- 323Share sekarang!
- Email22
- Facebook301
- Share
(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)
Seperti biasa, setiap tahun – umat Islam akan menunaikan haji di kota suci Mekah. Untuk tahun ni, kuota jemaah haji Malaysia kekal sebanyak 30,200 orang. Kumpulan pertama jemaah Malaysia juga dah sampai ke Arab Saudi beberapa hari lepas.
Masa tunaikan haji nanti, antara rukun wajib yang diorang kena buat mestilah tawaf di Kaabah, seperti mana yang dah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda sejak lebih 1,400 tahun lalu.
Tapi sejauh mana kita tahu tentang Kabaah? Jadinya, SOSCILI kali ni nak bincang sikit fakta-fakta menarik tentang kiblat umat Islam ni. Mungkin kita boleh mula dulu dengan…
1. Ada pendapat kata – Kaabah dibina oleh malaikat
Para ulama berbeza pandangan tentang siapa yang mula-mula membina Kaabah. Ada yang kata (1) malaikat, (2) Nabi Adam, (3) Nabi Shith AS dan juga (4) Nabi Ibrahim AS.
Menurut riwayat al-Azraqi dalam kitabnya Akhbar Makkah – Allah SWT telah berfirman kepada malaikat (Surah al-Baqarah:30) –“Aku akan menjadikan khalifah di muka bumi“. Kemudian para malaikat bertanya: “Adakah Tuhan kami hendak menjadikan di bumi orang yang akan melakukan kerosakan?”.
Bila malaikat rasa bersalah dan takut dimurkai Allah SWT kerana kata-kata itu, mereka pun bertawaf di sekeliling Arasy. Allah SWT kemudiannya menjadikan di bawah Arasy sebuah rumah – Bait al-Ma’mur lalu berfirman kepada malaikat agar bertawaf di rumah itu dan bukan lagi di Arasy.
Lepas tu, Allah SWT mengutuskan para malaikat supaya membina baitullah di Bumi supaya makhluk di bumi pun dapat melakukan tawaf sebagaimana makhluk di langit bertawaf di Bait al-Ma’mur.
Tentang dibina oleh Nabi Adam pula, al-Azraqi meriwayatkan daripada Ibn Abbas yang berkata:
“Semasa Adam AS diturunkan dari syurga dan sampai ke bumi, baginda telah berkata: “Wahai Tuhan, mengapa aku tidak mendengar lagi suara malaikat?”
Allah SWT berfirman: “Semuanya kerana kesalahan engkau wahai Adam.” Kemudian Allah SWT memerintahkan supaya baginda membina Kaabah dan bertawaf mengelilinginya sebagaimana malaikat mengelilingi Arasy.” – Dipetik dari Pejabat Mufti WP.
Seterusnya pula adalah Nabi Shith AS, iaitu anak ketiga Nabi Adam AS. Diriwayatkan, Kaabah dibina semula oleh baginda setelah hilangnya kesan binaan dari Nabi Adam AS. Sejak itu, dari generasi ke generasi Kaabah terus dimakmurkan, sampailah ia musnah bila berlakunya banjir besar di zaman Nabi Nuh AS. Maka lepas tu, barulah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail membina semula Kaabah.
Bagaimanapun, riwayat tiga peringkat ni masih lagi dipertikaikan, sebab tak ada dalil sahih tentangnya. Sebagai contoh, Imam Ibn Kathir mengkritik hal ini dan kata yang ia cuma riwayat daripada Bani Israel (Israiliyyat).
Akan tetapi, yang sahihnya adalah Kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail, seperti mana yang diceritakan sendiri dalam al-Quran.
“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui”. – Surah al-Baqarah: 127.
Tapi setelah berzaman-zaman, Kaabah juga dah lalui beberapa pembinaan semula.
2. Kaabah beberapa kali dibina semula sejak zaman Rasullah SAW, sampailah pada tahun 1996
Lepas Kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim AS, ia kemudiannya runtuh bila berlakunya banjir besar di Mekah. Ketika tu, Rasulullah SAW belum lagi dilantik menjadi rasul. Bani Quraish kemudiannya ambil tanggungjawab untuk membina semula Kaabah.
