- 1.4KShare sekarang!
- Email12
- Facebook1.4K
- Share
Kalau isi apa-apa borang, mesti ada bahagian bangsa yang korang kena tick pada kotak tu. Biasanya ada kotak tertulis Melayu, Cina, India dan akhir sekali lain-lain (dan kena nyatakan). Pernah tak korang ada kawan-kawan yang tanda kotak lain-lain dan tulis Bajau? Kalau ada, korang memang jenis berkawan biar beribu, berkasih biar satu.
Bajau ni memang salah satu bangsa pribumi yang ada kat negara kita ni. Bajau ni pulak ada dua jenis iaitu Bajau Darat dan Bajau Laut (Pala’u). Kalau korang pergi Sabah atau tengok video berkaitan negeri tu akan tengok yang Bajau Darat ni dah moden sebab tinggal kat darat. Tapi, kami dari SOSCILI nak sembang sikit pasal Bajau Laut yang tradisi hidup diorang diabadikan untuk hidup atas laut tanpa daratan. Masih wujud lagi ke di Malaysia?
Bermula dari kalah lumba perahu, lari ke selatan Filipina
Sebelum bersembang jauh, kita kena tahu dulu dari mana kaum besar Bajau boleh muncul. Kebanyakan bangsa Johor mungkin tak tahu yang asal usul kaum ni ada kaitan dengan negeri diorang dalam pelbagai versi. Mengikut cerita lisan Hj. Bakara Onnong, Johor yang diperintah oleh Sultan Mahaikul Alam ada seorang puteri bernama Siti Zairan Kebaran. Dia ni memang popular dengan rupa parasnya yang cantik jelitawan. Haklum Nuzum dan Seliangaya Bungsu yang merupakan dua beradik dari Sulu dah jatuh cinta dekat puteri ni.
Untuk bagi fair and square, Sultan Mahalikul Alam pun buat pertandingan lumba perahu antara dua beradik tu. Siapa yang sampai ke Pulau Angsa di perairan Johor dulu, dia akan dikahwinkan dengan puterinya. Nasib malang menimpa Seliangaya Bungsu apabila layar perahu dia patah dan kalah dalam perlumbaan tu. Dia pun bertekad tak nak balik ke Johor, tapi, teruskan pelayaran sampai tiba di Pulau Sambuanga (Zamboanga) di selatan Filipina.
Dilaporkan, masyarakat Bajau memang berasal dari keluarga besar Bajau di selatan kepulauan Filipina. Masa era pemerintahan Kesultanan Sulu pada abad ke-18, mereka berpindah dan menetap di kawasan perairan Sabah. Jadi, kenapa diorang pilih Sabah? Ini sambungan kisah tadi…Cinta merentas lautan mula berputik.
Di Pulau Sambuanga selatan Filipina, Seliangaya Bungsu pun berkahwin serta dianugerahkan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Menurut legenda lagi, dua orang anak ni tadi buat hal dengan melakukan hubungan sumbang. Bila dah kantoi dan dapat tahu, Selingaya Bungsu merasa malu lalu membawa diri belayar ke Pulau Omadal di perairan Sabah. Keturunan dia terus berkembang dan mula berpindah pula ke Pulau Bum-Bum, Sabah. Mereka yang menetap di daratan pulau-pulau ni lah yang dikenali sebagai Bajau Darat.
Tapi, tetap ada lagi Bajau yang hidup diatas perahu atau bot secara nomad di laut. Mereka ni dikenali sebagai Bajau Laut atau Pala’u yang dah dikesan sejak 300 tahun yang lalu. Kalau Bajau Darat ada sejarah munculnya ia, Bajau Laut hanya menumpang sejarah besar asal-usul Bajau Darat macam yang kitorang sebut tadi.
Bajau Laut: Rakyat tanpa kerakyatan dan negara
Bajau Laut ni memang hidup nomad, jadi kebanyakan mereka berada disekitar Laut Celebes yang dikelilingi Sabah, Indonesia dan Filipina. Kalau di Malaysia, komuniti ni berada di perairan sekitar Semporna, Kunak, Lahad Datu, Sandakan, Tawau dan Kudat. Komuniti juga berada di kawasan perairan Pulau Sulawesi, Indonesia. Diorang pilih untut terus hidup dilaut untuk mengikut pantang larang nenek moyang diorang untuk tak tinggal di darat. Siapa yang langgar, diorang takkan hidup aman tujuh keturunan. Cara hidup ni juga nampaknya dah menyebabkan…
“Sebenarnya, mereka tak perlukan IC, tidak perlukan passport, mereka berpindah-randah di kawasan. Mereka sendiri tidak mengiktiraf mereka ini warganegara mana-mana negara. Mereka adalah orang yang berkeliaran.”- Datuk Nasrun Datuk Mansur, Ahli Parlimen Silam, petikan dari TV Al-Hijrah.
