- 363Share sekarang!
- Email6
- Facebook357
- Share
Pernah dengar pasal meteorit? Kalau ikut kata NASA, meteorit ni berasal dari meteoroid iaitu objek yang berada di angkasa lepas yang juga dikenali sebagai “batuan angkasa”. Bila meteoroid ni masuk ke dalam atmosfera bumi (atau planet lain macam Marikh) dengan kepantasan yang tinggi, ia akan terbakar dan akan jadi tahi bintang atau meteor. Tapi, kalau meteor ni dapat bertahan dan sampai juga ke muka bumi (menyentuh tanah), maka ia dipanggil sebagai meteorit.
Jadinya, meteorit ni kira bahaya jugalah sebab – ia boleh jadi jatuh ke bangunan, padang, hutan, mahupun ke atas diri kita sendiri. Antaranya pada tahun 2013, apabila batu meteorit dah menghentam sebuah bangunan di bandar Chelyabinsk, Rusia dan mencederakan ribuan orang.
Bagaimanapun, tu batu yang jatuh atas bangunan dan bukannya orang. Kalau ikutkan sejarah, kes yang melibatkan batu meteorit jatuh kepada orang ni pernah direkodkan pada tahun 1954, apabila batu tu dikatakan jatuh ke atas seorang wanita bernama Ann Hodges, di Alabama, Amerika Syarikat (AS).
Walaupun begitu, nampaknya rekod tu dah boleh disemak balik sebab baru-baru ni ada pengkaji yang dah dapat bukti kematian manusia pertama kerana meteorit. Lebih menarik lagi, bukti tu didapati dalam rekod kerajaan besar Islam, Uthmaniyah. Tapi sebelum kita bincang lebih lanjut, mungkin lebih baik kita tengok dulu kes yang menimpa Ann Hodges ni.
Ann Hodges: Tengah tidur atas sofa, tiba-tiba kena meteorit!
Dikisahkan pada suatu tengah hari yang damai di Sylacauga, Alabama 66 tahun lalu, Ann Hodges tengah tidur atas sofa, sambil layan angin sepoi-sepoi bahasa. Tiba-tiba, satu objek bersaiz bola baseball berwarna hitam dah menghentam siling rumahnya – tembus dan terkena pada peha Ann. Akibatnya, peha Ann berkesan lebam hitam sebab terkena batu yang jatuh tu.
Cerita yang menimpa Ann ni kemudiannya mula menggemparkan dunia sebab tak pernah orang dengar batu meteorit jatuh dan terkena manusia. Selalunya, batu ni jatuh dalam laut ataupun di tempat-tempat yang tak ada manusia. Seorang ahli astronomi, Michael Reynolds lepas tu kata yang peristiwa tu membuktikan manusia selama ni bertuah.
“Fikirkan berapa ramai orang yang hidup sepanjang sejarah manusia. Anda memiliki peluang yang lebih baik untuk terkena angin puting beliung dan petir dan angin taufan pada waktu yang sama.” – Katanya dipetik dari National Geographic.
Sebenarnya, sebelum batu meteorit tu jatuh mengenai Ann, memang dah ada laporan di Alabama – pasal ada orang nampak benda macam bola api di kawasan Sylacauga. Seorang ahli geologi kerajaan kemudiannya dipanggil ke tempat kejadian dan dia kata yang objek tu sebenarnya meteorit. Tapi dalam masa sama, ramai juga yang tak percaya dan ingatkan benda tu sebagai pesawat Soviet Union.
Dan bila batu tu terkena Ann, barulah orang sedar yang ia memang meteorit. Tapi, disebabkan kes tu berlaku masa Perang Dingin, polis dah serahkan batu tu kepada pihak Tentera Udara untuk mengesahan lanjut. Tentera Udara kemudiannya mengesahkan yang batu sebagai meteorit dan ia kemudiannya diserahkan balik kepada Ann.
Bagaimanapun, disebabkan batu nampak macam berharga, tuan rumah Ann pula mahukan hak batu tu sebab ia jatuh dalam hartanahnya. Perkara ni sampai masuk mahkamah jugalah, tapi kemudiannya selesai di luar mahkamah bila nilai batu ni ditukar kepada US$500 dengan tuan rumah.