“Ketika itu Quraish syaratkan – hanya harta yang halal sahaja boleh digunakan untuk membina Kaabah. Ketika itu Nabi Muhammad SAW belum muncul sebagai Rasul. Nak cari harta yang halal itu cukup susah.
“Maka dapatlah bina yang empat segi itu sahaja (kerana kurang harta halal), sebab itu yang di hujung itu tak masuk. Hijir Ismail itu kawasan Kaabah juga. Sebab itulah, jika kita tawaf masuk dalam Hijir Ismail tu tak sah, kerana itu dikira tawaf dalam Kaabah.” – Dr Asri Zainul Abidin, dipetik dari One Kuliah.
Selepas kewafatan Rasulullah, sekali lagi Kaabah dibina semula bila ia dah diserang pada tahun 64 Hijrah. Ketika tu, Abdullah ibn az-Zubayr dah membina semula Kaabah. Sepuluh tahun lepas tu, Kaabah dibina balik oleh Al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi dengan kebenaran dari Khalifah Abdul Malik bin Marwan.
Binaan ni kemudianya kekal salama lebih 900 tahun, sampailah pada tahun 1039 hijrah apabila dua dinding Kaabah runtuh akibat hujan lebat. Khalifah Uthmaniyah masa tu, Sultan Murad Khan memerintahkan supaya Kaabah dibina semula.
Akhirnya, setelah kira-kira 400 tahun, pada tahun 1996 – Kaabah sekali lagi dibina semula. Pembinaan kali ni lebih terperinci lagi sebab nak Kaabah betul-betul kukuh. Satu-satunya benda asal yang tinggal pada Kaabah adalah batu-batanya, tapi yang lain macam siling, bumbung dan kayu dah diganti baru.
Walaupun Kaabah dah lalui proses pembinaan semula sejak lebih 1000 tahun lalu, ada satu perkara yang tak pernah berubah sejak zaman Rasulullah SAW lagi, iaitu…
3. Bani Syaibah yang memegang kunci Kaabah
Berdasarkan kajian sejarah, usaha menjaga Kaabah dah diamanahkan oleh Nabi Ibrahim AS kepada anaknya Nabi Ismail AS. Selepas kewafatan Nabi Ismail AS, penjagaan Kaabah diambil alih oleh Bani Jarhma dan kemudiannya kepada Bani Khuzaah. Tapi lepas itu, ia dimanahkan pula kepada Qusai Bin Kilab Bin Murrah, iaitu moyang Nabi Muhammad SAW dan keturunan Ismail.
Qusai ada tiga anak lelaki iaitu Abd al-Dar (moyang Shaybah bin Hashim), Abd Uzza, dan Abd Manaf. Tapi tak lama sebelum Qusai meninggal dunia, sebagai cara nak memuliakan anaknya yang paling tua, Qusai serahkan segala haknya dan kuasanya (termasuk sebagai penjaga Kaabah) kepada Abd al-Dar.
Sejak itu, penjaga Kaabah dah jadi tugas turun-temurun kepada setiap anak lelaki paling tua, sampailah ia sampai kepada Uthman bin Talha yang hidup di zaman Nabi Muhammad SAW. Bila berlakunya Pembukaan Kota Mekah oleh umat Islam pada tahun ke-8 Hijrah, Uthman masa tu belum lagi Islam dan dia pun sembunyikan diri.
Nabi kemudiannya suruh Saidina Ali untuk cari Uthman sebab baginda nak solat dalam Kaabah. Ali kemudiannya jumpa Uthman dan ambil kunci Kaabah darinya. Nabi pun masuk ke dalam Kaabah dan tunaikan solat sunat 2 rakaat. Lepas tu, turunlah ayat…
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)…” – Surah an-Nisaa:58.
Oleh itu, Rasulullah SAW arahkan Saidina Ali untuk serahkan balik kunci Kaabah kepada Uthman dan Saidina Ali pun mohon maaf kepada Uthman sebab dah ambil kunci Kaabah tadi. Ali juga terangkan ayat yang turun tu kepada Uthman, tentang menyerahkan amanah kepada ahlinya.