Diorang ni bukanlah pendatang asing tanpa izin mahupun pelarian. Cumanya status diorang adalah orang tanpa kerakyatan (stateless). Kerana tiadanya kata sepakat antara Malaysia dan Filipina berkaitan nasib kaum ni, dah menyebabkan diorang tiada tempat untuk singgah di darat dan pulau khas sendiri. Atas dasar kemanusiaan, Sabah bagi keistimewaan khas dan kelonggaran kepada kaum Bajau Laut yang mana mereka bebas bergerak di perairan Malaysia-Filipina.
“Kaum Bajau Laut lebih suka berada di perairan Sabah berbanding pulau di Filipina kerana stabil dari segi keselamatan dan mudah mencari rezeki.”- Petikan dari Berita Harian.
Sebenarnya, pada tahun 2008, kerajaan Persekutuan dan Sabah ada buat program pemberian green Mykad (kerakyatan sementara) untuk pendatang tanpa izin, pelarian politik dan stateless. Tapi, program tu tak menyeluruh sebab hanya dikawasan tanah besar dan pulau. Sedangkan Bajau Laut duduk dalam perahu di laut yang menyebabkan hanya segelintir yang berpeluang untuk didaftarkan. Tapi, kalau diorang pilih duduk kat darat sekalipun, diorang tetap ada masalah iaitu…
Bila cuba tinggal di daratan, rasa mabuk dan loya
Kehidupan diorang dengan laut sangatlah rapat sampaikan ada adat diorang yang memerlukan bayi yang baru lahir dibuang ke laut sebelum diselamatkan oleh bapanya. Tujuannya untuk bagi kekuatan dekat bayi tu bahawa laut adalah kehidupan diorang.
Diorang ni akan hanya naik ke darat sekejap-kejap sahaja macam singgah R&R dekat highway. Menurut Sarimah Asrian (orang Pala’u), dari kecil lagi dia tak pernah cuba untuk tinggal di daratan kerana takut pening. Paling lama pun dia berada kat satu tempat tu lima hari je sebelum berpindah ke kawasan pulau lain untuk mencari ikan dan teruskan kehidupan. Perkara ni terjadi disebabkan otak dan fikiran diorang ni dah terbiasa dengan keadaan dilaut.
“Tidak biasa kalau tiada ombak, nanti pening. Kami naik darat cuma sekejap untuk belanja (beli barang). Kemanakan (sepupu) ada kerja di darat… mahu ikut tapi bapa tidak bagi,”- Sarimah Asrian, petikan dari Berita Harian.
Memang nampaklah yang diorang ni menjalani kehidupan seharian sama ada memasak, menyidai pakaian, makan, tidur dan berjimak di dalam perahu. Macam mana perahu tu boleh berfungsi dengan tenang dan aman untuk diorang? Inilah caranya…
Walaupun perahu 6 meter panjang, ada bahagian dapur dan tempat tidur
Sejak zaman Kesultanan Sulu, kaum ni memang dah tinggal dalam perahu atau bot di perairan Sabah. Kaum ni diletakkan bawah kawalan datu-datu Tausung (Sulu). Mengikut sejarah juga, masyarakat Bajau Laut sudah bekerja untuk datu-datu Sulu yang mempunyai perahu bersayap (Barangayan dan Kora-Kora). Kepakaran diorang ni digunakan untuk dapatkan sumber laut di perairan Sabah demi memenuhi pasaran dunia.
Dari fakta ni, dikatakan penciptaan perahu Bajau Laut di Sabah pada hari ni berasaskan seni bina dan reka bentuk Kora-kora dan Barangayan. Waktu Sabah bertukar pemerintahan kepada British North Borneo Chartered (BNBCC), budaya dan tradisi perahu masih diorang praktikkan. Kalau dulu datu-datu Sulu sponsor, sekarang orang Bajau buat sendiri guna perahu yang diorang ada dan tambah sayap serta dikenali sebagai perahu bogoo. Panjangnya biasa 15-20 kaki (4-6 meter) dan lebarnya 2-3 kaki (lebih kurang 1 meter).
Pemerhatian kajian membuktikan yang semua keluarga Bajau Laut ada perahu jenis ni di sekitar Pulau Mabul, Pulau Omadal, Pulau Dinawan, Pulau Gusungan, Pulau Bum-Bum, Pulau Banggi di Sabah. Menurut Sarimah Asrian, bahagian depan perahu adalah tempat berkumpul, bahagian tengah pula tempat tidur dan bahagian belakang adalah tempat memasak. Dengan ketinggian paras dada yang memerlukan penghuni membongkok untuk berjalan.
