Ini sebab kanak-kanak Malaysia LEBIH TERBANTUT berbanding Palestin dan Zimbabwe

Kalau kami sebut tentang flat kos rendah, apa perkara pertama yang korang akan fikir? Kalau korang perasan, walaupun dinamakan flat kos rendah, tapi sekarang ni banyak je yang letak harga sewa tinggi gila-gila. Akhirnya, orang-orang yang ada gaji kecil tak dapat nak menyewa dekat flat-flat yang macam ni. Ada sesetengah flat kos rendah tu mungkin dah boleh tukar nama kot, tukar nama kepada flat kos tak berapa nak rendah.

Sebenarnya banyak je orang suka cakap tentang flat kos rendah. Awal tahun ni, Tan Sri Noh Omar siap kata nak sediakan taska percuma untuk orang yang tinggal kat flat kos rendah. 

Pada 26 Februari lepas, SOSCILI telah dijemput untuk menghadiri pembentangan Laporan Kemiskinan Kanak-kanak di Rumah Pangsa Sekitar Kuala Lumpur anjuran UNICEF. Rumah pangsa tu maksudnya rumah flatlah. Sepanjang mendengar pembentangan laporan tu, ramai juga yang kami tengok terkejut badak bila dengar fakta-fakta yang diberikan pembentang.

Maklumlah sebelum ni kalau kita cakap tentang kemiskinan, mesti kita terfikir orang-orang yang dah kerjakan? Bak kata Haji Bakhil, budak-budak tak boleh pegang duit banyak…

Siapa tak sedih tengok kanak-kanak miskin? Imej dari Giphy

Kerajaan selalu cakap kadar kemiskinan dekat negara kita ni rendah, siap kata kadar kemiskinan dekat Malaysia ni paling rendah di Asia Tenggara. Datuk Seri Salleh Said Keruak pernah kata;

Keluaran Dalam Negara Kasar per kapita Malaysia adalah sebanyak ($27,200), jauh lebih baik dari negara serantau yang lain seperti Thailand ($16,800), Indonesia ($11,700), Filipina ($7,700), Vietnam ($6,400), Myanmar ($6,000), dan Laos ($5,700). Pencapaian Malaysia berbeza daripada persepsi sesetengah pihak yang menganggap negara tertinggal di belakang kerana data yang ada menunjukkan Malaysia telah mencapai tahap pertumbuhan ekonomi yang cukup baik berbanding negara-negara jiran. – Datuk Seri Salleh, dipetik dari MalaysiaKini

Sebenarnya, bukan setakat KDNK je statistik yang selalu orang tengok kalau nak tahu pasal kemiskinan kat sesebuah negara. Selalunya kita juga akan rujuk Kadar Kemiskinan Kebangsaan yang kini berada dalam 0.4%. Walaupun nampak rendah tapi kita masih boleh tengok ramai sangat orang miskin, kan?

Kalau tengok dekat statistik, nampak lawa je. Tapi dalam realiti sama ke? Imej dari Laporan UNICEF

1. Statistik nampak gempak, tapi kenapa masih ramai yang miskin?

Walaupun kerajaan kata Kadar Kemiskinan Kebangsaan cuma 0.4%, tapi sebenarnya ia tak beri gambaran sebenarnya tentang situasi kemiskinan kat Malaysia. Menurut laporan UNICEF, ada beberapa kelompok terpinggir dalam negara ni masih menghadapi masalah kemiskinan. Contohnya dekat semenanjung 34% Orang Asli masih hidup dalam kemiskinan.

Kalau kita lihat dari sudut lain, angka 0.4% tu tak bagi kita maklumat sebenar tentang kemiskinan kat negara ni. Imej dari Laporan UNICEF

Laporan UNICEF tentang kemiskinan kanak-kanak ni libatkan 17 tempat di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, semua tempat yang mereka pergi tu adalah flat-flat kos rendah. Purata ahli keluarga untuk penduduk flat ni adalah 5 orang. Kita selalu dengar orang miskin selalunya ada banyak anak, daripada kajian UNICEF ni kita boleh tahu kepercayaan tu tak betul.

