setelah beberapa ketika. Tentera mula melepaskan tembakan rambang yang membunuh beberapa penunjuk perasaan. Malah, penunjuk perasaan pula dah bersedia dengan bom Molotov (bom buatan sendiri) dan juga batu yang kemudiannya dibaling ke arah tentera. Mereka berbalas serangan sesama mereka sampaikan keadaan kucar kacir sehingga keesokan harinya.
‘Peperangan’ antara kerajaan China dan para penunjuk perasaan, nampaknya tak berakhir dengan baik. Buktinya, ramai rakyat awam yang cedera atau menjadi korban akibat dari tindakan keras kerajaan PRC terhadap penunjuk perasaan.
Dataran Tiananmen, bermaksud Gate of Heavenly Peace, atau gerbang keamanan syurga yang menjadi simbol kebangsaan China tak menggambarkan namanya. Malah ia menyaksikan pertumpahan darah. Perhimpunan yang sepatutnya menuntut keamanan dan demokrasi dari pemimpin China dah bertukar kepada mimpi yang lebih buruk.
Kematian pula dianggarkan mencecah 200-300 orang (angka kerajaan PRC), 400-800 orang (The New York Times), kepada 2,000-3,000 orang (termasuk anggota persatuan pelajar China dan Pertubuhan Palang Merah China) dan 10,000 oleh BBC. Kejadian ni juga dipanggil Pembunuhan Beramai-ramai Dataran Tiananmen.
Pembunuhan beramai-ramai yang cuba disembunyikan kerajaan China
Kejadian tu merupakan satu titik hitam bagi kerajaan, dan juga rakyat China serta keluarga yang terlibat. Tapi ia tak terhenti setakat tu je. Selepas tindakan ketenteraan, kerajaan PRC melakukan penangkapan besar-besaran untuk menyekat kebangkitan penunjuk perasaan dan pengikut mereka di seluruh China.
Kerajaan China malah mengharamkan media asing dari membuat liputan serta mengawal segala liputan media mengenai kejadian tersebut. Tindakan kerajaan PRC ni juga telah dikutuk masyarakat antarabangsa.
Tak cukup dengan tu, sesiapa saja yang menjadi simpatisan terhadap rakyat yang terkorban tak teragak-agak dari disingkirkan. Contohnya macam beberapa ahli berjawatan tinggi yang terpaksa dihukum sebagai tahanan rumah macam Setiausaha Agung Parti Komunis China, Zhao Ziyang yang mengutuk pembunuhan beramai-ramai tu dan dalam masa yang sama, memuji demokrasi gaya barat.
Dengan tu juga, kerajaan China berhasrat untuk menutup cerita lama ni dengan menyekat segala informasi berkaitan, sampaikan ramai rakyat China yang lahir lepas kejadian tu tak pernah dengar pun pasal insiden tu. Sebabnya, mereka yang wujud pada zaman tu dilarang daripada bercerita tentang apa yang berlaku. Malah mereka takkan jumpa pun tentang kejadian ni dalam mana-mana media sosial mereka macam Weibo dan Baidu sebab dah disekat terlebih dahulu oleh kerajaan China.
Ada antara mereka yang tahu pasal insiden tu pun masa belajar di kolej disebabkan sebuah filem Amerika, The Gate of Heavenly Peace. Perbincangan juga yang hanya dilakukan kecil-kecilan, dan tak boleh dibincang secara dalam talian. Apa-apa yang berkaitan dengan insiden ni ditapis secara serius dalam berita dan media sosial China, serta tarikh, nama dan simbol berkaitan.
Demokrasi yang gagal, malah membawa kepada pelbagai sekatan lain oleh China
Walaupun rakyat China tak berjaya dapat demokrasi melalui insiden tu, tapi nampaknya mereka dah mencuba nasib pada zaman tu.
https://www.youtube.com/watch?v=ZhdOiVYCVXA
Kalau korang tengok video tu, korang boleh nampak yang mahasiswa China pada masa tu memang celik berbahasa Inggeris bila ditemuramah oleh wartawan, dan jarang sekali kita nampak mereka yang lebih menekankan bahasa ibunda mereka.
Kalau korang nak tahu, zaman tersebut merupakan sebuah zaman kebangkitan demokrasi, penerapan identiti, faktor mereka mampu berbahasa Inggeris juga membuatkan mereka lebih celik dengan dunia luar. Nak pula tahun-tahun sebelumnya merupakan tahun-tahun kebangkitan mahasiswa seluruh dunia, termasuklah Indonesia, Perancis, Korea Selatan dan Malaysia yang berlaku seawal 1960-an.
Tapi apa yang berlaku dah pun berlaku. Kerajaan China yang nampaknya paranoid dengan kejatuhan Soviet Union, dan apa yang berlaku sehingga ke hari ni pun, masih berusaha keras menapis maklumat tentang pembunuhan beramai-ramai ni.
Larangan tu nampaknya begitu menyeluruh sebab rakyat China bukan saja takkan jumpa istilah “Tiananmen Square” sebab dah ditapis, malah segala perkataan dan frasa yang berkaitan. Punyalah paranoid, pihak berkuasa juga nampaknya sampaikan kombinasi nombor 6, 4, 1989 pun disekat disebabkan kemungkinan yang mungkin wujud untuk mereka cari info pasal tarikh protes yang berlangsung pada 4 Jun 1989.
Nampaknya, China betul-betul komited dan bertindak keras untuk betul-betul memadam insiden berdarah yang berlaku antara kerajaan dan rakyat tu.
Bukan insiden tu semata-mata. China dan censorhip ni memang tak dapat dipisahkan. Memang tak pelik, dan ia bukanlah satu perkara yang baru kalau nak diikutkan. Banyak lagi kisah lain yang disembunyikan, apatah lagi yang mampu membangkitkan semangat rakyat untuk menjatuhkan pemimpin mereka seperti pencarian Google sendiri, novel Animal Farm oleh George Orwell, dan pelbagai lagi.
Bagaimanapun, ia adalah salah satu kes yang besar dan terus menjadi perdebatan sehingga ke hari ini. Mungkinkah kebenaran akan terungkai atau akan terus tersembunyi?
- 436Share sekarang!
- Email13
- Facebook423
- Share