Kalau orang Melayu boleh bersilat, orang Cina boleh berkung fu dan India pulak boleh bersilamban. Maknanya setiap bangsa atau etnik ada kelebihan diorang yang pelik tapi benar. Macam tu jugak Bajau Laut yang akan buat korang termenung sejenak melihat cicak di dinding bila tahu kehebatan diorang ni.
Boleh tadah air minuman dari pusaran putir beliung
Dilaporkan yang masyarakat Bajau Laut sentiasa mengejar pergerakan angin sampai boleh menadah pusaran puting beliung. Tujuannya untuk dapatkan air minuman ketika di laut. Selain relaks je boleh tadah air, diorang ni selalu dijulang pengamal media antarabangsa sebagai Raja Laut atau King of The Sea.
Mana taknya, diorang boleh menyelam lebih kurang empat minit tanpa tong gas oksigen dan peralatan lain. Dalam catatan sejarah dari orang Barat juga mengakui yang diorang ni boleh menyelam sampai 7 sampai 20 fathom (13 sampai 36 meter). Bukan setakat menyelam sambil minum air, diorang siap boleh berjalan lagi kat dasar laut untuk tangkap ikan celah batu karang tak pun perangkap udang yang ada dalam lubang.
Bila bercakap pasal tak guna peralatan renang, ada pendapat mengatakan yang anak-anak Bajau Laut dari kecil dah menyelam sampaikan struktur dan lensa mata diorang jadi clear bila menyelam.
Untuk perempuan Bajau Laut pulak, disebabkan duduk dalam perahu dan terdedah kepada cahaya terlalu panas pada waktu tertentu, diorang ada sunblock tersendiri. Sunblock ni diorang guna beras dan rempah yang dipanggil Berrak. Diorang bila dah campur tu akan tepek dekat muka sendiri.
Tangkap, jemur dan salai gamat untuk dijual
Zaman sekarang, semua nak kena ada duit. Nak beriklan kat website kitorang pun kena ada duit. Duit juga diperlukan orang Bajau Laut supaya dapur kat bot diorang boleh berasap. Macam mana cara diorang buat duit?
Diorang ni ada beberapa aktiviti yang bagi peluang untuk diorang menjana pendapatan. Sebahagian komuniti ni biasa akan mendayung perahu ke kawasan perairan batu karang seawal jam 5 pagi. Di situ, diorang akan mula menangkap ikan dengan cara tradisional dan balik ke pantai pada waktu tengah hari atau petang.
Selain ikan yang ditangkap dan dijual di pasar, diorang juga buat aktiviti menyelam untuk dapatkan tripang atau gamat. Tripang ni tadi akan dijemur dan disalai yang kemudiannya dijual di pekan contohnya di Pekan Semporna dengan harga antara RM50-RM80 sekilogram mengikut jenis dan kualiti.
Situasi sekarang ni agak berlainan. Kalau dulu orang Bajau Laut ni membanjiri kawasan darat untuk menjual hasil tangkapan di laut, sekarang, diorang banyak yang mengemis. Waktu wartawan Berita Harian pergi melawat pun, diorang ni nampak je pemalu depan kamera. Dalam diam, diorang akan ketuk pintu kenderaan dan minta sedekah. Dan keadaan ni nampaknya makin kritikal dan teruk yang boleh merosakkan masa depan anak-anak kecil diorang.
Ada yang mula mengorbankan adat demi kehidupan yang lebih baik
Arus pemodenan yang ada sekarang ni nampaknya dah mula mengubah secara perlahan-lahan cara hidup komuniti ni. Kalau dulu semua nelayan, sekarang ada yang kerja buruh dan berniaga. Bila diorang nak mula ubah hidup, ramai pula pandang rendah terhadap masyarakat ni. Menurut Razil Jesferman, hanya pendidikan yang mampu ubah persepsi orang lain terhadap diorang. Razil adalah antara contoh anak Bajau Laut yang menjadi graduan Sains Akuakultur di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Kini, dia menjadi Pembantu Penyelidik disebuah syarikat penyediaan makanan.
“Saya bersyukur kerana ibu bapa ada kesedaran untuk mengubah cara hidup, tidak hidup secara nomad dalam bot dan berkelana di lautan seperti nenek moyang kami,”- Rizal Jesferman, petikan dari Berita Harian.
Bila tahu pasal Bajau Laut, memang ada perasaan bercampur antara kagum dengan kehebatan diorang dan juga sedih dengan taraf hidup diorang. Kalau nak duduk darat nanti takut langgar pantang larang nenek moyang. Tapi, bila jadi stateless diorang tak dapat banyak peluang kebajikan. Jadinya, cadangan supaya peluang pendidikan diberi kepada anak-anak stateless macam diorang ni walaupun secara tak formal memang patut disokong dan dilaksanakan.
- 1.4KShare sekarang!
- Email12
- Facebook1.4K
- Share