(This article is an UPDATE of a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)
Kalau sesiapa ada ikut berita baru-baru ni, mesti korang dah dengar cerita yang tersebar tentang lelaki terkaya di Malaysia, Robert Kuok, dan dakwaan yang dibuat ke atasnya oleh Raja Petra Kamarudin bahawa dia pernah menyalurkan dana kepada pihak pembangkang, bertujuan menggantikan kerajaan UMNO dengan DAP.
Tuduhan itu telah dinafikan oleh Robert Kuok, dan dia juga sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Raja Petra atas artikel-artikelnya yang diterbitkan di blog Malaysia Today pada minggu lepas. Antara dakwaan yang dibuat oleh Raja Petra adalah Robert Kuok pernah menyalurkan dana untuk memecah-belahkan UMNO, contohnya semasa pemilihan kepimpinan antara Ku Li dengan Tun Mahathir yang berlaku pada tahun 1987 dan kemudian, semasa pergerakan Reformasi pada tahun 1998.
Walaupun DAP telah menafikan bahawa mereka pernah menerima apa-apa sumbangan daripada Robert Kuok serta meminta Raja Petra menunjukkan bukti-bukti untuk tuduhannya, beberapa tokoh politik UMNO telah pun mengecam Kuok atas dakwaan-dakwaan tersebut. Antaranya termasuk Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, yang meminta Kuok agar tak lupa daratan dan juga Datuk Seri Nazri Aziz, yang menggesanya supaya tidak menjadi “pondan” sambil mencabar Kuok pulang ke Malaysia untuk bertanding dalam PRU akan datang.
Tetapi, apa sebabnya Robert Kuok meninggalkan Malaysia dan berpindah ke Hong Kong di mana dia sudah menetap sejak 44 tahun yang lepas ni? Nampaknya, dah ada beberapa teori mengenai soalan ni yang bermula dengan…
Ada yang kata dia tinggal Malaysia sebab dia dipaksa jual perniagaannya
Teori yang agak baru diperkatakan adalah dia tinggalkan Malaysia bila dia hilang gelaran “Raja Gula” pada tahun 2009. Ceritanya macam ni – kerajaan bawah pimpinan Najib Razak menekan Robert Kuok supaya menjual perniagaannya kepada FELDA. Cerita tu berakhir bila Robert Kuok sendiri balas dendam dengan menghentikan perjanjian perdagangan minyak sawit antara Najib dan China. Jangan main-main dengan Robert Kuok, ok!
Jutawan berusia 94 tahun ni dilahirkan di Johor, dan pernah dapat pendidikan awal di Johor dan Singapura (di mana dia pernah sekelas dengan Lee Kuan Yew). Lepas ayah dia meninggal, Robert dan beberapa ahli keluarganya memulakan Kuok Brothers Sdn. Bhd pada tahun 1949, dan berjaya mengembangkan perniagaan ke Singapore dan Hong Kong.
Pelbagai sumber sahih mengatakan yang Robert Kuok berpindah ke Hong Kong pada tahun 1973, kira-kira 44 tahun yang lalu. Sebelum tu, dia dipercayai beroperasi antara Singapura dan Johor. Jadi oleh kerana dia memang dah ada kat oversea lebih daripada 4 dekad yang lalu, teori ni TAK BOLEH diguna pakai.
Tapi, betul ke dia lepaskan gelaran Raja Gula? Atau ada orang lain yang paksa dia jual empayar dia tu?
Berdasarkan pelbagai analisis, kemungkinan besar Robert Kuok jual perniagaan dia adalah kerana faktor pasaran gula yang tak menentu pada masa tu. Pembekal gula global menghadapi kekurangan bekalan disebabkan kemarau di beberapa tempat, dan hujan yang berlebihan di tempat yang lain. Antara tahun 2005-2008, kilang bayar 0.09USD untuk satu paun gula, tapi pada tahun 2009, dorang terpaksa bayar hingga dua kali ganda (0.175USD/paun).
Gula pada masa tu masih disubsidi di Malaysia, yang hanya berakhir pada tahun 2013 untuk mempromosikan kesihatan. Maksudnya, walaupun kilang kena bayar lebih untuk beli gula mentah, rakyat masih bayar harga yang sama. Jadi keuntungan kilang sangat terkesan.