UNICEF bukan saja-saja nak pilih KL sebagai lokasi kajian, tapi memandangkan statistik kita tunjukkan kadar kemiskinan dekat KL maha rendah, jadi mereka nak lihatlah sejauh mana kebenaran statistik tu. Mereka fokus kanak-kanak, sebab isu kemiskinan kanak-kanak ni selalunya orang tak pandang.

Korang nak ada berapa orang anak nanti? Imej dari Giphy

Kerajaan kita kenalah gunakan cara kajian yang betul-betul beri gambaran realiti sebenar yang berlaku. Kalau di atas kertas lawa, tapi keadaan sebenar teruk, mesti ramai akan tak puas hati.

2. Kawasan flat pada waktu malam tak selamat

Kalau korang masih ingat, baru-baru ni ada kes seorang pelajar meninggal kerana terkena kerusi yang dicampak dari tingkat atas flat kos rendah. Kebanyakan kawasan flat pada waktu malam punyalah gelap dan sunyi. Dalam kajian ni, 3 daripada 4 penduduk flat yang ditanya setuju waktu malam tak selamat untuk kanak-kanak keluar rumah. Korang masa kanak-kanak dulu, selalu tak main kejar-kejar waktu malam?

Tapi…bukan dekat mana-mana tempat je ke waktu malam ni waktu yang tak selamat untuk keluar rumah? Imej dari Laporan UNICEF

Kebanyakan ibu bapa yang disoal masa kajian ni mengaku anak-anak mereka terlibat dengan macam-macam masalah sosial. Kalau korang nak tahu, 65% daripada ibu bapa mengaku anak mereka pernah merokok.

Walaupun kat kotak rokok ada macam-macam gambar penyakit, orang tak kisah pun. Imej dari Giphy

Bukan setakat ada masalah sosial je, penduduk flat kos rendah juga percaya yang kawasan rumah mereka tak bersih. Terutamanya pada bahagian saliran, bahasa mudahnya longkang kotor. Kalau korang pernah tengok longkang kat Jepun boleh pelihara ikan, longkang kat kawasan ni boleh jadi kubu alien.

Ni longkang atau kolam? Imej dari Mawar Merah Diaries Blog

Oleh sebab masalah sosial dah makin banyak, siapa je nak bagi anak-anak diorang keluar malam. Kalau kami ada anak pun kami takut nak beri kebenaran mereka keluar malam.

3. Betulkah orang jadi miskin sebab malas kerja?

Selalunya orang kata kalau nak keluar dari kemiskinan kenalah kerja kuat. Kalau ada orang masih miskin, maksudnya orang tu tak kerja kuatlah? Kajian yang dilakukan oleh UNICEF ni buktikan pendapat macam ni salah. Sebenarnya orang-orang dekat rumah flat ni bukan tak kerja, tapi dapat gaji yang rendah. Orang-orang dekat rumah flat ni kerja lebih panjang, tapi gaji rendah. Cuba korang tengok statistik kat bawah ni;

Mereka kerja sejam lebih panjang daripada orang lain, tapi dapat gaji kurang RM3 sejam. Imej dari Laporan UNICEF

Sebenarnya ada je bantuan yang mereka terima, contohnya macam BR1M. Ikut kajian ni, 65% daripada penduduk flat terima bantuan BR1M. Korang dah check belum BR1M? Sekarang ni kami tengok orang siap beratur panjang kat ATM untuk semak BR1M. Opps, dah terkeluar topik pulak. Tapi ada satu benda yang kami pelik tentang kajian ni, masih ada orang yang gaji RM2,000 ke bawah tak dapat BR1M. Apasal pulak tu?

Hmm…korang rasa kenapa masih ada kelompok yang layak ni tak dapat BR1M? Imej dari Laporan UNICEF

Lepas ni, kalau korang dengar ayat orang miskin malas bekerja, korang suruh dia baca artikel kami ni. Kadang-kadang orang miskin bukan malas, tapi gaji diorang rendah.

