- 1.1KShare sekarang!
- Email11
- Facebook1.1K
- Share
Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA kali ni mensasarkan untuk menjadi juara keseluruhan. Kali terakhir negara menjadi juara pada tahun 2001, ketika menjadi tuan rumah jugak. Itu pun lebih kurang 16 tahun yang lepas. Untuk pungutan pingat emas pula, negara meletakkan sasaran 111 pingat emas. Mampukah kita?
Setakat beberapa hari temasya berlangsung, Malaysia masih lagi ditangga teratas meninggalkan jauh dibelakang beberapa negara ASEAN lain. Pungutan pingat emas yang banyak ni datangnya dari pelbagai acara sukan yang dipertandingkan. Apa yang menakjubkan, ada seorang atlet dari Malaysia ni, sumbang emas dalam keadaan dia tengah mengandung. Seriously?
Kejayaan atlet ni telah meletakkan dia bersama-sama beberepa atlet antarabangsa lain yang pernah menjuarai sesuatu kejohanan ketika hamil. Antaranya…
1. Serena William menang kejuaraan tenis antarabangsa walaupun berbadan dua
Serena William telah berjaya menjuarai Kejohanan Tenis Terbuka Australia 2017 setelah menewaskan kakaknya sendiri Venus William di pusingan akhir. Dia juga telah menang secara bersih maknanya tak ada satu set pun yang dia kalah. Tapi waktu pertandingan ni berlangsung, dia tengah hamil 8 minggu (lebih kurang 2 bulan). Wow! Bayangkan dari pusingan pertama sampai final berapa banyak tenaga yang dia guna?
Dr Markos Klonizakis memberitahu kepada BBC, kalau mengandung dalam lingkungan 5 minggu ada berlaku perubahan pada sistem kardiovaskular. Perubahan ni berlaku bagi memastikan darah dan oksigen sampai kepada foetus (janin). Jadi kebanyakan wanita mudah sesak nafas sebab kadar degupan jantung makin meningkat.
Jadinya, seorang doktor berpendapat yang Serena William ni mempunyai tahap kesihatan berbeza kerana aktifnya dia sebagai atlet.
“Secara umumnya, aktiviti fizikal dalam keadaaan apa pun termasuk ketika mengandung adalah idea yang baik. Serena William adalah atlet yang elit, dan sudah mengatasi beberapa tahap kesihatan sepanjang kariernya. Badan manusia adalah perkara yang menakjubkan, dan Serena membuktikan yang kita ini lebih lasak dari apa yang kita fikirkan.” – Dr. Matt Piccaver, petikan dari The Guardian.
Ini 8 minggu punya cabaran. Bayangkan kalau beberapa minggu lagi nak bersalin tapi masuk juga pertandingan. Inilah yang dilakukan oleh…
2. Alysia Montaño pelari 800 meter Amerika Syarikat di pusingan kelayakan acara balapan
Alysia Montano adalah juara kebangsaan US sebanyak 7 kali dan pernah juga layak ke sukan Olimpik. Nama pun juara. Takkanlah sebab mengandung tak nak bertanding. Jadinya, masa Kejuaraan Balapan dan Padang US tahun 2014, dia turun juga berlari dalam keadaan perut dia dah nampak mengandung. Mana taknya, waktu tu dia dah 34 minggu mengandung. Kalau ikut jadual, dia akan beranak lagi 7 minggu. Gila apa?
Tepukan yang sangat gemuruh diberikan kepadanya kerana berjaya menamatkan saingan dengan catatan masa lebih kurang 2 minit 32 saat. Walaupun berada di tempat terakhir waktu saingan tu, dia dikira mengejutkan sebab berjaya habiskan larian. Adakah berlari dalam keadaan sarat ni keputusan dia sendiri? Nampaknya bukan. Sebab…
“Itu adalah perancangan Montaño yang diletakkan selepas berunding dengan doktornya. Doktor bukan sahaja bagi kebenaran, malah, mereka menggalakkannya” – Petikan dari The Guardian.
Untuk atlet pelari antarabangsa ni memang ada beberapa yang mengandung ketika bertanding termasuklah atlet marathon. Tapi jarang kita dengar di Malaysia ada atlet yang hamil ketika bertanding. Tapi baru-baru ni memang ada iaitu…
3. Quzandria Nur menang pingat emas Sukan SEA acara Ekusterian Dressage
Selain adik-beradik Sidek, negara ada adik-beradik Ambak (Qabil, Quzier dan Quzandria) yang sangat cemerlang bawa nama negara dalam sukan Ekuestrian. Pada sukan SEA kali ni, nampaknya adik dan abang berentap sesama sendiri dalam Ekuestrian Dressage.
Ekusterian Dressage ni secara ringkasnya adalah satu acara dimana atlet akan menunggang kuda sambil mengawalnya untuk melakukan beberapa gerakan seperti yang ditetapkan. Diorang kena buat pergerakan tu dalam gelanggang bersaiz 40m x 20m atau 60m x 20m. Mata akan diberikan oleh juri berdasarkan pergerakan yang dibuat.
Tapi bayangkan, kena kawal kuda dan fikir pasal kandungan dalam satu masa. Itulah yang dilakukan oleh Quzandria Nur yang berjaya memenangi pingat emas dengan mengalahkan jaguh Asia iaitu abangnya Qabil Ambak (pemenang pingat Perak Sukan Asia Guangzhou 2010). Tapi dia telah pun mendapatkan nasihat pakar sebelum masuk bertanding.
“Saya kini sedang hamil lima bulan. Saya mendapatkan nasihat doktor sebelum Sukan SEA ini dan akhirnya memutuskan untuk bertanding,” – Quzandria Nur, petikan dari Berita Harian.
Atlet-atlet ini sudah bersedia dan menerima nasihat pakar perubatan
Berdasarkan ketiga-tiga atlet yang kami senaraikan ni, semuanya telah membuat persediaan serta merujuk pakar perubatan masing-masing. Jadinya tak timbul sebarang provokasi yang mengatakan diorang tak sayang kandungan.
Sebabnya pemegang rekod dunia dalam marathon macam Paula Radcliffe juga masih berlatih ketika mengandung. Katanya, waktu mengandung dia berlatih bukanlah untuk memperbaiki catatan masa larian, tapi lebih kepada melakukan larian yang memberi keselesaan kepada bayi.
“Michael (jurulatihnya) memastikan saya melakukan latihan yang sebenarnya baik untuk kandungan, latihan yang dilakukan itu akan menguatkan lagi bayi.” – Paula Radcliffe, petikan dari BBC.
- 1.1KShare sekarang!
- Email11
- Facebook1.1K
- Share