Tapi, penganalisis berpendapat yang perkara ni tak menjejaskan Robert sebab dia ada banyak lagi perniagaan lain. Contohnya Wilmar International yang bernilai lebih daripada RM95 juta, dan perniagaan gula dia pula dijual pada RM 1.2 juta. Kalau nak diikutkan, angka tu kecil je bagi dia. Mungkin, bila dia jual perniagaan gula tu, perkara tu cumalah peluang, atau jalan keluar daripada kerajaan Malaysia. Tapi, sebab sebenarnya tak pernah diberitahu kepada umum.
“Dia juga nampak kelebihannya bila keluar dari segi kewangan yang baik. Segala sumber dibebaskan, boleh ditempatkan semula” –Robert Kuok: Family, Dialect, and State In the Making of A Malaysian Magnate, University Malaya
Dalam erti kata lain, perniagaan yang dijual tu berjaya keluar dari permasalahan, dan dia boleh gunakan duit tu untuk buat perniagaan lain.
Tapi ada juga yang kata Robert Kuok keluar sebab dasar-dasar yang memihak Bumiputera di Malaysia
Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan selepas rusuhan 13 Mei 1969, pada masa yang sama timbul kontroversi pasal perusahaan pemilikan Bumiputera yang meningkat. Robert Kuok sendiri mungkin ada bagi hint sikit baru-baru ni.
Menurut petikan dari South China Morning Post, Robert menceritakan bagaimana dalam masa setahun lepas dia tubuhkan MISC (sebuah syarikat perkapalan Malaysia yang masih wujud sampai hari ni), Perdana Menteri Tun Razak menekannya untuk meningkatkan pemilikan syarikat Bumiputera. Tapi dalam masa 1 ke 2 tahun, Tun Razak datang balik kepadanya dengan permintaan yang sama.
“Tun, saya selalu bekerjasama dengan anda. Tapi sekarang ni makin susah. 3, 4 tahun berlalu semenjak pembentukan, tapi saya kalau boleh tak nak minta premium kerana ini adalah syarikat yang sedang berkembang. Jadi saya nak tanya lembaga syarikat sekali lagi, untuk memperuntukkan saham yang setara bagi Tun. Tapi, bolehkah Tun berjanji dengan saya yang ini adalah kali terakhir? – Memoir Robert Kuok, dipetik dari South China Morning Post
Perlu diingatkan yang DEB diperkenalkan sekitar tahun 1971, manakala PM Tun Razak berkhidmat dari tahun 1970 hingga 1976. Teori tu tak mustahil sebab semua ni terjadi dalam tempoh sebelum dia pindah ke Hong Kong. Tapi dalam masa yang sama, Robert Kuok tahu yang kerajaan selalu sangat runsing dengan penglibatan Bumiputera dalam syarikatnya yang lain, jadi ada yang berpendapat DEB tak mempengaruhi Robert sangat.
Macam ayahnya, Robert Kuok kenal rapat dengan beberapa Melayu elit di Johor. Sebelum DEB diperkenalkan pun, dia ada lantik beberapa orang kawannya sebagai Pengarah atau ahli lembaga di beberapa syarikat yang dia bangunkan. Dia juga melantik beberapa kerabat Johor dan kawan-kawan Melayunya untuk jawatan pengurusan PPB, Federal Flour Mills dan Pelangi Bhd, serta melantik beberapa tokoh Melayu lain sebagai pemegang saham MSM.
Malah, waktu Robert Kuok kena kutuk oleh ahli-ahli UMNO baru-baru ni, beberapa tokoh dari bidang politik dan juga perniagaan turut mempertahankan Kuok daripada serangan-serangan tersebut. Antara mereka adalah pengerusi kumpulan CIMB, Nazir Razak, dan juga bekas ahli parlimen dan anak bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail, Tawfik Ismail, yang merujuk kepada Kuok sebagai “Uncle Robert”, sambil memuji sumbangannya kepada kemajuan negara.