Uthman kemudiannya memeluk Islam dan keturunannya sampailah ke hari ni menjadi pemegang kunci Kaabah. Sekarang ni, pemegang kunci Kaabah adalah Dr. Saleh Bin Zain al-Abidine al-Shaybi yang juga Ketua Jabatan Dakwah dan Asas Agama Universiti Umm Al-Qura, Arab Saudi.
4. Kiswah Kaabah pada asalnya taklah berwarna hitam je macam sekarang ni
Sekarang ni, bila kita tengok Kaabah, kita akan nampak binaan tu ditutupi oleh Kiswah atau kelambu berwarna hitam dengan sulaman ayat-ayat al-Quran di atasnya. Dikatakan, Kiswah pertama diperbuat dari kain tenunan berjalur Yemen berwarna merah.
Tapi ia taklah kekal dengan warna tu saja, sebab kemudiannya ada je kain Kiswah berwarna putih, hijau dan kuning. Tapi akhirnya ia ditetapkan dengan warna hitam oleh Dinasti Abbasiyah. Kiswah juga diperbuat dari sutera hitam di Mesir yang kemudiannya di bawa ke Mekah.
Tapi pada masa pemerintahan Raja Ibnu Saud, baginda buat keputusan untuk buat sendiri Kiswah dengan bina kilangnya di Jiyad, Mekah.
Pada masa ni, kilang kiswah dah maju dan pembuatannya juga semakin baik. Menurut laporan Arab News, Kiswa Kaabah berukuran 658 meter persegi panjang itu diperbuat daripada 670 kg sutera tulen. Untuk sulamannya, 120 kg benang emas dan 100 kg benang perak dah digunakan. Kiswah ini turut mencecah kos sebanyak US$5.8 juta (RM23.9 juta). Sejak sekian lama, Kiswah akan diganti pada setiap 9 Zulhijjah.
Kiswah lama tu pula akan ditempatkan dalam gudang dan akan lalui proses pemuliharaan teknikal untuk menjamin kualitinya. Kemudian, jika ada permintaan dari pemerintah Saudi, kain itu akan dipotong dan diserahkan sebagai cenderahati kepada pemimpin dunia, muzium, pertubuhan dunia dan sebagainya.
Dari semua yang kita dapat tahu ni, dah jelas yang Kaabah bukanlah binaan biasa-biasa. Malah ia juga menjadi salah satu binaan penting dalam sistem Islam itu sendiri. Tapi bagi mereka yang tak faham, muncul juga persoalan – Orang Islam ni sembah Kaabah ke?
Arah kiblat wujud kerana perintah Allah, bukan ertinya menyembah Kaabah
Walaupun setiap umat Islam bila solat akan mengadap Kaabah dan bila tawaf akan mengelilingi Kaabah, tu tak bermakna yang umat Islam menyembahnya. Ini kerana, ia hanya dibuat disebabkan perintah daripada Allah SWT.
Seperti mana yang kita tahu, sebelum Kaabah menjadi arah kiblat, arah kiblat umat Islam adalah Masjidil Aqsa, di Baitulmagdis. Tapi lepas turunnya ayat 144, Surah al-Baqarah – Allah memerintah Rasulullah SAW supaya mengalihkan arah kiblat ke Masjidil Haram tempat letaknya Kaabah.
Menurut Dr Asri Zainul Abidin (Maza) pula, Kaabah itu pada asalnya hanya rumah Nabi Ibrahim AS. Tapi kedudukan Nabi Ibrahim cukup istimewa di kalangan para nabi.
“Nabi Ibrahim ini cukup hebat. Agama Yahudi tak nak dengan Nabi Isa dan Nabi Muhammad. Kristian pula terima Nabi Isa dan Nabi Musa, tapi tak terima Nabi Muhammad.
Hanya satu Nabi yang semua agama ingin sandarkan diri kepadanya ialah Nabi Ibrahim AS. Semunya (Islam, Kristian dan Yahudi) kata, mereka ada hubungan Nabi Ibrahim.
Maka Allah dengan segala kurniaannya memberikan kepada Ibrahim, dengan menjadikan rumah Ibrahim itu sebagai Kaabah, di mana manusia tawaf. Bukan tawaf kerana Kaabah itu berhala, tapi sebagai titah perintah-Nya.” – Dr Maza, dipetik dari One Kuliah.
(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)
- 323Share sekarang!
- Email22
- Facebook301
- Share