4. Separuh daripada kanak-kanak dekat flat tak ada pra-sekolah

Pendidikan pra-sekolah ni penting untuk pastikan bila korang masuk darjah satu, kurang-kurang korang tahulah kenal huruf. Imej dari Giphy

Menurut kajian ni, 51% daripada kanak-kanak yang tinggal dekat flat tak pergi ke pra-sekolah. Cuba korang bayangkan korang tak pernah datang pra-sekolah, alih-alih terus masuk darjah satu. Mesti korang akan hadapi masalah nak bersaing dengan kanak-kanak yang dah pergi pra-sekolah. Takde pendidikan awal boleh menyebabkan kanak-kanak tu ketinggalan dalam pelajaran bila dah masuk sekolah rendah.

https://www.youtube.com/watch?v=AMtZvqW6wQU

Apabila dah masuk sekolah pula, kebanyakan kanak-kanak ni takda tempat untuk belajar. Sebahagian besar kanak-kanak ni (81%) gunakan ruang tamu sebagai tempat belajar. Ruang tamu ni selalunya tempat untuk keluarga tengok TV atau berehat, dah tentulah ruang tamu ni bukan tempat yang sesuai untuk belajar.

Walaupun kebanyakan kanak-kanak ni tak ada tempat belajar yang sesuai, tapi mereka cemerlang dalam peperiksaan. Cuba kita bayangkan kalau kanak-kanak ni diberikan peluang untuk belajar kat tempat yang lebih selesa, mesti mereka akan lebih cemerlangkan?

Kalau korang tengok, gred mereka agak baik dalam tiga subjek. Subjek BI tu tak ada perbandingan sebab data purata kebangsaan tak dikeluarkan. Imej dari Laporan UNICEF

Pendidikan pra-sekolah ni penting untuk bantu mereka masa masuk darjah satu. Tapi power jugak budak-budak ni, walaupun separuh takde pra-sekolah, keputusan peperiksaan tetap gempak.

5. Masalah kanak-kanak terbantut di Malaysia lagi teruk dari Palestin?

Kalau korang nak tau, dua daripada 10 kanak-kanak Malaysia bawah lima tahun dikategorikan terbantut. Ini lebih teruk berbanding kanak-kanak yang berada di kawasan berkonflik di Tebing Barat dan Gaza.

Masalah kanak-kanak terbantut ni maksudnya kanak-kanak tu tak capai tahap ketinggian yang sepatutnya pada usia-usia tertentu. Isu ni penting, sebab masalah kanak-kanak terbantut mungkin akan memberi kesan seperti kekurangan jisim pada otot. Maksudnya kurus keringlah.

Ikut kajian ni, kanak-kanak dekat flat pun ada masalah kesihatan yang besar. Bukan setakat masalah kurang tinggi je, masalah seperti obesiti dan anemia pun ada.

“Bagi pesakit kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan hormon tumbesaran, selain tidak mampu mencapai kadar tumbesaran normal, mereka juga berisiko mengalami masalah kesihatan lain dalam jangka masa panjang seperti pengurangan jisim otot dan ketumpatan mineral tulang. Peningkatan tekanan darah dan tahap kolesterol serta peningkatan risiko penyakit kardiovaskular juga tidak terkecuali.” – Prof. Madya Dr. Muhammad Yazid Jalaludin, dipetik dari Utusan Malaysia

Kelantan mendahului carta kanak-kanak terbantut dekat Malaysia. Imej dari Laporan UNICEF

Kebanyakan masalah kesihatan kanak-kanak ni berpunca daripada makanan. Kalau korang nak tahu, masalah kanak-kanak terbantut ni dah tinggi gila, dah cecah 20.7%. Maksudnya, 1 daripada 5 kanak-kanak kat Malaysia ni ada masalah terbantut pembesaran.

Kalau korang tak ada masalah kesihatan masa kecil, korang patut bersyukur. Imej dari Laporan UNICEF

Tak banyak orang bincang masalah kanak-kanak terbantut ni. Sebenarnya penyakit ni dah makin teruk. Kalau korang ada anak-anak nanti, berilah diorang makanan-makanan yang berkhasiat ye!