Jadi, kalau nak katakan isu dasar bumiputera ni lah puncanya sebab Robert Kuok meninggalkan Malaysia, tak la beberapa tepat jugak. Kerana…
Sebab sebenar mungkin takdelah se-drama dua-dua teori di atas
Teori ketiga ni takde la bunyi macam konspirasi langsung. Pertamanya, kita kena tahu yang masa Robert Kuok pindah, China pun baru je nak mula untuk mengamalkan dasar Open Door policy, atau Dasar Pintu Terbuka untuk mengubah ekonomi diorang dan membenarkan pelaburan asing ke China.
Keputusan untuk pindah ke Hong Kong tu sebenarnya adalah tanda awal yang dia dah lama skodeng potensi pasaran di China. Tapi pada masa tu, Malaysia tak kamceng dengan China macam sekarang ni (sebab diorang komunis).
“Kuok rasa penting untuk dia dan juga perniagaannya berpindah ke Hong Kong sebab perjalanan untuk warganegara Malaysia antara Malaysia dan China masih tidak digalakkan secara rasmi.” – Robert Kuok: Family, Dialect, and State In the Making of A Malaysian Magnate, University Malaya
Hong Kong pula adalah pintu masuk penting ke China, dan kedua-dua negara bergantung antara satu sama lain. Hong Kong terkenal dengan ekonomi laissez-faire, yang bermaksud dasarnya sangat mesra industri, kerajaan diorang bagi banyak kebebasan untuk ekonomi.
“Cukai yang rendah, undang-undang pekerjaan yang kurang, ketiadaan hutang kerajaan, dan perdagangan bebas merupakan tonggak pembangunan ekonomi Hong Kong.” – Sejarah Ekonomi Hong Kong, Catherine R. Schenk, University of Glasgow
Dalam caranya yang tersendiri, Robert Kuok membandingkan China dan Hong Kong sebagai sebuah lautan, dah dia pula cumalah seekor ikan yang tengah membesar dalam tasik. Walaupun dah berpindah dari Malaysia, dia masih ada banyak lagi perniagaan utama kat Malaysia, daripada gula, hotel Shangri-La, servis penghantaran, dan juga kewangan.
Walaupun dia dah jual perniagaan penapisan gula, dia berjaya mempelbagaikan lagi perniagaannya kepada tepung dan juga minyak sawit. Jadi dia bukanlah takde perniagaan langsung, cuma dia takde trademark sebagai raja kepada sesuatu macam dulu je la.
Jadi… betul ke tuduhan-tuduhan atas Robert Kuok yang tersebar sekarang ni?
Walaupun Robert Kuok dah lama tinggal di luar negara, dia masih memilih untuk mengekalkan kewarganegaraannya sebagai seorang rakyat Malaysia. Mungkin sebab Hong Kong tak benarkan kewarganegaraan berganda, dan mungkin juga disebabkan perniagaan yang dia ada di Malaysia. Tapi berdasarkan satu temu bual dengan Singapore’s Straits Times, Robert Kuok kata yang walaupun dia tinggal di Hong Kong, Malaysia adalah rumah sebenarnya,
Asal-usul adalah asal-usul. Tapi asal-usul saya yang lain pula daripada ibu bapa saya, dari China. Saya ada dua asal-usul – Robert Kuok, dipetik dari Malay Mail Online
Lepas dia keluarkan kenyataannya mengiktiraf peluang-peluang yang diterimanya dari Malaysia, PM Najib Razak turut menyambut kenyataan Kuok dengan mengata bahawa bantuan kerajaan adalah “anak kunci” yang membuka kejayaan-kejayaannya. Walaupun kenyataan tersebut juga mengetepikan dakwaan Raja Petra sebagai fitnah, Datuk Seri Nazri Aziz tetap berkata dia tidak akan meminta maaf kepada Kuok sehinggakan dia dipesan oleh pihak MCA untuk menarik balik kata-katanya itu.
Sekarang ni, kita kena tengok sama ada Robert Kuok akan mengambil keputusan untuk membawa Raja Petra ke mahkamah, ataupun kalau Raja Petra nak tunjuk bukti yang apa dia cakap tu betul. Tapi sementara tu, ada la jugak yang merasa bahawa para pengkritik telah melupa sumbangan dia kepada negara.