Dua tahun lepas tu, Ann sumbangkan batu ni kepada muzium (sampai sekarang ada di Alabama Museum of Natural History). Ann meninggal dunia tahun 1972 di rumah jagaan Sylacaugan akibat kegagalan buah pinggang, pada usia 52 tahun.
Kalau apa yang menimpa Ann tu dah nampak berbahaya, sebenarnya ada lagi kes yang lebih teruk sampai menyebabkan kematian. Dan perkara tu…
Direkodkan dalam arkib Uthmaniyah, tentang kematian pertama manusia akibat meteorit
Baru-baru ni, tiga orang pengkaji – Ozan Ünsalan (dari Ege University), Altay Bayatlı (dari Trakya University) dan Peter Jenniskens dari (SETI Institute) dah menemui beberapa rekod arkib Uthmaniyah yang mencatatkan tentang kematian pertama manusia melibatkan meteorit.
Perkara tu ditemui berdasarkan surat daripada Gabenor Sulaymaniyah (sekarang di Iraq – dulu sebahagian wilayah Uthmaniyah) bertarikh 13 September 1888 kepada pemerintah Uthmaniyah, Sultan Abdul Hamid II. Dalam surat tu, dia ada sebut pasal dakwaan penduduk Sulaymaniyah yang kata diorang nampak bola api di udara pada waktu malam, sebelum ia jatuh ke sebuah kampung kecil di wilayah tu.
Bagaimanapun, Sultan Abdul Hamid II hanya dengar insiden tu lepas tiga minggu surat dihantar sampai ke Istanbul. Apa yang mengejutkan, surat tu juga ada kata pasal – seorang lelaki yang cedera dan lumpuh akibat terkena serpihan objek di ruangan yang sama.
Lepas tu, gabenor tadi bagi pula surat kedua untuk tanya Sultan – apa yang sepatutnya dia buat dengan kejadian tu. Dia juga hantar surat beserta serpihan meteorit tadi kepada wazir Uthmaniyah sebagai bahan bukti.
“Walaupun tidak ada sisa dari batu itu yang tinggal, para penyelidik mengatakan bahawa dokumen rasmi itu cukup meyakinkan.” – Dipetik dari Daily Sabah.
Dengan penemuan terbaru ni, ia dapat diyakini ada rekod kematian manusia pertama akibat batu meteorit yang jatuh ke muka bumi. Jika kajian ini dipanjangkan, kemungkinan besar banyak lagi bukti baru yang akan terkumpul dan didedahkan.
Ada laporan lelaki terbunuh akibat meteorit di India, tapi dinafikan pakar
Sebelum ni pada tahun 2016, ada dilaporkan tentang meteorit yang didakwa telah membunuh seorang pemandu bas dan mencederakan beberapa orang di Tamil Nadu, India. Dikatakan kejadian tu berlaku selepas satu objek jatuh dari langit ke sebuah kampus kolej sehingga menyebabkan bentuk kawah di tanah, memecahkan tingkap bangunan berdekatan dan cermin depan bas di tempat parkir.
Berdasarkan laporan, saksi kejadian kata diorang dengar bunyi letupan dan polis menemui batu hitam yang berlubang di lokasi kejadian. Batu tu kemudiannya dianalisa oleh saintis dari Institut Astrofizik India. Bagaimanapun, agak sukar untuk pengkaji terima kejadian tu akibat meteorit.
“Memandangkan tidak ada ramalan hujan meteorit dan tidak ada hujan meteorit yang diperhatikan, ini tentu merupakan fenomena yang jarang berlaku jika itu adalah meteorit.” Prof. G.C. Anupama, katanya dipetik dari The New York Times.
Dalam masa sama, NASA pula tak terima kejadian tu akibat meteorit, sebab berdasarkan gambar yang tersebar – ia lebih konsisten dengan “letupan darat” berbanding sesuatu yang datang dari angkasa.
- 363Share sekarang!
- Email6
- Facebook357
- Share