6. Masih ada langkah yang kerajaan boleh ambil untuk atasi masalah ni

Kajian UNICEF ni bukan nak beritahu masalah je, mereka juga berikan beberapa cadangan untuk mengatasi masalah ni. Mereka berikan lima cadangan yang katanya boleh atasi semua masalah yang korang dah baca tadi.

  • Elaun penjagaan kanak-kanak sejagat

Elaun ni akan diberikan kepada ibu bapa agar dapat digunakan untuk membantu meringankan beban menjaga anak terutamanya pada peringkat awal pembesaran kanak-kanak. Kemiskinan ni selalunya jadi punca kanak-kanak kekurangan makanan yang berkhasiat.

  • Pemakanan dan cuti bersalin

Cadangan ni untuk pastikan bayi yang lahir diberikan susu ibu selama 6 bulan. Kajian ni kata seribu hari dalam tempoh pembesaran kanak-kanak ni penting. Korang dulu minum susu botol sampai umur berapa? Jangan-jangan sampai umur 15 tahun. Kami gurau je.

  • Cukai atas minuman bergula

World Health Organization cadangkan supaya kita kurangkan pengambilan gula 10% kurang daripada keseluruhan pengambilan tenaga harian. Kajian ni tulis, kalau kita cukaikan minuman bergula, kita mungkin boleh kurangkan pengambilan ni dalam kalangan kanak-kanak.

  • Ruang sosial yang selamat untuk kanak-kanak

Kalau tadi kami cerita tentang kanak-kanak yang belajar dekat ruang tamu, ni adalah cadangan untuk atasi masalah tu. Korang bayangkan je ada satu tempat yang kanak-kanak ni boleh belajar dan bermain. Semuanya percuma dan kanak-kanak akan dihargai di sana.

  • Menyemak semula angka tunjuk kemiskinan

Kajian ni menyarankan supaya kerajaan guna cara lain untuk mengukur kemiskinan, supaya nilai lebih tepat. Kalau kita perasan, statistik kat negara ni selalu nampak cantik, tapi sebenarnya banyak je masalah yang terlepas pandang.

Cara ni katanya akan lebih baik nak ukur tahap kemiskinan kat negara kita. Imej dari Laporan UNICEF

Lima cadangan yang kat atas ni boleh tahan power jugak, kita harap sudilah kerajaan nak dengar. Kesian adik-adik kita kat rumah flat tu, kecil-kecil dah belajar untuk survive dalam kehidupan.

Adakah kerajaan akan ambil kisah dengan laporan ni?

Kalau kita tengok fakta-fakta yang dibentangkan dalam laporan UNICEF ni, kami yakin korang pun akan rasa simpati dengan nasib kanak-kanak kat rumah flat. Kita selalu diberitahu statistik yang lawa-lawa,  tapi hakikatnya kanak-kanak dekat flat kos rendah sedang mengalami keadaan yang teruk.

“Ruang sosial yang selamat untuk anak-anak sekolah di flat kos rendah perlu diwujudkan. Ia sepatutnya berada di kawasan flat, agar para pelajar boleh berehat, melakukan kerja rumah dan lain-lain perkara.” – Dr Muhammed Abdul Khalid, dipetik dari The Malaysian Insight

Agak-agaknya, macam ni kot safe space yang mereka cadangkan tu. Imej dari Giphy

Pilihan Raya Umum pun dah makin dekat, selalunya masa-masa macam ni akan ramai ahli politik yang mula nak munculkan diri. Kita harap mereka ni cubalah buat sesuatu untuk pastikan anak-anak flat tak terpinggir. Macam pengkaji kata masa dia bentang laporan ni;

“Kemiskinan kanak-kanak sering diabaikan di bandar metropolitan, dan lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di flat kos rendah. Sekiranya anda tidak membetulkannya, inilah generasi 2050. Sekiranya anda tidak menanganinya, ia akan menghantui kita dalam masa 30 tahun akan datang.” – Dr Muhammed Abdul Khalid, dipetik dari The Malaysian Insight

(Keseluruhan artikel ini merujuk Laporan UNICEF yang bertajuk Kanak-kanak Pinggiran)

About Man Hamka 74 Articles
Man Hamka